30 September 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Keadilan dalam pembahagian harta


DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com


ASSALAMUALAIKUM Ustaz,

Saya ingin mengetahui adakah dari sudut syarak keputusan yang di lakukan oleh arwah bapa saya.

Sebelum bapa saya meninggal beliau telah membahagikan tiga perempat dari keseluruhan harta beliau kepada kedua orang adik saya kecuali saya dan abang saya.

Dari sudut hukum bolehkah berbuat sedemikian?

Apabila bapa saya meninggal dunia adakah kedua-dua adik saya masih berhak keatas baki satu perempat harta peninggalan.

- Zahari Abdul Aziz, Selangor

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku adil. Orang yang berlaku adil akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang adil itu berada di sisi Allah, di atas menara-menara cahaya, di sebelah kanan Allah... iaitulah mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka dan keluarga mereka serta apa yang mereka pimpin."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, No. 1827).

Sesungguhnya, di antara perkara yang diarahkan oleh Islam ialah agar umatnya berlaku adil dalam pemberian terhadap anak-anak. Seorang bapa atau ibu itu hendaklah memberi sesuatu pemberian itu secara adil kepada anak-anak mereka.

Keadilan inilah yang akan menjadikan kesemua anak-anak itu serupa dan sama dalam berbakti kepada ibu bapa mereka. Perkara ini telah pun ditekan oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut; al-Nu'man bin Basyir berkata, "Ayahku telah membawaku berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, 'Wahai Rasulullah! Saya mempersaksikanmu bahawa saya telah memberi al-Nu'man sebahagian daripada hartaku.' Baginda bersabda, "Adakah semua anak-anakmu kamu berikan seperti mana kamu beri kepada al-Nu'man?" Ayah menjawab, 'Tidak.' Baginda bersabda, "Carilah orang lain untuk menjadi saksi." Kemudian baginda berkata lagi, "Adakah engkau suka mereka semuanya berbakti kepadamu secara sama?" Ayah menjawab, 'Ya.' Baginda bersabda, "Jika begitu jangan beri hanya kepada dia."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, no. 1623).

Namun, sekiranya pemberian yang diberikan itu tidak sama antara satu anak dengan anak yang lain, tetapi anak yang tidak dapat itu menyetujui dan meredai, maka tiada masalah.

Dalilnya ialah satu riwayat di mana A'isyah r.a. telah berkata, 'Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah memberinya hasil tanaman sebanyak 20 wasaq daripada kebunnya...' (Hadis riwayat al-Imam Malik dalam Muwatta'. Ibnu Hajar mengkategorikannya sebagai Sahih). Ibnu Hajar rahihamullah di dalam kitabnya Fathul Bari (5/215) telah mengatakan bahawa Urwah r.a. telah mengatakan bahawa adik beradik A'isyah r.a menyetujui dan meredai pemberian itu.

Dengan itu, berkenaan dengan harta sebanyak tiga perempat yang diberikan kepada dua orang adik saudara, ada dua keadaan; pertama, jika saudara dan abang tidak setuju dan tidak reda maka harta itu perlu dibahagi semula sama ada secara sama rata atau mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Keadaan kedua, jika saudara dan abang setuju dan reda, maka tiada apa yang perlu dilakukan.

Berkenaan dengan harta yang berbaki, iaitu sebanyak satu perempat keseluruhan pewaris termasuk kedua-dua adik saudara tetap mempunyai hak ke atas harta ini mengikut apa yang diperuntukkan dalam hukum faraid.

Silalah rujuk kepada Mahkamah Syariah atau Jabatan Agama berdekatan untuk mendapat pembahagian yang terperinci berdasarkan harta yang ditinggalkan dan pewaris yang layak menerima.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan para pembaca sekelian, khususnya para ibu bapa agar sentiasa memikirkan unsur keadilan dalam pemberian kepada anak-anak semasa hidup.

Pemberian hendaklah dilakukan secara adil dan saksama. Adapun nafkah yang wajib, maka hendaklah diberikan kepada anak-anak mengikut keperluan mereka dan tidak perlu sama rata.

Semoga Allah memudahkan kita untuk berlaku adil dan mengampunkan kelemahan dan kesilapan kita dalam pemberian dan pengagihan harta.

Sebagai makluman tambahan, hendaklah kita mengetahui bahawa hukum nafkah anak-anak adalah wajib dan tidak sama dengan pemberian yang bukan merupakan nafkah. Nafkah adalah perbelanjaan yang merangkumi makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perkahwinan dan kesihatan.

Justeru, keadilan dalam memberi nafkah ialah yang sewajarnya dan yang sesuai dengan keperluan anak. Sebagai contoh jika terdapat lima orang anak dan kesemuanya memerlukan pakaian maka hendaklah dibelikan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka berlima.

Akan tetapi jika hanya tiga sahaja yang memerlukan pakaian, maka belilah untuk tiga orang itu sahaja dan tidak perlu dibelikan untuk yang dua lagi. Jika dibelikan juga untuk yang dua lagi itu, dikhuatiri boleh terjerumus ke dalam pembaziran kerana mereka berdua tidak memerlukannya.

Satu perkara lagi, perlulah dibezakan antara lelaki dan perempuan. Pastinya keperluan anak lelaki tidak sama dengan keperluan anak perempuan. Bila sang ayah memberi nafkah anak-anaknya mengikut keperluan mereka, inilah yang dinamakan keadilan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: