KANGAR, 12 Ogos (Bernama) -- Sikap dengki dan benci di kalangan masyarakat boleh menghalang proses pembentukan mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Rabu.
Sehubungan itu, baginda berharap sikap buruk itu yang menjadi barah dalam masyarakat perlu disingkirkan kerana ia boleh menyumbang kepada masalah yang lebih besar.
Bertitah merasmikan program motivasi Titian Kasih Mega Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Jabatan pelajaran Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau hari ini, baginda berharap masyarakat berusaha membudayakan amalan murni termasuk hormat-menghormati.
Program motivasi bertemakan "Rakyat Perlis ke arah Mentaliti Kelas Pertama" itu diperkenalkan oleh YTSP yang dipengerusikan Raja Muda Perlis sejak empat tahun lalu.
Ia antara lain bertujuan membentuk masyarakat yang berjiwa murni dan berupaya menjaya pembangunan negara melalui pemikiran dan mentaliti kelas pertama.
Pada program itu, baginda turut merasmikan Bilik Program Rintis Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan program Pendidikan Khas SMK Arau.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment