03 September 2012

Soal Jawab Utusan: Hukum menyokong ‘syaitan merah

Soalan 1 
 ASSALAMUALAIKUM. Adakah kita wajib membayar zakat pendapatan? Bolehkah ustaz menghuraikan perkara ini.

Ahmad Syukri Naim bin Mohd Tahir
Kampar, Perak.


Jawapan

Ya, zakat pendapatan wajib dibayar. Huraiannya ialah jika simpanan daripada pendapatan bulanan itu mencapai dua syarat asasi kewajipan zakat iaitu, pertama mencapai had atau bulugh al-nisab iaitu bersamaan dengan 85 gram emas, iaitu bersamaan dengan RM13,670.22 menurut harga emas semasa pada 18 Ogos 2012.

Syarat kedua ialah jumlah itu mestilah melepasi setahun dalam simpanan atau apa yang disebutkan oleh para ulama sebagai murur al-haul. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan pula ialah sebanyak 2.5% sahaja.

Sebagai contoh jika pada 18 Ogos 2012, wang yang disimpan ialah RM20,000.00 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18,000.00 untuk 85 gram emas.

Maka jumlah yang perlu dizakatkan ialah RM500.00 bersamaan 2.5% daripada RM20,000.00.

Akan tetapi jika pada 18 Ogos, 2012 jumlah yang disimpan ialah RM13,670.22 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18.000.00 untuk 85 gram emas; maka tidak perlu dikeluarkan zakat kerana tidak mencapai had atau nisab.

Harga emas bolehlah dirujuk di Bank Negara atau bank-bank lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan emas.

 
Soalan 2

Saya merupakan penyokong setia kelab bola sepak Manchester United. Masalahnya sekarang ialah pada lambang kelab itu terdapat seakan-akan gambar syaitan. Gelaran bagi pasukan mereka juga ialah The Red Devil yang bermaksud syaitan merah. Apa hukumnya di dalam Islam tentang perkara ini. Adakah saya boleh terus menyokong Manchester United atau tidak?

Danny Ryan,
Gurun, Kedah


Jawapan 2

Saudara, soalan ini menggambarkan keprihatinan saudara. Semoga Allah meneguhkan lagi jati diri Islamik saudara dan seluruh umat Islam.

Apa yang saya faham khusus berkenaan hukum-hakam yang berkaitan dengan kelab bolasepak Manchester United ialah seperti berikut:

Pertama, tidak boleh bagi penyokong muslim kelab ini memakai atau memiliki apa sahaja produk yang memperagakan syaitan merah yang memegang tombak dan memakai mahkota itu.

Kedua, apabila pergi untuk menyokong, pastikan solat tidak ditinggalkan.

Ketiga, apabila memberi sokongan, pastikan tiada lafaz kufur mahupun maksiat yang diungkap.

Keempat, pastikan keghairahan menyokong tidak menjadikan kita bercampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam agar membuat pilihan yang sewajarnya dalam setiap detik kehidupan kita.

Memang tidak mengapa memberi sokongan, akan tetapi perlulah sentiasa menepati etika Islam. Satu perkara lagi, hendaklah kehidupan kita sebagai umat Islam disinari dengan perseimbangan atau wasatiyyah.

Seimbangkanlah antara ketekunan dalam melakukan ibadah dengan masa yang diberikan untuk urusan manusiawi seperti riadah, sukan dan sebagainya.

Janganlah terlalu terikut-ikut dengan budaya kufur Barat atau Timur yang seringkali menekankan kebebasan daripada segala unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan.

No comments: