22 February 2013

MAIPs perkenal Skim Saham Wakaf Tunai menerusi potongan gaji


KANGAR 22 Feb. — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan Skim Saham Wakaf Tunai melalui potongan gaji bagi memudahkan penjawat awam dan swasta menyumbang dalam skim itu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, skim itu akan memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah wakaf mereka untuk projek yang memberi manfaat kepada umat.
Bertitah dalam majlis penyerahan penyata zakat gaji tahun 2012 di Kampung Guar Syed Alwi dekat sini hari ini, baginda bertitah, Unit Wakaf dan Sumber Am MAIPs kini sedang rancak mempromosikan skim itu.
Unit itu yang diwujudkan akhir tahun lalu, memberi tumpuan kepada lima projek wakaf tunai, termasuk pembangunan hartanah dan harta wakaf sedia ada, wakaf pembinaan dan penyenggaraan masjid dan surau serta wakaf al-Quran, kitab hadis dan buku ilmiah.
Dua lagi projek ialah, wakaf maahad tahfiz, sekolah agama dan tadika Islam serta wakaf tanah kubur dan penyenggaraan perkuburan.
Tuanku Syed Faizuddin turut mempelawa jabatan, institusi pengajian tinggi, sekolah atau badan swasta untuk menjalankan program-program kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR), tanggungjawab sosial universiti (USR) dan tanggungjawab sosial sekolah (SSC) dengan MAIPs.
"MAIPs mahu dianggap sebagai rakan kongsi yang tepat selain sebagai medium pelaksanaan sebarang bentuk program yang sangat berimpak oleh organisasi-organisasi di negeri ini khususnya kepada warga asnaf," titah baginda.
Baginda turut menggesa umat Islam di negeri ini supaya bersama-sama menyemarakkan semangat mempertingkatkan lagi kemajuan serta kehidupan golongan asnaf.
Sepanjang tahun lalu, MAIPs mengagihkan sebanyak RM54,355,038 kepada golongan asnaf di seluruh negeri termasuk bantuan membina 92 buah rumah untuk golongan asnaf serta 464 buah rumah yang dibaik pulih yang keseluruhannya bernilai RM6,520,406.
Selain itu, MAIPs turut mengeluarkan bantuan sara hidup kepada 2,418 orang penerima yang berjumlah RM1,512,327 serta bantuan serta-merta pelajaran kepada 2,451 orang pelajar berjumlah RM2,019,110.
Sempena majlis penyerahan penyata itu, MAIPs turut menyerahkan lima rumah asnaf yang dibina baru serta dibaik pulih dan menyampaikan sumbangan untuk projek Pembangunan Asnaf MAIPs.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Abdul Rasid Sudin. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130223/wu_02/MAIPs-perkenal-Skim-Saham-Wakaf-Tunai-menerusi-potongan-gaji#.USgWmJyycU0.facebook#ixzz2LgmmL3ud
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 February 2013

Wujudkan lebih banyak koperasi masjid - Raja Muda Perlis


KANGAR 11 Feb. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu lebih banyak masjid mewujudkan koperasi bagi menggerakkan kegiatan ekonomi melalui institusi agama itu.
Menurut baginda, koperasi adalah institusi yang paling berkesan dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup komuniti kecil seperti kariah masjid, suku kaum dan juga penduduk pribumi dan perkara ini juga telah diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bertitah merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Perlis anjuran bersama Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini hari ini, baginda yakin lebih banyak masjid bakal menubuhkan koperasi tidak lama lagi.
Ini berikutan terdapat penambahan bilangan koperasi kariah masjid di seluruh negara kepada 159 pada tahun lalu berbanding 88 pada 2011 dan angka itu pasti akan bertambah, titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.
Raja Muda bertitah, masjid tidak harus dilihat sebagai tempat ibadah semata-mata sebaliknya ia mempunyai peranan lebih besar termasuk sebagai pusat kegiatan ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan, perundangan, pusat penyatuan ummah dan riadah.
"Budaya Islam tidak memisahkan kegiatan duniawi dengan akhirat malah saling berhubungan dan ini dapat direalisasikan menerusi konsep koperasi," titah baginda pada seminar sehari yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia dan disertai para pegawai masjid seluruh Perlis.
Titah baginda lagi, semua golongan masyarakat seperti orang miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan belia boleh menggunakan saluran koperasi untuk meningkatkan diri dan taraf sosioekonomi mereka.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130212/dn_16/Wujudkan-lebih-banyak-koperasi-masjid---Raja-Muda-Perlis#.URrVDU_Ar0s.facebook#ixzz2Ksif7AkX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 February 2013


Mahu rakyat utamakan perpaduan menjelang PRU-13



KANGAR 7 Feb. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) mahu rakyat berbilang kaum dan agama di negera ini mencari pendekatan ke arah meningkatkan perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Baginda bertitah, ia penting bagi memastikan nikmat kemakmuran dan keamanan yang begitu mahal nilainya terus diwarisi rakyat negara ini.
"Utamakan perpaduan dalam apa jua program yang dianjur. Jangan pula mencari perpecahan dan memporak-perandakan melalui kegiatan yang dianjur," titah baginda merasmikan Ekspo Keusahawanan dan Karnival Mahabbah 2013 di sini semalam.
Baginda berharap ikatan perpaduan itu akan terus utuh sehingga selepas pilihan raya umum kerana mandat yang diberi melalui proses pilihan raya perlu dihormati sebagai pengiktirafan kepada tanggungjawab demokrasi berpelembagaan.
Karnival tiga hari di Dataran Jubli Emas itu adalah anjuran kerajaan negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pelbagai kegiatan diadakan pada karnival sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perlis 1434 itu, antaranya pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan di samping jualan pelbagai barangan oleh usahawan Islam.
Sempena perasmian itu berlangsung program bual bicara bersama penyanyi nasyid Hafiz Hamidun dan seorang mualaf Lim Jooi Soon yang turut diikuti Raja Muda Perlis.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130208/wu_02/Mahu-rakyat-utamakan-perpaduan-menjelang-PRU-13#.URQya29SE3U.facebook#ixzz2Ki5WpugY
© Utusan Melayu (M) Bhd 


SUMBER :http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130208/wu_02/Mahu-rakyat-utamakan-perpaduan-menjelang-PRU-13#.URQya29SE3U.facebook

Solat ketika di dalam masjid

SAYA keliru antara solat sunat Tahiyatul Masjid dengan solat sunat sebelum masuk waktu solat. Adakah ia perlu dilakukan kedua-duanya sekali atau yang mana lebih penting. Minta pandangan ustaz.
Segala pandangan / jawapan yang ustaz berikan, saya sanjung tinggi untuk kebaikan bersama.
*Khalid,
Puchong, Selangor

Solat Tahiyatul Masjid adalah nama yang diberikan oleh sebahagian ahli ilmu untuk solat yang dilakukan sejurus memasuki masjid. Sebahagian yang lain pula hanya menamakannya sebagai solat sunat dua rakaat memasuki masjid.
Dalilnya ialah hadis Abu Qatadah Al-Ansari r.a. katanya, “Saya masuk ke dalam masjid dan mendapati Rasulullah SAW sedang duduk dikelilingi orang ramai lalu saya pun duduk. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Apakah yang melarang engkau daripada solat dua rakaat sebelum duduk?" Saya menjawab, “Wahai Rasulullah, saya melihatmu duduk dan orang ramai duduk." Rasulullah bersabda, “Sekiranya seorang daripada kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk kecuali selepas solat dua rakaat" (Hadis riwayat Al-Imam Muslim, No. 714).
Hadis ini jelas menunjukkan jika kita masuk masjid hendaklah kita solat sunat dua rakaat sebelum kita duduk. Rasulullah SAW melarang kita daripada duduk di masjid kecuali selepas solat sunat dua rakaat. Justeru jika kita masuk masjid dan ingin duduk, pastikan kita solat terlebih dahulu sebelum duduk.
Jika kita masuk masjid semasa solat jemaah sedang berlangsung, maka solatlah dengan mereka dan selepas solat jemaah bolehlah duduk di masjid tanpa perlu melaksanakan solat Tahiyatul Masjid. Jika kita memasuki masjid selepas azan Zohor, maka laksanakanlah solat sunat qabliyyah dan selepas itu boleh duduk di masjid tanpa perlu melaksanakan solat Tahiyatul Masjid.
Begitulah seterusnya, apa yang penting ialah jika masuk masjid, pastikan kita solat dahulu sebelum duduk. Jika tiada apa-apa solat khusus, maka buatlah Tahiyatul Masjid.
Jika dilakukan solat khusus yang wajib seperti solat Zohor mahupun yang sunat seperti solat Dhuha dan sebagainya maka itu telah memadai dan tidak perlu solat Tahiyatul Masjid.
Di dalam soalan ini ada dinyatakan solat sunat sebelum masuk waktu solat. Ada dua kemungkinan di sini. Kemungkinan pertama, jika saudara maksudkan solat sunat sebelum masuk mana-mana waktu solat fardu lima waktu.
Dalam keadaan ini, kita boleh sahaja solat sunat khusus seperti solat wuduk dan solat dhuha atau solat sunat umum iaitu solat sunat dua rakaat pada mana-mana masa yang tidak dilarang.
Masa yang dilarang ialah selepas solat Subuh hingga terbit matahari, semasa matahari berada tegak di atas kepala hingga masuk waktu Zuhur dan selepas Solat Asar hingga terbenam matahari. Jika solat sunat khusus atau umum itu telah pun dilaksanakan, maka tidak perlu lagi dilaksanakan solat sunat Tahiyatul Masjid.
Kemungkinan kedua, jika saudara maksudkan solat sunat selepas masuk waktu mana-mana solat fardu lima waktu, tetapi sebelum melaksanakan solat fardhu tersebut.
Dalam keadaan ini, jika saudara laksanakan solat sunat qabliyyah maka saudara tidak perlu lagi melaksanakan solat Tahiyatul Masjid. Namun jika saudara laksanakan solat Tahiyatul Masjid maka saudara boleh bangun untuk melaksanakan solat sunat qabliyyah.
Semoga Allah memberi kita semua kekuatan untuk melaksanakan solat-solat fardu dengan diiringi solat-solat sunat yang pelbagai.
*DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.
Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_13/Solat-ketika-di-dalam-masjid#.UOoFI2paFso.facebook#ixzz2Ki2z9rqx
© Utusan Melayu (M) Bhd 


SUMBER :http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_13/Solat-ketika-di-dalam-masjid#.UOoFI2paFso.facebook

09 February 2013

ULAMAK AHLI SUNNAH WALJAMAAH PERLIS PULANG KE RAHMATULLAH

Dimaklumkan Ustaz Abdul Razak bin Abdul Rahman telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari ini sabtu 9/2/2013 bersamaan 28 Rabi al-Awwal 1434 dirumahnya beralamat di Kampung Alor Ara, Perlis. Beliau adalah salah seorang pengasas dan mantan Yang Di-Pertua Persatuan Al-Islah, Perlis. Jenazahnya telah selamat dikebumikan menjelang waktu asar di Tanah Perkuburan Islam Ngulang, Perlis. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh allah... 

"Ya,Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, maafkanlah dia, selamatkanlah dia, muliakanlah dia, lapangkanlah tempatnya, dan bersihkanlah dia dengan air, air salju dan air embun. Sucikanlah dia dari dosa sebagaimana halnya kain yang putih bila disucikan dari noda. Dan gantilah rumahnya dengan tempat kediaman yang lebih baik, begitu pun keluarga serta isterinya dengan yang lebih berbakti, serta lindungilah dia dari bencana kubur dan siksa neraka" (riwayat Muslim)

06 February 2013


Kelas pengajian tahun 2013

bagi tahun 2013 ini, Kelas/kuliah di Persatuan Al-Islah berjalan seperti biasa pada hari jumaat dan ahad. Antara penceramah jemputan yang dipanggil adalah Ustaz Syeikh Daud, Ustaz Saidan Affendi, Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris, …………………..    
Baru-baru ini, Persatuan Al-Islah  mengadakan satu kuliah subuh & sarapan pagi yang pertama buat tahun 2013 ini, iaitu pada hari khamis 24 januari 2013 bersamaan dengan hari cuti umum sempena Maulidur Rasul . Kuliah subuh ini, disampaikan oleh ustaz Rizal Azizan yang bertajuk  MEMBIASAKAN YANG BETUL, MEMBETULKAN YANG “TERBIASA”. Antara intipati kuliah tersebut adalah menyatakan dan membetulkan para hadirin muslimin dan muslimat bahawa menyambut Maulidul Rasul adalah tidak boleh didalam islam dan tidak pernah disunnahkan oleh RasulNya.












Disamping itu, jamuan/sarapan pagi telah di sediakan oleh pihak Persatuan Al-Islah , antara menunya adalah roti canai, kuih muih, nasi ayam ala Johor, makanan bijirin koko crunch/cornflakes manakala minumannya adalah teh tarik, teh panas, kopi dan susu.





Para hadirin dipersilakan menjamu selera sesudah selesainya Ustaz Rizal menyampaikan ceramahnya. Majlis kuliah subuh ini berakhir pada sekitar pukul 8.00 pagi
Setakat ini saja yang dapat dikongsi….














Allahu’alam