26 April 2013


Elak perbalahan sesama ummah - Shaikh Solah

Syaikh Solah Mohammed Al-Budair mengimamkan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 26 April - Umat Islam dinasihat bersatu padu dan mengelak berbalah sesama sendiri agar Islam yang menjadi agama rasmi negara ini dapat dijadikan contoh kepada umat dan negara lain.
Imam Masjid An-Nabawi, Madinah, Shaikh Solah Mohammed Al-Budair berkata, umat Islam perlu mencari satu perkara yang dapat menyumbang dan memberi manfaat kepada negara agar keamanan dan kesejahteraan terus berkekalan.
Katanya, ini penting kerana selain dapat mengelak berlakunya kemudaratan dan perpecahan kepada negara Islam, sumbangan yang bermanfaat juga dijanjikan ganjaran berterusan oleh Allah SWT walaupun setelah meninggal dunia.
"Umat Islam harus bersatu padu, jauhkan daripada melakukan perbalahan sesama sendiri kerana tindakan itu hanya memberi mudarat kepada negara serta perpecahan ummah.
"Sebagai umat Islam, mereka perlu sentiasa memikirkan apakah sumbangan yang boleh ditinggalkan di bumi ini iaitu kepada negara dan juga agama supaya Islam menjadi contoh yang disebut-sebut oleh umat dan negara lain," katanya ketika menyampaikan khutbah di Masjid Negara di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir melawat karnival Semarak Syariah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di pekarangan Masjid Negara.
Karnival bermula hari ini hingga Ahad dengan memuatkan pelbagai aktiviti seperti jualan, pameran, ceramah agama, pertunjukan nasyid dan pertandingan bagi kanak-kanak.
Shaikh Solah yang juga hakim di Mahkamah Tinggi Madinah dijadualkan berada di negara ini sehingga 4 Mei ini.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130427/dn_08/Elak-perbalahan-sesama-ummah---Shaikh-Solah#ixzz2Rc12P4Bl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Imam Masjid Nabawi ajak umat islam di Malaysia bersatu padu

26 April 2013
Imam Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Salah Al-Budair
Imam Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Salah Al-Budair
KUALA LUMPUR - Imam Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi Sheikh Salah Al-Budair hari ini mengajak umat Islam di Malaysia supaya bersatu padu dan mengelakkan perbalahan sesama masyarakat yang boleh memberi mudarat kepada negara.
  
Katanya umat Islam di negara ini sebaliknya perlu mencari jalan melakukan amalan kebaikan yang bermanfaat kepada masyarakat secara keseluruhan kerana setiap amalan kebaikan yang dilakukan akan diingati selamanya, walaupun selepas seseorang itu telah meninggal dunia. 
  
"Justeru kita perlu memikirkan, sebelum kita mati, apa kebaikan yang kita tinggalkan kepada keturunan kita, sebagaimana kita nampak secara pasti, orang yang bermanfaat kepada manusia itulah orang yang paling berguna," katanya ketika membacakan khutbah Jumaat, sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Negara, di sini hari ini.
  
Khutbah dalam bahasa Arab itu diterjemahkan oleh penterjemah dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Zainal Abidin Malim.
  
Sheikh Salah yang juga berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Madinah turut mendoakan keamanan Malaysia supaya jauh daripada kacau bilau.
  
Selesai solat Jumaat beliau turut melawat Muzium Seni Islam dan pejabat stesen televisyen Al-Hijrah, yang terletak berhampiran Masjid Negara.
  
Beliau tiba di Malaysia pada Jumaat lepas atas undangan kerajaan dan akan berada di sini sehingga 4 Mei ini.
 - Bernama

25 April 2013



Raja Muda Perlis Ingatkan Rakyat Tidak Perbesar Isu Remeh....

KANGAR, 25 April (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan rakyat agar tidak memperbesarkan isu remeh semata-mata untuk dijadikan modal pertikaian terutama berkaitan dakwah dan penyelewengan akidah.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah perbuatan sedemikian boleh membawa kesan buruk.

"Sifat hasad dengki, tamak, perasaan curiga dan fitnah-menfitnah perlu dikikis demi mewujudkan keamanan dan kemakmuran dalam negara kita," titah baginda ketika merasmikan Masjid Al Mubarak, Tasoh dekat sini malam tadi.

Baginda turut berharap pemimpin politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan pertemuan berkala bagi berbincang langkah mengukuhkan umat Islam.

Titah baginda, MAIPs akan memberi kerjasama bagi setiap pertemuan itu diadakan sama ada setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali.

Tuanku Syed Faizuddin juga menasihatkan rakyat supaya menyokong dan membantu memperkasakan martabat institusi-institusi Islam khususnya yang bernaung di bawah payung raja-raja Melayu sebagai ketua agama negeri.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Timbalan Presiden Unit Amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Idris Kechot.

Turut diadakan program bual bicara sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2013 yang menampilkan Dekan Pusat Teknologi Komunikasi & Pembangunan Insan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Hj Huzili Husin sebagai pemidato.

-- BERNAMA


Umat Islam mesti bersatu, ketepi perbezaan kecil

Imam Masjid Al-Nabawi di Madinah, Al-Syeikh Salah Muhammad Al-Budair menggesa umat Islam bersatu padu kerana kehancuran dihadapi beberapa negara Islam yang sedang bergolak ketika ini adalah disebabkan oleh perpecahan.

Beliau yang menyampaikan ceramah umum bertajuk Menghidupkan Semula Semangat Islam dan Masa Depan Ketamadunan Islam di Abad ke-21 berkata, Islam dulu kuat tetapi kini berdepan saat sukar kerana umat Islam terlalu memberi perhatian kepada perbezaan yang kecil.
Katanya, terlalu banyak memberi tumpuan kepada perbezaan yang kecil boleh menjurus kepada perkara lebih buruk. Berbeza pandangan boleh tetapi adalah lebih baik berbangga dengan persamaan dimiliki kerana ia membantu kita melihat kepentingan lebih besar iaitu kembali kepada ajaran agama.


Kita tidak boleh menafikan wujudnya perkara yang menimbulkan perbezaan tetapi elemen asas yang mengikat kita semua adalah lebih hebat. Jika kita berpegang kepada asas ajaran agama, kita boleh meneruskan kehidupan dalam suasana yang sihat.

Ikut garis panduan yang ditetapkan ajaran agama dan amalkan nilai baik dipertanggungjawabkan terhadap setiap Muslim iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran (amar makruf nahi mungkar).

Amalkan nilai baik

Sebab umat Islam terbahagi kerana terlalu memberi perhatian kepada perbezaan yang sedikit, sedangkan hubungan boleh jadi baik jika kita melihat nilai baik yang lebih banyak yang menyatukan seluruh umat Islam. Keadaan ini juga berlaku disebabkan kita jauh daripada Allah, katanya.
Pada majlis anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) itu, beliau turut menekankan hakikat yang perlu diterima serta dihayati umat Islam bahawa Allah satu, Nabi Muhammad Rasulullah satu, Islam satu dan sepatutnya umat Islam bersatu.

Al-Syeikh Salah berkata, ketidakadilan juga menjadi punca kepada konflik yang dilihat berlaku termasuk di beberapa negara Islam, oleh itu, pemimpin, perlu adil dalam usaha mengelak konflik.

Katanya, apabila keangkuhan berada dalam masyarakat, kebencian menghapuskan kasih sayang sehingga menjurus kepada perpecahan.

Beliau berkata, perubahan hendaklah dilakukan dengan rasa tanggungjawab termasuk oleh pemimpin dan mengikut ajaran Islam kerana perubahan tidak terhad pada satu-satu masa atau perubahan luaran, sebaliknya bersifat menyeluruh.

Katanya, setiap perubahan dilakukan hanya akan memberi kesan baik apabila umat Islam kembali kepada mesej Islam berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Ilmu dan teknologi memainkan peranan penting seperti diserlahkan dalam ketamadunan Islam yang gemilang dulu.

Melihat kedudukan Al-Syeikh Salah sebagai Imam Masjid Al-Nabawi dan Hakim Mahkamah Agung Madinah, ternyata terserlah hikmah keilmuwan beliau yang mahukan umat Islam supaya lebih cenderung melihat kepada kebaikan dan berkongsi perkara yang boleh menyatukan mereka.

Pelihara perpaduan

Walau apapun matlamat yang ditetapkan, yang penting umat Islam perlu memelihara perpaduan.

Sewajarnya nasihat Al-Syeikh Salah diberi perhatian umat Islam di negara ini supaya menghayati semangat kasih sayang dan bersatu padu yang ditekankan agama bagi mengelak kesan buruk iaitu perpecahan yang menjurus kepada permusuhan.

Islam sendiri tidak menghalang perbezaan pandangan kerana ia tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, perbezaan daya pemikiran akan menjadi rahmat yang memberi kebaikan jika semua pihak memahami adab untuk menghormati perbezaan itu.

Sebaliknya, jika masing-masing tetap mahu menegakkan pandangan tanpa memberi hak kepada orang lain memiliki pendirian hasil penilaian intelektual mereka sendiri, itu yang akan menyebabkan pertelingkahan.

Apatah lagi apabila Al-Syeikh Salah memuji serta mengiktiraf kemajuan dicapai Malaysia dan alangkah ruginya jika keharmonian serta semangat perpaduan dinikmati selama ini hancur disebabkan perbezaan pandangan terhadap perkara kecil.

Alhamdulillah, Malaysia adalah negara Islam dan mencapai kecemerlangan yang baik. Rakyat Malaysia adalah lambang masyarakat ideal yang saling memahami dalam masyarakat berbilang bangsa, katanya.

SUMBER : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UmatIslammestibersatu_ketepiperbezaankecil/pilihanraya/PRU13/Article/index_html

Malaysia Contoh Kerjasama Dan Persefahaman Masyarakat Yang Ideal - Imam Sheikh Salah

PETALING JAYA, 24 April (Bernama) -- Masyarakat Malaysia merupakan model atau contoh kerjasama dan persefahaman yang ideal di kalangan rakyat, kata Imam Masjid Nabawi Sheikh Salah Al-Budair.

 Beliau menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terbina kukuh dengan pembangunan hebat.

 "Alhamdulillah...kaum wanita pula mempunyai peranan dalam pembangunan negara," kata beliau.

 Sheikh Salah menyatakan hal ini pada syarahan umumnya berjudul "Peranan Syariah di Dunia Global", di Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini Rabu.

 Syarahan sejam itu dalam bahasa Arab diterjemah oleh Ketua Felo Profesor IAIS Dr Karim Crow yang turut bertindak sebagai moderator.

 Beliau berkata keselamatan adalah satu daripada rahmat dalam kehidupan seseorang insan.

 "Tanpa keselamatan tidak akan ada pembangunan, malah tidak juga sebuah bangunan.
 "Seseorang itu hanya merasa selamat bila negara aman dan selamat. Oleh itu itu kita perlu melindungi dan memelihara keselamatan," kata Sheikh Salah.

 Beliau turut menyebut mengenai dilema dan masalah umat Islam di seluruh dunia.
 Syarahan itu dianjurkan oleh IAIS dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kedutaan Diraja Arab Saudi di Kuala Lumpur.

 Kira-kira 200 orang termasuk ahli akademik, pegawai kanan kerajaan dan pelajar mengikuti syarahan itu.

 Selepas syarahan, Sheikh Salah mengimami solat zohor di Masjid Tun Abdul Aziz di Seksyen 14 di sini.

 Sheikh Salah, seorang hafiz, juga berkhidmat sebagai hakim di mahkamah tinggi Medina. Beliau tiba Jumaat lepas dan akan berada di sini hingga 4 Mei atas undangan kerajaan.

 -- BERNAMA

19 April 2013


Imam Masjid Nabawi kunjungi Malaysia mulai esok

18 April 2013
KUALA LUMPUR - Imam dan khatib Masjid Nabawi, Fadhilatul Al-Syeikh Solah Muhammad Al-Budair, akan berada di negara ini mulai esok sehingga 4 Mei ini sebagai tetamu kerajaan Malaysia.
  
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata Fadhilatul Al-Syeikh Solah akan berada di beberapa lokasi di negara ini sepanjang kunjungannya itu antaranya mengimamkan solat Zohor di Masjid As-Syakirin, KLCC pada Sabtu ini.
  
Beliau juga akan memimpin solat Jumaat dan menyampaikan tazkirah Jumaat di Masjid Negara dan Masjid Putra, Putrajaya masing-masing pada 26 April dan 3 Mei, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Sepanjang berada di negara ini, Fadhilatul Al-Syeikh Solah juga dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selain bertemu anggota Muzakarah Jawatankuasa Fatwa peringkat kebangsaan.
  
Pada 24 April, Fadhilatul Al-Syeikh Solah dijadual menyampaikan 'executive talk' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
  
"Kehadiran beliau ke Malaysia diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi dalam pembangunan hal ehwal Islam di negara ini," katanya.
  
Fadhilatul Al-Syeikh Solah merupakan imam dan khatib Masjid Nabawi sejak 1999 sehingga kini dan merupakan hakim Mahkamah Agung Madinah.
  
Beliau juga pernah memangku Imam Besar Masjid Nabawi dari 2011 hingga 2012 dan pernah menjadi Imam tarawih Masjidil Haram pada 2005 dan 2006.
 - Bernama

16 April 2013


Negara perlu institusi pendidikan menyeluruh - Tuanku Faizuddin

KUALA LUMPUR 15 April - Negara memerlukan institusi pendidikan yang mampu membina generasi berpengetahuan menyeluruh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu hanya dapat dicapai menerusi pendidikan daripada seawal usia kanak-kanak dan berterusan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Hal ini titah baginda, berdasarkan pendapat bahawa pendidikan awal dan prasekolah memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah serta peribadi kanak-kanak.
"Ini boleh dilaksanakan menerusi pendekatan mengikut keperluan semasa dengan mendedahkan pelajar dan tenaga pengajar untuk menerapkan penggunaan kaedah yang kreatif dan inovatif.

"Pada masa sama, penyatuan pelbagai latarbelakang masyarakat tidak mengira bangsa dan agama menjadi suatu komuniti harmoni dan pembangunan sukatan pelajaran yang memenuhi piawaian antarabangsa haruslah diimplementasikan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Wisma Smart Reader I dan II di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Dr. Richard Ong.

Smart Reader merupakan institusi pendidikan prasekolah swasta yang sehingga kini mempunyai sebanyak 300 cawangan di Malaysia selain turut mengembangkan operasinya di seluruh dunia.

Dalam pada itu, baginda bertitah, kewujudan Smart Reader mampu membangunkan generasi yang berdaya saing dalam usaha menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan tinggi.

Seramai 100 kanak-kanak kurang berkemampuan dari Yayasan Tuanku Syed Putra telah ditaja oleh Smart Reader untuk menerima pendidikan prasekolah percuma di institusi tersebut melalui program Seorang Anak Sebesar Harapan.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130416/dn_06/Negara-perlu-institusi-pendidikan-menyeluruh---Tuanku-Faizuddin#ixzz2QbvzHcgD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10 April 2013


PNB sumbang zakat perniagaan lebih 1.3j kepada Maips

10 April 2013
KANGAR - Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menyampaikan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM1.379 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).
Cek zakat itu diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi pihak MAIPs, di Istana Arau.
Perlis ialah negeri kedua yang menerima zakat perniagaan PNB tahun ini selepas Negri Sembilan yang menerima sebanyak RM3.515 juta baru-baru ini.
Menurut kenyataan media PNB hari ini, zakat perniagaan itu membabitkan tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 kumpulan PNB, tetapi tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang unit amanah yang melabur dalam tabung yang dikendalikan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
PNB dalam kenyataan itu turut menasihati pemegang akaun dalam tabung kedalian ASNB supaya menjelaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah berkenaan.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Ketua Pegawai Eksekutif Maips Malik Hussin. - Bernama

09 April 2013


MAIPs sumbang RM10,000 kepada balu Allahyarham Zulkifli

KANGAR 9 April - Kata orang 'berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'.
Begitulah yang dialami oleh Noraziah Noor, balu Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, pegawai polis komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Namun, sebagai rakyat negara ini yang bertanggungjawab dan prihatin, seharusnya masyarakat turut membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Noraziah, 30, dan keluarganya.
Atas rasa tanggungjawab itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turun padang memberi sumbangan RM10,000 kepada Noraziah untuk membantu meringankan diri dan keluarganya untuk menjalani kehidupan seharian.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan sumbangan tersebut bagi pihak MAIPs dalam satu majlis ringkas di rumah keluarga Noraziah di Kampung Sena, di sini semalam.
Tuanku Lailatul Shahreen juga berkenan meluangkan masa bertanya khabar serta beramah mesra dengan Noraziah dan keluarganya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin dan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130410/dn_08/MAIPs-sumbang-RM10000-kepada-balu-Allahyarham-Zulkifli#ixzz2Q275Gkl7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

08 April 2013


Raja Muda Mahu Wataniah Semai Semangat Nasionalisme Dan Kenegaraan.


KANGAR, 7 April (bernama) – Raja Muda Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail mahu askar Wataniah menjadi agensi utama dalam menyemai semangat nasionalisme dan kenegaraan kepada masyarakat selain menjadi benteng pertahanan nombor dua negara.

Menurut baginda, rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme dan kenegaraan pasti akan sentiasa berperanan membantu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

Merasmikan pelancaran Latihan Askar Wataniah 2013 di perkarangan Stadium Utama Kangar di Kangar, Ahad, baginda bertitah pasukan keselamatan tidak boleh melaksanakan kesemua tugas mempertahankan negara dengan sempurna tanpa kerjasama masyarakat.

“Sejarah membuktikan bahawa kekuatan rakyat adalah factor utama yang akan menjamin kesejahteraan berterusan sesebuah negara,”titah baginda yang juga Komander Ragimen 504 Askar Wataniah.

Tuanku Syed Faizuddin mahu seluruh warga askar Wataniah di segenap pelusuk negara bersiap siaga menjadi sebagai ‘1st wave respondent’ (responden gelombang pertama) dalam apa jua keadaan sekiranya berlaku sebarang konflik atau pencerobohan di kawasan masing-masing.

“Antara yang boleh dilakukan ialah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat ataupun perisikan tentang ancaman pihak musuh termasuk kekuatan, persenjataan, kedudukan, pengenalan atau identity, motif dan hasrat mereka, atur gerak dan sebagainya,”titah baginda.

 Menurut baginda, sebarang maklumat perlu disalurkan kepada pihak berwajib terutama unit tentera tetap yang paling berhampiran.

Baginda berharap setiap angota askar Wataniah sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga sepanjang masa dalam usaha memburu maklumat mengenai ancaman tertentu.

Sebelum itu ketibaan baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Datuk Mohd Ramli Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt Kol Zulfakar Abdul Wahid.

--BERNAMA


Semai semangat nasionalisme


TUANKU SYED FAIZUDDIN (tengah) dan Tuanku Lailatul Shahreen (tiga dari kanan) mencuba makanan ala tentera selepas pelancaran Latihan Askar Wataniah 2013 di Kangar semalam.


KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) mahu askar wataniah menjadi agensi utama dalam menyemai semangat nasionalisme dan kenegaraan kepada masyarakat selain menjadi benteng pertahanan nombor dua negara.
Menurut baginda, rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme dan kenegaraan pasti akan sentiasa berperanan membantu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.
Baginda bertitah, pasukan keselamatan tidak boleh melaksanakan kesemua tugas mempertahankan negara dengan sempurna tanpa kerjasama masyarakat.
"Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan rakyat adalah faktor utama yang akan menjamin kesejahteraan berterusan sesebuah negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2013 di pekarangan Stadium Utama Kangar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_24.htm#ixzz2Pu5kzIAY 
Hakcipta terpelihara 

07 April 2013


Syarikat korporat dikagumi


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman CSR Perlis antara Affendi Rajini Khan (kiri) dan Mazlan Nordin sambil diperhatikan oleh Azizan Hamid (dua dari kanan) di Kangar baru-baru ini.

KANGAR 6 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kagum dengan langkah sektor korporat kerana amat bijak menjalinkan perkongsian pintar dengan kerajaan dan pelbagai agensi bagi membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat.

Salah satu perkongsian bijak yang dimaksudkan oleh baginda ialah menerusi tanggungjawab sosial korporat Perlis (CSR Perlis) yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat korporat untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Titah baginda, pelaksanaan program CSR Perlis merupakan antara strategi penting ke arah memangkin pembangunan sosioekonomi negeri untuk menjadikan Perlis sebagai negeri yang berjaya membina kemajuan secara strategik.

Baginda juga turut memuji syarikat korporat yang tidak melepaskan tanggungjawab sosial membantu golongan tidak berkemampuan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan perdana negara.

Tuanku Syed Faizuddin mengutarakan demikian sewaktu bertitah melancarkan Program Bantuan Peralatan Komunikasi Dan Peralatan Sokongan Pendidikan Kepada Pelajar-Pelajar Yang Kurang Berkemampuan di Negeri Perlis Tahun 2013 di Hotel Sri Malaysia di sini baru-baru ini.

CSR Perlis itu dijayakan di bawah satu sekretariat yang diterajui oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid dengan kerjasama Dewan Usahawan Islam Malaysia (DUIM) dan syarikat swasta Gema Rebana Sdn. Bhd. (Gema Rebana).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Perlis, Affendi Rajini Khan dan COE Gema Rebana, Mazlan Nordin hadir sama.

Raja Muda Perlis juga turut menyatakan kebanggaan baginda kerana negara ini memiliki banyak penyumbang ke arah menjayakan program CSR di semua negeri.

Antara pihak yang dimaksudkan itu, termasuklah baitulmal majlis-majlis agama Islam negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Perlis, badan bukan kerajaan dan sektor korporat yang menyumbang secara berterusan.

Tuanku Syed Faizuddin juga turut mengingatkan masyarakat agar sama-sama memastikan hanya golongan yang layak atau asnaf sahaja diberikan bantuan itu.
"Ini kerana kumpulan sasar tersebutlah yang sepatutnya dibantu terlebih dahulu atau diberi perhatian serius," titah baginda.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130407/wu_02/Syarikat-korporat-dikagumi#.UWB7Ev9wgaI.facebook#ixzz2PlxIQcc9
© Utusan Melayu (M) Bhd