24 September 2012

SINAR: Rakyat perlu 'melabur' untuk kesihatan demi pembangunan negara

23 September 2012
KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat 'melabur' untuk kesihatan kerana ia bukan sekadar menjamin kehidupan yang sempurna tetapi demi kepentingan masa depan negara.

Baginda bertitah banyak yang beranggapan penjagaan kesihatan untuk kepentingan diri sendiri tetapi hakikatnya negara yang ingin membangun juga memerlukan rakyat yang sihat.

Sesebuah negara akan runtuh jika majoriti rakyatnya gagal mencapai tahap kesihatan yang baik, titah baginda ketika merasmikan karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti dan pelancaran Program Siswa Sihat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis 2012 di Arau hari ini.

Baginda bertitah jika rakyat tidak sihat, ekonomi negara akan terjejas kerana banyak perbelanjaan perlu disalur untuk program kesihatan dan rawatan yang kosnya sentiasa meningkat.

Antara pelaburan yang perlu dilakukan setiap rakyat bagi menjamin kesihatan yang baik ialah berjalan 10,000 langkah sehari dan melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 30 minit lima hari seminggu di samping mengelak daripada merokok, titah baginda.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengarah Kesihatan Perlis Datuk Dr Ghazali Othman dan Rektor UiTM Perlis Prof Dr Khudzir Ismail. - Bernama

No comments: