05 December 2011

Antara Syiah dan Ahli Sunnah: Asyura Dalam Timbangan Aqidah


Antara Syiah dan Ahli Sunnah: Asyura Dalam Timbangan Aqidah 


Makna Aqidah 
Sudut bahasa: Simpulan/Ikatan 
Istilah : Kepercayaan/Pegangan 


Asyura Menurut Ahli Sunnah 
Asyura : Hari ke 10 Muharram 
Tasu’a : Hari ke 9 Muharram 


 Hari Asyura dipandang hari yang besar di sisi Islam. Pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dari kejahatan Firaun. Satu peristiwa yang menggambarkan kekuasaan dan keagungan Allah, di kala Nabi Musa dan pengikutnya bergadai nyawa berusaha menyelamatkan diri dari kejahatan Firaun, mereka berusaha menyelamatkan diri untuk menjaga agama mereka – maka Allah menunjukkan keagunganNya dengan membelah lautan hingga selamatlah Nabi Musa dan pengikutnya menyeberangi lautan tersebut ke daratan lainnya. Akan tetapi bagi Firaun dan pengikutnya, Allah mencantumkan kembali laut tersebut hingga lemaslah semuanya. Maka atas pertolongan Allah itu, Nabi Musa berpuasa dan turut berpuasa juga golongan yahudi di zaman Rasulullah saw sebagai mengagungkan hari tersebut. 


 Sikap Ahli Sunnah terhadap Hari Asyura amat jelas iaitu kita beriman kita percaya sepenuhnya dengan apa yang telah disebut dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang shahih. Ahli Sunnah juga menyambut hari kebesaran ini sesuai sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat sebagaimana dinyatakan oleh para ulama Salafus Soleh. 


Signifikan/Kepentingan Hari Asyura 
Asy-Syu’araa’ ayat 52-68 [26:52-68] Perintah Allah kepada Musa untuk menyelamatkan Bani Israil dari Firaun dan pembinasaan Firaun



وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي إِنَّكُمْ مُتَّبَعُونَ * فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ * إِنَّ هَؤُلَاءِ لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ * وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَائِظُونَ * وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَاذِرُونَ * فَأَخْرَجْنَاهُمْ مِنْ جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ * وَكُنُوزٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ * كَذَلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا بَنِي إِسْرَائِيلَ * فَأَتْبَعُوهُمْ مُشْرِقِينَ *فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَى إِنَّا لَمُدْرَكُونَ * قَالَ كَلَّا إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ * فَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانْفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ * وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ الْآَخَرِينَ * وَأَنْجَيْنَا مُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَجْمَعِينَ * ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآَخَرِينَ * إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُؤْمِنِينَ * وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ


 Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa: Pergilah di malam hari dengan membawa hamba-hambaKu (Bani Israil) kerana sesungguhnya kamu sekalian akan disusuli. Kemudian Firaun mengirimkan orang yang mengumpulkan (tenteranya) ke kota-kota. (Firaun berkata): Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil, dan sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita, dan sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga. Maka Kami keluarkan Firaun dan kaumnya dari taman-taman dan mata air dan dari perbendaharaan dan kedudukan yang mulia – dengan pengejaran Firaun dan kaumnya untuk menyusul Musa dan Bani Israil, maka mereka telah keluar dari negeri mereka dengan meninggalkan kerajaan, kebesaran, kemewahan dan sebagainya – demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya itu kepada Bani Israil – maksudnya Allah akan memberikan kepada Bani Isaril kerajaan yang kuat, kerasulan dan sebagainya di negeri yang telah dijanjikan (Palestin). Maka Firaun dan bala tenteranya dapat menyusul mereka di waktu matahari terbit. Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul. Musa menjawab: Sekali-kali tidak akan tersusul. Sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Lalu Kami wahyukan kepada Musa: Pukullah lautan itu dengan tongkatmu. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar. Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain. – Yang dimaksud “Golongan yang lain” ialah Firaun dan kaumnya. Maksud ayat ialah di bahagian yang terbelah itu Allah memperdekatkan antara Firaun dan kaumnya dengan Musa dan Bani Israil – Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang besertanya semuanya. Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. 


Al-Baqarah ayat 50 [2:50]


وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَأَنْجَيْنَاكُمْ وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan – Waktu Nabi Musa membawa Bani Israil keluar dari negeri Mesir menuju Palestin dan dikejar oleh Firaun, mereka harus melalui laut Merah sebelah utara. Maka Allah memerintahkan kepada Musa memukul laut itu dengan tongkatnya. Perintah itu dilaksanakan oleh Musa hingga belahlah laut itu dan terbentanglah jalan raya di tengah-tengahnya dan Musa melalui jalan itu sampai selamatlah ia dan kaumnya ke seberang. Sedang Firaun dan pengikut-pengikutnya melalui jalan itu pula, tetapi di waktu mereka berada di tengah-tengah laut, kembalilah laut itu sebagaimana biasa lalu tenggelamlah mereka.


 Yunus ayat 90-91 [10:90-91] 



وَجَاوَزْنَا بِبَنِى اِسْرَاءِيْلَ الْبَحْرَ فَاَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُوْدُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى اِذَا اَدْرَكَهُ الْغَرْقُ قَالَ ءَامَنْتُ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الَّذِيْ ءَامَنَتْ بِهِ بَنُوْا اِسْرَاءِيْلَ وَاَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ * ءَآلْئَنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِيْنَ



Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka) hingga bila Firaun itu hampir tenggelam berkatalah dia: Saya percaya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah). Apakah sekarang (baru kamu percaya) padahal sesungguhnya kamu telah derhaka sejak dahulu dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.


 Dalam mengharungi kehidupan dunia ini hendaklah kita sentiasa menghitung diri, iaitu mengambil masa merenung perbuatan yang kita lakukan, jika ada yang tersalah maka bersegeralah kepada memohon pengampunan Allah, jika terkurang berusahalah menambah amalan kita. Jangan ditunggu / ditangguhkan kesilapan yang telah dilakukan untuk bertaubat pada satu masa yang lain, iaitu kita menanti esok atau lusa kerana yang demikian itu adalah pertaruhan yang amat merbahaya kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Renungkan firman Allah: An-Nisa’ ayat 18 [4:18] 



وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِيْنَ يَعْمَلُوْنَ السَّيِّئَاتِ حَتَّى اِذَا حَضَرَ اَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ اِنِّيْ تُبْتُ الآنَ



“Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, ia mengatakan: sekarang aku bertaubat.” 


 Cara Sambutan Hari 10 Muharram 
 Nabi Musa berpuasa pada 10 Muharram, demikian juga Rasulullah saw turut berpuasa pada 10 Muharram sebagai mengagungkan hari tersebut. Ibnu Abbas meriwayatkan:




قَدِمَ النَّبِيُّ ص الْمَدِيْنَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمٌ صَالِحٌ نَجَّى اللهُ فِيْهِ مُوسَى وَبَنِى اِسْرَائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى. فَقَالَ: أَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَاَمَرَ بِصِيَامِهِ


Rasulullah saw datang ke Madinah, maka beliau saw melihat orang-orang yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura lalu beliau saw bersabda: Apakah ini? Mereka menjawab: Hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan bangsa Israil dari musuh mereka, maka Musa pun berpuasa padanya. Rasulullah saw bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, lantas beliau saw berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa Shahih – Muttafaq Alaih 


 Keutamaan Puasa Asyura 
 Abu Qatadah meriwayatkan: 


أَنَّ رَسُولَ الله ص سُئِلَ عَنْ صِيَامِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ


Bahawa Rasulullah saw ditanya mengenai puasa Asyura, maka beliau saw bersabda: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu 


 Ibnu Abbas meriwayatkan katanya:


مَا رَاَيْتُ النَّبِيَّ ص يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ اِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَومَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِيْ شَهْرَ رَمَضَانَ


Aku tidak melihat Nabi saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari yang lain kecuali hari ini, iaitu hari Asyura dan bulan ini yakni bulan Ramadhan Shahih – Muttafaq Alaih


 Ahli Sunnah berpuasa pada 10 Muharram kerana mempercayai kata-kata Rasulullah saw, sebagai mengikuti contoh amalan yang diwarisi daripada Rasulullah saw. Ahli sunnah juga percaya bahawa Allah menyediakan ganjaran yang amat besar bagi mereka yang berpuasa sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis yang shahih. 


 Sebahagian ulama lainnya menyunatkan juga berpuasa pada hari Tasu’a’ (9 Muharam), selain dari berpuasa pada hari ke-10 iaitu kita berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini berdasarkan riwayat Ibnu Abbas: 


لَمَّا صَامَ رَسُولُ الله ص يَومَ عَاشُورَاءَ وَاَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ الله اِنَّهُ يَومٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى. فَقَالَ: فَاِذَا كَانَ عَامُ الْمُقْبِلِ صُمْنَا الْيَومَ التَّاسِعَ. قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ الله ص


Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa padanya, maka para sahabat berkata: Ya Rasulullah, Asyura adalah hari yang diagungkan oleh yahudi dan nashara. Maka beliau saw bersabda: Jika datang tahun hadapan, kita akan berpuasa pada hati tasu’a’ (hari ke-9 Muharam). Berkata Ibnu Abbas: Maka belum pun tiba tahun hadapan, Rasulullah saw telah wafat Shahih – Riwayat Muslim dan Abu Daud 


Mereka berdalilkan bahawa berpuasa pada hari ke-9 itu adalah perkara yang ingin dilakukan oleh Rasulullah, maka ianya merupakan syariat walaupun belum dilaksanakan oleh beliau. Adapun segolongan ulama lainnya menyanggah hujah tersebut kerana ianya hanya sekadar keinginan Rasulullah saw, maka ia belum lagi dapat dinyatakan sebagai syariat. Oleh kerana itu, sebahagian ulama lainnya tidak memandang sunat berpuasa pada hari ke-9. Dalam sepotong hadits berdarjat shahih yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani, dinyatakan maksud Rasulullah untuk berpuasa pada hari ke-9 ialah untuk mempastikan supaya tidak ketinggalan puasa Asyura. Hadits yang berbunyi:


اِنْ عِشْتُ اِنْ شَاءَ اللهُ اِلَى قَابِلٍ صُمْتُ التَّاسِعَ مَخَافَةً اَنْ يَفُوتَنِيْ يَومُ عَاشُورَاءَ


Jika aku masih hidup insyaAllah sampai tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9 kerana takut akan terluput dari Asyura. 


 Imam Syafie pula menyunatkan puasa pada 9,10 dan 11 Muharam berdasarkan hadits-hadits daripada Ibnu Abbas: Bersabda Rasulullah saw: 



صُومُوا يَومَ عَاشُورَاءَ وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ صُومُوا قَبْلَهُ يَومًا وَبَعْدَهُ يَومًا


Hendaklah kamu berpuasa Asyura, dan hendaklah kamu menyalahi orang-orang yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya 


Hadits ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi. Hadits ini tidak dapat dijadikan hujah kerana ianya dhaif lagi Munkar sebagaimana dinyatakan oleh asy-Syaukani dalam Nailul Authar. Al-Albani juga mendhaifkan hadits ini. 


 Demikian beberapa khilaf dalam bab hari untuk puasa Asyura. Dalam permasalahan ini, puasa Asyura itu jelas satu sunnah daripada Rasulullah saw iaitu puasa pada hari ke-10, inilah pandangan yang dipandang lebih kukuh tanpa kita menggandingkannya dengan hari ke-9. Ini kerana ianya adalah warisan dari pengamalan Nabi Musa dan berpuasa pada hari ke-9 itu sekadar untuk mengingatkan agar kita tidak terlupa untuk berpuasa pada hari ke-10. 


Kesimpulan yang dapat disimpulkan di sini: 
1. Boleh seseorang itu hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja 
2. Boleh seseorang itu berpuasa pada 9 dan 10 Muharram atau 10 dan 11 Muharram – yang demikian itu bagi menyalahi perlakuan yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram 
3. Boleh juga seseorang itu berpuasa 9, 10 dan 11 kerana mengingat pada umumnya keutamaan puasa di bulan Muharram. 


Bersabda Rasulullah saw: 


أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّىلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيْضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ


Puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah pada bulan Muharam dan solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat malam. Shahih – Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan lain-lain. Lafaz ini bagi Muslim 


 Dalam riwayat lainnya disebutkan: 


سُئِلَ رَسُولُ الله ص: أَيُّ الصَّلاَةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ؟ قَالَ: الصَّلاَةُ فِيْ جَوفِ اللَّيْلِ. قِيْلَ: ثُمَّ أَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ؟ قَالَ: شَهْرُ اللهِ الَّذِيْ تَدْعُونَهُ الْمُحَرَّمَ


Ditanya kepada Rasulullah saw: Solat apakah yang lebih utama setelah solat wajib? Beliau saw bersabda: Solat di waktu jauh malam. Beliau saw ditanya lagi: Puasa apakah yang lebih utama selepas puasa Ramadhan? Beliau saw bersabda: Puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharam 
Shahih – Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud 


 Pada mulanya puasa ‘Asyura ini adalah wajib, kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadhan diwajibkan. Berkata Ibnu Umar:


أَنَّ أَهْلَ الْجَاهِلِيَّةِ كَانُوا يَصُومُونَ يَومَ عَاشُورَاءَ وَاَنَّ رَسُولَ الله ص صَامَهُ وَالْمُسْلِمُونَ قَبْلَ اَنْ يُفْرَضَ رَمَضَانُ فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ قَالَ رَسُولُ الله ص اِنَّ يَومَ عَاشُورَاءَ مِنْ اَيَّامِ اللهِ فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ لاَ يَصُومُهُ اِلاَّ اَنْ يُوَافِقَ صِيَامَهُ


Bahawasanya orang-orang Jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah saw berpuasa padanya dan juga orang-orang Islam sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Setelah diwajibkan puasa Ramadhan, maka Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya hari Asyura ialah dari hari-hari Allah, maka sesiapa yang mahu, hendaklah ia berpuasa. Adalah Ibnu Umar tidak berpuasa padanya kecuali apabila kebetulan dengan hari yang ia berpuasa Shahih
 – Muttafaq Alaih 

Daripada Abu Musa katanya:


كَانَ يَومُ عَاشُورَاءَ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَتَتَّخِذُهُ عِيْدًا فَقَالَ رَسُولُ الله ص: صُومُوهُ اَنْتُمْ


Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan dijadikannya hari raya maka Rasulullah saw bersabda: Hendaklah kamu berpuasa padanya 


 Demikian beberapa hadits yang menerangkan darihal asal-usul hari Asyura, perlaksanaan puasa padanya sebelum dan sesudah diwajibkan puasa Ramadhan. 


 Asyura Menurut Syiah 
Aqidah Syiah tentang Asyura adalah semata-mata berdasarkan hawa nafsu. Kesedihan dan sambutan yang dipamerkan jauh menyimpang dari apa yang dicontohkan Rasulullah saw. Mereka menyambut 10 Muharram sebagai hari berkabung atas pembunuhan cucu Rasulullah saw, mereka memukul badan sendiri sehingga berdarah. Apa yang jelas, perbuatan ini adalah ratapan dan ianya haram di sisi Islam.


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ليس منا من ضَرَب الخدود، وشَقَّ الجيوب ....


Bersabda Rasulullah saw: Bukanlah daripada golongan kami, orang yang menampar-nampar pipi dan mencarik-carikkan baju ……… 
 Riwayat al-Bukhari dan Muslim 


 Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari:


كَانَ أَهْلُ خَيْبَرَ يَصُومُونَ يَومَ عَاشُورَاءَ وَيَتَّخِذُونَهُ عِيْدًا وَيُلْبِسُونَ نِسَاءَهُمْ فِيْهِ حُلِيَّهُمْ وَشَارَتَهُمْ


Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya dan mereka memakaikan wanita-wanita dengan perhiasan dan pakaian mereka yang cantik-cantik 


Menurut keterangan Asy-Syaikh Ali Mahfuz, pengarang kitab al-Ibda’ dan lain-lain: Orang-orang yang mengadakan perayaan suka dan duka pada hari Asyura ialah golongan pembunuh Al-Husain dan merekalah yang bertanggungjawab membuat hadits-hadits palsu tersebut. Di kalangan ahli Sunnah tidak ada seorang pun ulama mujtahid yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari Asyura selain puasa Asyura dan puasa pada 9 serta 11 Muharam (menurut Syafie). 


Al-‘Allamah Ibnul-‘Izzi Al-Hanafi berkata: 
Tidak sah hadits dari Nabi saw mengenai amalan-amalan pada hari Asyura kecuali hanya golongan Rafidhah yang mengadakan upacara berkabung pada hari Asyura bagi melahirkan kesedihan atas pembunuhan al-Husain ……..

Raja Muda Perlis mahu tulisan Jawi dimartabatkan



Sisipan ini dipetik dari laporan web Malaysiakini yang bertarikh 5 Disember 2011. Laporan seperti di bawah boleh juga dilawati terus ke sesawang http://www.malaysiakini.com/news/183227

Raja Muda Perlis mahu tulisan Jawi dimartabatkan

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua pihak memartabatkan tulisan Jawi ke tahap lebih tinggi setara dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

 "Pada hari ini, kita menghadapi satu persimpangan dan persoalan realiti iaitu bagaimana kita selaku generasi pewaris hendak menjulang tulisan Jawi ke suatu tahap baharu di era globalisasi ini, sebagai identiti dan lambang jati diri kita,” titah baginda semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi kali kedua dan Karnival Jawi 2011 di Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut baginda, selain program-program lebih menyeluruh perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak, usaha ke arah itu juga perlu dilakukan melalui medium yang pelbagai termasuk melalui bidang teknologi. 

 "Medium IT yang digemari masyarakat kini juga harus digunakan oleh penggiat tulisan jawi dengan mengeksploitasi apa sahaja media baru dalam menyampaikan atau akses segera dalam usaha mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajarannya,” titah baginda.

 Bimbang dengan perkembangan terkini di mana tulisan itu hanya dicetak di dokumen berkaitan urusan agama dan hanya menjadi tempelan di papan tanda, baginda menyarankan agar akhbar Utusan Malaysia dapat menyediakan sekurang-kurangnya satu muka surat tulisan Jawi setiap hari berbanding sekali pada setiap minggu pada masa ini. 

 Tuanku Syed Faizuddin bertitah pendedahan tulisan Jawi kepada kaum bukan Melayu juga perlu dipergiatkan lagi melalui pelbagai pendekatan bagi mengikis persepsi bahawa mempelajari tulisan itu "tidak bermakna masuk Melayu atau masuk Islam". Sambil memuji usaha kerajaan setakat ini dalam membudayakan tulisan berkenaan, baginda bertitah bahawa antara impak positif daripada memartabatkan tulisan itu ialah mengekalkan identiti Melayu Islam. "Ini kerana banyak rujukan klasik atau buku agama, sastera dan undang-undang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi juga akan memudahkan pengenalan kepada pembacaan Al-Quran," titah baginda. 

 Baginda menyarankan agar pembelajaran tulisan itu di sekolah rendah dapat diteruskan ke tingkat sekolah menengah. 

 - Bernama

03 December 2011

TAZKIRAH SEMPENA LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI MALAYSIA



TAZKIRAH SEMPENA LAWATAN RASMI 

YANG AMAT BERHORMAT 
DATO’ SERI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, 
PERDANA MENTERI MALAYSIA 

KE NEGERI PERLIS 
20 OGOS 2010 

Oleh: 
Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, 
Mufti Kerajaan Perlis 

PEMIMPIN TAAT, NEGARA BERKAT, RAKYAT SELAMAT


Setiap hari Jumaat, pada penghujung khutbah, Khatib biasanya akan membacakan ayat 90 daripada Surah al-Nahl; 


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”. 


Ayat ini menerangkan kepada kita tentang dua perkara iaitu titah perintah Allah dan larangan Allah SWT. Perintah itu mencakupi 3 perkara iaitu pentingnya berlaku adil, sentiasa berbuat yang terbaik (al-Ihsan) dan sering memberi bantuan kepada semua makhluk. Manakala larangan pula atas 3 perkara iaitu jangan melakukan perkara keji (al-Fahsya’), jauhi perkara mungkar dan tinggalkan perbuatan kezaliman. 


Menurut sebahagian ahli sejarah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah memerintahkan ayat ini dibacakan pada penghujung khutbah jumaat pada zamannya, bagi mematikan api fitnah penyalahgunaan mimbar Jumaat untuk tujuan politik kepartian yang berlaku pada zaman sebelum beliau. Umar bin Abdul Aziz melihat bahawa api fitnah yang timbul akibat kezaliman, penyalahgunaan kuasa, penindasan terhadap penentang dan ketaksuban suatu golongan kepada puaknya, hanya dapat dipadamkan dengan kembali Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. 


Akhirnya, bacaan ini berkekalan dibacakan di atas mimbar Jumaat di sebahagian besar mimbar Jumaat dunia Islam hingga ke hari ini, hasil keikhlasan seorang Khulafa’ al-Rasyidin yang memberi suri teladan kepada semua pemimpin selepasnya, cara untuk menyelesaikan kemelut siyasah dan pengurusan kehidupan umat. 




Peringatan oleh ayat ini bukan hanya suatu rutin yang sia-sia. Kerana ia adalah Kalam Allah, ia adalah nasihat (maw’izah) daripada Allah, titah perintah Allah, tazkirah peringatan daripada Allah, agar kita semua, tidak kira pemimpin mahupun rakyat, pemimpin besar ataupun pemimpin kecil akar umbi dan unit keluarga, semuanya diperintahkan oleh Allah SWT untuk sentiasa berlaku adil; yakni memberikan hak kepada yang berhak, meletakkan sesuatu pada tempatnya, menjauhi kezaliman dan penganiayaan; juga agar sentiasa berbuat ihsan, ibadat yang terbaik, hasil kerja dan khidmat untuk rakyat yang terbaik, pemberian yang terbaik dan agar sentiasa mengutamakan bantuan dan kebaikan diberikan kepada sesama manusia. 


Juga peringatan kepada semua pemimpin dan umat manusia agar sentiasa menjauhi perkara Fahsya’ (keji), mungkar dan Baghyi (kezaliman dan melampaui batasan dalam perbuatan). Jelasnya semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan segala yang keji, mungkar dan kezaliman dihapuskan kerana perkara-perkara jahat ini akan menjadi punca kemurkaan Allah SWT dan punca segala masalah dan bala bencana yang menimpa kita semua. Ia adalah tanggungjawab pemimpin agar memastikan segala jalan ke arah pelesenan dan pewujudan perkara mungkar dihapuskan, juga tanggungjawab rakyat jelata memulau, memboikot, menentang dan menghapuskan apa sahaja premis dan perbuatan kemungkaran yang wujud dalam masyarakat 


YANG AMAT BERHORMAT, 

Rasulullah SAW ikutan dan panduan kita sejak awal lagi telah mengingatkan para pemimpin umat, bahawa mereka adalah orang yang bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat manusia. Para pemimpin akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari kiamat nanti tentang apakah tugasan mereka telah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Mereka akan ditanya apakah Key Perfomance Indicator (KPI) mereka bagi menjaga kemaslahatan rakyat telah tercapai. Bukan hanya menjaga kemaslahatan dunia semata-mata, bahkan kemaslahatan rakyat dari sudut penghayatan keagamaan mereka, memberi nasihat yang baik untuk mereka sentiasa taat kepada Allah SWT juga akan ditanya oleh Allah SWT: 


Sabda Nabi SAW: 


Maksudnya: “Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan umat Islam, kemudian dia tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam kerjanya, dan dia tidak memberi nasihat kepada rakyatnya, pasti dia tidak akan masuk syurga bersama-sama mereka” (Hadith Riwayat Muslim) 


Pemimpin bertanggungjawab besar memastikan rakyat jelata sentiasa taat kepada Allah SWT. Pemimpin berkewajipan untuk taat kepada Allah SWT dalam semua perkara, rakyat juga mesti dipastikan turut taat kepada Allah. 


Khalifah Umar bin Abdul Aziz dikatakan oleh satu-satu isterinya yang tercinta, sering menangis di tengah malam, mengeluh atas kelemahan dirinya, yang mungkin lalai dalam menjaga kebajikan rakyatnya, apakah di sana masih ada yang tidur dalam keadaan lapar, apakah di sana masih ada yang bermalam hanya di bawah cahaya rembulan tanpa atap dan dinding, apakah di sana ada yang terbabas kenderaannya akibat jalanraya yang tidak teratur, apakah di sana ada maksiat yang tidak dicegah dan sebagainya. Umar bin Abdul Aziz sering memendam rasa kerana takutkan perbicaraan Allah pada Hari Mahsyar nanti. 


Hal ini tidak pelik kerana generasi Salaf al-Soleh, amat menghayati titah perintah Rasulullah SAW dalam soal tanggungjawab kepimpinan. Antaranya ialah titah Rasulullah SAW: 


Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang dijadikan oleh Allah sebagai pemimpin kepada rakyatnya, lalu dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, pasti Allah akan mengharamkan syurga untuknya” [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]. 
Dalam satu riwayat dinyatakan: “Dia tidak menjaga mereka dengan baik; pasti dia tidak mencium bauan syurga”


YANG AMAT BERHORMAT, 



Nabi SAW memberikan panduan yang lengkap untuk para pemimpin umat. Baginda tidak membiarkan pemimpin selepasnya teraba-raba bagaimana cara untuk membina umat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Baginda SAW mendetailkan tugasan para pemimpin. Antaranya ialah sabda baginda SAW: 


Maksudnya: “Sesiapa yang Allah lantik untuk menguruskan urusan umat Islam, lalu dia enggan memenuhi hajat mereka, tidak membantu keperluan dan kefakiran mereka, pasti Allah tidak akan memenuhi hajat, keperluan dan kefakirannya kepada Allah pada hari kiamat kelak” 
[Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi] 


Lantaran hadith inilah menurut al-Imam al-Nawawi, Muawiyah bin Abu Sufyan sewaktu menjadi Khalifah melantik pegawai-pegawai khusus untuk menunaikan hajat dan keperluan umat. Juga lantaran hadith inilah, pentingnya para pemimpin utama melantik mereka yang benar-benar mampu untuk menjalankan tugasan yang diarahkan, kerana kelalaian dan kesilapan pegawai yang dilantik itu, pemimpin utama juga akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak. 


Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ialah melayan apa sahaja pengaduan umatnya dan memberikan penyelesaian terbaik untuk mereka. Umar bin al-Khattab RA yang sering dirujuk sebagai Bapa Pentadbiran Pemerintahan Islam telah mempraktikkan banyak budaya Good Governance sehingga dikatakan beliau sendiri sering melaksanakan kaedah Management by Walking Around (MWA). Beliau sendiri mempunyai hari bertemu rakyat, beliau sendiri berjalan-jalan malam melihat keperluan rakyat hingga beliau pernah bertemu rakyatnya yang sedang minum arak di dalam premis persendirian, mendengar rintihan isteri yang kesunyian di tengah malam ditinggalkan oleh suami yang dihantar ke medan perang/pekerjaan, merasai tangisan anak-anak yang tidur kelaparan akibat kemiskinan keluarganya yang kehabisan gandum. Umar turun sendiri untuk memastikan kebaikan rakyatnya terpelihara. Dikatakan kalaulah umurnya panjang, pasti Umar akan berjalan sendiri ke seluruh pelusuk dunia Islam waktu itu sejauh Tangier di Moroko, Barat dan sejauh sempadan China di sebelah Timur. Di samping itu Umar turut melantik ‘uyun (perisik) untuk menyiasat apakah para Governor (Menteri Besar) dan pegawai-pegawainya menjalankan tugas dengan jujur dan amanah serta memenuhi keperluan rakyat. Ada yang dipecat dan diganti. Hasilnya rakyat selamat dan negeri berkat akibat keadilan yang dilaksanakan. 


YANG AMAT BERHORMAT, 





Inilah lumrah kehidupan seorang pemimpin yang sentiasa diuji oleh Allah SWT. Hanya dengan memperkuatkan hubungan diri dan peribadi dengan Allah SWT mampu menyelamatkan seorang pemimpin daripada dikelilingi oleh para pembantu dan penasihat yang jahat. Nabi SAW mengingatkan: 


Maksudnya: “Tidak ada seorang Nabi, dan tidak ada seorang pemimpin (Khalifah) melainkan dia akan dikelilingi oleh dua jenis BITANAH pembantu (penasihat, orang kelilingnya yang rapat), pembantu yang menyuruhnya berbuat kejahatan dan menggalakkannya melakukannya. Pemimpin yang selamat hanyalah mereka yang diselamatkan oleh Allah”. (Hadith Riwayat al-Bukhari) 


Memiliki penasihat, pembantu dan pegawai yang berkemampuan dan amanah juga adalah indikator yang diletakkan oleh Rasulullah SAW bagi sebuah kepimpinan yang diberkati oleh Allah SWT. Hal ini dijelaskan lagi dalam hadith: 


Maksudnya: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang pemimpin, Allah akan mengurniakan untuknya wazir (menteri, pembantu, penasihat) yang benar (jujur lagi ikhlas), kalau beliau lupa, dia mengingatkannya, dan kalau beliau ingat, dia membantunya. Jika Allah menghendaki selainnya (keburukan untuk seorang pemimpin), Allah akan menjadikan untuk pemimpin itu wazir (menteri, pembantu, penasihat) yang jahat, jika beliau lupa, dia tidak mengingatkannya, dan jika beliau ingat, dia tidak pula membantunya” (Hadith Riwayat Abu Daud) 


YANG AMAT BERHORMAT, 



Inilah beberapa peringatan daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Inilah sumber pegangan utama dan rujukan negeri ini dalam pengamatan Islamnya, walaupun ada pihak berniat jahat yang cuba mempertikaikan amalan keislaman di negeri ini. Rujukan kami di sini hanyalah berkisar dua sumber utama ini dan tafsiran yang diutamakan adalah tafsiran para sahabat dan Salaf al-Soleh terhadap nas syarak kerana mereka diyakini lebih mengetahui dan memahami nas berkenaan. 


Pandangan semua ulama muktabar adalah diterima, tetapi pengamalan terpilih adalah berdasarkan ketepatan mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Inilah yang menjadikan pandangan agama moderat, semasa dan berpijak di bumi nyata tanpa bayangan pandangan yang mundur lagi kolot. 


Lantaran itu kadang-kadang kami menawarkan penyelesaian yang berbeza berbanding tempat lain di negara ini bagi menyelesaikan isu membabitkan umat Islam, kerana kami yakin hanya nas yang maksum daripada al-Quran dan al-Sunnah sahaja yang mampu menyelamatkan manusia dan menjaga imej Umat Islam. Sebagai contoh dalam isu pemelukan Agama Islam, kita menggalakkan agar nama asal dikekalkan bagi membuktikan Islam itu bererti Islam, bukannya masuk Melayu. 


Dalam isu anak zina yang mengakibatkan pembuangan bayi berleluasa pada hari ini, kami berpendapat sejak tahun 2006 dan sebelumnya, anak zina atau luar nikah itu adalah anak yang diakui hasil daripada zina. Kalau ibu dan bapanya mendakwa itu anak mereka walaupun lahir kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah, maka anak itu adalah anak mereka yang sah taraf. Soal nasab adalah termasuk al-Daruriyat al-Khamsah. 


Manakala soal tuduhan zina tanpa saksi 4 mata yang sahih, adalah isu yang berbeza dengan isu sabitan nasab keturunan manusia. Yang salah tetap salah, tetapi Allah SWT itu Maha Pengampun kepada hambanya. Tutuplah aib yang Allah sudah tutupkan, sebagaimana tegas Nabi SAW kepada Abu Bakar apabila Abu Bakar melaporkan ada hamba Allah yang mengaku dirinya telah berzina. 


YANG AMAT BERHORMAT, 





Lahir daripada rasa cinta kepada agama dan negara inilah, maka tazkirah ini dikongsi pada hari ini, kerana Nabi SAW menjanjikan Pemimpin yang adil kepada rakyatnya adalah orang yang pertama daripada 7 jenis manusia yang akan dinaungi perlindungan Allah pada hari kiamat nanti, hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan Allah (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 


Juga pemimpin yang adil dalam pemerintahannya, terhadap ahli keluarganya dan terhadap rakyatnya akan didudukkan atas singgahsana cahaya di sisi Allah SWT pada hari akhirat kelak (Hadith Riwayat Muslim). Bahkan dalam hadith riwayat Muslim yang lain Nabi SAW menyebutkan ahli syurga tiga jenis manusia; antaranya Pemimpin yang adil lagi bijaksana.


Sekiranya pemimpin memimpin dengan adil menurut tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka wajiblah atas rakyat mentaatinya selagi mana bukan pada perkara maksiat dan dosa. Sabda Nabi SAW 


Maksudnya “Wajib atas setiap Muslim itu dengar dan taat dalam perkara yang disukai dan dibenci, kecuali jika diperintah melakukan maksiat, jika diperintah melakukan maksiat, maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Ketaatan rakyat sebegini dinyatatakan oleh Usamah bin Zaid kepada Ali bin Abu Talib sewaktu beliau menjadi Khalifah pada zaman fitnah pertempuran di antara sesama umat Islam: 


Maksudnya: “Wahai Amirul Mukminin, kalaulah kamu dimasukkan ke dalam mulut singa (kerana mempertahankan kebenaran) maka aku akan masuk ke dalamnya bersama kamu tetapi aku tak boleh bertolak ansur dalam soal masuk ke dalam api neraka (akibat pertempuran sesama umat)” (Hadith Riwayat al-Bukhari) 


Maka, sikap saling memerlukan di antara pemimpin yang taat kepada Allah dan rakyat yang mentaati Allah, bagi memastikan Negara berkat dan rakyat selamat inilah, Nabi SAW memberi indikator kesepaduan yang kukuh bagi sebuah Negara. Sabda Nabi SAW: 


Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu mencintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, dan seburuk-buruk pemimpin kamu ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu” (Hadith Riwayat Muslim) 


Kalaulah keadaan baik dikekalkan, pemimpin dan rakyat saling mencintai dan mendoakan sesama mereka, pasti kesatuan dan perpaduan Negara dapat diperkukuhkan. Tetapi sebaliknya, kalau berlaku penyelewengan dan kezaliman, maka pasti kelemahan dan perpecahan menghampiri kita semua. 


YANG AMAT BERHORMAT, 

Para ulama Salaf menganjurkan agar doa yang terbaik itu ditujukan kepada para pemimpin, kerana baiknya pemimpin akan membawa kebaikan kepada rakyat jelata dan buruknya pemimpin akan membawa bencana kepada kita semua. Aisyah RA menceritakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW berdoa di dalam rumahnya: 


Maksudnya: “Ya Allah, sesiapa yang dilantik menguruskan urusan umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah mereka. Ya Allah, sesiapa yang menguruskan urusan umatku, lalu dia bersifat kasih kepada mereka, maka kasihlah mereka”. (Hadith Riwayat Muslim) 


Marilah kita semua pada bulan yang mulia ini mendoakan agar Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada semua pemimpin kita, semoga Allah melembutkan hati-hati mereka agar sentiasa melakukan keadilan kepada rakyat jelata, mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan hak mereka semua dipenuhi. Juga semoga Allah mengurniakan para pemimpin kita dengan para pembantu dan penasihat yang jujur lagi amanah dan menjauhi para pemimpin kita daripada para pembantu dan penasihat yang jahat lagi khianat. Semoga Allah jadikan Negeri Perlis ini kekal aman sentosa dan semoga Allah terus memelihara Malaysia kekal bersatu-padu gagah perkasa selama-lamanya. Amin 


Sumber: Facebook rasmi Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, Mufti Kerajaan Perlis

01 December 2011

DIJEMPUT HADIR : TRILOGI ASYURA DI PERLIS


TRILOGI ASYURA DI PERLIS

ANTARA SYI’AH DAN AHLIS SUNNAH:
ASYURA DALAM TIMBANGAN AQIDAH
Oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris
(Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis / IPTIPs)
Di Masjid Muhammadi, Jejawi Sungai Adam
Isnin, 5 Disember 2011, Selepas Solat Maghrib


ANTARA SYI’AH DAN AHLIS SUNNAH:
ASYURA DALAM TIMBANGAN SYARIAH
Oleh Ustaz Mohd Rizal Azizan @ Mat Malaya
(Pendakwah Bebas)
Di Masjid Alwi, Kangar
Selasa, 6 Disember 2011, 6.00 petang diikuti dengan berbuka Puasa Asyura


ANTARA SYI’AH DAN AHLIS SUNNAH:
ASYURA DALAM TIMBANGAN SEJARAH
Oleh Dr. Hazman Hassan
(Universiti Utara Malaysia/ UUM)
Di Masjid Al-Islah, Ngulang
Rabu, 7 Disember 2011, Selepas Solat Maghrib


Orang Ramai Dijemput Hadir

GARIS PANDUAN IBADAH DAN IMARAH MASJID-MASJID DI NEGERI PERLIS



A. GARIS PANDUAN IBADAH DI MASJID 
 1. Garis Panduan Kepada Imam 
• Secara umumnya Imam tidak boleh mengadakan apa-apa perbuatan dalam solat yang tidak mempunyai dalil yang jelas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah 
• Tidak mengkhususkan bacaan Qunut pada masa tertentu seperti Qunut Subuh kecuali Qunut Nazilah dan Qunut Witir 
• Tidak mengadakan wirid secara jama’ie pada masa tertentu seperti selepas solat fardu kecuali untuk tujuan mengajar dalam waktu yang terbatas 
• Tidak mengadakan bacaan khusus pada waktu yang khusus tanpa dalil al-Qur’an dan al-Sunnah seperti membaca Yassin secara beramai-ramai pada malam jumaat 
• Tidak mengadakan upacara Tahlil Kematian 
• Tidak mengadakan apa-apa upacara yang berkaitan dengan jenazah melainkan berpandukan panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis 
• Memastikan muazzin melakukan azan sebaik sahaja masuk waktu pada setiap waktu 


 2. Garis Panduan Kepada Khatib 
• Hendaklah membaca khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis seperti Khutbah Jumaat, Aidilfitri, Aidiladha dan selainnya 
• Khatib tidak boleh mengulas teks khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis melainkan ada kesalahan pada teks khutbah 
• Adalah menjadi sunnah bagi seorang Khatib menjadi Imam pada Solat Jumaat 3. Garis Panduan Kepada Muazzin 
• Melakukan azan dua kali pada waktu subuh 
• Tidak membaca dan memperdengarkan sebarang bacaan selain azan dengan kuat sebelum azan dan selepas azan 
• Melakukan iqamah setelah imam bersedia menunaikan solat 


 Dikeluarkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis Selepas Diluluskan Oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bil. 3/2007 pada 25 Julai 2007 


B. GARIS PANDUAN IMARAH MASJID BIDANG TUGAS BIRO-BIRO JAWATANKUASA KARIAH 
1. BIRO DAKWAH DAN KEMASYARAKATAN 
• Merancang dan melaksanakan aktiviti keilmuan dan dakwah. Contohnya kelas pengajian, ceramah, forum, diskusi dan sebagainya. 
• Merancang dan mengadakan kursus-kursus berbentuk ilmiah/kemasyarakatan seperti kursus pengurusan jenazah,kursus menjahit dan sebagainya. 
• Mengadakan program kemasyarakatan seperti gotong royong,membantu fakir miskin dan sebagainya. 


2. BIRO EKONOM1 DAN KEBAJIKAN 
• Merancang aktiviti yang membantu menjana pendapatan masjid 
• Memelihara serta реkа kepada kebajikan anak kariah terutama dari segi kehidupan harian mereka 
• Mengemaskini data-data anak kariah seperti maklumat anak-anak yatim, dan sebagainya 


3. BIRO INFORMASI DAN TEKNOLOGI 
• Mengawal selia dan mengemaskini рарan kenyataan masjid 
• Membantu meningkatkan penggunaan ICT di masjid. 
• Menjadi Pegawai Penerangan/Pegawai Perhubungan Awam bagi pihak masjid. 
• Membantu Pcngerusi/Imam mengumumkan sesuatu arahan/iklan/ maklumat kepada anak kariah . 


4. BIRO PEMBANGUNAN MASJID 
• Merancang pembangunan prasarana masjid 
• Menguruskan sebarang kerosakan masjid dengan pihak tertentu 
• Mencari sumber kewangan bagi membaiki dan mengindahkan persekitaran luaran dan dalaman masjid . 


4. BIRO WANITA 
• Merancang dan mengadakan pelbagai aktiviti khusus untuk kaum wanita. 
• Menjaga kebajikan kaum wanita dalam kalangan anak kariah 


5. BIRO BELIA 
• Merancang dan mengadakan pelbagai aktiviti keilmuan khusus untuk remaja dan para belia. 
• Mewujudkan jalinan kerjasama yang baik antara belia dan jawatankuasa masjid. 

• Menjalinkan hubungan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan-badan belia di dalam Negeri Perlis. 

 Dikeluarkan Oleh: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)