30 January 2010

Kuliah Sirah Nabawiyyah 1

KULIAH SIRAH NABAWIYYAH 17 JANUARI 2010

Kuliah Mingguan ini telah dijayakan bersama Ustaz Syed Abdullah. InsyaAllah kami akan sediakan rakaman video dari semasa ke semasa.

Kami memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dangan kualiti video kami ini.

16 January 2010

Hukum Memakan Daging Keldai (Bah 1)

Kuliah Bulughul Maram ( Hadis ke 26-28 )

Alhamdulillah pada 10 hb Januari 2010 kuliah mingguan telah dijalankan seperti biasa. Berikut adalah rakaman daripada majlis ilmu tersebut.

Kuliah tersebut dijalankan oleh Ustaz Muhammad Ihsan bin Idris bersama Ustaz Said Abdullah di Dewan Persatuan Al-Islah Perlis.



Dan untuk memudahkan rujukan anda sila download teks kuliah yang bertajuk 'Arak Jadi Cuka' tersebut di sini.

Hadits Ke 28

وَعَنْهُ قَالَ: لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ اَمَرَ رَسُولُ الله ص اَبَا طَلْحَةَ، فَنَادَى – اِنَّ اللهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُوْمِ الْحُمُرِ الأَهْلِيَّةِ فَاِنَّهَا رِجْسٌ

Dan daripadanya ia berkata: Pada hari (peperangan) Khaibar, Rasulullah saw. perintah Abu Thalhah, lalu ia berseru : “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kamu (makan) daging keledai-keledai kampung (yang diternak), kerana ia itu kotor.” Muttafaq ‘alahi.

Dalam kitab Sahih Bukhari diterangkan, bahawa Rasul didatangi seorang lelaki yang menerangkan, bahawa orang itu makan keledai, kemudian datang lagi orang lain menerangkan bahawa dia juga makan keledai, sesudah itu datang lagi orang lain mengatakan demikian juga. Mendengar itu Nabi saw. berkata : “Rupanya kamu menghabiskan keledai.” Sesudah itu Rasul menyuruh seorang penyeru menyerukan larangan makan daging keledai. Sebaik itu diserukan, para sahabat pun membuang segala daging keledai yang sedang dimasak.

Hadits ini menjelaskan tentang haramnya memakan daging keledai kampung, Jumhur ‘Ulama mengharamkan daging keledai. Namun terdapat perbahasan yang patut kita renungi dalam bab ini sebelum kita mengambil sesuatu ketetapan.

Ibnu Abbas berkata : “Daging keledai tidak haram, saya tak tahu apakah Nabi (saw.) menegahnya kerana mengingat keledai itu binatang yang dipergunakan atau bukan?

KOLEKSI HADITS HADITS HUKUM 1, Bab Kedua: Hukum Najasah dan Aturan-aturan Membersihkannya, Bab daging keledai ternak (peliharaan) - T.M.HASBI, M.S.77-78.

Sebahagian ulama mengambil pendirian : Ayat-ayat Al-Quran telah tegaskan dan jelaskan, bahawa makanan yang haram itu tidak lain daripada empat : bangkai, darah, babi dan sesuatu yang disembelih bukan kerana Allah. Bagi mereka larangan hadits ini, kalau dikatakan haram bermakna berlawanan dengan ayat Al-Quran. Tidak boleh berlaku Rasulullah saw melawan firman Allah. Dari itu dikatakan hadits ini tidak sahih, kerana syarat hadits sahih ialah tidak berlawanan dengan hadits yang lebih sahih, terutamanya berlawanan dengan Al-Quran. Cara begini dinamakan thariqatul-tarjih : cara mengambil mana yang lebih berat, iaitu lebih kuat dan membuang yang lainnya.

Larangan hadits itu jika dikatakan makruh, maka tidak ada perlawanan antara Al-Quran dan Hadits, kerana Al-Quran mengharamkan dan hadits memakruhkan. Cara yang begini dinamakan thariqatul-jam’i : cara mengumpul, iaitu dua-dua keterangan dipakai. RUJUKAN TERJEMAHAN BULUGHUL MARAM OLEH A.HASAN,M.S.52-53.

Kesimpulannya

Ayat ayat Al-Quran yang dimaksudkan oleh sebahagian ulama tentang makanan yang haram ada empat perkara itu adalah dari surah An-aam ayat 145 [6:145]

قُلْ لآ اَجِدُ فِي مَآ اُوحِىَ اِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ اِلاَّ اَنْ يَكُوْنَ مَيْتَةً اَو دَمًا مَسْفُوحًا اَوْ لَحْمَ خِنْزِيْرٍ فَاِنَّهُ رِجْسٌ اَوْ فِسْقًا اُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

“Katakanlah: Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya kecuali kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi – kerana sesungguhnya semua itu kotor – atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah

Firman Allah lagi : Al-Baqarah ayat 173 [2:173]

اِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيْرِ وَمَا اُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللهِ

“Sesungguhnya (Allah) hanya mengharamkan kepada kamu akan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa yang disembelih bukan kerana Allah.”


Hadits ini menurut ulama hadits adalah sahih dan mutawatir (riwayat dari ramai orang), namun bukan menjadi keganjilan dalam ilmu hadits apabila hadits yang sahih pada sanadnya (himpunan orang yang meriwayatkan atau menceritakan) tetapi bermasalah pada matannya (isi kandungannya). Jika kita lihat dalil dari Al-Quran di atas jelas menerangkan tentang apa yang dilarang bagi kita makan, tetapi lahir pula dari hadits larangan yang tidak tercatit di dalam Al-Quran di atas sedangkan Allah menyuruh Rasulullah saw. menyampaikan : ‘...didalam kitab yang diwahyukan kepadaku tidak ada satu pun yang diharamkan untuk orang makan...’

Ulama di atas mengambil kaedah menyatukan dua dalil yang berlawanan (THARIGATUL-JAM’I) supaya dapat keduanya digunakan iaitu dalil dari Al-Quran halal semuanya untuk dimakan kecuali empat perkara yang diharamkan, dan larangan hadits memakan daging keledai kampung itu menjadi sekadar makruh dan ulama di atas juga menggunakan juga kaedah menimbang dan mengambil yang berat (Al-Quran) dan menggugurkan yang lebih ringan darinya (hadits) yang dikenali sebagai THARIQATUL-TARJIH. Sebenarnya terdapat beberapa hadits sahih lainnya dalam bab makan ini yang mempunyai masalah yang sama seperti hadits bab keledai kampung. Antaranya adalah hadits memakan binatang bersiung, burung penyambar dan hidupan dua alam. Demikian juga larangan memakan binatang yang makan kotoran seperti ayam dan ikan keli yang makan segala jenis benda hatta najis. Jika larangan ini kita ertikan haram maka tetaplah dia berlawanan dengan firman Allah di ayat 145 surah Al-An-aam.

Kaedah yang digunakan oleh sebahagian ulama ini boleh dipandang kukuh menurut ilmu hadits dan ada sebab yang nyata ianya dipergunakan. Terdapat juga ulama salaf dan khalaf yang menolak hadits yang sahih seperti dalam bab nyanyian dan muzik sehingga lahir hukum haram kepada keduanya. Hadits sahih riwayat Bukhari di Tawaqqufkan (didiamkan) :

قَالَتِ الرُّبَيِّعُ بِنْتُ مُعَوِّذِ بْنِ عَفْرَاءَ: جَاءَ النَّبِيُّ ص فَدَخَلَ حِيْنَ بُنِيَ عَلَيَّ فَجَلََسَ عَلَى فِرَاشِيْ كَمَجْلِسِكَ مِنِّيْ فَجَعَلَتْ جُوَيْرِيَاتٌ لَنَا يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ وَيَنْدُبْنَ مَنْ قُتِلَ مِنْ آبَائِيْ يَوْمَ بَدْرٍ اِذْ قَالَتْ اِحْدَاهُنَّ وَفِيْنَا نَبِيٌّ يَعْلَمُ مَا فِيْ غَدٍ فَقَالَ: دَعِيْ هَذِهِ وَقُوْلِيْ بِالَّذِيْ كُنْتِ تَقُوْلِيْنَ

Telah berkata Rubaiyi’ binti Mu’awwidz bin ‘Afraa : Telah datang Nabi saw. waktu aku dikahwinkan, lalu Nabi (saw.) duduk atas tempat tidurku, seperti dudukmu dengan aku ini, lalu mulailah beberapa orang hamba perempuan kami memukul gendang dan mereka menyanyi dengan memuji muji orang yang mati (syahid) dari antara bapa bapa kami pada peperangan Badar, tiba tiba salah seorang dari antara mereka berkata : ‘Di antara kita ini, ada seorang Nabi (Muhammad) yang mengetahui apa yang akan kejadian pada esok’. Maka Nabi (saw.)berkata : Tinggalkan percakapan ini, dan nyanyilah dengan nyanyian yang engkau katakan tadi.”

Shahih Bukhari.

Diriwayatkan :

عَنْ عَائِشَةَ: اَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً اِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ النَّبِيُّ ص: يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ فَاِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Dari Aisyah, bahawasanya ia serahkan (kahwinkan) seorang wanita kepada lelaki berbangsa Anshaar. Maka bertanya Nabi saw.: “Tidakkah ada pada kamu permainan (muzik seperti gendang dan lain lainnya), kerana sesungguhnya bangsa Anshaar suka kepada permainan?”

Shahih Bukhari.

Dan dalam bab nyanyian dan muzik ini ada lain-lain hadits yang menjelaskan tentang sunnahnya muzik dan nyanyian selagi ianya tidak melampaui batas dan tidak terkandung di dalamnya kemaksiatan.

Hujah tentang hadits ke 28 tentang masalah pertentangan dengan ayat Al-Quran dan cara penyelesaiannya, ada kekuatan jika kita lihat disegi nashnya. Tetapi hujah golongan yang mengharamkan muzik dan nyanyian terdapat beberapa kelonggaran atau kelemahan yang insyaAllah akan kita bincangkan pada tajuk seterusnya di dalam kitab Bulughul Maram ini dalam bab KITABUN-NIKAH.

Hadirin apabila kita menghadapi masalah sama ada keledai itu haram atau tidak, terdapat hadits yang melarang dan terdapat pula dalil ayat Quran yang tidak mengharamkannya, sebahagian ulama mengatakan haram, sebahagian yang lain menyatakan makruh. Maka saya katakan pada pendirian saya jika ragu ragu, tidak usahlah memakannya, makanlah makanan lainnya yang menyakinkan kita iaitu tinggalkan keraguan ambil yang yakin, sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits dari Hasan bin Ali r.a.:

حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ الله ص: دَعْ مَا يَرِيْبُكَ اِلَى مَا لاَ يَرِيْبُكَ

Aku hafal dari Rasulullah saw., ia bersabda : “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan kamu.” H.R. Ahmad, Nasai dan Tirmidzi, dan Tirmidzi mengesahkannya.

Sekian kesimpulan yang dapat saya berikan dari pencarian saya, jika terdapat kesilapan dan kekeliruan sila beri teguran berdasarkan As-Sunnah - الله اعلم