29 June 2013

Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan shisha



KANGAR 28 Jun - Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.
Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.
Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.
Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.
Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.
"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa.

 - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130628/dn_26/Jawatankuasa-Fatwa-Perlis-haramkan-shisha#ixzz2Xcu1bVUu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 June 2013

Janji Rasulullah kepada mereka yang memberi makan orang yang berpuasa: 

"SESIAPA MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA, MAKA BAGINYA PAHALA SEPERTI ORANG YANG BERPUASA TERSEBUT, TANPA MENGURANGKAN PAHALA ORANG YANG BERPUASA ITU WALAU PUN SEDIKIT"
( Riwayat Tirmidhi dan Ibnu Majah serta disahihkan oleh al-Albani )


Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam


03 June 2013

Mufti Kerajaan Perlis Kini Bergelar Dato’ Murshid Diraja

Sempena Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis yang ke-70 pada 17 Mei 2013 yang lalu, Mufti Kerajaan Perlis iaitu Dr. Juanda Jaya telah dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ Murshid Diraja.
Di atas pengurniaan pingat Dato’ Bergelar oleh DYMM Tuanku Raja Perlis ini, seluruh ahli jawatankuasa, ahli-ahli dan para penyokong Persatuan Al-Islah Perlis sukacita merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada beliau.

Persatuan Al-Islah Perlis juga mendoakan Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya diberikan segala kekuatan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk menunaikan amanah yang dikurniakan oleh baginda sebagai Mufti Kerajaan Perlis. 
Keluarga Diraja Jamalullail Perlis

Keterangan Gambar (Dari Kiri):
  1.        Yang Amat Mulia Sharifah Katreena Nuraniah Binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, anakanda pertama dan puteri sulung DYTM Raja Muda Perlis
  2.        Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, anakanda ketiga dan putera sulung DYTM Raja Muda Perlis. Selaku Pewaris takhta Kerajaan Perlis, baginda bakal menjadi Raja Perlis Kesembilan Insya-Allah
  3.        Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, anakanda kedua dan puteri kedua DYTM Raja Muda Perlis
  4.        Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Sebagai Raja Muda Perlis, baginda akan menaiki takhta kerajaan sebagai Raja Perlis Kelapan Insya-Allah
  5.        Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah
  6.        Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Baginda yang mula menaiki takhta Kerajaan Perlis pada tahun 2000, adalah Raja Perlis Ketujuh
  7.        Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid


Ahli Jawatankuasa, ahli-ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis mendo’akan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh kerabat diraja Jamalullail Perlis agar sentiasa dikurniakan taufiq, hidayah dan inayah Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk berpegang teguh dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah di atas manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah