31 October 2011

7 Sebab Anak Perlis Semestinya Hadir Ke AMBANG ‘AIDIL ‘ADHA (3A) Pada 5 November 2011:


1. PENAUNGNYA 
Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis, Dr. Juanda Jaya adalah penaung 3A. Walaupun beliau sedang menunaikan Fardu Haji, beliau sangat mengambil berat penganjuran 3A dan telah merakamkan video perutusan yang akan ditayangkan eksklusif kepada peserta program 

2. PENGANJURNYA 
3A diusahakan oleh anak-anak Perlis yang bernaung di dalam dan di luar Persatuan Al-Islah Perlis, sebuah NGO Pendidikan dan Kebajikan Melayu-Islam tertua di Perlis. Jabatan Mufti Perlis pula bertindak sebagai penganjur bersama 

3. TETAMU KEHORMATNYA
 Semua anak Perlis diundang menyertai 3A sebagai dif jemputan khas. Terdapat 4 kategori anak Perlis baik lelaki atau wanita, yang berkerja atau belajar, dijemput: 


a. Anak Perlis menetap di Perlis 
b. Anak Perlis berkerjaya atau melanjutkan pelajaran di luar Perlis 

c. Anak luar Perlis yang menetap di Perlis 
d. Anak luar Perlis yang berkahwin dengan anak Perlis Pendek kata, semua yang “berjiwa Perlis” dijemput hadir, serta akan diterima seadanya tanpa syarat dan prasangka 


4. MASA & WAKTUNYA 
Masa dan waktu 3A bertepatan dengan musim cuti Hari Raya ‘Aidil ‘Adha. Hal ini memberikan kesempatan kepada anak Perlis yang pulang beraya di kampung untuk bersama-sama ikut serta 

5. ORIENTASINYA 
Penganjuran 3A merentasi orientasi politik kepartian. Maka semua peserta dialu-alukan sama ada yang berparti politik atau tidak berparti langsung, untuk mengenepikan agenda politik kepartian semasa 3A bagi mengeratkan silaturrahim anak Perlis. 

6. TUJUANNYA 
Matlamat 3A adalah memupuk perpaduan, mengujudkan jaringan kerjasama dan mengupayakan tindakan berkesan oleh generasi baru anak Perlis dalam bidang kebajikan dan khidmat masyarakat di Perlis. 3A menjadi titik mula mekarnya aktivisme “Dari Anak Perlis, Kepada Negeri Perlis, Demi Kerana Allah”. 


7. FAEDAHNYA 
Faedah 3A amat banyak: 


a. Kepada masyarakat Negeri Perlis yang daif dan terpinggir misalnya anak-anak yatim/miskin, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, muallaf/saudara baru, individu menghidap penyakit kronik, persona non grata (orang tanpa negara), warga tua tidak berwaris dan sebagainya: Akan cuba dibantu secara “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Bantuan peserta 3A bukan sahaja wang dan harta, bahkan masa, tenaga dan buah fikiran juga amat dihargai 
b. Kepada peserta 3A: Akan wujud jaringan persahabatan dan kekeluargaan anak-anak Perlis merentasi pelbagai peringkat umur, kerjaya, pengajian, jantina, minat, hobi dan lain-lain. Dari sempadan Padang Besar di utara ke perbatasan Kuala Sanglang di selatan, dari Kuala Perlis di pesisiran pantai sebelah Barat ke Ulu Pauh di tanah tinggi sebelah Timur, meliputi segala pekan, mukim, kampung dan taman di Kangar, Arau, Beseri, Simpang Empat, Mata Ayer serta Pauh; jaringan anak Perlis ini akan berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia sampai ke arena antarabangsa di mana anak-anak Perlis menetap. 

 Akhir Kalam, ingatlah: 


“BESAR” BUKAN BERMAKNA “KUAT”, “KECIL” BUKAN BERERTI “LEMAH” “NEGERI PERLIS KITA, TANGGUNGJAWAB KITA” 

Fadhilat Sepuluh Hari Zulhijjah dan Amalan-Amalannya.


Fadhilat Sepuluh Hari Zulhijjah dan Amalan-Amalannya. Allah Ta`ala mengurniakan kurniaan yang sangat besar ke atas hambaNya dengan menyediakan kepada mereka musim-musim ketaatan, agar hambanya memperbanyakkan amal soleh dan berlumba-lumba untuk memperoleh ganjaran yang disediakan di dalamnya sekaligus untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta`ala sedekat-dekatnya.Maka berbahagialah bagi mereka yang dapat memperoleh kurniaan Allah ini,di antara musim-musim ketaatan yang mempunyai kelebihan tersendiri ialah sepuluh hari daripada bulan zulhijjah.


 Kelebihan Sepuluh Hari Awal Zul Hijjah. 


 1 . Allah bersumpah dengannya. 


 Jika Allah bersumpah dengan sesuatu maka ianya menunjukkan keagungan dan kelebihan sesuatu yang disumpah tersebut,kerana Allah tidak akan bersumpah melainkan dengan sesuatu yang agung,firman Allah Ta`ala:


 والفجر (1) وليال عشر


 Demi fajar, dan demi malam yang sepuluh. 
[ Al-Fajr: 1-2 ] 


 Malam yang sepuluh adalah sepuluh hari terawal zulhijjah, inilah yang dijelaskan oleh jumhur mufassirin daripada Salaf dan Khalaf,hal ini dijelaskan oleh Ibnu Kathir rahimahullah dalam Tafsirnya dan inilah maksud yang shahih.


2 . Bahawasanya ianya merupakan hari-hari yang dimaklumi iaitu hari yang disyariatkan oleh Allah di dalamnya untuk berzikir( mengingatiNya).


 Firman Allah Ta`ala;


 ويذكروا اسم الله في أيام معلومات على ما رزقهم من بهيمة الأنعام


 dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Jumhur Ulama` menjelaskan bahawa hari-hari yang telah ditentukan adalah sepuluh hari daripada zulhijjah,sebahagian mereka ialah Ibnu `Umar dan Ibnu `Abbas radiallahu`anhuma. 


3 . Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam menyebutkan bahawa ianya merupakan hari yang paling utama untuk beramal soleh dan amal soleh di dalamnya sangat dicintai oleh Allah Ta`ala.


 عن سعيد بن جبير، عن ابن عباس، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: «ما العمل في أيام أفضل منها في هذه؟» قالوا: ولا الجهاد؟ قال: «ولا الجهاد، إلا رجل خرج يخاطر بنفسه وماله، فلم يرجع بشيء» 


 Daripada Sa`id bin Jubair drpd Ibnu `Abbas daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam bahawsanya bginda bersabda: "Tidak ada amalan pada hari-hari yang lebih utama drpd hari ini ( sepuluh hari awal drpd bulan zulhijjah)" Sahabat bertanya: " Walaupun berjihad? .Sabda Nabi: walaupun jihad,kecuali seorang lelaki keluar menempuh risiko menentang musuhnya dengan jiwanya dan hartanya,dan dia pulang tanpa sebarang hasil.
 [ HR Bukhari no:969, Bab Keutamaan Beramal pada hari Tasyriq ]


 Dalam riwayat Al-Bazzar dan Ibnu Hibban daripada Ibnu `Abbas radiallahu`nahu daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:


 ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام العشر 


 Tidak ada hari-hari yang amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini( sepuluh awal zulhijjah).
[ Musnad Al-Bazzar 11/231, Shahih Ibnu Hibban 2/30 ]


 Dan pada hari-hari sepuluh ini terdapat di dalamnya hari `Arafah iaitu 9 Zulhijjah,iaitu hari Haji Akbar,hari diampunkan dosa-dosa hamba,hari dilepaskan hamba daripada api neraka.




 4 . Padanya terdapat Hari Nahar ( sepuluh Zulhijjah) iaitu hari raya korban. 

Sebahagian Ulama` menyebutkan ianya merupakan hari yang paling afdal(utama) daripada hari-hari dalam setahun,berdasaran sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam:


 إن أعظم الأيام عند الله تبارك وتعالى يوم النحر 

Sesungguhnya hari yang paling agung disisi Allah Tabaraka wa Ta`al adalah hari Nahar. 
 [ HR Abu Daud no:1765, dishahihkan oleh Syeikh Al-Albani ] 


 5 . Berkumpulnya Ibadah-ibadah utama padanya. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah:
 والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ولا يتأتى ذلك في غيره 


 " Apa yang jelas yang menjadi sebab kepada keistimewaan sepuluh hari zulhijjah ini kerana ianya merupakan waktu yang terhimpun padanya ibadah-ibadah utama,iaitu solat,puasa,sadaqah,dan Haji dan tidak ada hari-hari lain yang semisalnya. 
[ Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari 2/460 ] 


 Dengan Apa Kita Menyambut Sepuluh Hari Awal Bulan Zulhijjah? 
 1 . Taubat Nasuha. 


 Maka seorang Muslim hendaklah menyambut musim ketaatan secara umumnya dengan taubat yang benar dan keazaman yang teguh untuk kembali kepada Allah Ta`ala,kerana Taubat itu merupakan kunci kejayaan bagi seseorang hamba baik di dunia atau di akhirat,firman Allah Ta`ala:


 وتوبوا إلى الله جميعا أيها المؤمنون لعلكم تفلحون 


 Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah,wahai orang-orang beriman agar kamu memperoleh kejayaan 
 [ An-Nuur:31 ] 


 2 . Keazaman dan Kesungguhan untuk memperoleh kelebihan dalam hari-hari tersebut. 


Bagi seorang muslim hendaklah melipat gandakan usahanya untuk mengimarahkan hai-hari tersebut dengan amalan,perkataan yang soleh,dan sesiapa yang berazam untuk sesuatu yang baik maka Allah akan membantunya untuk memperoleh kesempurnaan amalan,firman Allah Ta`ala:


 والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وإن الله لمع المحسنين 


 Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar benar beserta orang-orang yang berbuat baik. [ Al-Ankabut:69 ] 


 3 . Menjauhkan diri dari maksiat dan dosa. 


 Sebagaimana ketaatan merupakan sebab-sebab yang boleh mendekatkan diri kita dengan Allah Ta`ala maka kemaksiatan merupakan sebab-sebab yang boleh menjauhkan seseorang hamba daripada rahmat Allah,boleh jadi Allah akan mengharamkan rahmatnya kepada seseorang individu disebabkan oleh maksiat yang dilakukannya,maka jika kita inginkan keampunan daripadaNya dan pembebasan daripada api neraka maka hendaklah berjaga-jaga daripada melakukan sebesar-besar kemaksiatan iaitu syirik,bid`ah dan maksiat.Maka hendaklah kita sama-sama merebut peluang untuk bertaubat pada sepuluh hari zulhijjah ini.


Amalan-Amalan Yang digalakkan dalam sepuluh hari Zulhijjah. 
 1 . Mengerjakan Haji dan Umrah bagi yang berkemampuan. 


 Kedua-dua ibadah ini merupakan ibadah yang paling utama dilakukan dalam sepuluh hari Zulhijjah,sesiapa yang Allah permudahkannya untuk mengerjakan haji di Baitullah dan mengerjakan umrah sebagaimana yang telah disyariatkan maka ganjarannya adalah syurga,berdasarkan sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam: 


 العمرة إلى العمرة كفارة لما بينهما، والحج المبرور ليس له جزاء إلا الجنة 

Umrah dengan umrah(berikutnya) menghapuskan dosa diantara keduanya,dan Haji yang mabrur tiadalah baginya ganjaran melainkan syurga. 
 [ Muttafaqun` alaih ] 


 2 .Puasa pada hari `Arafah( 9 Zulhijjah ). 


 Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah mengkhususkan puasa pada hari `Arafah iaitu hari yang termasuk dalam hari-hari daripada hari sepuluh Zulhijjah, sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam: 


 صيام يوم عرفة، أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله، والسنة التي بعده 


 Puasa pada hari `Arafah, aku mengira Allah akan menghapuskan dosa-dosa pada tahun sebelumnya dan dosa-dosa pada tahun selepasnya. 
 [ HR Muslim no:1162 ] 


3 . Takbir,Tahmid dan Tahlil serta berzikir kepada Allah Ta`ala. 


 Daripada Ibnu `Umar radiallahu`anhuma daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:


 ما من أيام أعظم عند الله ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر، فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد 

Tidak ada hari-hari yang lebih agung disisi Allah dan tidak ada hari yang lebih dicintai amal soleh padanya daripada hari-hari sepuluh ini,maka perbanyakkanlah dalamnya tahlil, takbir dan tahmid. 
 [ Hadith Shahih riwayat Ahmad no: 6154 ]


 Selain daripada amalan-amalan yang disebutkan,amalan soleh yang lain juga termasuk dalam keumuman hadith seperti solat, sedekah,membaca al-Quran,istighfar,berbuat baik kepada ibu-bapa, menyambung silatur rahim, ziarah kaum kerabat, memperbaiki hubungan antara manusia yang berbalah,amar makruf nahi mungkar, menjaga lisan dan kehormatan, berbuat baik kepada jiran,menuntut ilmu dan lain-lain lagi daripada amalan-amalan soleh,maka pilihlah amalan sunnah apa yang mampu kita lakukan setelah amalan-amalan wajib yang telah kita lakukan,kerana ini merupakan peluang keemasan bagi kita untuk merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah Ta`ala dengan syarat amalan kita dilakukan ikhlas kerana Allah Ta`ala dan mengikuti sunnah Nabi sallallahu`alaihiwasallam.Diharapkan apa yang disampaikan ini boleh menjadi motivasi untuk kita semua untuk terus beramal sehinggalah kita dipermudahkan oleh Allah Ta`ala untuk bertemu denganNya. 


 Faqir ilallah: 


Abul Hussein Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi 


Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah

25 October 2011

Majlis Ambang 'Aidil 'Adha Anak-anak Perantauan Perlis


Majlis Ambang 'Aidil 'Adha
Anak-anak Perantauan Perlis
5 November 2011
Dimulakan dengan solat Isyak berjemaah
di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis
Km 1.2, Jalan Mata Ayer

Saudara dan saudari :
ANAK PERLIS MENETAP DI PERLIS,
ANAK PERLIS BELAJAR/BEKERJA DI LUAR PERLIS,
ANAK LUAR PERLIS MENETAP DI PERLIS,
DAN
ANAK LUAR PERLIS BERKAHWIN DENGAN ANAK PERLIS
Dijemput hadir beramai-ramai


23 October 2011

"JANGAN BUNUHKU WAHAI ANAK-ANAKKU"



Masihkah anda ingat akan seorang pemimpin dunia ketiga dari benua yang paling miskin dengan lantang mengkritik dominasi barat dalam PBB dan mengoyak perlembagaan badan tersebut di perhimpunan agong 2009 dulu? Ya, beliau adalah Kolonel Mu’ammar Qadzafi (disebut Gaddafi dalam dialek Arab Libya). 


 Barangkali pemerintahannya dikatakan tidak adil dan tidak begitu demokratik (ada yang labelkan sebagai diktator). Namun pembunuhan tawanan perang dalam keadaan mereka tidak bersenjata dan telah menyerah kalah adalah bertentangan dengan Islam dan Undang-Undang Antarabangsa antaranya termaktub dalam Geneva Convention III: relative to the Treatment of Prisoners of War. 


 “Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana. Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.(al-Quran,76:7-9) 


 Berdasarkan laporan media, Allahyarham Qadzafi telah diserang ketika dalam ambulan. Ada juga yang menyatakan dia sedang bersembunyi dalam laluan air yang dipenuhi dengan sampah. Ketika hendak dibunuh beliau merayu “Jangan bunuhku wahai anak-anakku”. Namun tetap beliau dibunuh. Maka pada pertimbangan anda, apakah mereka ini bersedia untuk membina masyarakat yang demokratik dan bertamadun tinggi??


 Begitu juga pembunuhan anak lelakinya, Allahyarham Mu’tassim Billah Qadzafi yang juga dilaporkan dibunuh ketika dalam tahanan. Video yang disiarkan [klik sini untuk tonton] (ketulenan tidak dapat dipastikan) menunjukkan keadaannya setelah ditahan adalah masih hidup dan menikmati rokok terakhirnya. Hal ini menunjukkan bahawa beliau tidak mati dalam pertempuran. Tiada inferen lain yang dapat dibuat melainkan bahawa dia dibunuh ketika dalam tahanan pemberontak (atau anda boleh baca sebagai pembela rakyat atau apa saja yang anda inginkan). Walau apa-pun, pembunuhan tawanan perang adalah kejam dan tragedi kemanusiaan. Mereka berdua sewajarnya dibicarakan bukan terus dihukum.


 Dengan sikap yang penuh dendam dan keras, bisa dilihat nanti Libya akan berdepan dengan Perang Pasca Perang (Post-War War). Dan siapakah yang paling dapat keuntungan dari perbalahan ini? Kejatuhan Tuki Uthmaniyah (disokong oleh Gerakan Turki Muda), serangan AS keatas Taliban (disokong oleh rakyat Afganistan sendiri iaitu Pakatan Utara) dan Saddam Hussain telah mengajar kita, maka benarlah pernyataan George Bernard Shaw: 


“Hegel was right when he said that we learn from history that man can never learn anything from history.”  




 Notakaki: Pernah anda dengar Al-Gaddafi International Prize for Human Right ? Penerima pertama adalah Nelson Mandela pada 1989 dan yang terakhir adalah Recep Tayyip Erdogan (PM Turki) pada 2010. 


 Notatangan: Termuntah ketika melihat gambar-gambar mayat Qadzafi selepas makan nasi dalca...huhuhu...betapa peperangan itu amat mengerikan dan menjengkelkan.

22 October 2011

Kuliah Subuh : Mengingati Mati, Menghargai Hidup



Alhamdulillah, Persatuan Al-Islah Perlis bakal menganjurkan sekali lagi kuliah subuh pada 26 Oktober 2011 (Rabu) di Al-Islah Mata Ayer.

Besar harapan pihak pertubuhan semua ahli yang telah berdaftar dapat hadir bersama-sama rakan taulan, anak pinak dan saudara mara dalam majli ilmu ini. Pemilihan tarikh dan masa ini adalah untuk memberi peluang kepada semua ahli berhimpun tanpa diganggu jadual kuliah subuh di masjid masing-masing hendaknya.

Sumbangan makanan dan tajaan wang amat dialu-alukan.

10 October 2011

Dr Ismail Lutfi “Haji Eae” : Permata Ilmu Pattani Darus Salam


Oleh : Ibnu Ahmadain al-Barlisi

Berita Tun Mahathir Mohamad dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat (Pentadbiran Awam) bukanlah luar biasa memandangkan sudah lazim universiti-universiti seluruh dunia memberikan penghormatan kepada negarawan seperti beliau. Namun begitu, yang menarik adalah pemberi anugerah itu adalah Universiti Islam Yala di mana Rektornya adalah Syeikh Dr. Ismail Lutfi Bin Abdul Rahman Japakiya.

 Keterangan: Dr. Ismail Lutfi memakaikan “mishlah” kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS sempena penganugerahan ‘TOKOH ALIM RABBANI’ oleh Universiti Islam Yala pada 15 April 2011

PENDIDIKANNYA

Anak jati Pattani Darus Salam, beliau merupakan perintis warga Pattani yang dianugerahkan PhD daripada Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Sa’ud di Riyadh, Arab Saudi. Dengan tesis bidang Politik Islam berjudul Ikhtilaf al-Darayn wa Atharuhu fi Ahkam al-Munakahat wa al-Muamalah (Kesan Dua Negeri “Darul Islam” dan “Darul Harb” Pada Munakahat dan Muamalah Islam), karya beliau ini diterbitkan Darus Salam, Qahirah serta dibaca di seluruh dunia.


Sebelumnya beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda (B.A) Usuluddin di Universiti Islam Madinah dan seterusnya Ijazah Sarjana (M.A) Fiqh Perbandingan juga di Universiti Imam Muhammad Ibn Sa’ud. Sememangnya ilmu menjadi keutamaan beliau memandangkan beliau telah diasuh sejak kecil lagi oleh ayahandanya Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdul Latif, seorang ulama tempatan.

MAJLISUL ‘ILMI PATTANI : BERDAKWAH DENGAN MADRASAH DAN HALAQAH

Dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai “Haji Eae” atau “Baba Eae” iaitu kependekan kepada Ismail (Isma-e), Dr. Ismail Lutfi memiliki aset dakwahnya yang tersendiri. Mengulas “aura” beliau, Alexander Horstmann seorang orientalis Jerman yang mengkaji Islam di Selatan Thailand menulis:
“Lutfi’s personal charisma has ensured that, notwithstanding continuing traditionalist opposition to some of his views, he has emerged as one of the most popular religious scholars in Thailand. His fluency in Arabic allows him to demonstrate a deep knowledge of scripture that few in Thailand’s Islamic intelligentsia can match. He is also seen as a scholar who has the ability to simplify complex concepts of Islamic thought. His charisma and communicative skills have only added to concerns among traditionalist scholars that his brand of Islam will appeal to the younger generation”
[Karisma peribadi Dr. Ismail Lutfi memastikan, dalam menangani penentangan berterusan para tradisionalis terhadap sesetengah pandangannya, beliau muncul sebagai seorang yang daripada ulama paling popular seluruh Thailand. Kefasihannya berbahasa Arab membolehkan beliau mempamerkan pengetahuan al-Qur’an dan al-Sunnah yang mendalam, di mana tidak ramai cerdik pandai Thailand mampu menandinginya. Dr. Ismail Lutfi turut dilihat sebagai sarjana yang mampu mempermudahkan penjelasan konsep-konsep kompleks dalam pemikiran Islam. Karisma dan kemahiran berkomunikasi beliau hanya menambahkan kerisauan golongan tradisionalis bahawa “Islam” yang beliau ajarkan berupaya menambat hati anak-anak muda].





Hal yang disebut di atas semestinya tidak datang dengan magis atau kebetulan semata-mata. Bahkan sepulangnya dari perantauan, Dr. Ismail Lutfi berusaha siang dan malam mengasaskan kompleks pendidikan Madrasah al-Rahmaniah atau Sekolah Bambrung Islam Wittaya. Sekolah ini beliau jadikan wadah mendidik anak bangsanya dengan Pendidikan Islam menerusi sistem Nizami yakni persekolahan aliran agama yang formal. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memberikan galakan kepada sahabat-sahabat seperjuangan untuk mendirikan sekolah-sekolah swasta aliran agama di seluruh bumi Thailand.

Adapun untuk sistem ‘Umumi atau halaqah ilmu, digerakkan pula Majlisul ‘Ilmi Fatani berpusat di kampungnya Beraol, daerah Pujud, Pattani. Sebagai platform untuk mendidik masyarakat, dengan ilmu-ilmu aqidah, syariah dan akhlak berpandukan manhaj Salaf al-Salih, Majlisul ‘Ilmi Fatani menganjurkan pelbagai program Pengajian Islam untuk orang ramai. Antara lain adalah kuliah mingguan pada pagi sabtu dengan dibimbing oleh beliau sendiri di Masjid ‘Ibadur Rahman yang tersergam indah berkubah biru. Saban minggu lebih 1000 penuntut ilmu dari jauh dan dekat, termasuk dari Malaysia, dengan setia memenuhi kuliah beliau. Ada kalanya jumlah ini boleh mencecah 5000 orang.


Dengan wawasan dan perancangan strategik, teknologi media dimanfaatkan oleh beliau sejak sekian lama. Justeru itu ratusan jam siri kuliah beliau telah dirakam dalam bentuk kaset dan seterusnya cakera padat (cd) untuk rujukan orang ramai.



PENGARANG KARYA ISLAMI KONTEMPORARI DARI THAILAND

Merupakan seorang pengarang yang prolifik, Dr. Ismail Lutfi konsisten menulis pelbagai bahan Pengajian Islam dalam bahasa Melayu untuk memperkayakan kepustakaan bahasa Melayu di Thailand. Seterusnya ada penulisan tersebut diterjemahkan ke bahasa Thai oleh anak-anak buahnya. Sebahagian penulisan beliau yang telah diterbitkan dan ada dalam simpanan penulis adalah:

1. “Tafsir Zikril Hakim” atau dikenali juga “Tafsir Al-Bayan Mengenai Makna Al-Qur’an”
Bertekad untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan al-Qur’an dalam kalangan umat Islam negerinya, Dr. Ismail Lutfi memulakan projek raksasa mengarang tafsir al-Qur’an dalam bahasa Melayu bagi seluruh 30 juzuk al-Qur’an sejak tahun 1979 lagi. Kini lebih 40 surah sudah dapat disiapkan di mana ia turut dikuliahkan dalam Majlisul ‘Ilmi Fatani

(Tafsir al-Bayan)

2. “Penerangan Yang Manfaat Mengenai Dua Azan Dan Sunat Qabliyah Jumaat”
3. “Islam Agama Penjana Kedamaian Sejagat”
4. “Hayat al-Tayyibah: Dari Kalimah Tayyibah Sehingga Maskan Tayyibah” atau Kehidupan Yang Baik: Dari Kalimah Yang Baik (La Ilaha Illallah) Sehingga Tempat Kediaman Di Akhirat Yang Baik
5. “Adab al-Salihin”

6. “Pedoman I’tikaf” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan
7. “Risalah Qiyamullail”
8. Dan sebagainya

PERINTIS DIALOG ANTARA AGAMA DI THAILAND

Bermula pada Mei 2009 dan malah lebih awal dari itu, Dr. Ismail Lutfi turut aktif mempromosikan dialog antara agama khasnya di Selatan Thailand. Di antara wakil-wakil komuniti Islam, Buddhis, Kristian, Hindu dan Sikh, Dr. Ismail Lutfi telah dilantik sebagai Pengerusi Inter-Religious Council for Peace in Southern Thailand (Majlis Antara Agama Untuk Keamanan Selatan Thailand).
Keterangan: Dr. Ismail Lutfi mengendalikan mesyuarat Majlis Antara Agama Untuk Keamanan Selatan Thailand

Bertujuan mengukuhkan perhubungan, saling percaya dan memahami antara umat pelbagai agama, inisiatif ini disokong kuat oleh World Conference of Religions For Peace (WCRP) yang berafiliasi dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Mahidol’s University’s Research Centre For Peace (MURP) dan Kerajaan Thailand. Majlis Antara Agama ini bertekad mengukuhkan keimanan dan amalan penganut agama masing-masing menerusi pendidikan. Majlis ini turut mengemukakan cadangan-cadangan kreatif berhubung dengan penyelesaian konflik, jenayah dan keganasan di Selatan Thailand, serta menggantikannya dengan keamanan.

SUMBANGAN KEPADA NEGARA THAI DAN ARENA INTERNASIONAL


Dalam arena antarabangsa, Dr. Ismail Lutfi telah beberapa kali diberikan kepercayaan sebagai Amirul Hajj Thailand iaitu Ketua Rombongan Haji Penduduk Thailand. Hasil hubungan baik beliau dengan negeri dua tanah suci ini, kuota Haji penduduk Thailand telah dinaikkan 8 kali ganda iaitu daripada 2000 tempat kepada 16000 tempat keseluruhannya. Beliau turut berkhidmat sebagai ahli Lembaga Muslim World League atau Rabitah al-‘Alam al-Islami yang aktif di negara-negara minoriti umat Islam.

Keterangan: Jamaah Haji Thailand dengan tudung seragam mengaminkan doa sebelum penerbangan Haji di Lapangan Terbang Hatyai pada 5 Oktober 2011

Terhadap keganasan di Selatan Thai, Dr. Ismail Lutfi sehingga kini merupakan satu-satunya ulama Pattani yang menghasilkan bantahan ilmiah terhadap risalah “Berjihad Di Patani”. Risalah tanpa pengarang ini disebar luaskan bertujuan menyeru jihad bersenjata menurut pemahaman Manhaj Takfiri-Khariji pada tahun 2004. Dalam khutbah dan kuliah yang beliau sampaikan, beliau turut mengecam amalan pelampau agama yang menghalalkan jenayah dan keganasan atas nama Islam.

Atas sumbangannya yang besar terhadap umat Islam Thailand, Dr. Ismail Lutfi pernah dilantik sebagai Senator dalam Parlimen Thailand selepas rampasan kuasa tahun 2006. Beliau juga diberikan penghormatan sebagai ahli Suruhanjaya Perdamaian Kebangsaan dan Pakar Rujuk Kepada Chularachamontri Syaikhul Islam Thailand iaitu ulama lantikan Raja Thailand yang bertindak sebagai Mufti Thailand.

UNIVERSITI ISLAM YALA : “TAMAN ILMU” DI NEGERI SEJAHTERA DARUS SALAM

Selepas sekian lama menimba ilmu teori dan pengalaman praktikal mengendalikan institusi Pendidikan Islam, Dr. Ismail Lutfi mengorak langkah untuk mengasaskan universiti Islam swasta yang dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam Thailand. Bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya seperti Allahyarham Dr. Jihad Muhammad Abu Najah (PhD Hadith Universiti Ummul Qura’), Dr. Abdul Halim Ahmad Saising (PhD Syariah Universiti Islam Madinah), Dr. Ahmad Omar Chapakia (PhD Universiti Malaya) serta lain-lain tokoh kecil dan besar yang berusaha bersama-sama, Dr. Ismail Lutfi telah menubuhkan Universiti Islam Yala pada tahun 1998.




(Keterangan: Gambar pintu utama kampus Universiti Islam Yala)

Masyhur dengan nama bahasa Arabnya iaitu Kulliyyah Islamiyyah Jala, Universiti Islam Yala disokong kuat oleh hampir seluruh dunia Islam. Akhirnya, Universiti Islam Yala dengan gigih telah menyumbang kembali kepada umat Islam sejagat apabila berupaya mendidik mahasiswa/i daripada seluruh dunia seperti dari Kemboja, China, Indonesia, Malaysia, Amerika Syarikat, Sweden dan Pakistan. Pencapaian Universiti Islam Yala ini turut diiktiraf oleh Kerajaan Thailand khasnya menerusi lawatan Putera Maha Vajiralongkorn Sayammakutratchakuman, Putera Mahkota Thailand pada tahun 2005.

DR. ISMAIL LUTFI DAN PERSATUAN AL-ISLAH PERLIS


Di Negeri Perlis, Dr. Ismail Lutfi bukanlah seorang ulama yang asing. Bahkan beliau sentiasa diundang oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kerajaan Negeri Perlis serta Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan untuk menyampaikan ilmu. Bagi Persatuan Al-Islah Perlis sendiri, kali terakhir beliau dijemput secara rasmi adalah sebagai ahli panel Forum Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Senusantara (FASS) 2010 pada 12 Jun 2010. Forum besar-besaran ini turut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-10 DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perlis dengan baginda sendiri menyampaikan titah perasmian.


Keterangan: Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis dan Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis membuat kunjungan hormat kepada Dr. Ismail Lutfti. Turut kelihatan adalah Timbalan Rektor, Dr. Ahmad Omar Chapakia

Meskipun sudah agak lama tidak bertamu ke tempat kami, kehadiran beliau telah dan akan sentiasa diberikan sambutan hangat di Negeri Perlis umumnya dan di Persatuan Al-Islah Perlis khususnya. Dalam pengalaman penulis, sekiranya rombongan Persatuan Al-Islah Perlis hadir mengikuti pengajian pagi sabtu pimpinan beliau di Masjid ‘Ibadur Rahman Beraol atau menjejakkan kaki ke Kampus Universiti Islam Yala, dalam kesibukan beliau pasti cuba meluangkan biarpun sedikit masa untuk bertanya khabar sambil mengeratkan ukhuwwah Islamiyyah.

Kepada Dr. Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya, kami di Persatuan Al-Islah Perlis mendoakan Universiti Islam Yala terus maju sebagai menara gading milik umat Islam yang unggul di rantau ini. Moga-moga Allah menjadikan ikatan persahabatan dan kekeluargaan antara umat Islam dua negara ini akan terus kukuh dan berkekalan.

05 October 2011

Dr. Mahathir Di YIU : Umat Islam perlu kuasai ilmu Sains

Pada 4 Oktober 2011, akhbar Utusan Malaysia melaporkan sekali lagi penganugerahan Ijazah Kehormat yang amat bermakna daripada Universiti Islam Yala kepada Dr. Mahathir Mohamad. Berita di halaman 6 tersebut telah dilaporkan oleh Yulpisman Ali. Selain keratan di bawah, boleh juga rujuk di sesawang http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

YALA, Thailand 3 Okt. - Umat Islam perlu menguasai dan meneroka pelbagai ilmu baharu terutama dalam bidang sains dan teknologi supaya mereka mampu bersaing dengan bangsa lain di dunia, seterusnya membina kembali ketamadunan umat. 
 Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, umat Islam seharusnya menguasai semua cabang ilmu terutama bidang sains dan teknologi sekiranya tidak mahu ketinggalan di belakang, walaupun suatu ketika dahulu pernah menerokai pelbagai ilmu sehingga dicemburui oleh orang bukan Islam.
Sila 'klik' gambar untuk proses pembesaran.


 Beliau berkata, penguasaan ilmu juga dapat mengelakkan umat Islam dikuasai oleh emosi yang hanya mendorong manusia mengikut perasaan dalam tindak-tanduk mereka dan sekiranya tidak dibendung, boleh mencetuskan huru-hara serta membawa keadaan buruk.
 Pada masa sama, Dr. Mahathir mengingatkan cendekiawan Islam supaya tidak pula menyalahgunakan ilmu mereka sehingga membawa kerosakan kepada masyarakat dan diri sendiri.


 "Selain penguasaan ilmu, kita tidak harus lupa tentang ajaran agama kita yang memberi panduan kepada cara hidup orang Islam dan cara hidup itu adalah cara hidup yang terbaik. Ini bergantung bagaimana kita gunakan ilmu kita untuk membentuk satu masyarakat baik," katanya di sini, hari ini.
 Beliau memberi ucapan perdana selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) dari Universiti Islam Yala (YIU) di sini. Anugerah disampaikan oleh Presiden Majlis Senat YIU, Wan Muhammad Nor Matha.


 Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wong Sawad dan Rektor YIU, Dr. Ismail Lutfi Chapakeya. Dalam ucapannya di hadapan lebih 1,000 tetamu jemputan, ahli Senat YIU, pensyarah dan penuntut universiti itu, Dr. Mahathir turut berkongsi kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara aman dan membangun walaupun mempunyai penduduk berbilang agama dan kerajaan diketuai oleh orang Islam.


 "Walaupun pemerintahannya dikepalai oleh orang Islam, kita berpegang kepada pemerintahan adil yang dikehendaki oleh agama Islam. Justeru, kita dapati di Malaysia keadaan aman dan kerana keadaan itu, maka kita dapat bangunkan negara dengan lebih pesat dan berjaya.
 "Walaupun terdapat sebuah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan bukan Islam, tetapi kita bekerjasama dalam kerajaan dan dapat menentukan keadaan dalam negara kita terus aman dan membangun dengan pesatnya.


 "Ini adalah hasil ilmu yang dikuasai pemimpin di Malaysia, kerana ilmu membolehkan mereka membuat penilaian terhadap apa boleh dilakukan dan apa tak boleh dilakukan untuk mengelak huru-hara dalam negara," katanya.
 Mengenai wilayah selatan Thailand, Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus bersyukur kerana secara umumnya hubungan antara Thailand dengan Malaysia adalah baik dan rapat.


 "Saya juga amat berbangga melihat umat Islam di Thailand hidup dengan sempurna dan dapat juga mendirikan sebuah universiti Islam yang sudah tentu mendapat keizinan daripada kerajaan Thailand. Inilah kebebasan yang harus dihargai oleh kita," katanya.

 Pada sidang media kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, Malaysia sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan dengan memperuntukan kira-kira 25 peratus belanjawannya untuk bidang tersebut, sehingga mampu menawarkan bidang pendidikan bukan sahaja untuk rakyat sendiri tetapi juga kepada warga asing. - Utusan

YIU anugerahkan Ijazah Kehormat kepada Dr. M

Pada 4 Oktober 2011, akhbar Utusan Malaysia melaporkan penganugerahan Ijazah Kehormat yang amat bermakna daripada Universiti Islam Yala kepada Dr. Mahathir Mohamad. Berita di halaman 6 tersebut telah dilaporkan oleh Yulpisman Ali. Selain keratan di bawah, boleh juga rujuk di sesawang http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm.

Sila 'klik' pada gambar untuk proses pembesaran.

YALA, Thailand 3 Okt. - Universiti Islam Yala (YIU) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai menghargai peranan besar beliau di peringkat antarabangsa. 


 Anugerah itu juga bagi menghargai sumbangan Dr. Mahathir dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga sehingga turut membanggakan umat Islam di seluruh dunia.



Dr. Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam) daripada Wan Muhammad Nor Matha di Universiti Islam Yala, Thailand, semalam.




 Anugerah tertinggi itu disampaikan oleh Presiden Majlis Senat YIU, Wan Muhammad Nor Matha pada majlis konvokesyen khas di universiti berkenaan yang dihadiri lebih 1,000 tetamu jemputan, ahli senat, pensyarah dan penuntut.


 Turut hadir, bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wong Sawad dan Rektor YIU, Dr. Ismail Lutfi Chapakeya. 


 Somchai dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Mahathir dan juga rakyat Malaysia amnya.


 Beliau berkata, selain menjadi Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber dan berjaya mengemudi Malaysia sebagai sebuah negara moden dan makmur, Dr. Mahathir juga merupakan tokoh pemimpin yang dihormati di persada antarabangsa terutama di negara Thailand dan ASEAN.


 Katanya, kesudian Dr. Mahathir menerima ijazah kehormat daripada YIU merupakan tanda penghormatan tidak ternilai kepada warga Thailand.


 "Ia juga tanda jalinan muhibah antara dua negara berjiran serta kerjasama intim ke arah membina pembaharuan di sudut pembelajaran dan pendidikan menuju kedamaian sejagat,'' katanya.


 Beliau menambah, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi bagi warga Thailand.


 "Sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir telah banyak memberi peluang kepada anak-anak dari Thailand menyambung pelajaran mereka di setiap peringkat, demikian juga peluang pekerjaan dan hubungan ekonomi," katanya.


 YIU ditubuhkan pada 1998, merupakan universiti Islam swasta pertama di Thailand hasil usaha gigih sekumpulan anak muda Islam, pemimpin masyarakat dan ahli politik yang menerima pendidikan daripada universiti tempatan dan luar negara.


 Sebelum itu, ia dikenali sebagai Kolej Islam Yala sebelum dinaik taraf menjadi sebuah universiti oleh kerajaan Thailand pada 2007.


 Ketika ini, terdapat lebih 3,000 penuntut termasuk 100 pelajar luar negara termasuk dari Malaysia, yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda dan sarjana dalam bidang agama, bahasa, sains sosial, sains teknologi dan pendidikan. - Utusan

03 October 2011

Sisipan Dari Utusan Online : Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan.


Daulat Tuanku Raja Muda Perlis, kami Persatuan Al-Islah Perlis berdiri teguh di belakang tindakan Tuanku. Semoga Allah senantiasa memberi taufik dan hidayah kepada Tuanku dan kaum kerabat Diraja Perlis.


ARKIB : 01/10/2011

Raja Muda arah turunkan gambar tokoh di kedai makan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat Agrobank Cawangan Simpang Empat sambil diiringi Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman (kiri) di Kangar, semalam.


KANGAR 30 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar para peniaga terutama peniaga kedai makan menurunkan gambar-gambar tokoh tertentu di kedai masing-masing yang bertujuan untuk melariskan jualan.

Baginda bertitah, tindakan para peniaga itu adalah haram dan merupakan perkara karut yang harus dihapuskan.

"Saya dapati masih ada peniaga menggantung gambar tokoh-tokoh tertentu dengan niat untuk melariskan jualan dan menolak sial, sedangkan perkara tersebut adalah haram, justeru saya harap mereka faham dengan perkara ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2010 oleh Agrobank di Simpang Empat, dekat sini, hari ini.

Titah baginda, larangan menggantung gambar bertujuan untuk melariskan jualan telah dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs), malah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2008 telah memutuskan perkara tersebut sebagai haram.

"Banyak cara lain untuk meraih keuntungan, sama ada berdoa dan kerja kuat selain para peniaga harus lebih kreatif untuk berjaya," titah baginda.

Dalam pada itu baginda bertitah, sumbangan oleh sektor korporat merupakan kerjasama yang diberikan kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

"Kita tidak perlu berkira tentang jumlah disumbangkan, yang penting adalah keberkatan terhadap sumbangan yang diberi," titah baginda.

Pada majlis tersebut Agrobank diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman menyerahkan zakat sebanyak RM36,159 kepada Baitulmal Perlis dan RM40,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra.
Selain itu, Agrobank turut menyumbang zakat yang diagihkan kepada asnaf anak yatim dan asnaf fakir miskin berjumlah RM34,622.

Menurut Wan Mohd. Fadzmi, sumbangan itu adalah selaras prinsip Agrobank sebagai sebuah bank prihatin.
"Agrobank berhasrat membantu golongan fakir miskin yang tidak bernasib baik termasuk ibu tunggal dengan membuka peluang kepada mereka memajukan diri dalam bidang ekonomi," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad, Agrobank turut menyerahkan komputer kepada 10 buah sekolah di negeri ini.

Dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm