KANGAR 5 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu anggota pentadbiran negeri bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan akauntabiliti, tetapi juga berusaha memikat pelabur untuk negeri ini.
Baginda bertitah, setiap pelaburan di Perlis secara tidak langsung akan turut membantu memangkin pembangunan negeri ini.
"Wakil rakyat yang bertanggungjawab sebagai anggota pentadbiran negeri juga perlu sentiasa mengadakan jaringan dengan pelabur asing dan agensi-agensi kerajaan persekutuan," titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan kelima, Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.
Raja Perlis turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi pelbagai bantuan untuk pembangunan negeri ini.
"Tanpa insentif itu, sememangnya sukar untuk Perlis mencapai kemajuan yang diharapkan," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu amalan perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta diperkukuh sebagai mekanisme penggerak ekonomi.
"Melalui perkongsian awam dan swasta, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan awam, mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan proses pelaburan," titah baginda.
Baginda juga mahu anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam mempunyai gandingan yang hebat selain bijak menguruskan masa dan membuat keputusan mengikut keutamaan.
Sebelum itu, baginda yang diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid memeriksa kawalan kehormatan terdiri 102 anggota dan tiga pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketua oleh Deputi Supritendan Alexandra Dawam di dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.
Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dewan akan bersidang selama dua hari sehingga esok. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment