28 October 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Haram dua beradik kahwin serentak?

bersama Dr.Fadlann Mohd. Othman

ASSALAMUALAIKUM USTAZ,
Saya ingin meminta pandangan ustaz mengenai kepercayaan sesetengah pihak bahawa dua orang adik-beradik perempuan yang berkahwin pada tahun atau bulan Islam yang sama, akan mendatangkan perkara yang tidak baik kepada mereka.

Adakah perkara tersebut ada terdapat di dalam al-Quran ataupun hadis sahih. Mohon ustaz jelaskan perkara ini yang saya lihat telah menjadi kepercayaan dan ketaksuban sesetengah pihak.

Yang Keliru, Selangor

Kahwin 5 beradik

 
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Sebelum saya menjawab soalan saudari, suka saya merumuskan keadaan Malaysia semasa zaman kemasukan Islam. Sebelum Islam tiba di Malaysia, masyarakat di kepulauan Tanah Melayu dan juga di nusantara, majoriti ialah penganut animisme iaitu kepercayaan kepada kehebatan roh nenek-moyang.

Apabila pedagang-pedagang Islam membawa Islam ke kawasan nusantara ini, Alhamdulillah masyarakat di sini menerima dengan baik, kerana terkesan dengan akhlak mulia mereka. Namun, kepercayaan animisme yang menebal masih belum terhakis sepenuhnya. Masih terdapat banyak kepercayaan ataupun setidak-tidaknya minat yang mendalam terhadap perkara-perkara mistik dan ghaib.

Kepercayaan ini adalah merangkumi persoalan yang dilontarkan, iaitu 'sial'. Untuk tambahan maklumat, sila rujuk sejarah Islam di nusantara, khususnya buku Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam oleh Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah.

Seterusnya, apabila saya membaca soalan saudari, terus saya teringat kepada beberapa hadis yang melarang daripada beberapa bentuk kepercayaan. Antaranya hadis berikut, "Perasaan bahawa sesuatu perkara itu sial adalah merupakan syirik. Setiap seorang daripada kita akan diuji dengannya. Namun, Allah akan menghilangkan perasaan ini dengan tawakal" (Hadis riwayat al-Imam Ahmad, No. 3557. Al-Shaikh Ahmad Syakir berkata: Sanadnya Sahih).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menganggap sesuatu perkara itu sebagai sial adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Erti sial adalah lawan kepada tuah, tidak beruntung, selalu gagal untuk mendapatkan sesuatu dan selalu ditimpa kecelakaan.

Tidak terdapat dalam Islam kepercayaan bahawa sesuatu tempat, masa, mahupun individu manusia itu merupakan sial. Hadis ini juga mengajar kita bahawa dasar utama dalam hidup muslim dan muslimah ialah sentiasa bertawakal kepada Allah Taala dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya.

Apabila insan telah mengorak langkah untuk sesuatu perkara; jika hasilnya baik dan tuah maka itu adalah qada dan qadar. Sebaliknya; jika hasilnya buruk dan celaka, maka itu juga adalah qada dan qadar. Di sinilah terserlahnya perbezaan di antara muslim dan kafir. Muslim sentiasa beriman dengan qada dan qadar, jika baik dia akan bersyukur manakala jika buruk dia akan bersabar.

Rasulullah SAW telah bersabda, "Amat ajaib keadaan orang Islam. Keseluruhan keadaannya adalah baik. Perkara ini tidak hanya berlaku kepada orang Islam sahaja. Jika diberi kegembiraan dia akan bersyukur, dan itu baik untuknya. Jika ditimpa kemudaratan dia akan bersabar, dan itu baik untuknya. " (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 5323)

Justeru, tiada dalil daripada al-Quran mahupun hadis yang menunjukkan haram dua adik beradik perempuan berkahwin pada tarikh yang sama, minggu yang sama, bulan yang sama mahupun tahun yang sama. Setiap hari adalah hari yang penuh keberkatan di dalam kalendar Islam.

Kekuatan jati diri muslim dan muslimah sepatutnya dapat menangani persepsi ini. Umat Islam semestinya merupakan umat yang hebat dengan mendahulukan firman Allah Taala dan hadis Nabi SAW terhadap segala apa kepercayaan kaum yang bertentangan dengan roh Islam. Mantapkanlah diri kita dengan kehebatan tawakal iaitu pergantungan sepenuhnya kepada Allah al-Samad; Tuhan yang merupakan sumber pergantungan sekelian makhluk.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121028/re_12/Haram-dua-beradik-kahwin-serentak © Utusan Melayu (M) Bhd

27 October 2012

UTUSAN: Al-Islah asas perjuangan para Anbiya

Oleh DATUK WAN ZAHIDI WAN TEH
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap kepada warga Imam dan Jawatankuasa Masjid seluruh negara pada 19 Julai 2012 di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah menyeru para imam agar bersama kerajaan menjayakan Program Transformasi Negara melalui pendekatan Al-Islah. Pada hakikatnya islah atau perubahan ke arah kebaikan ialah risalah para anbiya' dalam perjuangan membangun ummah seperti dinyatakan dalam surah Hud ayat 11 yang maksudnya: "Aku hanya bertujuan melakukan Islah sedaya-upayaku..."

Dalam al-Quran perkataan yang berasal daripada kata dasar (so-la-ha) diulangi sebanyak 169 kali. Ini membuktikan betapa penting pendekatan Islah dalam perjuangan para Anbiya.

Perdana Menteri juga menekankan pelaksanaan pendekatan Islah yang menyeluruh dalam segenap bidang pembangunan negara. Dan dalam konteks perhimpunan itu, contoh yang paling dekat ialah usaha kerajaan mengislahkan taraf kehidupan para imam dengan menaikkan elaun mereka melepasi tahap kemiskinan.

Contoh yang dikemukakan itu walaupun pada zahirnya kelihatan agak sederhana, namun jika kita meneliti nas syarak-syarak, ia merupakan antara matlamat penting daripada program Islah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan merupakan sebahagian daripada jihad fisabilillah.

"Bukanlah yang dikatakan jihad itu orang yang menggunakan pedang dalam perang jihad semata-mata; tetapi adalah termasuk dalam jihad juga orang yang menanggung nafkah dua ibu bapanya; orang yang menanggung nafkah anaknya, maka ia juga seorang yang berjihad; dan sesiapa yang berusaha untuk menyara dirinya supaya tidak meminta-minta kepada manusia, maka ia juga termasuk dalam pengertian jihad (riwayat Ibnu 'Asakir)"

Daripada riwayat-riwayat yang dipaparkan di atas, jelas bahawa usaha-usaha kerajaan menjayakan program transformasi negara bagi memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat adalah sebahagian daripada jihad yang dituntut dalam Islam bagi mencapai maqasid al syariah atau matlamat yang disasarkan oleh syarak dalam kehidupan manusia.

Jika kita mengamati sirah Rasulullah SAW, kita dapati pendekatan Islah secara menyeluruh telah dilaksanakan dalam proses pembentukan negara Islam pertama di Madinah. Sebaik-baik tiba di Yathrib, antara langkah awal yang diambil oleh Rasulullah ialah menukar nama tempat itu kepada Madinah.

Ini kerana Yathrib mencerminkan corak kehidupan lama mengikut sistem kabilah yang tidak memiliki daya maju dan tidak sesuai dengan pembinaan umat yang memiliki tamadun yang tinggi. Ini berbeza dengan Madinah (Bandar) yang menjadi asas kepada pembinaan dan perkembangan sesebuah tamadun.

Nama baru ini begitu penting di sisi Rasulullah SAW sehingga mereka yang masih menyebut Yathrib diminta beristighfar, seperti yang tersebut dalam Hadis riwayat Imam Ahmad: "Sesiapa yang menyebut Madinah sebagai Yathrib maka hendaklah ia beristighfar kepada Allah; ia adalah nama yang baik, ia adalah nama yang baik".

Selain daripada aspek kerohanian - akidah, ibadah, akhlak yang menjadi roh kepada kehidupan umat, maka pembangunan dalam aspek kehidupan dunia juga diberi perhatian yang seimbang. Ini bukan sahaja terjelma dalam tindakan tetapi juga dalam doa yang diajar oleh Rasulullah SAW seperti doa berikut yang maksudnya:

"Ya Allah! Islahkanlah urusan agamaku yang menjadi penyelamat segala urusanku, dan islahkanlah urusan dunia yang aku hidup di dalamnya." (Riwayat Muslim).

Antara bidang yang diberi keutamaan oleh Rasulullah SAW dalam program Islah di negara Islam yang pertama ini ialah aspek ekonomi. Ini memandangkan ekonomi bukan sahaja menjadi nadi bagi kehidupan harian umat, tetapi juga penting dalam pelaksanaan jihad bagi mempertahankan negara dan dakwah, dan juga dalam urusan-urusan ibadah.

Ekonomi Madinah pada ketika itu seperti perdagangan dan perusahaan dikuasai oleh orang Yahudi iaitu penduduk yang lebih awal menduduki Yathrib. Bagi memecahkan monopoli Yahudi ini, Rasulullah SAW membuka pasar baru bagi orang Islam. Baginda menyamakan peniaga-peniaga yang berniaga di pasar ini sebagai seorang mujahid di jalan Allah.

Ini bermakna memiliki kerjaya adalah satu ibadah. Dan usaha kerajaan mewujudkan pekerjaan adalah juga ibadah. Kerana setiap perkara yang disukai oleh Allah adalah ibadah. Dalam bidang pendidikan Rasulullah SAW mewajibkan umat Islam menuntut ilmu.

Memandangkan amat sedikit mereka yang tahu menulis dan membaca sewaktu kedatangan Islam, maka antara langkah awal yang diambil ke arah membina sebuah negara yang berteraskan ilmu ialah usaha membasmi buta huruf.

Rasulullah SAW meminta sesiapa yang boleh mengajar supaya mengajar orang lain. Tawanan Perang Badar yang mampu mengajar dibenarkan menebus diri mereka dengan mengajar sepuluh anak orang Islam menulis dan membaca. Rasullullah juga meminta para sahabat supaya mempelajari bahasa-bahasa asing yang digunakan pada ketika itu seperti bahasa Parsi, Rumawi, Qibti dan Hebrew.

Adalah jelas daripada apa yang dipaparkan di atas bahawa pendekatan Islah yang syumul meliputi segenap bidang kehidupan yang dilaksanakan di negara ini berpandukan hidayat dan contoh sepertimana yang diamalkan oleh Rasullullah SAW ketika membangun Madinah sebagai sebuah negara Islam.

Maka seruan Perdana Menteri agar para Imam bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan Program Transformasi Negara amat tepat dengan kedudukan mereka sebagai pewaris dan penerus risalah yang dibawa oleh para Ambiya. Ini juga selari dengan perintah al-Quran supaya umat Islam saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan takwa (Al-Maidah 2).

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121019/re_06/Al-Islah-asas-perjuangan-para-Anbiya © Utusan Melayu (M) Bhd

13 October 2012

UTUSAN: Agama atau kreativiti?

ANTARA adegan filem Hantu Bonceng yang pernah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan Zizan Razak terpaksa memohon maaf secara terbuka.
BERCAKAP mengenai isu berkaitan agama sememangnya memerlukan seorang yang arif dan mampu memberikan jawapan yang disokong dengan hadis atau pun dalil.

Sebab itu apabila mahu menghasilkan karya yang ada kaitan dengan agama, penggiat seni di negara ini perlu merujuk kepada golongan ulama mahupun individu yang berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama.

Ini bagi memastikan apa yang dihasilkan mereka tidak lari daripada landasan Islam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya, kebebasan berkarya tidak seharusnya disalahgunakan, malah perlu ada landasan dan batasan yang betul sebelum ia dibawa ke khalayak ramai.

"Tidak salah untuk kita berkarya tetapi dalam masa yang sama perlu ada bimbingan dan panduan daripada sudut syariah.

"Setiap perkara yang dipaparkan seharusnya dinilai dengan teliti agar tidak ada kesalahan dalam mentafsir sesuatu babak.

"Kita ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga ulama dalam memastikan karya yang dihasilkan tidak menyimpang daripada ajaran Islam.

"Kena ada pandangan daripada pihak mereka agar apa yang dipertontonkan nanti tidak merosakkan akidah umat Islam yang menontonnya," jelas Fathul Bari.

Fathul Bari turut memberitahu, sebaik-baiknya biarlah watak yang mahu dibawakan oleh seseorang pelakon itu dilakukan kajian terlebih dahulu agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

"Ini antara risiko yang perlu dihadapi oleh penggiat seni bagi memastikan apa yang mereka paparkan sejajar dengan agama. Kena perlu berhati-hati. 


Fathul Bari Mat Jahaya

"Namun dalam masa yang sama, penonton juga perlu memainkan peranan yang penting dan peka dengan perkara sebegini.

"Jika ada mana-mana penonton yang perasan mengenai perkara sebegini, bertindaklah dengan melaporkan kepada pihak-pihak tertentu.

"Jangan hanya cakap sahaja. Agama bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan," katanya.

Fathul Bari berpandangan, mungkin ada segelintir pengarah atau penggiat seni visual yang bertindak sendiri dalam memperkenalkan karya mereka di kaca televisyen mahu pun di layar perak.

"Apabila bercakap mengenai perkara sebegini, yang mana satu lagi penting? Agama atau kreativiti?

"Sebagai seorang yang beragama Islam, individu itu sepatutnya tahu apa yang perlu diutamakan," jelasnya.

Menyentuh mengenai filem Hantu Kapcai yang memasukkan elemen dari sudut pandangan roh yang melihat kembali apa yang dilakukan oleh keluarganya setelah dia mati, Fathul Bari berkata, perkara tersebut sebenarnya salah dari sudut agama kerana tiada bukti atau dalil yang menyokong situasi berkenaan.

"Itu merupakan satu fahaman yang tidak sahih dan tidak ada dalil yang menyatakan perkara ini.

"Kisah mengenai roh si mati akan datang melihat keluarganya adalah tidak benar sekali.

"Ini adalah cerita bawaan mulut dan merupakan kefahaman yang tidak sahih.

"Perkara sebegini perlu diteliti dengan serius kerana risau bercanggah dengan akidah.

"Janganlah kerana kreativiti, agama dibelakangi dan beranggapan individu yang tidak dapat menerima idea tersebut adalah jumud dan ketinggalan zaman," jelasnya.

Mahu atau tidak, setiap sajian yang mahu dihidangkan kepada masyarakat, tidak kira melalui filem mahu pun drama, perlu ada panduan yang cukup teliti agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

Walau apa pun isu yang diperdebatkan, apa yang pasti, setiap idea yang dikeluarkan haruslah dicorak dengan penuh perhatian agar tidak mencetuskan perkara yang membabitkan isu agama. Yang lebih penting tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak memesongkan akidah. Masih banyak lagi cara lain untuk berkarya.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121009/hi_02/Agama-atau-kreativiti#.UHYREwafChg.facebook#ixzz29CVLw1on © Utusan Melayu (M) Bhd

UTUSAN: Pertahankan keamanan

MINGGUAN: Secara umum apa pandangan peribadi Sheikh terhadap Malaysia? Apa yang membuatkan Malaysia berbeza dengan negara-negara Islam yang lain?

MOHAMMAD KHALIFA: Untuk mengetahui mengenai Malaysia perlu ditanya orang pernah tinggal di sini. Saya telah tinggal di Malaysia selama enam tahun. Secara peribadi saya ada ikatan dengan negara ini. Malaysia ada kekuatan dari sudut keamanan, politik, ekonomi dan pembangunannya. Jika dilihat di seluruh dunia khususnya dalam kalangan negara-negara Islam, saya mendapati Malaysia adalah negara terbaik dan boleh dijadikan contoh dari sudut keamanannya. Saya juga melihat Malaysia sebuah negara yang sangat stabil dari sudut politik dan ekonominya. Jika dilihat dari sudut ekonomi, Malaysia berada pada kedudukan ke hadapan dalam kalangan negara-negara Islam. Begitu juga dengan wujudnya pelbagai bangsa, kaum dan agama yang mana terlihat corak kehidupan yang begitu bertoleransi. Kehidupan saya di sini bukti bahawa negara ini sebuah negara yang aman yang penuh sifat toleransinya. Keadaan ini sama dengan kisah tertubuhnya Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu) di sini.

Bagaimana tercetusnya idea untuk meletakkan universiti ini di Malaysia?

MOHAMMAD KHALIFA: Peringkat awalnya kami berbincang dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau secara terbuka menawarkan kami datang ke Malaysia dan menubuhkan universiti ini di sini. Dalam masa yang sama kami juga ada menerima tawaran lain seperti di Bahrain dan di United Kingdom (UK). Tetapi oleh kerana kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia ketika itu menyebabkan kami terpanggil untuk mengasaskan universiti di sini. Kerajaan Malaysia juga cukup membantu dengan memudahkan serta melicinkan penubuhan universiti.

Apakah faktor-faktor lain yang mendorong pihak Sheikh menubuhkan universiti ini di Malaysia?


MOHAMMAD KHALIFA: Malaysia merupakan antara negara Islam yang boleh dianggap sebagai tonggak, contoh daripada sudut kemajuannya, pembangunannya, kestabilan politiknya dan keamanannya. Sebab itu kami membuat keputusan untuk meletakkan universiti ini di Malaysia. Keputusan ini juga ada kaitannya dengan kecenderungan kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan. Kami juga mendapati urusan di sini iaitu antara kementerian -kementerian begitu mudah dan lancar terutama yang membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). KPT telah menghulurkan bantuan yang cukup besar kepada kami.

Adakah faktor keamanan, kestabilan politik serta ekonomi penting kepada keputusan tertubuhnya universiti ini di Malaysia?


MOHAMMAD KHALIFA: Memang tidak dinafikan lagi dari sudut pandangan dunia terutama negara-negara Islam terhadap Malaysia dari sudut kestabilan politik dan ekonominya Malaysia kehadapan. Begitu juga dengan kemajuan prasarana serta faktor keamanannya. Apa yang lebih menarik adalah penguasaan dan kepakaran rakyat Malaysia khususnya dalam bidang-bidang teknikal seperti teknologi maklumat. Kami memanfaatkan kepakaran rakyat Malaysia dalam membantu kami untuk mencapai tahap yang lebih baik daripada sudut teknikal, latihan serta pengajian. Kami meyakini Malaysia sebagai sebuah negara yang lengkap dan sempurna. Dan atas faktor-faktor itu kami terpanggil untuk tubuhkan universiti di sini. Keadaan yang seperti ini sangat penting untuk memastikan kejayaan sesuatu institusi. Alhamdulillah tonggak-tonggak yang membawa kejayaan semuanya ada di Malaysia.


Sama ada Sheikh sedar atau tidak sedar perpaduan sebenarnya telah menjadi isu di Malaysia sejak sekian lama ekoran berlakunya perbezaan ideologi politik. Boleh Sheikh memberi penjelasan bahawa Islam menuntut umatnya bersatu tanpa mengira ideologi politik?
MOHAMMAD KHALIFA: Jika kita teliti di dalam al-Quran dan as-Sunnah, Islam menuntut perpaduan dan menentang segala bentuk perpecahan. Banyak ayat al-Quran yang membicarakan soal perpaduan antaranya surah ali-Imran ayat ke 103:''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai.''

Dalam satu lagi firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat ke 92 ''Sesungguhnya umat (para anbiya') ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah Aku.''

Kedua-dua ayat merupakan perintah Allah untuk kita bersatu dan larangan daripada berpecah. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam. Perpaduan ini penting iaitu dari hujung timur hingga ke barat iaitu di mana-mana sahaja yang ada umat Islam. Perpaduan akan memberi kekuatan. Pertelagahan pula jika isu ini tidak dibendung dengan baik ia akan membawa kepada perpecahan yang tercela. Oleh itu setiap perselisihan yang berlaku hendaklah diselesaikan dengan adab dan bukannya melalui persengketaan yang akhirnya membawa kepada perpecahan. Sebab apa kita perlu terus berselisih dan berpecah sedangkan dalam keadaan sekarang pun dunia Islam dan negara Islam telah dihina manakala hak-hak orang Islam telah diambil. Adakah kita mahu berterusan dalam keadaan seperti ini. Sepatutnya kita memikirkan perpaduan antara kita. Ini juga merupakan agenda orang yang benci dan anti kepada Islam di mana mereka sentiasa merancang untuk menjatuhkan Islam.

Kita berpecah daripada pelbagai sudut. Berpecah di sudut akhlak, berpecah di sudut perpaduan dan antara puncanya disebabkan berbeza ideologi politik.

Oleh itu jika kita tidak kembali apa yang dituntut oleh Islam sudah tentu kita terus berada dalam keadaan hina. Sebenarnya banyak kelebihan yang Allah SWT berikan kepada negara-negara Islam dan ini semuanya adalah hikmah yang Maha Esa kepada kita. Antaranya di negara-negara Islam terdapat sumber petroleum, hasil pertanian serta bahan-bahan galian yang sangat banyak. Umat Islam juga tidak kurang hebatnya dalam bidang teknikal dan pelbagai bidang lain. Ini semua adalah anugerah Allah kepada kita. Namun begitu kita terus berpecah dan akibatnya juga terdapat umat Islam yang hidup di dalam kejahilan dan kefakiran. Cukuplah perpecahan yang berlaku ketika ini. Persoalannya mengapa kita terlalu tertumpu kepada perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita berpecah. Mengapa kita tidak mencari titik temu dalam kita membina semula perpaduan serta kekuatan?

Dalam konteks perpaduan di Malaysia, mahu tidak mahu kita terpaksa akui punca berlakunya perpecahan adalah disebabkan wujud perbezaan ideologi politik. Secara spesifik berlaku pertembungan antara UMNO dan Pas. Apa pandangan Sheikh?

MOHAMMAD KHALIFA: Kita perlu melihat dari sudut pandangan yang lebih luas. Kita tidak harus bersifat jumud dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku sesama umat Islam. Pertembungan antara parti politik jika kita mahu jadikannya titik perpecahan, titik perselisihan itu merupakan satu pandangan yang amat salah.

Sewajarnya parti-parti politik ini perlu memikirkan tentang hal dan masalah perpecahan umat yang lebih besar. Sesungguhnya jika mereka berpadu dan bersatu, ia akan memberi kekuatan.

Nasihat saya, mereka perlu bermuzakarah dengan berlapang dada dan terbuka. Mereka ini pemimpin-pemimpin umat, maka mereka perlu memberi contoh yang terbaik. Saya yakin melalui proses perbincangan ia boleh membuka ruang dalam usaha kedua-dua pihak mencari titik persamaan. Saya ingin menyentuh satu perkara iaitu selama ini mereka adalah punca menyebabkan negara ini membangun, negara ini maju. Oleh itu kita jangan sama sekali gadaikan kebaikan-kebaikan yang telah mereka lakukan kepada kita dengan menolak mentah-mentah tanpa ada perbincangan dan toleransi terutama dalam usaha menyelesaikan permasalahan umat.

Setiap umat Islam di negara ini tanpa mengira ideologi politik masing-masing wajib mempertahankan keamanan negara. Apa pendapat Sheikh?


MOHAMMAD KHALIFA: Menjadi kewajipan kita setiap umat Islam mempertahankan keamanan sedia ada. Bukan itu sahaja bahkan kita perlu melihat maslahah umum terutama isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam ketika ini. Jangan disebabkan kepentingan politik kita mengenepikan kemaslahatan umum khususnya jika kita bercakap tentang akidah, akhlak yang mana terdapat laporan baru-baru ini yang menyatakan Malaysia adalah antara negara yang tinggi peratusannya dalam isu pembuangan bayi. Ini bukan melibatkan parti politik tertentu tetapi melibatkan kemaslahatan umat Islam. Jadi keruntuhan akhlak seperti zina yang akhirnya boleh memberi kemudaratan umat Islam perlu ditangani bersama. Kita perlu selesaikan kemaslahatan yang lebih besar. Kita perlu tinggalkan kepentingan-kepentingan politik dalam usaha kita membebaskan umat Islam daripada perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan mereka.

Kebanyakan pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan kepentingan politik mereka daripada menyelesaikan masalah umat. Komen Sheikh?


MOHAMMAD KHALIFA: Antara puncanya terjadi perkara ini adalah disebabkan taksub. Pemimpin seperti ini melihat dirinya sahaja yang betul orang lain semua salah sedangkan prinsipnya jelas. Sewajarnya kita perlu mengetahui dan perlu berpegang padanya ada kebenaran dan padanya ada kebatilan. Begitu juga dengan diri kita padanya ada kebenaran dan padanya ada kebatilan. Perlu ada saling mengiktiraf yang diri manusia ini ada kelemahan dan kebaikan.

Apa keburukan perasaan taksub ini?
MOHAMMAD KHALIFA: Taksub ini boleh membawa kepada berlakunya pembohongan dan pendustaan. Taksub boleh membawa kepada perasaan hasad dengki. Taksub juga boleh membawa perpecahan dan ini berlaku disebabkan mereka mahu mempertahankan kebatilan. Mereka mahu membenarkan kebatilan.

Manusia sepatutnya berpegang kepada kebenaran di mana sahaja mereka berada.

Apa pandangan Sheikh ada pihak yang menolak salam perpaduan oleh satu pihak yang lain?


MOHAMMAD KHALIFA: Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat ke 2 ''Dan bertolong-tolonglah dalam kebaikan dan ketakwaan, janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa dan pencerobohan.'' Berdasarkan ayat di atas tiada pilihan lain sekiranya seseorang muslim itu jika menghulurkan tangan untuk kebajikan dan ketakwaan tetapi seseorang Islam yang lain menolaknya. Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim itu sama seperti solat berjemaah. Apabila masuk ke dalam masjid kita masuk bersama-sama, apabila masuk saf secara bersama-sama dan apabila mengikut imam pun bersama-sama. Apabila imam bertakbir makmum pun bertakbir. Apabila imam sujud makmum pun bersujud, apabila imam rukuk makmum pun rukuk dan inilah kehidupan sebagai seorang muslim. Ada ketua dan ada pengikutnya. Ini contoh yang wajib dipraktikkan oleh semua muslim sama ada dalam urusan pentadbirannya mahupun kehidupan hariannya. Kita masuk ke dalam masjid bukan semestinya orang kaya berada di saf hadapan dan orang miskin di saf belakang. Kita masuk ke masjid dalam keadaan yang sama. Inilah hakikat kehidupan yang wajar dijadikan panduan. Kita perlu berbuat baik sesama insan sama ada dengan keluarga, sahabat, jiran tetangga mahu pun teman-teman sepejabat. Kita bukan malaikat kita adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap. Sebagai manusia juga ada mereka yang berjaya dan ada yang gagal. Bagi mereka yang berjaya mereka hendaklah memberi bantuan kepada mereka yang gagal.

Berbalik kepada penubuhan Mediu di sini, bilakah universiti ini memulakan pengajiannya di Malaysia dan apakah konsep yang dijalankan?


MOHAMMAD KHALIFA: Konsep universiti ini dibuat secara wakaf. Diasaskan pada 2006 dan memulakan pengajian serta mula mengambil pelajar pada tahun 2008. Sehingga kini tiga lepasan pelajar telah menamatkan pengajian mereka di universiti ini dan mereka terdiri daripada pengajian di peringkat sarjana dan sarjana muda. Insya Allah pada tahun depan universiti ini akan mengeluarkan pelajar di peringkat ijazah kedoktoran. Universiti ini ada beberapa kelebihan kerana di sini kami mempraktikkan pengajian secara langsung iaitu dengan kehadiran di bilik kuliah dan juga secara maya atau talian.

Universiti ini bukan bersifat perniagaan yang memfokuskan kepada keuntungan. Universiti ini juga bukan bersifat cawangan sebaliknya universiti ini berpusat di sini. Walaupun berpusat di Malaysia tetapi universiti ini bersifat antarabangsa. Sebab itu lima tahun pertama kami lebih fokus kepada pasaran luar berbanding daripada pasaran dalam. Pelajar-pelajar yang ada di sini pula datang dari 90 buah negara iaitu dari New Zealand sehingga Kanada. Kelebihan universiti ini juga ada kaitan dengan tumpuannya terhadap bidang teknologi. Namun begitu bermula tahun depan pihak universiti akan memulakan pengambilan pelajar-pelajar dari Malaysia. Kebetulan kami akan berpindah ke sebuah bangunan baru yang lebih selesa. Di sana kami akan kumpulkan pelajar dalam negara dan luar negara. Bangunan baru ini juga terletak di Shah Alam.

Bagaimana pula kursus-kursus yang ditawarkan di universiti ini?

MOHAMMAD KHALIFA: Kami di sini menawarkan pelbagai kursus antaranya bahasa, pengajian Islam, pengurusan, teknologi maklumat, kejuruteraan dan pendidikan. Pelajar-pelajar kita keseluruhannya kira-kira 3,000 orang. Jumlah ini termasuk mereka yang mengikuti pengajian secara talian atau maya dan mereka ada di seluruh dunia manakala para pensyarah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mereka datang dari 40 buah negara. Ada yang datang dari Mesir, Arab Saudi dan Syria.

Apakah harapan Sheikh kepada Malaysia dan negara-negara Islam yang lain?

MOHAMMAD KHALIFA: Sekali lagi saya katakan Malaysia adalah sebuah negara yang maju, sebuah negara yang mula memiliki tamadunnya yang tersendiri. Harapan saya negara-negara dari dunia Islam yang lain mengambil Malaysia sebagai contoh dalam usaha membina kejayaan di negara masing-masing.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121007/re_02/Pertahankan-keamanan © Utusan Melayu (M) Bhd

08 October 2012

Utusan: Pelihara keamanan, hindari kekacauan (Mufti Masjidil al-Haram)

Selepas pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa ulama Mekah pada Ramadan lalu, dua daripada mereka itu berbalas kunjungan apabila bertemu Perdana Menteri di Kuala Lumpur pula pada 15 September lalu. Pertemuan SYEIKH ABDULLAH HAMAD AL-JALALI dan SYEIKH SULAIMAN ABDULLAH AL-SALUM kali ini banyak membincangkan keadaan umat Islam pada masa ini di samping penyebaran fahaman pluralism oleh pihak-pihak tertentu. Soalan wawancara ini diajukan oleh sekumpulan pemberita dan dikendalikan dalam bahasa Arab. Penganjur Bersama Pertemuan Perdana Menteri dengan Ulama Mekah, Qaseem, dan Riyadh, Sheikh Ismail Omar menyediakan teks jawapan dalam bahasa Arab yang disahkan sendiri kedua-dua ulama tersebut dan kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

SYEIKH SULAIMAN ABDULLAH AL-SALUMI
Mufti di Masjid al-Haram, Mekah merangkap Pengerusi Pejabat Dakwah, Kebajikan dan Bimbingan di Mekah serta Profesor Bahagian Aqidah di Universiti Ummul Qura Mekah.

SYEIKH ABDULLAH HAMAD AL-JALALI
Pendakwah bebas yang terkenal di Timur Tengah. Beliau banyak membangunkan institusi-institusi Islam di pelosok dunia termasuk di Afrika,Pakistan, India, Bangladesh termasuklah Asia Tenggara seperti Malaysia, Patani, Thailand dan Indonesia. Antara muridnya yang tersohor ialah Syeikh Abdul Rahman Sudais dan Syeikh Salman Audah.


SOALAN: Apakah tanggungjawab atau peranan ulama dan umara (pemerintah) terhadap kejayaan dan kemajuan negara Islam terutama dalam menghadapi masalah perselisihan yang ada?

Para ulama dan umara serta rakyat seluruhnya perlu bertanggungjawab atas kemajuan negara Islam dan mempertahankannya serta membantu proses kemajuan negara tersebut. Mereka juga bertanggungjawab atas sebarang kekurangan dan kehancuran negara tersebut berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: ''Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas yang dipimpin''.

Sebab utama keruntuhan dan kelemahan negara Islam adalah perselisihan dan perpecahan. Maka setiap masalah itu wajib diselesaikan dengan penyatuan kalimah dan menjauhi perselisihan dan perpecahan.

Adakah dibenarkan dalam Islam pemikiran pluralisme iaitu berbilang agama? Apakah pendirian Islam yang benar terhadap perkara ini?

Adalah sama sekali tidak dibenarkan pluralisme agama setelah perutusan Nabi Muhammad SAW. Tidak diterima mana-mana agama melainkan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: ''Sesiapa yang menghendaki selain Islam sebagai agama, maka tidak sekali-kali akan diterima amalannya dan di akhirat kelak ia termasuk daripada golongan yang rugi''.
Tidak pernah wujud pada mana-mana tempoh dalam sejarah Islam penerimaan pluralisme dalam agama. Agama Islam benar-benar menentang pemikiran tersebut dan juga menentang pemikiran pendekatan antara agama kerana ia adalah mustahil diadakan.

 
Apakah pendapat Syeikh berkenaan dengan mengeksport pemikiran revolusi Arab Spring ke Malaysia yang aman dan damai ini?

Tidak dibenarkan campur tangan atau menimbulkan fitnah dan kekecohan dalam urusan mana-mana negara yang aman dan damai yang telah mempraktikkan manhaj (prinsip) Islam yang benar, kerana keamanan dan kedamaian di atas prinsip yang sahih adalah tuntutan ke atas semua orang Islam.

Menimbulkan fitnah tanpa sebab yang munasabah akan memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Allah SWT memerintah agar bersatu di atas kebenaran. Kami berpendapat bahawa Malaysia merupakan negara aman yang terulung di antara negara-negara lain dan Malaysia juga adalah sebuah negara Islam.

Kami memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan ketenteraman, keamanan dan kedamaian di atas agama yang kukuh serta mengharapkan pendamaian daripada semua pihak. 


Adakah dibenarkan dalam Islam penggunaan metodologi demonstrasi jalanan sebagai cara untuk menegur pemimpin-pemimpin negara Islam?
Demonstrasi jalanan tidak dibenarkan dalam negara aman yang berlandaskan manhaj (prinsip) yang benar walaupun dibenarkan mendakwa kezaliman terhadap yang dizalimi dan menukar pemerintah zalim yang tidak memberi kebaikan kepada orang Islam. Adapun di negara-negara yang aman serta telah mengamalkan agama dengan sejahtera, maka tidak dibenarkan demonstrasi jalanan kerana tindakan itu adalah pengingkaran terhadap pemerintahan Islam.

Mereka ini dianggap sebagai penderhaka sekiranya mereka mengangkat senjata atau mengadakan fitnah. Sekiranya pemerintah adalah seorang Islam yang mengamalkan tuntutan Islam maka demonstrasi jalanan bertentangan ke atas keamanan dan kedamaian. Allah adalah sebaik-baik pertolongan.

Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada umat Islam?

Kami menasihati kesemua muslimin agar memelihara keamanan dan kedamaian serta menghindari kekacauan dan menasihati pemerintah dalam sebarang kekurangan atau kesilapan dengan cara berhikmah dan peringatan yang baik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121003/re_06/Pelihara-keamanan-hindari-kekacauan#ixzz28ih5Qhd5 © Utusan Melayu (M) Bhd

07 October 2012

UTUSAN - Perpaduan senjata umat Islam (SHEIKH DR. SULAIMAN SALOOMI) 3








UTUSAN - Perpaduan senjata umat Islam (SHEIKH DR. SULAIMAN SALOOMI) 1



UTUSAN - Perpaduan senjata umat Islam (SHEIKH DR. SULAIMAN SALOOMI) 2




UTUSAN - Perpaduan senjata umat Islam (SHEIKH DR. SULAIMAN SALOOMI) 1

UTUSAN: Pendekatan jalur tengah

KETIKA saya menulis reaksi kepada wasiat Prof. Tan Sri Mohd. Kamal Hassan tempoh hari, saya menerima banyak pertanyaan mengenai "pendekatan jalur tengah" yang saya sebutkan di dalam tulisan ringkas saya itu.

Ingin dijelaskan di sini bahawa saya menyebut pendekatan jalur tengah itu adalah berkenaan keperluan kita dalam mengharungi ombak dan ribut politiking sempit dan taksub, atau politik kepartian dan partisan yang melanda masyarakat kita pada hari ini, terutamanya dalam kalangan orang Melayu dan Islam. Dengan demikian, kita memerlukan pandangan dan visi yang lebih seimbang, atau yang dapat menganalisis sesuatu secara objektif, tanpa berat sebelah.

Akhir-akhir ini negara kita terheret kepada permainan politik yang selama ini tidak amat terasa di tanah air kita, iaitu politik kepartian melampau yang menjadikan rakyat kita berpecah belah dengan amat serius. Ini berlaku kerana masyarakat berpegang kepada label kepartian yang ekstrem, dan hal ini menyebabkan rakyat kita menjadi amat taksub kepada partinya, dan ketaksuban inilah yang menjadikan kebanyakan berada dalam dunia hitam putih bukan hanya dalam pemikiran, tetapi dalam tindakan dan kepercayaan mereka yang membawa kepada keyakinan bahawa partinya saja yang benar, lain semuanya salah.

Apa saja yang dilakukan oleh partinya, dan difahami prinsipnya dari pemimpin parti mereka, maka itulah saja yang betul dan benar, tiada cacat-celanya sama sekali, dan sesiapa yang mengikut ideologi parti lain yang menjadi lawannya, maka mereka itu adalah salah semuanya, tidak betul dan seharusnya ditolak bulat-bulat. Inilah maksud saya pendirian dan kefahaman hitam putih dalam politik.

Hal inilah di antara lainnya yang menjadikan warga kita amat berpecah belah pada masa kini, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam. Kita dapat melihat sikap dan jiwa taksub politik ini di dalam berbagai-bagai, dan sikap taksub serta fanatik kepartian ini menjadikan masyarakat kita curiga mencurigai, takut di antara satu sama lain, sehingga menjadikan masyarakat ini seolah-olah masyarakat kefahaman politik sempit, umat ideologi dan agama yang berbeza, tertakluk kepada parti politik yang dianggotainya dalam semua aspek kehidupannya.

Sedangkan politik itu tidak difahami sebagai satu seni dan kaedah pemerintahan negara (science and art of government) bukan satu sistem agama dan kepercayaan yang berasaskan dasar ketuhanan yang tertentu. Sekarang ini mungkin terdapat orang yang agak takut untuk bercakap kepada temannya tentang dasar negara secara berkecuali dan bebas, bercakap tentang amalan agama juga, atau bercakap tentang undang-undang dan mahkamah, bercakap tentang masjid dan surau, apa lagi bercakap secara bebas tentang dasar parti politik.

Semua kerana takut bahawa temannya itu akan terasa kerana terpengaruh dengan pemikiran taksub partisan atau terlalu taksub kepada parti tertentu.

Sepatutnya sebagai rakyat yang berpendirian bebas dan bersifat objektif, yang merasakan bahawa dia berhak untuk memberikan pandangannya tentang dasar negara, tentang isu politik dan sosial, atau permasalahan pendidikan dan bahasa, perkhidmatan awam, surau dan masjid, imam dan bilal, pensyarah dan pelajar, pemimpin dari semua kalangan dan parti politik.

Jadi sepatutnya setiap orang itu bebas memberikan pandangan tentang hal ini berdasarkan ilmu, kefahaman dan hikmah serta pemikirannya yang tidak berat sebelah.

Oleh itu, dalam keadaan inilah maka kita dapat melihat bagaimanakah kefahaman politik secara partisan dan taksub ini menjalar masuk dengan hebatnya ke dalam berbagai-bagai kalangan dan sektor masyarakat, termasuk di kalangan para intelek, pensyarah, guru, kakitangan awam, pihak industri dan korporat, ahli agama, imam dan bilal, mahasiswa dan golongan muda, dan di institusi kerajaan dan swasta, di kalangan NGO, universiti. Malah para seniman dan selebriti pun mulai mengambil pendirian menyebelahi parti politik secara ketara.

Memanglah setiap orang itu bebas menyertai parti politik pilihannya, tetapi penyertaan itu tidak seharusnya menjadi penyertaan ideologi peribadi dan partisan yang sama dengan anutan agama sehingga merasakan dirinya saja benar .

Parti politik bukanlah agama Allah dan pemimpinnya bukanlah Nabi atau Rasul, walau sekuat mana sekali pun parti dan pemimpin itu mencanangkan perjuangan agamanya, kerana parti politik adalah buatan manusia, dan pemimpinnya ialah manusia biasa yang mempunyai nafsu dan roh, yang membuat salah dan silap, bukan maksum. Akibatnya oleh kerana kefahaman politik sempit ini mempengaruhi pemikiran rakyat, maka mereka akan menjalankan kempen dan pengaruh untuk menegakkan ideologi kepartian mereka tanpa menghormati pandangan orang lain.

Saya mempunyai beberapa kawan rapat yang pada mulanya menyertai parti tertentu kerana kawannya yang menjadi pemimpin parti, atau berdasarkan keyakinan bahawa parti itu saja yang dapat menegakkan keadilan sosial, perjuangan agama dan bangsa, dan sebagainya. Tetapi akhirnya apabila berada di dalam parti itu, mereka merasakan kebebasan untuk bertindak dan memberikan pandangan yang bebas dikongkong, malah tindakan pemimpin parti itu sendiri ketara dan terserlah penyelewengannya, maka mereka segera berundur dan keluar sebagai orang bebas dan dapat berperanan sebagai golongan pertengahan, iaitu golongan yang dapat berfikir mengikut ilmu dan hikmahnya.

Terdapat segelintir ahli ilmuwan, termasuk ilmuwan agama, yang apabila menyertai parti politik maka keilmuannya menjadi terpimpin ke arah dasar dan ideologi parti yang disertainya, walaupun mereka bebas dan bersikap seperti orang yang mempunyai prinsip dan beragama sebelumnya. Golongan ini juga akhirnya menarik diri dari parti itu, dan akan terus memperjuangkan ajaran agama sebagai satu amanah Allah, bukan kerana kepentingan peribadi atau golongan tertentu.

Inilah maksud saya dengan gelombang pertengahan itu, iaitu golongan yang berpandukan kepada pemikiran dan ilmu, berdasarkan keikhlasan dan hikmat yang tidak terikat dengan sebarang dasar politik kepartian dan partisan, yang bebas mengeluarkan pemikirannya secara adil dan saksama berdasarkan ilmu agama, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya. Golongan ini haruslah lahir ke dalam masyarakat sebagai gelombang baru yang tidak berat sebelah dalam memberikan pandangannya, malah memberikan teguran dan pendapat kedua kepada semua, termasuk kepada kerajaan, pemimpin parti politik dan negara.

Selagi golongan ini tidak lahir sebagai satu pasukan dalam gelombang kebangkitan politik negara kita yang berkecamuk ini, maka selama itulah kefahaman politik secara partisan dan taksub akan berleluasa di dalam masyarakat kita.

Pada masa kini pun terdapat golongan ilmuwan, ahli agama, intelektual dan golongan lain yang lebih merupakan golongan pertengahan dan sederhana ini, tetapi mereka tidak merasa selesa untuk masuk campur dalam pertelingkahan politik negara, kerana selesa dengan dunia mereka yang aman damai. Tetapi oleh kerana keadaan kini kelihatan amat parah, maka tibalah masanya golongan ini menyusun angkatannya tersendiri. Dalam hal ini mungkin terdapat pihak berkecuali juga yang dapat mengambil inisiatif mengumpul mereka dalam gelombang baru di dalam negara ini iaitu pendekatan jalur tengah yang sifatnya menyatu dan mempertemukan.

Akhirnya, kelahiran kumpulan ini amatlah bersesuaian dengan masanya kerana pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan bajetnya menyatakan beliau dan BN mengakui akan hakikat pepatah "gading mana yang tidak retak, bumi mana yang tidak di timpa hujan", maka BN juga mengaku akan wujudnya kelemahan dan kesilapan sendiri.

Kenyataan itu adalah gambaran berharga mengakui kelemahan dan usaha memperbaiki yang dibuat berbanding melihat orang lain tidak betul sedangkan manfaat kebaikan diterimanya tanpa ada rasa terima kasih atau mengakui kebaikan dari orang lain.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20121005/re_03/Pendekatan-jalur-tengah#ixzz28avLGMs4 © Utusan Melayu (M) Bhd

06 October 2012

UTUSAN: Jawab dakwah golongan anti-Islam (Ustaz Fathul Bari) Siri 1





GOLONGAN anti-Islam tidak pernah serik untuk menghasilkan filem dan kartun menghina Nabi Muhammad SAW dengan tujuan membangkitkan kemarahan umat Islam. Terbaru mereka menghasilkan filem Innocence of Muslims yang sedutannya telah dimuat naik ke YouTube sehingga menyebabkan umat Islam berdemonstrasi di seluruh dunia dan dalam kekecohan itu, Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya, Christopher Stevens turut dibunuh.

Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan NIZAM YATIM serta jurugambar, NOOR AZLINA JAAFAR, Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), FATHUL BARI MAT JAHAYA (gambar) menegaskan umat Islam perlu bersatu dan bertindak mengikut syarak dalam menghadapi situasi berkenaan.


UTUSAN: Bagaimanakah cara terbaik menangani isu ini?

FATHUL BARI: Setakat ini dalam isu filem pendek yang menghina al-Quran bertajuk ‘Fitna’ oleh Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders; isu penghinaan oleh Salman Rushdie dan Irshad Manji kita tangani dengan demonstrasi dan emosi.

Bagaimana Islam mengajar kita menanganinya? Tidak lain tidak bukan kita perlu menjawab syubhah-syubhah yang ditimbulkan.

Ini yang perlu kita perjelaskan dan begitu juga dengan apa yang digambarkan di dalam filem Innocence of Muslims tentang Islam. Filem ini menggambarkan Islam dalam konteks yang salah. Sehubungan itu, kita perlu menjawab segala syubhah serta keraguan yang sengaja ditimbulkan. Apakah peranan ilmuwan Islam?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121001/re_01/Jawab-dakwah-golongan-anti-Islam#ixzz28XblWTjS © Utusan Melayu (M) Bhd

UTUSAN: Jawab dakwah golongan anti-Islam (Ustaz Fathul Bari) Siri 2




UTUSAN: Jawab dakwah golongan anti-Islam (Ustaz Fathul Bari) Siri 3



UTUSAN: Jawab dakwah golongan anti-Islam (Ustaz Fathul Bari) Siri 4


03 October 2012

SHEIKH WALID: WAJARKAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA MENYOKONG REVOLUSI SYRIA?



Perkara pertama, terdapat percanggahan diantara Syiah Imamiyah dan juga Syiah Alawiyah. Mereka mengkafirkan antara satu sama lain, namun mereka bersatu demi untuk memerangi Ahlis Sunnah.Lelaki tersebut (Basyar al-Assad) bukanlah wali Allah, tetapi penjenayah. Mereka mengambil hukum-hakam daripada penjenayah lain.Bapanya (Hafez al-Assad) menguasai negara dengan khianat. Itulah Basyar al-Assad. Beliau adalah Syiah Alawiyah yang kafir, berfahaman batiniyyah, musuh Allah dan Rasul, penyerang negara Islam, menghalang orang Islam bersolat di dalam tentera dan sebagainya… Bahkan memaksa umat Islam mengatakan tiada tuhan melainkan Basyar, memaksa orang sujud kepada gambarnya. Basyar tidak berbeza dari bapanya.Oleh sebab itu, orang Islam tidak perlu bercanggah pendapat tentang kekufuran beliau. Bahawa beliau merupakan musuh Allah dan Rasul-Nya

Isu yang kedua, adakah revolusi tersebut digerakkan oleh Barat?… ianya berbeza. Revolusi di Syria berbeza, ianya dilakukan oleh rakyat. Kebangkitan mereka ini bermula dari kanak-kanak yang menulis di sekolah tentang Basyar al-Assad. Apabila diketahui oleh Polis Perisik, beliau ditangkap, diculik dan diseksa sehingga mereka bertindak mencabut kukunya, menanggalkan kulitnya.Apabila pihak ibu-bapanya ke balai polis untuk mengambil anak mereka, polis menolak, bapanya pula dihalau

Kemudian polis berkata anda boleh pulang ke rumah anda dan berasmaralah dengan isteri anda, lalu anda boleh mendapat anak lain selain anak-anak yang telah kami tangkap ini.Sekiranya anda tidak mampu memiliki anak, bawalah isteri anda kepada kami… kami akan membuatkan isteri anda mengandung.Sudah tentu provokasi ini menimbulkan kemarahan ibu-bapa yang datang hendak mengambil anak mereka.Jadi kemarahan tersebut membuatkan mereka bertindak menyerbu gudang senjata kerajaan dan mengambil semua senjata tersebut. Dan selepas itu kerajaan mula bertindak, maka bermulalah perjuangan mereka menentang kerajaan.

Jadi apa yang berlaku di Syria adalah satu jihad yang sebenar, bukan jihad revolusi yang hanya cakap kosong sahaja seperti di negara-negara lain.Bukti terbesar bahawa Revolusi di Syria ini berbeza dengan negara lain, kita dapat melihat negara-negara Barat tidak bertindak agresif seperti mana yang berlaku di negara-negara lain. Kita lihat bagaimana dalam isu Hosni Mubarak, dalam tempoh dua minggu sahaja, merek memberi amaran bahawa Mubarak perlu meletak jawatan dan sebagainya.Bagaimanapun di Syria ianya berbeza, kita melihat Basyar dibiarkan begitu sahaja sehingga rakyat terus dibunuh.Dan mereka yang berjuang menentang Basyar, Alhamdulillah kita melihat bahawa mereka adalah Ahlis Sunnah… mereka begitu anti dengan Syiah dan membakar bendera-bendera yang terdapat Hassan Nasrallah (Hizbollah) dan elemen Syiah.Mereka membakar bendera Iran. Oleh sebab itu, apa yang dilakukan oleh mereka adalah satu jihad sebenar bagi menentang Syiah.

Oleh sebab itu, Iran, Amerika dan Israel, semuanya bersama-sama Basyar menentang kebangkitan rakyat ataupun jihad rakyat ini.Berkaitan dengan sokongan mereka ini pula, para ulama telah pun memberi fatwa bahawa kita perlu menyokong mereka dan mereka merupakan pejuang pada jalan Allah.Jadi kita perlu tahu cara sebenar untuk menyampaikan bantuan kepada mereka supaya segala bantuan yang diberikan itu tidak dipersia-siakan dan sampai kepada mereka yang berhak.Dan kami Alhamdulillah dapat mengenali dengan rapat, saudara-saudara kita yang berada di sana. Dan kita perlu menghulurkan bantuan kepada mereka supaya sampai.Dan kebanyakan mereka yang berjuang di sana adalah Ahlis Sunnah wal Jama’ah.

SINAR: Mediu terap dua cara pembelajaran

Mediu
Kemudahan yang disediakan memberikan keselesaan kepada penuntut.
Rencana ini telah disiarkan oleh Sinar Harian dalam akhbarnya yang dikeluarkan pada 3 Oktober 2012 dan laman web Sinar Harian seperti di http://www.sinarharian.com.my/rencana/mediu-terap-dua-cara-pembelajaran-1.91148. Semoga perkongsian ini akan mempermudahkan para pelajar untuk mengenali institut pengajian tinggi yang terdapat di Malaysia.

 

Menerapkan dua cara pembelajaran, iaitu melalui pengajian dalam talian dan di dalam kampus, memberikan kelebihan kepada Universiti Islam Al-Madinah (Mediu) untuk terus melangkah jauh mendidik penuntut seluruh dunia mempelajari ilmu Islam dan mendalami bahasa Arab melalui kecanggihan teknologi terkini.

Di Mediu juga, penuntut yang mengikuti kursus pengajian tidak perlu meninggalkan rumah dan tempat sendiri untuk menimba ilmu. Pembelajaran dikendalikan di dalam talian pada bila-bila masa bersesuaian dengan kelapangan penuntut. Walaupun terdapat juga sebahagian pengajiannya memerlukan pertemuan bersama pensyarah, namun waktunya adalah di luar hari dan waktu bekerja.

Rektornya, Prof Dr Mohammad Khalifa Al-Tamimi berkata, Mediu telah didaftarkan 23 Jun 2007 diasaskan oleh sekumpulan cendekiawan tersohor Islam dan beroperasi hasil daripada wakaf, ia mendukung matlamat bersama untuk membantu umat Islam menghadapi suasana masa kini yang sungguh mencabar.

Menurutnya, Mediu dirangka untuk menyediakan persekitaran pendidikan yang komprehensif dan bersepadu bagi pengajian tinggi, di samping menawarkan pendidikan bermutu berasaskan pengkhususan pengajian serta kemahiran dan pengalaman kerja.

“Ramai salah faham mengenai universiti ini apabila menggunakan nama Al Madinah, mereka beranggapan universiti ini ada kaitan dengan universiti luar negara, terutama dari Timur Tengah.

“Sebenarnya Mediu berdiri sendiri hasil wakaf individu tertentu seluruh dunia dan mula memilih Malaysia untuk menubuhkan pusat pendidikan tempatan bersifat antarabangsa,” katanya kepada Kampus.

Sistem pembelajaran 24 jam

Selain itu katanya, pembelajaran dalam talian berlangsung apabila pensyarah Mediu dari negara tertentu membuka dengan mengaktifkan kelas dan penuntut seluruh negara boleh melihat sesi pembelajaran itu.

“Jika ada sebarang pertanyaan mengenai subjek yang sedang disyarahkan, mereka akan berinteraksi menggunakan sistem sembang yang disediakan di dalam talian sama dan setiap tugasan juga diserahkan melalui talian juga.

“Contohnya sekiranya waktu pensyarah di Mesir memulakan kuliah pada jam 9 pagi, mungkin di Malaysia, waktu menunjukkan jam 7 malam, justeru pada waktu tersebut, penuntut perlu mengaktifkan internet mereka untuk menghadiri kuliah dalam talian tersebut,” katanya.

Seolah-olah kemudahan ini kata Mohammad, mengamalkan sistem pembelajaran 24 jam tanpa tidur yang tidak digunakan institut pengajian tinggi swasta lain.

“Bagi yang ingin sambung pengajian di sini, tidak perlu risau kerana Mediu telah diiktiraf oleh Malaysia Qualification Agency (MQA) dan Multimedia Koridor Raya (MSC) dengan kecanggihan teknologi dimiliki.

Suasana di Arab

Sementara itu, penuntut tahun kedua Bahasa Arab dan Sastera Mediu, Muhammad Hafizuddin Ab Halim berkata, beliau memilih belajar di sini kerana dapat merasai suasana negara Arab walaupun hanya di Malaysia.

“Kebanyakan penuntut berasal dari negara Arab dan bahasa Arab digunakan sebagai pengantar, justeru terasa seperti betul-betul di negara Timur Tengah seterusnya memudahkan untuk belajar.

“Kemudahan teknologi yang sangat terkini memberikan kelebihan kepada penuntut seperti saya untuk mendapatkan maklumat serta berinteraksi dengan pensyarah walau di mana berada,” katanya.

Bercita-cita untuk mendalami bahasa Arab memberikan semangat kepada Ruslinah Yahanid, 52, untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Mediu yang dianggapnya telah banyak memperbaiki bahasanya.

“Dulu akak pernah belajar di Universiti Teknologi Mara dalam kursus bahasa Arab, tetapi akak tidak berjaya untuk menguasainya. Apabila mengetahui Mediu ada menawarkan kursus jangka pendek untuk kursus bahasa Arab, terus akak daftar.

“Alhamdulillah setelah empat semester di sini, akak dapat menggunakan bahasa ini dengan baik di samping suasana di Mediu amat membantu akak untuk petah berbahasa Arab,” jelasnya.

China tiada institut pengajian tinggi Islam

Berbeza bagi dua penuntut Mediu yang berasal dari China iaitu Nasarudin, 24, (Licong Cong) dan Aisyah Yusuf, 22, (Yao Lin) yang membuat keputusan untuk sambung pengajian di Mediu demi mendalami agama dan bahasa Arab.

Kata Nasarudin, di Mediu kami berdua sahaja berasal dari China. Di China tiada institut tinggi yang menawarkan pembelajaran agama lebih mendalam seperti di Malaysia, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Mediu.

“Tambahan Mediu adalah universiti terbaik yang saya tahu dan Alhamdulillah sejak belajar di sini, apa yang saya cari telah saya peroleh.

“Di sini, saya mudah belajar bahasa Arab dan mengaji al-Quran kerana cara pensyarah menyampaikan maklumat mudah untuk difahami tambahan kemudahan teknologi maklumat amat memuaskan,” katanya.