10 May 2013

Azlan Azam Pastikan Pembangunan Berterusan di Perlis -Kosmo


KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh daripada Barisan Nasional (BN), Azlan Man sebagai Menteri Besar baharu negeri tersebut di Istana Arau dekat sini pada pukul 10.05 pagi semalam.
Baginda bertitah, pelantikan tersebut diputuskan selepas mengambil kira nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sepucuk surat yang mencadangkan ADUN Pauh itu sebagai Menteri Besar Perlis ketujuh
"Walaupun saya mempunyai hak untuk melantik Menteri Besar berdasarkan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan namun saya mengambil kira pandangan kedua.
"Saya menerima surat cadangan tersebut pada tengah hari semalam (kelmarin) dan memutuskan untuk mengadakan majlis angkat sumpah dan watikah pelantikan hari ini (semalam)," titah baginda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat menyaksikan majlis Angkat Sumpah dan Watikah Pelantikan Menteri Besar Perlis itu.
Azlan, 55, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-7 bagi menggantikan Datuk Seri Md. Isa Sabu yang mengundurkan diri ekoran tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Ahad lalu.
Pada PRU-13, BN berjaya mengekalkan pemerintahan di Perlis setelah mendapat mandat daripada rakyat apabila memenangi 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.














Dalam pada itu, Azlan berjanji akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin bagi menjayakan visi manifesto BN dan memastikan pembangunan berterusan di negeri Perlis.
Azlan mengakui tugas tersebut cukup berat dan tidak boleh dilakukan bersendirian tetapi memerlukan bantuan daripada semua pihak termasuk bekas Menteri Besar.
Sebelum bertanding pada PRU-13, Azlan merupakan Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam sejak 2011.
Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985.
Artikel Penuh: http://202.190.126.83/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Pilihan_Raya&pg=pr_19.htm#ixzz2SsbzqAkp 
Hakcipta terpelihara 

09 May 2013

RAJA PERLIS MAHU RAKYAT KUKUHKAN SEMULA PERPADUAN SELEPAS PRU13


Raja Perlis Mahu Rakyat Kukuhkan Semula Perpaduan Selepas PRU13

KANGAR, 7 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu rakyat di negeri ini mengukuhkan semula perpaduan yang tercalar akibat perbezaan politik yang menyerlah ketika pilihan raya umum ke-13.

Baginda juga mahu rakyat dan pemimpin khususnya, mengetepikan sikap penting diri yang menggugat keharmonian.

"Saya bosan mendengar perkara ini (sikap pentingkan diri) setiap kali pilihan raya umum," titah baginda pada majis angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baharu, Azlan Man, di Istana Arau, di sini Selasa.

Tuanku Syed Sirajuddin yang turut menyentuh pelantikan Azlan, mahu semua pihak memberi sokongan padu kepada Menteri Besar yang baharu itu.

"Kalau ada 'opinion' (cadangan) biarlah ia demi kepentingan negara, negeri dan rakyat," titah baginda.

Baginda juga tidak mahu pelantikan Azlan dipertikai sekalipun ada yang menyarankan agar menteri besar Perlis dilantik daripada kalangan orang lama.

"Kalau nak bangkit (pelantikan Menteri Besar), tunggu pilihan raya umum akan datang. Sekarang pilihan raya dah habis. Semua kena bersatu," titah baginda yang mahu Azlan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin.

Azlan, 55, merupakan calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) Perlis pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir kelmarin.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pauh dengan majoriti 1,382 undi mengatasi Idris Yaacob daripada PAS.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid.

-- BERNAMA

07 May 2013

BUANG SIKAP PENTINGKAN DIRI - RAJA PERLIS

BUANG SIKAP PENTINGKAN DIRI -  RAJA PERLIS



ARAU 7 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat perlu membuang sikap pentingkan diri sebaliknya memberi keutamaan kepada agenda pembangunan negeri ini supaya terus maju.
Bagi mencapai hasrat tersebut, titah baginda, rakyat perlu terus memberikan sokongan penuh kepada Menteri Besar yang telah dilantik mengikut perlembagaan negeri ini.
"Beta minta supaya berikan sokongan kepada Menteri Besar baharu, beta sendiri memberi sokongan kepadanya," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Mengangkat Sumpah Menteri Besar Perlis, Azlan Man di Istana Arau di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130507/dn_12/Buang-sikap-pentingkan-diri---Raja-Perlis#ixzz2Sf0HvfQg
© Utusan Melayu (M) Bhd