GEORGETOWN 18 Sept. - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan anak-anak muda supaya tidak mudah terpesong dan dipesongkan oleh perubahan nilai yang berlaku ketika ini terutamanya yang bersifat kebendaan dan mementingkan diri.
Baginda, yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah perubahan yang ingin dilakukan oleh golongan itu adalah digalakkan, bagaimanapun perubahan itu bukanlah melibatkan perkara asas yang telah dipertahankan sebagai jati diri sejak sekian lama.
"Meskipun negara kita telah merdeka, tetapi bukanlah bermaksud untuk kita bebas segalanya sehingga melanggar tatasusila dan budaya kita.
"Kemerdekaan yang kita perolehi seharusnya memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan membuat keputusan mengikut acuan kita sendiri dalam membawa negara ke mercu yang lebih gemilang dan disegani," titah baginda pada majlis perasmian Ekspo Konvokesyen USM ke-46, di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment