PULAU PINANG 25 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat mengambil iktibar terhadap nasib malang yang menimpa sesetengah negara.
Titah baginda, rakyat di beberapa negara ketika ini hidup dalam keadaan sengsara akibat perang dan pergaduhan sesama sendiri sehingga keadaan menjadi kucar-kacir.
"Renungkanlah keperitan yang mereka alami dan ambil pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan itu.
"Justeru, beta menyeru agar kita menginsafi kejadian itu secara serius," titah baginda ketika berucap merasmikan Konvokesyen Ke-46 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.
Baginda yang juga Canselor USM bertitah, bagi graduan pula ilmu pengetahuan yang dimiliki haruslah digunakan untuk membawa masyarakat dan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.
"Ilmu yang dipelajari tidak akan berguna jika tidak diamalkan dan akan membawa kesan buruk jika digunakan dengan cara yang salah.
"Selain itu, beta juga ingin menasihatkan supaya menguatkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Jagalah ibu bapa dan keluarga kerana inilah perkara asas yang perlu disemai," titah baginda.
Pada sidang pertama majlis konvokesyen hari ini, seramai 750 graduan menerima ijazah masih-masing dan 150 daripadanya merupakan penerima ijazah doktor falsafah (PhD).
No comments:
Post a Comment