08 September 2012

UTUSAN: Pelihara perpaduan kaum

Laporan ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 6 September 2012,ianya juga boleh dirujuk di http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120906/w_02/Pelihara-perpaduan-kaum

KANGAR 5 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya menghindari apa sahaja perkara yang dianggap sensitif terhadap kaum demi memastikan perpaduan dan pembangunan terus dipupuk di negara ini.

Titah baginda, ini kerana perpaduan secara berhemah mampu membendung perpecahan dan kehancuran masyarakat.


"Sejarah telah membuktikan perpaduan adalah benteng utama bagi kestabilan sesebuah negara," titah baginda ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Perlis di sini hari ini.

Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Tuanku Syed Sirajuddin turut meminta rakyat memberi perhatian terhadap anak-anak yang merupakan harta dan warisan paling berharga.

Baginda bertitah, pelaburan terhadap anak-anak adalah untuk masa depan negara dengan pendidikan awal kanak-kanak perlu dijadikan agenda penting di peringkat negeri.

Mengenai pendidikan, titah baginda, di negara ini pendidikan teknikal dan vokasional dilihat sebagai pilihan terakhir pelajar kerana tanggapan prospek kerjaya dalam bidang tersebut begitu terhad.

"Andaian negatif seperti ini perlu disangkal, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional perlu ditingkatkan.

"Begitu juga dengan institut pengajian tinggi (IPT) yang memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan," titah baginda.

Menurut baginda, ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran menjadi tunjang kepada penemuan baru perkembangan ilmu dan penciptaan inovasi terkini.

"Bagi menggalakkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), universiti di peringkat negeri yang mempunyai prestasi cemerlang perlu diiktiraf sebagai universiti penyelidikan," titah baginda.

3 comments:

XelxZlender said...
This comment has been removed by the author.
XelxZlender said...

maaf, ni m/s ape?

kawaii lea said...

mohon reply dengan secepat mungkin kerana saya memerlukannya bagi kerja kursus. apakah halaman bagi keratan akhbar ini? mohon reply ya. : - )