27 October 2009

MEMORANDUM 11 PERKARA


MEMORANDUM 11 PERKARA PERSATUAN AL-ISLAH PERLIS

TERHADAP LAPORAN POLIS OLEH DEWAN PEMUDA PAS PERLIS

KE ATAS USTAZ MOHD ASRIE SOBRIE PADA 22 OGOS 2009

Pada hari isnin 17 Ogos 2009 lalu, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis telah mengundang seorang pendakwah Ahlis Sunnah iaitu Ustaz Mohd Asrie Sobrie untuk berceramah di Masjid Alwi Kangar. Selanjutnya pada 22 Ogos 2009 pula, Dewan Pemuda Parti PAS Perlis telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar atas dakwaan ‘kekeliruan’ dan ‘penghinaan’ pendakwah tersebut.

Apabila terjadinya insiden laporan polis ini, Persatuan Al-Islah Perlis merasa terpanggil untuk menjelaskan pendirian persatuan berhubung dengan insiden ini. Daripada penelitian awal Persatuan Al-Islah Perlis, adalah amat dikesalkan tindakan yang terburu-buru ini sesungguhnya telah secara halus membelakangkan hakikat sejarah, adat-istiadat dan perjuangan Umat Melayu Islam Negeri Perlis di mana teras-terasnya telah dikanunkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis sebagai perlembagaan negeri. Sebahagian teras yang tidak dapat diganggu gugat lagi itu ialah:

- Ketuanan Dinasti Jamalullail sebagai Raja Melayu Islam yang

berkuasa mutlak dalam hal ehwal Agama Islam, serta

- Ahlis Sunnah Wal Jama’ah sebagai tunjang aspek teori dan

praktikal dalam akidah, syariah, akhlak dan segala urusan

berkenaan Agama Islam dalam negeri ini.

Oleh yang demikian Persatuan Al-Islah Perlis mempersembahkan Memorandum 11 Perkara ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagaimana yang berikut:

1 Menyeru semua pihak untuk bertenang, bersabar dan menghormati apa sahaja keputusan DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang bakal dititahkan, serta nasihat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis selaku pakar rujuk yang diamanahkan oleh baginda berdua, mengenai insiden ini dan sebarang persoalan yang berbangkit tentangnya.

2 Menegaskan kedudukan istimewa Ahlis Sunnah wal Jama’ah Al-Salafiyyah selaku elemen penting Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Jika dasar ini diganggu gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap kemerdekaan Perlis sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, terhadap urustadbir hal ehwal Islam di Perlis khususnya dan kepada kesejahteraan umat Islam Perlis umumnya. Oleh itu, formula sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini sepatutnya dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam, Ahlis Sunnah mahupun bukan Ahlis Sunnah.

3 Memohon kuasa-kuasa budi bicara DYMM Tuanku Raja Perlis khasnya dalam urusan hal ehwal Islam dapat dipertahan dan diperkukuhkan dengan segala pendekatan yang mungkin.

4 Memohon supaya semua peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis, enakmen-enakmen Negeri Perlis berhubung dengan urusan keislaman dan segala prosedur yang digunapakai dapat diperteguhkan, khususnya bagi menutup segala ruang menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah.

5 Mengingatkan mana-mana supaya pihak tidak menyalahgunakan prosedur laporan polis dan proses mahkamah untuk mempersenda, menandingi dan memperlekehkan kuasa mutlak DYMM Tuanku Raja Perlis dan institusi diraja dalam hal ehwal Agama Islam di Perlis. Sesungguhnya Persatuan Al-Islah Perlis amat khuatir insiden ini akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengambil kesempatan serta memperalatkan perbezaan dan konflik yang kononnya timbul antara kuasa DYMM Tuanku Raja dengan kuasa polis

6 Menginsafi bahawa yang tersirat dalam laporan polis adalah langkah awal membawa insiden ini ke mahkamah dalam suatu ‘pelan induk’ percubaan menghakis dan merombak kedudukan Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis dan sistem perundangan Islam di Perlis. Di samping itu, ada pula usaha-usaha pihak tertentu untuk menyamatarafkan status Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah dengan aliran-aliran lain di Malaysia dengan cara memberi penafsiran Ahlis Sunnah melalui pandangan mereka sendiri. Persatuan Al-Islah Perlis merenung dalam-dalam bahawa semua rentetan peristiwa ini sebagai pakej usaha-usaha agresif yang bersifat ofensif terhadap survival manhaj ini

7 Menyeru agar sebarang ketidakpuasan hati berkenaan Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah hendaklah dibawa ke meja perundingan ilmiah berasaskan Al-Qur’an dan Al-Sunnah dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrantasi menerusi laporan polis dan ’perang’ di kamar mahkamah hanya akan memancing ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat, serta menjejaskan keharmonian Negeri Perlis yang tercinta ini

8 Menggesa supaya jangan ada tekanan atau gangguan daripada mana-mana pihak berhubung Manhaj Ahlis Sunnah wal Jama’ah Al-Salafiyyah dan penyebarannya oleh para pendakwah di dalam Negeri Perlis. Justeru itu Persatuan Al-Islah Perlis mengutuk tindakan melakukan shut out dan shut up terhadap para pendakwah Ahli Sunnah baik menerusi laporan polis, kenyataan akhbar, demonstrasi, ugutan, cacian, fitnah, surat layang dan segala cara yang tidak beretika untuk menakut-nakutkan mereka dalam menyampaikan ilmu yang sahih berasaskan Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

9 Menggesa setiap pendakwah Ahlis Sunnah baik di dalam Perlis mahupun dari luarnya, untuk berpandangan jauh dan berjiwa besar dengan memperkemaskan bukan sahaja aspek intipati (substance) penyampaian dakwah masing-masing dengan penghujahan Al-Qur’an dan Al-Sunnah secara ilmiah. Bahkan para pendakwah Ahlis Sunnah hendaklah berikhtiar sedaya upaya untuk memastikan aspek pendekatan (form) penyampaian dakwah mereka diminimumkan daripada sebarang bentuk ambiguiti atau kekaburan yang dapat dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga terjadinya fitnah kepada dakwah tauhid yang diberkati Allah ini.

10 Menyesali segala usaha dan tindakan yang boleh mencemarkan keharmonian dan perpaduan Umat Islam Perlis. Oleh itu Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah hendaklah menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan manhaj ini yang sedang diancam

11 Mengucapkan syabas kepada Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang telah menunjukkan tahap profesionalisme yang boleh dibanggakan dalam menangani isu ini.

16 May 2009

Iktibar Kisah Ka'ab

BAHAGIAN 1/2
Pada kali ini kita bawakan sebuah hadits dari Ka’ab bin Malik yang diriwayatkan oleh Muslim, hadits ini boleh dirujuk dalam terjemahan SHAHIH MUSLIM, JILID 4 oleh Ma’mur Daud, halaman 294-307, hadits no : 2376. Sebuah hadits yang panjang tentang kisah taubat Ka’ab bin Malik di atas kesalahan yang dilakukannya. Marilah kita hayati keratan keratan penting dari hadits ini untuk dibuat pelajaran dan teladan bagi diri kita semua.
عَنْ كَعْبِ بن مَالِك يُحَدِّثُ حَدِيْثَهُ حِيْنَ تَخَلَّفَ عَنْ رَسُوْلِ الله ص فِيْ غَزْوَةِ تَبُوْكDari Ka’ab bin Malik r.a., dia menceritakan tentang dirinya ketika dia tertinggal (tidak ikut berperang) dari Rasulullah saw. dalam perang Tabuk.”

Hadits ini menceritakan suatu kisah di mana Ka’ab, iaitu seorang sahabat Nabi saw. tertinggal semasa tentera Islam pimpinan Nabi saw.telah bertolak ke medan perang.
قَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ لَمْ اَتَخَلَّفَ عَنْ رَسُوْلِ الله ص فِيْ غَزْوَةٍ غَزَاهَا قَطُّ اِلاَّ فِيْ غَزْوَةِ تَبُوْكَ غَيْرَ اَنِّيْ قَدْ تَخَلَّفْتُ فِيْ غَزْوَةِ بَدْرٍ وَلَمْ يُعَاتِبُ اَحَدًا تَخَلَّفَ عَنْهُ اِنَّمَا خَرَجَ رَسُوْلُ الله ص وَالْمُسْلِمُوْنَ يُرِيْدُوْنَ عِيْرَ قُرَيْشٍKata Ka’ab bin Malik : “Aku tidak pernah tertinggal dari Rasulullah saw. dalam setiap peperangan yang di pimpin sendiri oleh beliau, kecuali dalam peperangan Tabuk. Selain dari itu, aku memang tertinggal pula dalam peperangan Badar. Tetapi tidak seorang pun dapat di persalahkan bila tertinggal ketika itu, kerana Rasulullah saw. pergi dengan maksud hendak menghendap kafilah Quraisy.”

Ka’ab menceritakan tentang kejadian beliau bersama Rasulullah saw. di dalam semua peperangan yang berlaku di waktu itu kecuali dua peperangan iaitu peperangan Badar di mana ia tidak di persalahkan atas kejadian tersebut, tetapi Ka’ab tertinggal sekali lagi di masa peperangan Tabuk. Dan pada kejadian ini ia memang bersalah. Ka’ab sebenarnya telah bersedia dari segi semangat dan kekuatannya untuk menghadapi peperangan tersebut, termasuklah dua kenderaan sebagai persediaan untuk kemedan perang dan ini adalah persediannya yang terbaiknya lebih dari menghadapi peperangan yang sebelumnya.
اِنِّيْ لَمْ اَكُنْ قَطُّ اَقْوَى وَلاَ اَيْسَرَ مِنِّيْ حِيْنَ تَخَلَّفْتُ عَنْهُ فِيْ تِلْكَ الْغَزْوَةِ وَاللهِ مَا جَمَعْتُ قَبْلَهَا رَاحِلَتَيْنِ قَطُّ حَتَّى جَمَعْتُهُمَا فِيْ تِلْكَ الْغَزْوَةِ
“Sesungguhnya aku belum pernah sedikit jua pun merasa diriku lebih kuat dan lebih senang dari keadaanku ketika tertinggal dalam peperangan itu. Demi Allah, aku belum pernah menyiapkan dua kenderaan kecuali untuk peperangan itu.”

Sememang hatinya benar benar ingin untuk bersama berperang di Tabuk, tidak terlintas di hatinya untuk melarikan diri atau mengelak dari menghadapinya.

فَاَنَا اِلَيْهَا اَصْعَرُ
“Sebenarnya hatiku lebih condong hendak turut berperang.”

Tetapi mengapakah ia sampai tertinggal ? Maka di sinilah kisah yang perlu kita ambil sebagai teladan supaya apa yang berlaku kepada Ka’ab itu tidak kita contohi dalam kita mengerjakan ibadah ataupun kehidupan keduniaan kerana Allah. Apa yang menyebabkan ia tertinggal dari bersama Rasulullah ke medan perang di ceritakan oleh Ka’ab :
وَطَفِقْتُ اَغْدُوْ لِكَىْ أَتَجَهَّزَ مَعَهُمْ فَاَرْجِعُ وَلَمْ اَقْضِ شَيْئًا وَاَقُوْلُ فِيْ نَفْسِيْ اَنَا قَادِرٌ عَلَى ذَلِكَ اِذَا اَرَدْتُ فَلَمْ يَزَلْ ذَلِكَ يَتَمَادَى بِيْ حَتَّى اسْتَمَرَّ بِالنَّاسِ الْجِدُّ
“Aku merancang akan berkemas bersama sama mereka besok pagi. Setelah aku pulang ternyata aku tidak berbuat apa apa sambil berkata di dalam hatiku : Aku sanggup menyelesaikannya sewaktu waktu (menangguh pada waktu lainnya)’. Ternyata hal itu berlanjutan sedemikian rupa, sedangkan orang banyak sungguh sungguh telah siap.”
Iaitu di perjelaskan tentang sifat Ka’ab yang suka bertangguh untuk menyiapkan persedian keperluannya untuk kemedan perang dari satu masa ke satu masa sedangkan orang lain telah bersiap sedia.
فَاَصْبَحَ رَسُوْلُ الله ص غَادِيًا وَالْمُسْلِمُوْنَ مَعَهُ وَلَمْ اَقْضِ مِنْ جَهَازِيْ شَيْئًا ثُمَّ غَدَوْتُ فَرَجَعْتُ وَلَمْ اَقْضِ شَيْئًا فَلَمْ يَزَلْ ذَلِكَ يَتَمَادَى بِيْ حَتَّى اَسْرَعُوْا وَتَفَارَطَ الْغَزْوُ
“Besok (pada waktu) Subuh Rasulullah dan kaum muslimin berangkat pagi pagi sekali, sedangkan aku belum berkemas juga. Kerana itu aku segera pulang hendak berkemas, tetapi sampai di rumah aku tidak berbuat apa apa, sehingga pasukan (perang) berangkat seluruhnya menuju medan perang.”

Kerana sifat bertangguh itu akhirnya ia tertinggal, dan buruknya sifat bertangguh ini jelas apa bila ia telah melihat Rasulullah saw. telah mula bertolak ke medan perang pada paginya dan ia pulang untuk berkemas tetapi sekali lagi ia tertahan dengan sebab sikap suka bertangguh iaitu apabila sampai di rumah tidaklah ia melakukan apa apa untuk mengemaskan persiapan ke medan perang dan akhirnya kesemua angkatan tentera Islam pimpinan Rasulullah saw. yang begitu besar jumlahnya telah berlepas pergi. Kemudian setelah begitu lewat Ka’ab mula berkemas untuk turut menyertai walau pun telah jauh ketinggalan.
فَطَفِقْتُ اِذَا خَرَجْتُ فِي النَّاسِ بَعْدَ خُرُوْجِ رَسُوْلِ الله ص يَحْزُنَنِيْ اَنِّيْ لاَ أَرَى لِيْ اُسْوَةً اِلاَّ رَجُلاً مَغْمُوْصًا عَلَيْهِ فِي النِّفَاقِ اَوْ رَجُلاً مِمَّنْ عَذَرَ اللهُ مِنَ الضُّعَفَاءِ
“Ketika aku mulai berkemas dan keluar hendak menyusul Rasulullah saw. alangkah sedihnya hatiku, kerana tidak seorang jua pun teman yang kelihatan olehku kecuali orang orang munafik atau orang orang lemah yang telah di maafkan Allah Ta’ala tidak ikut berperang.”

Akibat dari sifat menangguh itu juga akhirnya apabila ia keluar dari rumahnya yang kelihatan di luar itu adalah golongan munafik dan orang yang telah tua atau orang uzur, maka sia sialah ia sebagai seorang yang telah siap dengan semangat dan kekuatan tidak bersama Rasulullah saw. di medan perang.

27 April 2009

Mencari Ilmu Menurut Islam

BAHAGIAN 2


Tetapi apa yang menjadi masalah perjuangan As-Sunnah di Perlis sekarang, kita tinggalkan sifat bertaqlied/taksub kepada mazhab empat tetapi kita suburkan pula dalam diri kita sifat terikat dengan guru atau ustaz yang kita ambil ilmu agama dari mereka sehingga timbul perpecahan sesama kita dengan pulau memulau, umpatan dan sindiran kepada ustaz/guru yang lain kerana perbezaan pendapat terutamanya dalam urusan yang ada padanya khilafiyah iaitu satu urusan di dalam agama yang ada padanya hadits yang sahih atau yang sah untuk dibuat dalil tetapi telah terpecah kefahaman atau pengamalan kepada beberapa cara.

Perbezaan pendapat ini telah sekian lama berlaku tidak kira sesama golongan ahli Sunnah atau dengan golongan ahli Bid’ah. Sejak di zaman Rasulullah saw. telah ada perbezaan dalam mengamalkan sesuatu ibadah seperti waktu mengamalkan solat witir antara Abu Bakar dan Umar ( dari Jabir-riwayat Ahmad dll.), solat qasar dan tamam dalam musafir dari Aisyah, jumlah bilangan witir dan caranya (dari Ibnu Umar-riwayat Muslim dll.). Kemudian kejadian perbezaan pendapat ini berlarutan di zaman sahabat serta bertambah lagi perpecahan ini di zaman tabiin dan tabi’ tabiin. Sabda Rasulullah saw.:

خَيْرُ الْقُرُوْنِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ


Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian zaman sesudahnya, kemudian zaman sesudahnya. Hadits shahih riwayat Muslim dalam Kitab Fadhail al-Shahabah

Firman Allah :

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيْهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ اِلَى اللهِ


Dan apa yang kamu berselisih padanya, maka hukumnya itu kepada Allah.

Surah Asy-Syuura ayat 10 [42:10]

Dan bagi kita sebagai pelajar yang ingin mencari ilmu yang benar untuk dijadikan amal ibadah yang diredhai Allah, perlulah mengetahui panduan atau jalan bagi orang-orang yang selamat. Apakah jalan orang-orang yang selamat itu ?

Yang Pertama

Firman Allah :

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تُقَدِّمُوْا بَيْنَ يَدَىِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ


“Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya (jangan melakukan sesuatu perkara atau menetapkan sesuatu hukum sebelum kamu mendapat hukum atau kebenaran daripada Allah dan Rasul-Nya).”

Surah Al-Hujurat ayat 1 [49:1]

Iaitu kita tidak mendahulukan perintah/perkataan/ajaran sesiapapun daripada perintah Allah dan Rasul-Nya. Tiada istilah "ustaz itu kata !" atau "ulama itu kata !" tetapi hendaklah sesuatu urusan berbalik kepada keterangan yang sah dari Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh yang demikian manusia tidak boleh beribadat melainkan setelah jelas keterangan yang sah baginya di atas sesuatu ibadat yang hendak dikerjakan. Qaedah fiqh menetapkan :


اَلأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ التَّوْقِيْفُ وَالاِتِّبَاعُ

Asal hukum mengenai ibadat ialah menunggu perintah dan mengikut.

Dan :

اَلأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ الْبُطْلاَنِ حَتَّى يَقُوْمَ دَلِيْلٌ عَلَى الأَمْرِ


Asal hukum mengenai ibadat ialah batil (tidak boleh dikerjakan) sebelum datang dalil yang memerintahkan.

Oleh yang demikian sesuatu hujah yang hanya berdasarkan pendapat/pandangan seorang guru/ustaz tidak boleh menjadi dalil untuk kita beribadah sehingga ditunjukkan keterangan yang sah dari Al-Quran dan As-Sunnah. Perkataan "orang Mekah pun buat begitu !" atau "orang Madinah ada mengerjakannya !" bukanlah dalil untuk menghalalkan atau membolehkan sesuatu amalan. Sabda Rasulullah saw.:

خَلَفْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ

“Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang sekali-kali tidak akan menyesatkan kamu dengan keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku.”

Hadits shahih riwayat al-Hakim, Malik dan al-Baihaqi

Dan jika kita teruskan juga mengambil pendapat atau ajaran yang tidak ada dalil dari keduanya maka sabda Rasulullah saw.:

اِيَّاكُمْ وَالْمُحْدَثَاتِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Tinggalkan perkara perkara baru yang diada-adakan kerana semua perkara baru yang diada-adakan adalah sesat (belaka).”

Hadits shahih riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.

Sesuatu amalan yang dianggap sebagai ibadah, tetapi tidak bercontohkan dari Rasulullah saw. itu adalah dipanggil perkara baru dan adalah sesat belaka. Tidak ada sebarang kebaikan walau sedikit pun, walaupun yang menyatakan baik itu lahir dari mulut seorang ulama yang ternama tetaplah ianya tidak akan menjadi satu kebaikan. Sabda Rasulullah saw.

فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ


“Maka barangsiapa yang menyimpang dari Sunnahku, bukanlah dia dari golonganku.”

Hadits shahih - Muttafaq ‘Alaih.


Maka jangan sekali-kali kita yang bermanhaj As-Sunnah ini membuat sesuatu amalan di dalam urusan agama yang hanya didasari atas kepercayaan, keyakinan kepada seseorang ulama yang tidak memberi dalil yang sah dari Al-Quran dan As-Sunnah.

13 April 2009

Akaun Teratak Rahmat


Untuk makluman semua, akaun Bank Teratak Rahmat TELAH DITUKAR.
Sekiranya anda mahu menyumbang dengan cek, tuliskan cek anda atas nama
TERATAK RAHMAT. (Di belakang cek, sila tuliskan Teratak Rahmat dan program khusus yang mahu anda bantu, sekiranya ada.)

Hantarkan cek anda kepada:
Pengerusi Teratak Rahmat
d/a Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis
Km 1.2, Jalan Mata Ayer
02600 Mata Ayer
Perlis, Malaysia

Untuk keterangan lanjut serta untuk menyalurkan sumbangan tunai, pihak kami boleh dihubungi sebagaimana yang tertera di atas atau melalui telefon (Azwar @ 019-4776482). Bagi tujuan bank-in, sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Muamalat TERATAK RAHMAT di nombor akaun 0901-0019362-72-9.

Mencari Ilmu Menurut Islam

Bahagian Pertama

Ditulis Oleh Ustaz Muhammad Ihsan Bin Idris

Pada akhir-akhir ini, sering timbul persoalan-persoalan berkaitan perbezaan fahaman, mengapa ustaz itu dan ustaz ini berbeza penyampaiannya sedangkan mereka mengaku bermanhaj As-Sunnah ? Mengapa dalam penyampaian tauhid mereka berbeza, sedangkan tauhid ahli Sunnah itu dari manhaj yang satu ?

Jawapan : Sebenarnya permasalahan ini telah saya sentuh pada masa lalu, tetapi kerana soalan perbezaan penyampaian itu masih timbul, maka eloklah rasanya saya ulangi semula dengan memberi tambahan hujah di atas bab ini agar ianya dapat difahami dengan lebih jelas lagi. ان شاء الله saya akan cuba memberi penjelasan sekadar kemampuan ilmu yang ada dan berilah teguran jika ada kekurangan, kesilapan atau kekeliruan berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. dan apa yang beliau dan para sahabatnya berada di atasnya. Firman Allah :

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا مِنْكُمْ وَالَّذِيْنَ اُوتُوْا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Allah meninggikan mereka yang beriman antara kamu dan mereka yang diberi ilmu (para ulama) beberapa darjat.” Surah Al-Mujadalah ayat 11 [58:11]

Ayat yang menerangkan tentang perbezaan darjat antara para ulama yang mencari ilmu, kemudiannya lahirlah penyampaian yang berbeza. Perbezaannya mungkin berlaku dari penerimaan ijtihadnya (pilihan ijtihad yang ia yakini dari ulama As-Sunnah) atau kefahaman dari ilmu yang dipelajarinya. Tidak mustahil juga seorang ulama itu berlaku silap dalam penyampaiannya sebab itu adalah sifat kelemahan sebagai seorang anak Adam sebagaimana sabda Rasulullah saw.:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ خَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik kesilapan adalah mereka yang bertaubat.” Hadits hasan diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Berdalilkan hadits di atas kita dapat memahami bahawa seorang ulama (As-Sunnah) tidak akan terlepas dari kesilapan, demikian juga seorang sahabat Rasulullah saw. tidak akan terlepas dari kesilapan, oleh yang demikian hanya sesuatu urusan yang disepakati oleh para sahabat yang kita ambil sebagai dalil sunnah Khalifah yang terpimpin sebagaimana sabda Rasulullah saw.: وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ ‘Dan sunnah Khalifah ku yang terpimpin.’ Hanya Rasulullah saw. yang bersifat maksum dalam urusan agama yang dipelihara oleh Allah dari cacat cela di dalam urusan penyampaian Syariat yang dibawanya. Firman Allah :

اِنْ أَتَّبِعُ اِلاَّ مَا يُوْحَى اِلَيَّ

“Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku.”

Surah Al-An'aam ayat 50 [6:50]

Sifat taksub/fanatik atau bertaqlied/mengikat diri dengan seorang guru atau ulama adalah terlarang kerana mereka juga tidak terlepas dari kesilapan. Apa yang perlu kita ambil dari seorang guru/ustaz atau ulama adalah dalil dari penyampaiannya bukan kata-kata seorang ulama. Ini disepakati oleh sekian banyak imam-imam Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Telah berkata Imam Ahmad :

رَأْيُ الأَوْزَاعِي وَرَأْيُ مَالِكٍ وَرَأْيُ أَبِيْ حَنِيْفَةِ كُلُّهُ رَأْيٌ وَهُوَ عِنْدِيْ سَوَاءٌ وَاِنَّمَا الْحُجَّةُ فِي الآثَارِ

“Fikiran Al-Auzaie, fikiran Malik dan fikiran Abi Hanifah, semuanya fikiran, bagiku adalah sama sahaja, adapun yang menjadi hujjah adalah hadits.”

Imam Asy-Syafie berkata :

اِذَا وَجَدْتُمْ فِيْ كِتَابِيْ خِلاَفَ سُنَّةَ رَسُوْلِ اللهِ ص فَقُوْلُوْا بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ ص وَدَعُوْا مَا قُلْتُ

“Apabila kamu dapati dalam kitabku bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw. maka katalah pendapat kamu dengan mengikut Sunnah Rasulullah saw. dan tinggallah apa yang aku kata.”

Imam Abu Hanifah berkata :

حَرَامٌ عَلَى مَنْ لَمْ يَعْرِفْ دَلِيْلِيْ اَنْ يَفْتِيَ بِكَلاَمِيْ فَاِنَّنَا بَشَرٌ نَقُوْلُ الْقَوْلَ الْيَوْمَ وَنَرْجِعُ عَنْهُ غَدًا

“Haram ke atas orang yang tidak mengetahui dalil aku untuk mengatakan pendapatku, bahawa kami manusia, bercakap hari ini dan kami tariknya pada esok hari.”

Berkata Imam Malik :

اِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ أُخْطِئُ وَأُصِيْبُ فَانْظُرُوْا فِيْ رَأْيِيْ فَكُلُّ مَا وَافَقَ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَخُذُوْهُ وَكُلُّ مَا لَمْ يُوَافِقِ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ فَاتْرُكُوْهُ

“Adapun aku ini kadang kala salah kadang kala betul, oleh itu lihatlah pendapatku. Jika pendapatku itu selari dengan kitab (Al-Quran) dan Al-Sunnah, maka ambillah. Tiap tiap pendapatku yang tidak selari dengan Kitab dan Sunnah, maka tinggalkannya.”

Perkataan empat orang Imam di atas telah lazim kita dengar dan kita telah membuang sifat taksub, taqlied kepada mazhab fiqhiyiah yang empat, kebanyakan kita sependapat bahawa kita tidak boleh mengikat diri hanya dengan satu mazhab dan menolak segala dalil yang sah dari syara' dari mazhab lainnya. Tetapi apa yang menjadi masalah perjuangan As-Sunnah di Perlis sekarang, kita tinggalkan sifat bertaqlied/taksub kepada mazhab empat tetapi kita suburkan pula dalam diri kita sifat terikat dengan guru atau ustaz yang kita ambil ilmu agama dari mereka sehingga timbul perpecahan sesama kita dengan pulau memulau, umpatan dan sindiran kepada ustaz/guru yang lain kerana perbezaan pendapat terutamanya dalam urusan yang ada padanya khilafiyah iaitu satu urusan di dalam agama yang ada padanya hadits yang sahih atau yang sah untuk dibuat dalil tetapi telah terpecah kefahaman atau pengamalan kepada beberapa cara.

Perjuangan Sunnah Di Perlis

BAHAGIAN KEDUA




Seorang guru bernama Shukor bin Mat yang telah membuat penyelidikan tentang sejarah As-Sunnah di Perlis sehingga beliau menerbitkan sebuah buku yang sangat bernilai kepada generasi muda kini, tentang betapa pahit maung perjuangan generasi lampau untuk menegakkan As-Sunnah di Perlis. Semoga Allah memberkati usaha murninya itu, di antara penemuan dari kajian beliau adalah pengikut As-Sunnah pertama yang meninggal dunia di Perlis bernama Pak Mat Biola. Jenazahnya dikebumikan dengan menggunakan papan sekeping dan tidak ditalkinkan. Peristiwa ini telah menjadi cemuhan kepada golongan ahli bid’ah atau kaum tua, mereka mengatakan orang yang mengikuti fahaman As-Sunnah menguruskan janazah sebagaimana menanam bangkai lembu iaitu tidak di talkinkan.

Diantara tokoh As-Sunnah di peringkat awal perjuangan As-Sunnah di Perlis adalah
Abdul Manaf bin Abdullah atau di kenali juga sebagai Lebai Kecik. Beliau juga adalah perantau dari tanah seberang iaitu dari kampung Kemantan Darat, Padang Sumatera. Beliau di percayai datang ke Perlis lebih kurang pada tahun 1930. Beliau pada awalnya adalah dari kalangan golongan bid’ah, tetapi setelah bertemu dengan keterangan dari Al-Quran dan hadits yang sah untuk di buat dalil, beliau kemudiannya telah menjadi penentang kepada amalan bid’ah dan menjadi seorang pejuang As-Sunnah. Di antara rujukannya adalah sebuah kitab Bandung yang bernama Al-Fatwa. Beliau di katakana tokoh As-Sunnah kedua selepas Syeikh Hassan Surabaya. Beliau meninggal dunia dalam usia 60 tahun iaitu lebih kurang tahun 1946. Jasanya di dalam memperjuangkan As-Sunnah di Perlis tidak sedikit sehingga berjaya menambah bilangan pelajar yang bermanhaj As-Sunnah dan mengukuhkan lagi pergerakan menentang kurafat, syirik dan bid’ah di Perlis. Di antara muridnya yang terkenal adalah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Jaafar Hassan. Semoga Allah mencucuri rahmat keatasnya.

Tokoh sezaman dengan Lebai Kecik adalah Haji Abdul Ghani bin Datuk Sakti, beliau juga adalah anak murid kepada Syeikh Hassan Surabaya.
Anak kelahiran Kampung Rumbai, Bukit Tinggi Sumatera dan biasa mendapat pendidikan agama di Sumatera Barat. Beliau aktif mengajar agama di madrasah-madrasah, baik di kampung mahupun di bandar di sekitar Perlis. Beliau memegang berbagai jawatan semasa hidupnya seperti imam dan amir zakat di kawasan kariah Masjid Abi, Perlis, Ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis dan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. Beliau adalah seorang ulama As-Sunnah yang sangat kukuh pendiriannya di dalam memperjuangkan kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah. Beliau juga telah menganti tempat Syeikh Hassan Surabaya mengajar di Madrasah Alor Sena apabila Syeikh Hassan pulang ke Pulau Pinang dan Haji Abdul Ghani juga berganding bahu bersama Datuk Wan Ahmad dan berhubung rapat dengan tokoh As-Sunnah terkenal Syeikh Tahir Jamaluddin dan A.Hassan Bandung. Beliau telah meninggal dunia di dalam usia lebih kurang 75 tahun.


Nama Syeikh Abu Bakar As-Shaari adalah di antara tokoh ulama As-Sunnah yang tidak dapat dipisahkan di dalam perjuangan As-Sunnah di Perlis. Beliau antara ulama yang berpendidikan tinggi, bermula dari Sekolah Melayu, Sekolah Anglo Chinese School Pulau Pinang, Madrasah Al-Mashur sehinggalah ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1925-1932. Beliau turut memegang jawatan penting di Perlis seperti Imam Besar Masjid Alwi (1939), Ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis, ketokohan beliau di dalam mengarang amat menonjol. Di antara sumbangan beliau di dalam bidang penulisan adalah, menjadi pengarang Majalah Seruan Azhar 1928, penulis untuk akhbar ‘SAUDARA’, pengarang kitab As-Sunnah seperti, Intisari Taksir Juzuk Amma, Sejarah Al-Anbiya, Pedoman Ibadat Rasulullah dan lain-lainnya. Perjuangan beliau menegakkan As-Sunnah tidak sunyi dari tentangan dan fitnah. Tetapi Syeikh Abu Bakar adalah seorang ulama As-Sunnah yang cekal dan tegas pendiriannya. Perjuangan murninya telah berjaya menyemarakkan lagi kebangkitan As-Sunnah di Perlis dan gandingan beliau bersama tokoh-tokoh As-Sunnah sezaman dengannya menyebabkan golongan ‘kaum tua’ menjadi gerun dan terhimpit dengan kebangkitan golongan As-Sunnah. Syeikh Abu Bakar As-Shaari lahir pada tahun 1903 di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan telah meninggal dunia di Port Dickson semasa dalam perjalanan ke Madrasah As-Sunnah Kuala Pilah pada tahun 1970.

Seorang ulama yang bersama-sama menyemarakkan perjuangan As-Sunnah di Perlis adalah Fakih Sidin bin Marusa. Sekadar maklumat yang di dapati, beliau di percayai anak kelahiran Sumatera dan biasa berguru dengan ulama besar Indonesia iaitu Prof. Dr. Karim Amirullah atau lebih dikenali sebagai Hamka. Antara kitab yang di gunakan untuk mengajar As-Sunnah adalah Kitab Al-Fatwa karangan A.Hassan Bandung dan Al-Umm di dalam bahasa Arab dan selain mengajar agama beliau juga berguru dengan Syeikh Noor Al-Sururi. Beliau gemar berbincang untuk memperjelaskan permasalahan agama yang di raguinya, seorang ulama yang bersifat sederhana dan tidak sombong dalam menyampaikan dakwahnya.

Seorang lagi tokoh As-Sunnah yang sangat di kenali pada era kegemilangan As-Sunnah adalah ustaz Abdul Rahman bin Ismail. Beliau bertubuh kecil, tetapi sangat lantang dan berani di dalam memperjuangkan As-Sunnah. Beliau adalah antara tokoh As-Sunnah yang di geruni oleh golongan tua atau ahli bid’ah pada zaman kegemilangan As-Sunnah di Perlis iaitu sekitar tahun 1970-1985. Di lahirkan di Kampung Sena, Kangar Perlis dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kangar, Pondok Kampung Sena, Kangar, Sekolah Arab Al-Masyur, Pulau Pinang dan Sekolah Arab Alwiyah, Arau Perlis. Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di negeri Perlis antaranya adalah menjadi Mufti Negeri Perlis pada tahun 1972-1984, Imam Besar Masjid Alwi dan pemangku Guru Besar Sekolah Arab Alawiyah Kangar.

Ustaz Abdul Rahman adalah di antara ulama As-Sunnah yang mengajar bahasa Arab dan mampu membaca kitab-kitab pengajian tinggi Arab Klasik. Kelantangan suaranya dan ketegasan di dalam menyampaikan khutbah Jumaat menyebabkan Masjid Alwi menjadi tumpuan orang ramai untuk bersolat Jumaat. Ada yang datang dari Padang Besar, Jalan Kaki Bukit dan lain-lain tempat di Perlis yang jauhnya berpuluh kilometer. Lazimnya pada sebelah pagi Jumaat orang ramai dari berbagai daerah di Perlis berduyun-duyun ke Mata Ayer untuk mengikuti kelas agama di Kampung Kersik iaitu di rumah Syeikh Noor dan apabila selesai kelas, ramai yang berhenti di Kangar untuk bersolat Jumaat di Masjid Alwi Kangar.

Perjuangan As-Sunnah di Perlis sejak dari zaman Syeikh Hassan Surabaya dan di sambung oleh generasi pelapisnya sentiasa berhubung rapat di dalam mengukuhkan ilmu dan perjuangan murni mereka. Ilmu tauhid, Iman dan ibadat adalah pelajaran wajib bagi golongan As-Sunnah di masa itu dan di antara tokoh As-Sunnah yang telah mengajar tauhid, iman dan ibadat secara terperinci dan dalam sekali kajian ilmunya berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. adalah Syeikh Noor As-Sururi.

Nama sebenar beliau adalah Ismail bin Mahmud. Di lahirkan pada tahun 1911, di Pulau Pinang dan beliau adalah dari keturunan Arab Hadramaut.
Beliau menuntut di Mekah selama 8 tahun kemudian menuntut di Pusat Pengajian Tinggi Darul Hadith, Madinah selama 8 tahun. Beliau kemudiannya kembali ke Mekah dan bekerja sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selama 8 tahun. Beliau terkenal dengan ketegasannya, ini terbukti apabila beliau meletak jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Mekah kerana tidak berpuashati dengan satu hukuman yang beliau yakin tidak adil. Beliau adalah seorang ulama yang pakar di dalam ilmu Al-Quran dan hadits, seorang tokoh As-Sunnah walaupun berasal dari Malaysia tetapi membesar di Arab Saudi dan mendapat pendidikan yang mendalam di dalam ilmu As-Sunnah.

Kehalusan ilmunya menyebabkan berlaku beberapa perbezaan pendapat di kalangan jemaah As-Sunnah di Perlis pada masa itu dan berterusan sehingga kini. Dan perbezaan ini semakin ketara apabila lahirnya beberapa pendakwah muda lulusan Madinah dan Jordan yang menyambung perjuangan As-Sunnah di Perlis. Tetapi bagi orang yang benar-benar memahami As-Sunnah perkara ini tidaklah menjadi masalah besar asalkan yang kita ambil itu adalah dalil yang kukuh dari Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi kita akan menghadapi masalah jika ilmu itu kita ambil di atas dasar percaya kepada ulama atau terpengaruh terhadap kepetahan kata-kata seseorang ulama sehinggakan kita tidak merujuk kekuatan dalil dengan cara sebenarnya (bersifat asal ada dalil kita terima). Jemaah As-Sunnah tidak cukup hanya menerima sesuatu itu atas dasar dalil semata-mata tetapi hendaklah kita berusaha merujuk dalil-dalil tersebut samada benar-benar kukuh atau lahir dari pegangan sesuatu mazhab, yang mana kukuh itu adalah menurut ulama-ulama mazhab tersebut dan bukan menurut himpunan dalil-dalil dari As-Sunnah secara keseluruhannya.

Syeikh Noor As-Sururi mendidik anak muridnya agar tidak bertaklied kepadanya tetapi berusaha memahami dalil atau nash yang diberikan. Lazimnya pada sesuatu masalah agama yang ada perselisihan para ulama ahli sunnah, Syeikh Noor akan menjelaskan satu demi satu sebab perselisihan itu lalu beliau memberi tahu sebab yang beliau berpendirian dengan salah satu pendapat serta apakah dalil-dalil yang kukuh yang menyokongnya dan apa sebabnya sesuatu pendapat lainnya menjadi lemah. Semua ini beliau lakukan agar anak muridnya tidak hanya mengikut apa yang di sampai oleh seorang ulama tetapi berusaha untuk memahami permasalahan dengan ilmu bukannya bertaklied. Di dalam mengembangkan perjuangan As-Sunnah walaupun di zaman kegemilangan, di mana telah timbul pengikut As-Sunnah di segenap penjuru negeri Perlis, Syeikh Noor tidak terkecuali menerima cabaran tentangan dari kalangan ‘kaum tua’, dengan menabur berbagai fitnah, cacian dan hinaan. Tempat pengajian As-Sunnahnya berpindah beberapa kali dari Mata Ayer ke Hutan Lembah dan akhirnya beliau menetap di Kampung Kerisik. Di Hutan Lembah beliau menjalankan pengajaran As-Sunnah dengan lebih tersusun dan apabila bertapak di Kampung Kerisik cara pengajarannya lebih bercorak kuliah kerana sambutan terhadap pengajarannya bertambah dari tahun demi tahun pada setiap pagi hari Jumaat hampir seribu anak muridnya berhimpun mendengar kuliahnya. Selain dari tempat yang di sebutkan di atas beliau juga biasa mengajar di Bohor Cicar, Bohor Latih dan Batu 5, Jalan Kuala Perlis. Di waktu itu sesiapa yang ingin mendalami secara lebih terperinci lagi tentang As-Sunnah, hendaklah datang secara bersendiri atau dengan jemaah yang kecil pada hari lainnya.

Dari Kangar anak-anak muridnya menaiki bas ke Kampung Kerisik dan apabila sampai ke Kampung Kerisik ada kalanya hanya tinggal pemandu dan penjual tiket bas sahaja kerana yang ramai itu ialah orang yang datang kekelas As-Sunnah di rumah Syeikh Noor As-Sururi.Dua buah bas pada waktu pagi Jumaat itu lazimnya di penuhi oleh sebahagian besar anak muridnya, selain itu ada yang datang dengan kereta dan boleh di lihat deretan kereta yang panjang di sepanjang jalan kerumahnya. Dan di rumah Syeikh Noor inilah tempat pertama bertapaknya Persatuan Al-Islah Negeri Perlis. Beliau biasa di tamatkan tauliah mengajarnya dan perjuangan As-Sunnah yang di kembangkan oleh Syeikh Noor ditentang serta di ragui oleh banyak pihak, antara sebabnya adalah kehalusan cara beliau mengajar atau mengeluarkan nash dan luasnya ilmunya di dalam As-Sunnah. Beliau adalah salah seorang ulama yang paling tinggi pengajiannya di kalangan para ulama As-Sunnah di Perlis pada masa itu, beliau juga adalah seorang mufassirin dan muhadissin. Hasil perkahwinan Syeikh Noor dengan isterinya Fatimah binti Hat telah di kurniakan tiga orang anak; seorang lelaki dan dua orang perempuan. Beliau adalah pengasas Persatuan Al-Islah Negeri Perlis dan sumbangannya di dalam meningkatkan perkembangan As-Sunnah di Perlis merupakan sumbangan yang sangat besar. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1984 pada usia 73 tahun dan di semadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Mengulang, Perlis. Semoga Allah merahmatinya dan meletakkannya bersama golongan orang-orang yang soleh.

Sebenarnya sangat banyak ulama yang menyumbang kepada perkembangan As-Sunnah di Perlis, di antaranya ada yang tidak di ceritakan di sini secara terperinci tetapi insyaAllah akan di usahakan agar dapat di bukukan sejarah perjuangan mereka sebagai panduan kepada ulama-ulama muda di dalam mengharungi samudera perjuangan As-Sunnah di Perlis, juga sebagai satu pedoman kepada perjuangan As-Sunnah di tempat lainnya. Semoga dari kisah perjuangan mereka dapat kita mengambil tauladan dan sempadan di dalam meneruskan perjuangan yang murni ini. Nama-nama seperti
  1. Abu Bakar bin Taib (1889-1969) ayah kepada bekas T.B. En. Khazim bin Abu Bakar dan Ustazah Norhiyah binti Abu Bakar,
  2. Syeikh Ahmad bin Mohd Hashim (1896-1980) bekas Menteri Besar Perlis yang pertama (Mei 1959—Dis 1971),
  3. Ahmad bin Muhammad (1885-1964) kelahiran Mekah, tokoh As-Sunnah yang memegang berbagai jawatan penting di Perlis,
  4. ustaz Abdullah bin Mat Ali, Ustaz Abdul Razak bin Abdul Rahman, Ustaz Yusuf bin Hamid, Ustaz Bakar (Bomba)
  5. dan banyak nama-nama lain yang telah banyak menabur jasa sehingga kebangkitan As-Sunnah menyemarak di negeri Perlis.

Dan salah seorang tokoh yang masih berjuang secara aktif sehingga kini dan masih sihat serta cekal perjuangannya adalah Profesor Madya Datuk Alim Setia ustaz Ahmad bin Yusof Amin atau di kenali juga dengan gelaran Ahmad Libya. Beliau seorang yang berpendidikan tinggi dan bersifat sederhana serta sentiasa berusaha untuk memajukan perjuangan As-Sunnah di Perlis. Beliau adalah Rektor Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis, bekas pensyarah ITM cawangan Sabah, bekas pensyarah ITM Arau, Perlis, ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan sekarang beliau menjadi Yang Di Pertua Pertubuhan Al-Islah Negeri Perlis. Datuk Ahmad adalah seorang ulama yang suka mendampingi anak muda dan sangat mementingkan penyertaan mereka di dalam perjuangan As-Sunnah.

Walaupun beliau berpendidikan tinggi dan seorang bergelar Dato’, sifat bertolak
ansur dan kesederhanaannya amat menonjol, sehingga beliau di sukai oleh golongan anak muda dan mudah di dampingi. Sebagai seorang ulama As-Sunnah beliau tidak lepas dari tentangan dan fitnah, namun itu semua tidak pernah menjadi halangan bagi beliau untuk terus memperjuangkan As-Sunnah. Perjuangan As-Sunnah di Perlis telah mengalami beberapa peringkat perkembangannya semenjak zaman awal sehinggalah sekarang ia telah teruji dengan berbagai tentangan dan cabaran. Tetapi setelah kejayaan dan kegemilangannya, perjuangan As-Sunnah di Perlis sekali lagi di gegarkan dengan kemasukkan tokoh-tokoh muda yang cuba menyampaikan dakwah As-Sunnah di Perlis, kebanyakan mereka dari luar Perlis seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah. Tetapi kerana kurang pengalaman dan tidak memahami sejarah perjuangan As-Sunnah di Perlis, perjuangan mereka selain dari menyampaikan As-Sunnah telah juga menyebabkan perpecahan yang besar di kalangan jemaah As-Sunnah terutamanya bagi yang baru berjinak dengan As-Sunnah.

Kaul-kaul (pendapat) yang telah di bincangkan dan telah di selesaikan dengan bijaksana oleh golongan As-Sunnah terdahulu telah di ungkit semula. Maka terjadilah perselisihan sesama As-Sunnah dan sekian banyak jemaah As-Sunnah telah mengambil pendirian memencil diri dengan cara membuka kelas kelas pengajian sendiri yang pelajarnya adakalanya keluarga sendiri atau kawan rapatnya. Mereka bertindak demikian kerana tidak mahu keliru dan tidak dapat menerima hujah-hujah dari ulama muda yang agak longgar dan adakalanya hujah tersebut lebih berpihak kepada mazhab dari kekuatan dalil berdasarkan Al-Quran dan hadits. Sepatutnya golongan ulama muda As-Sunnah, setelah mendalami pengajian As-Sunnah di Madinah atau Jordan, apabila pulang ke Perlis atau datang ke Perlis mengkaji terlebih dahulu kaul-kaul yang ada di Perlis dan kajian itu hendaklah di buat dengan hati yang terbuka untuk menerima kebenaran berdasarkan nash yang sahih dan jangan sekali-kali terikat dengan rentak pengajian yang telah kita pelajari. Sesungguhnya tidak semesti apa yang kita pelajari di tanah Arab itu betul belaka dan tidak semestinya ilmu As-Sunnah yang telah berkembang di Perlis ini lemah dan meragukan.

Jika dikaji kemasukan As-Sunnah di Perlis, ia telah melalui beberapa peringkat perkembangannya. Dan tidak sedikit ulama-ulama yang berpendidikan di dalam ilmu Al-Quran dan hadits yang telah menyumbang jasa di dalam memperhaluskan perjuangan murni ini. Oleh yang demikian kedatangan ulama-ulama muda untuk mengubah beberapa keputusan yang telah menjadi pendirian As-Sunnah di Perlis perlu kepada perbincangan yang adil. Kerana tokoh-tokoh As-Sunnah tidak semestinya mereka yang hanya berada di dalam Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis sahaja, itu adalah segolongan kecil dari As-Sunnah. Sebenarnya di Perlis ini terdapat berpuluh-puluh tokoh As-Sunnah lainnya yang masing-masing ada pengikut atau setidak-tidaknya ada kumpulannya sendiri. Apabila kita tidak membuat sesuatu keputusan dengan muzakarah yang menyeluruh dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan apa yang mereka yakin berdasarkan nash yang mereka pelajari, maka perpecahan dan tentangan sesama As-Sunnah akan berlaku dan inilah yang telah terjadi sekarang ini.

Ulama-ulama muda As-Sunnah hendaklah mengkaji dengan teliti pendirian mereka dari ilmu yang mereka pelajari. Tidak ada yang sempurna kecuali apa yang di bawa oleh Rasulullah saw. sehinggakan para sahabat baginda juga tidak terlepas dari membuat kesilapan. Oleh yang demikian sifat ingin menyampai dan mematahkan hujah hanya pada dasar ilmu kita tanpa mahu mengambil dan memahami dalil dari pihak lain adalah satu kekeliruan yang nyata dan ianya tidak akan menyebabkan kekuatan ummah tetapi hanyalah menyumbang kepada pepecahan As-Sunnah.

12 April 2009

Perjuangan Sunnah Di Perlis

BAHAGIAN PERTAMA

Sejarah perjuangan As-Sunnah di Perlis telah bermula seawal lebih kurang pada tahun 1915.
Ulama pertama yang dapat di ketahui membawa ajaran As-Sunnah di Perlis adalah Syeikh Hassan bin Ahmad. Di dalam kajian sejarah As-Sunnah di Perlis, Syeikh Hassan atau di kenali juga dengan nama Hassan Surabaya adalah pengasas perjuangan As-Sunnah di Perlis. Beliau berasal dari Surabaya dan di percayai datang ke Perlis lebih kurang pada tahun 1915. Beliau mengembangkan ajaran Islam menurut As-Sunnah pada peringkat awal di kawasan Arau, Perlis.

Di antara anak murid beliau adalah
  1. Yang Mulia Tengku Adnan bin Tengku Yahya,
  2. Haji Mat Hakim, Pak Pilus,
  3. Haji Dahaman,
  4. Arshad Leh,
  5. Pak Wan Ahmad
  6. dan banyak lagi nama-nama lain, yang telah di beri petunjuk oleh Allah, untuk menerima kebenaran As-Sunnah
Syeikh Hassan Surabaya, menghadapi berbagai tentangan di dalam menyampai Manhaj As-Sunnah di Perlis, beliau biasa diusir dari Perlis dan membawa diri serta keluarganya ke Pulau Pinang dan berusaha mengembangkan As-Sunnah di sana.

Beliau tidak patah semangat untuk berjuang menegak kebenaran As-Sunnah dan lebih kurang
pada tahun 1928, beliau kembali ke Perlis dan menetap di kampung Paya untuk meneruskan perjuangan As-Sunnah di Perlis. Di antara ajaran As-Sunnah yang dibawa oleh Hassan Surabaya adalah tidak ada talkin untuk orang mati, tidak ada bacaan 'usalli' di permulaan solat, ilmu tauhid, menentang amalan azan untuk mendirikan rumah, membasmi kepercayaan kurafat dan bid’ah, menentang kenduri arwah dan lain-lain amalan yang tidak bersumberkan dari Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Pada lebih kurang tahun 1937 maka terbinalah madrasah As-Sunnah yang pertama yang di beri nama Madrasah Alor Sena hasil usaha pengikut pengikut As-Sunnah di kawasan kampung Paya dan di bantu oleh adikong Raja Syed Alwi yang bernama Datuk Wan Ahmad atau di kenali sebagai Pak Wan Ahmad.

Datuk Wan Ahmad adalah salah seorang anak murid Syeikh Hassan Surabaya. Beliau merupakan seorang yang mempunyai pendirian dan semangat juang yang kukuh untuk mengembangkan As-Sunnah di Perlis. Keazamannya adalah sangat cekal malah beliau merupakan salah seorang yang terlibat secara langsung di dalam menyemarakkan semangat pengikut fahaman As-Sunnah di Perlis, agar terus berjuang menghadapi tentangan golongan ahli bid’ah atau kaum tua yang pada ketika itu memulau malah ada yang mengkafirkan perjuangan As-Sunnah. Syeikh Hassan Surabaya kemudiannya meneruskan perjuangan As-Sunnah ke Bangkok, Thailand. Dari Thailand beliau ke Pulau Pinang dan meneruskan perjuangannya di sana. Beliau meninggal dunia di Pulau Pinang di dalam keadaan tidur setelah selesai solat hari raya.