30 September 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Keadilan dalam pembahagian harta


DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com


ASSALAMUALAIKUM Ustaz,

Saya ingin mengetahui adakah dari sudut syarak keputusan yang di lakukan oleh arwah bapa saya.

Sebelum bapa saya meninggal beliau telah membahagikan tiga perempat dari keseluruhan harta beliau kepada kedua orang adik saya kecuali saya dan abang saya.

Dari sudut hukum bolehkah berbuat sedemikian?

Apabila bapa saya meninggal dunia adakah kedua-dua adik saya masih berhak keatas baki satu perempat harta peninggalan.

- Zahari Abdul Aziz, Selangor

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku adil. Orang yang berlaku adil akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang adil itu berada di sisi Allah, di atas menara-menara cahaya, di sebelah kanan Allah... iaitulah mereka yang berlaku adil dalam hukum mereka dan keluarga mereka serta apa yang mereka pimpin."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, No. 1827).

Sesungguhnya, di antara perkara yang diarahkan oleh Islam ialah agar umatnya berlaku adil dalam pemberian terhadap anak-anak. Seorang bapa atau ibu itu hendaklah memberi sesuatu pemberian itu secara adil kepada anak-anak mereka.

Keadilan inilah yang akan menjadikan kesemua anak-anak itu serupa dan sama dalam berbakti kepada ibu bapa mereka. Perkara ini telah pun ditekan oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut; al-Nu'man bin Basyir berkata, "Ayahku telah membawaku berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, 'Wahai Rasulullah! Saya mempersaksikanmu bahawa saya telah memberi al-Nu'man sebahagian daripada hartaku.' Baginda bersabda, "Adakah semua anak-anakmu kamu berikan seperti mana kamu beri kepada al-Nu'man?" Ayah menjawab, 'Tidak.' Baginda bersabda, "Carilah orang lain untuk menjadi saksi." Kemudian baginda berkata lagi, "Adakah engkau suka mereka semuanya berbakti kepadamu secara sama?" Ayah menjawab, 'Ya.' Baginda bersabda, "Jika begitu jangan beri hanya kepada dia."
(Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, no. 1623).

Namun, sekiranya pemberian yang diberikan itu tidak sama antara satu anak dengan anak yang lain, tetapi anak yang tidak dapat itu menyetujui dan meredai, maka tiada masalah.

Dalilnya ialah satu riwayat di mana A'isyah r.a. telah berkata, 'Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah memberinya hasil tanaman sebanyak 20 wasaq daripada kebunnya...' (Hadis riwayat al-Imam Malik dalam Muwatta'. Ibnu Hajar mengkategorikannya sebagai Sahih). Ibnu Hajar rahihamullah di dalam kitabnya Fathul Bari (5/215) telah mengatakan bahawa Urwah r.a. telah mengatakan bahawa adik beradik A'isyah r.a menyetujui dan meredai pemberian itu.

Dengan itu, berkenaan dengan harta sebanyak tiga perempat yang diberikan kepada dua orang adik saudara, ada dua keadaan; pertama, jika saudara dan abang tidak setuju dan tidak reda maka harta itu perlu dibahagi semula sama ada secara sama rata atau mengikut pembahagian faraid.

Secara ringkasnya, mengikut hukum faraid, anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Keadaan kedua, jika saudara dan abang setuju dan reda, maka tiada apa yang perlu dilakukan.

Berkenaan dengan harta yang berbaki, iaitu sebanyak satu perempat keseluruhan pewaris termasuk kedua-dua adik saudara tetap mempunyai hak ke atas harta ini mengikut apa yang diperuntukkan dalam hukum faraid.

Silalah rujuk kepada Mahkamah Syariah atau Jabatan Agama berdekatan untuk mendapat pembahagian yang terperinci berdasarkan harta yang ditinggalkan dan pewaris yang layak menerima.

Di kesempatan ini saya ingin menasihatkan para pembaca sekelian, khususnya para ibu bapa agar sentiasa memikirkan unsur keadilan dalam pemberian kepada anak-anak semasa hidup.

Pemberian hendaklah dilakukan secara adil dan saksama. Adapun nafkah yang wajib, maka hendaklah diberikan kepada anak-anak mengikut keperluan mereka dan tidak perlu sama rata.

Semoga Allah memudahkan kita untuk berlaku adil dan mengampunkan kelemahan dan kesilapan kita dalam pemberian dan pengagihan harta.

Sebagai makluman tambahan, hendaklah kita mengetahui bahawa hukum nafkah anak-anak adalah wajib dan tidak sama dengan pemberian yang bukan merupakan nafkah. Nafkah adalah perbelanjaan yang merangkumi makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, perkahwinan dan kesihatan.

Justeru, keadilan dalam memberi nafkah ialah yang sewajarnya dan yang sesuai dengan keperluan anak. Sebagai contoh jika terdapat lima orang anak dan kesemuanya memerlukan pakaian maka hendaklah dibelikan pakaian untuk setiap seorang daripada mereka berlima.

Akan tetapi jika hanya tiga sahaja yang memerlukan pakaian, maka belilah untuk tiga orang itu sahaja dan tidak perlu dibelikan untuk yang dua lagi. Jika dibelikan juga untuk yang dua lagi itu, dikhuatiri boleh terjerumus ke dalam pembaziran kerana mereka berdua tidak memerlukannya.

Satu perkara lagi, perlulah dibezakan antara lelaki dan perempuan. Pastinya keperluan anak lelaki tidak sama dengan keperluan anak perempuan. Bila sang ayah memberi nafkah anak-anaknya mengikut keperluan mereka, inilah yang dinamakan keadilan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

SHEIKH WALID: NASIHAT KEPADA PENCINTA ILMU ISLAM DI MALAYSIA


Ingatlah bahawa Iblis itu pintar. Perangkapnya telah dirancang sejak nenek moyang kita, Nabi Adam a.s. Berhati-hatilah dengan strateginya yang teramat halus.

Semoga penjelasan dari Sheikh Walid al-Nasr di USM, Pulau Pinang ini dapat bantu menyedarkan remaja dan semua umat Islam di Malaysia dari terpesong kepada jalan yang lurus. Insya-Allah...

Sheikh Walid bin An-Nasr telah dijemput dari Madinah al-Munawwarah untuk menyampaikan daurah kepada siswa-siswi di USM Pulau Pinang.

Syeikh al-Walid Bin Muhammad Nabih Bin Sayf al-Nasr adalah pengarang Syarh Usul al-Sunnah. Kitab asalnya ditulis oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal. Edisi Bahasa Indonesia Syarh Usul al-Sunnah oleh Syeikh al-Walid dimurajaah oleh Ustaz Abdul Hakim Abdat, serta diterbitkan oleh Penerbit Darus Sunnah di Jakarta Timur

28 September 2012

OpenTahfiz: Bahaya Qadiani

Artikel ini dipetik dari opentahfiz.blogspot.com seperti di pautan http://opentahfiz.blogspot.com/2012/09/bahaya-qadiani_19.html

Sheikh Walid: QADIANI MENGAKU SEBAGAI NABI

Jika sesiapa melalui jalan kampung nakhoda, akan kelihatan banyak papan tanda berwarna oren yang tertulis, QADIANI BUKAN AGAMA ISLAM. Bagi mereka yang baru, pasti tertanya-tanya mengenai istilah “QADIANI” yang seperti telah dikafirkan oleh papan tanda tersebut. Siapakah ini sebenarnya? Adakah sebuah golongan yang bahaya atau tidak?

Pada syawal baru ini, perkembangan yang pesat di sana menimbulkan seribu persoalan diminda masyarakt kampung nakhoda berikutan jumlah pengunjung yang ramai berkumpul. Pakir di bahagian tepi jalan menjadi sesak dan terdapat rela dari kalangan mereka yang menjaga. Perkara ini amat membimbangkan semua pihak berikutan masalah aqidah yang semakin berleluasa tanpa ada usaha untuk menyekat ataupun menghalang.

Qadiani merupakan sebuah fahaman agama yang bahaya dan khurafat lagi menyesatkan. Ia telah di asaskan oleh MIRZA GHULAM AHMAD dilahirkan pada tahun 1839 di kampung Qadian dalam daerah Gurdaspur pada peringkat akhir pemerintahan Sikh di situ. Bapanya bernama Mirza Ghulam Murtaza bin Mirza Atta Muhammad. Dia berketurunan Borlas dari bangsa Moghul. Dia mendakwa mendapat ilham bahawa beliau berasal dari bangsa Parsi. Dia menyatakan keturunannya dipercayai berasal dari Samarkand, kemudian berpindah ke India dan menetap di Qadian.

Mirza telah mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Masih yang dijanjikan (The Promised Messiah) pada tahun 1891 dan sebagai nabi Allah pada tahun 1901, maka ulama-ulama Islam mula menyerang dakwaannya itu. Antara mereka termasuklah Maulana Sana’ullah Amritsari, pengarang (penyunting) buku Ahli-Hadith.

Pada 5hb. April, tahun 1907, Mirza dengan lantang menjawab dan mencabar Maulana Sana’ullah di atas tuduhannya itu. Antara lain Mirza berkata: “Jika saya ini pembohong dan penipu maka saya akan mati pada masa kau masih hidup kerana saya tahu bahawa hidup seorang pembohong itu tidak akan panjang; dia akan mati sebagai seorang yang gagal pada masa lawannya masih hidup. Tetapi jika saya bukan pembohong malah diutuskan Allah dan juga sebagai Al-Masih yang dijanjikan maka saya harap dengan kekuasaan Allah, kau tidak akan dapat lari balasan-Nya. Dengan itu, justeru balasan itu hanya di tangan Allah, maka penyakit yang mematikan manusia seperti taun tidak akan mengenakan kau selagi saya masih hidup sebagai bukti saya ini pembohong”.

Tetapi setahun selepas itu iaitu pada 25hb. Mei 1908, Mirza jatuh sakit akibat penyakit ceret-beret di Lahore. Pada masa itu juga, beliau diserang penyakit taun. Pada keesokan harinya, 20hb. Mei, 1908, Mirza meninggal dunia.

QADIANI DI MALAYSIA

Di negara kita sendiri, Qadiani berjaya menyusup masuk pada awal 1930-an di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor yang merupakan pusat aktiviti terbesar mereka. Penyebarnya yang pertama dipercayai adalah Maulana Husin Iyaz yang telah datang ke Singapura pada tahun 1935 dan pejabatnya ialah di No. 116, Unan Road, Singapura. Melalui pejabatnya ini, dia menyebarkan ajaran sesat Qadiani kepada orang ramai.

Selepas Maulana Husin Iyaz, datang pula Maulana Mohd Sadiq bin Barakatullah pada 22hb Disember 1949 sebagai penyebarnya di sini. Pada 15 Disember 1953 telah diadakan perbahasan antara kumpulan ini dengan para ‘alim ulama’ di hadapan DYMM Sultan Selangor, Hasil perbincangan itu memutuskan, golongan Qadiani tidak diiktiraf sebagai orang Islam, malah terkeluar dari Islam. Perkembangan mereka menjadi lumpuh ekoran daripada dialog tersebut. Kini hanya satu pusat yang masih bergerak aktif iaitu No. 11A, Jalan Nakhoda Kanan, Kampung Nakhoda, Batu Caves Selangor (Berdekatan Dengan Open Tahfiz Centre). Pusat ini mengadakan aktiviti seperti solat Jumaat, perhimpunan antarabangsa dan penerbitan risalah.

JELAS KEKUFURAN MIRZA

  1. Penghinaan Mirza Ghulam Ahmad terhadap Nabi Muhammad 
  2. Mendakwa sebagai jelmaan Nabi Muhammad 
  3. Pengakuan sebagai Nabi Isa Alaihissalam dan penghinaan terhadap Baginda 
  4. Mendakwa menerima wahyu setaraf dengan Al-Quran 
  5. Mengkafirkan umat Islam yang tidak menurut ajarannya 
  6. Menghapuskan jihad 


FATWA PARA ULAMA TERHADAP AJARAN QADIANI

Liga Muslim Sedunia, 14hb – 18hb Rabiulawal 1394 H ( Bersamaan April 1974 ) MEKAH.


Qadianiah atau Ahmadiah merupakan suatu gerakan subversif yang Menentang Islam dan Muslim sedunia. Ia, dengan penuh penipuan, Mendakwa bahawa sebagai salah satu gerakan Islam. Bersembunyi di Sebalik topeng Islam demi mencapai tujuan tertentu serta merancang Untuk menghancurkan Islam daripada asasnya lagi.


Qadiani hendaklah diisytiharkan sebagai bukan Muslim dan terkeluar daripada agama Islam. Mereka hendaklah turut ditegah daripada memasuki tanah suci Mekah dan Madinah.

Tidak boleh berurusan dengan pengikut-pengikut fahaman ini. Mereka hendaklah diboikot dari segi sosial, ekonomi dan budaya. Mereka tidak boleh bernikah dan dinikahi serta mayat mereka dilarang daripada ditanam di perkuburan Islam. Mereka hendaklah dilayan sebagai orang bukan Islam.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya yang ke-101 diadakan pada 18hb. Jun, 1975.


“Puak Qadianiah / Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menikmati hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam”.


Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor 1989,

Ajaran Qadiani Adalah Satu Ajaran Yang Menyalahi Ajaran Islam Yang Sebenarnya. Pengikut-Pengikut Ajaran Qadiani Ini Telah Dihukumkan Kafir Oleh Ulama-Ulama Islam Serata Dunia.

Jabatan Agama Islam Selangor Telah Menghukumkan Kafir Kepada Pengikut-Pengikut Qadiani Yang Berpusat Di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor Pada 15 / 12 / 1953 Setelah Mereka Dibicarakan Di Istana Kuala Lumpur Di Hadapan D.Y.M.M Sultan Selangor Serta Beberapa Orang Alim Ulama Di Negeri Selangor Ini. Setiap Orang Yang Telah Menjadi Penganut Ajaran Qadiani Adalah Telah Murtad (Keluar Dari Agama Islam). Maka Wajiblah Dituntut Mereka Bertaubat Kembali Kepada Islam Dengan Mengikrar Dua Kalimah Syahadah.

Orang-orang Islam adalah dilarang menjual, mengedar, membeli, memiliki atau memberi ceramah tentang isi kandungan buku- buku berikut:

(a)         “Invitation to Ahmadiyah” oleh Hazrat Hj. Mirza Bashir-ud-din Ahmad (Khalifatul Masih II) 

(b)        “Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahmadiyyah” oleh Pengurus Besar Jema’at Ahmadiah. 
(c)        “Alam sebagai Saksi” oleh Mohamad Zain bin Hassan. 
(d)       “The Holy Quran With English Translation And Commentary” (vol. II, Part I) oleh M. Mas’ud Ahmad

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993

“Bahawa ajaran Ahmadiah atau Qadiani yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad adalah bukan daripada ajaran Islam dan orang-orang yang mengikut ajaran ini bukanlah orang Islam.”

Sumber : Awas! Qadiani Terkeluar Daripada Islam.. ( Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2008)

Raja Muda: Pelajar perlu berminda strategis dan telus

Berita ini dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia keluaran 28 September 2012, pautan http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120927/dn_22/Pelajar-perlu-berminda-strategis-dan-telus-Raja-Muda juga boleh dirujuk.

KANGAR 27 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin para pelajar institusi pengajian tinggi mampu menjadi modal insan terhebat untuk negara jika mereka berminda strategis dan bersifat telus.

Menurut baginda, mereka yang berminda strategis mampu menyusun tindakan dengan bijak dan jika digabungkan pula dengan sifat telus akan menjadikan mereka lebih dihormati.

Merasmikan Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-7 di sini malam tadi, baginda bertitah negara memerlukan modal insan hebat yang boleh ditingkatkan melalui pelbagai kegiatan positif.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah, modal insan terhebat ynag lahir daripada gabungan minda strategis dan sifat telus akan mencetus nilai murni termasuk berdedikasi, berdisiplin, berakhlak mulia, bermoral tinggi, progresif dan patriotik. - BERNAMA

26 September 2012

BERNAMA: Liga Islam Sedunia kecam filem hina Islam

Akhbar Bernama melaporkan maklum balas Setiausaha Rabitah al-'Alam al-Islami pada 18 September 2012. Laporan mengenai ucapan Setiausaha 'Rabitah' atau Liga Islam Sedunia ini boleh dirujuk terus di http://www.bernama.com.my/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=695198


BANGKOK: Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menyeru umat Islam menahan diri daripada menggunakan keganasan dalam menangani isu itu.

Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky, berkata hari ini filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana ia menjejas keharmonian sejagat. "Kami mengutuk sekeras-kerasnya filem itu. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima," katanya selepas menghadiri Seminar Antarabangsa berhubung Agama dan Proses Perdamaian di Asean, di sini. Liga Islam Sedunia, sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah dan ditubuhkan pada 1962, turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutuk filem bertajuk 'Innocence of Muslims' yang memutar belit fakta berhubung Nabi Muhammad.

Protes terhadap filem itu telah merebak ke lebih 20 negara dan meragut banyak nyawa, termasuk seorang duta Amerika.

Bagi mengurangkan ketegangan semasa, Abdullah berkata Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan seperti membunuh dan memusnahkan harta benda sebagai cara menyelesaikan masalah.

Beliau turut diminta mengulas permintaan sekumpulan pengganas yang mahu umat Islam melancarkan lebih banyak serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat. "Kami menentang sekeras-kerasnya penggunaan sebarang bentuk keganasan," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berharap ketegangan yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan kerana keganasan bukanlah satu penyelesaian.

"Dialog dan kerjasama adalah alat yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya. - BERNAMA

UTUSAN: Jangan mudah terpesong dan dipesongkan - Raja Perlis

Peringatan ini dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran 19 September 2012, ianya boleh dirujuk terus di pautan http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120918/dn_23/Jangan-mudah-terpesong-dan-dipesongkan

GEORGETOWN 18 Sept. - Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan anak-anak muda supaya tidak mudah terpesong dan dipesongkan oleh perubahan nilai yang berlaku ketika ini terutamanya yang bersifat kebendaan dan mementingkan diri.

Baginda, yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah perubahan yang ingin dilakukan oleh golongan itu adalah digalakkan, bagaimanapun perubahan itu bukanlah melibatkan perkara asas yang telah dipertahankan sebagai jati diri sejak sekian lama.

"Meskipun negara kita telah merdeka, tetapi bukanlah bermaksud untuk kita bebas segalanya sehingga melanggar tatasusila dan budaya kita.

"Kemerdekaan yang kita perolehi seharusnya memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan membuat keputusan mengikut acuan kita sendiri dalam membawa negara ke mercu yang lebih gemilang dan disegani," titah baginda pada majlis perasmian Ekspo Konvokesyen USM ke-46, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. - BERNAMA

RAJA PERLIS: Renung keperitan hidup rakyat di negara lain

Laporan ini telah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia keluaran 26 September 2012, ianya boleh dibaca terus melalui pautan http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120926/wu_02/Renung-keperitan-hidup-rakyat-di-negara-lain

PULAU PINANG 25 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat mengambil iktibar terhadap nasib malang yang menimpa sesetengah negara.

Titah baginda, rakyat di beberapa negara ketika ini hidup dalam keadaan sengsara akibat perang dan pergaduhan sesama sendiri sehingga keadaan menjadi kucar-kacir.

"Renungkanlah keperitan yang mereka alami dan ambil pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan itu.

"Justeru, beta menyeru agar kita menginsafi kejadian itu secara serius," titah baginda ketika berucap merasmikan Konvokesyen Ke-46 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman.

Baginda yang juga Canselor USM bertitah, bagi graduan pula ilmu pengetahuan yang dimiliki haruslah digunakan untuk membawa masyarakat dan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.

"Ilmu yang dipelajari tidak akan berguna jika tidak diamalkan dan akan membawa kesan buruk jika digunakan dengan cara yang salah.

"Selain itu, beta juga ingin menasihatkan supaya menguatkan kasih sayang sesama ahli keluarga. Jagalah ibu bapa dan keluarga kerana inilah perkara asas yang perlu disemai," titah baginda.

Pada sidang pertama majlis konvokesyen hari ini, seramai 750 graduan menerima ijazah masih-masing dan 150 daripadanya merupakan penerima ijazah doktor falsafah (PhD).

UTUSAN: Pupuk minat sains, teknologi

Laporan ini telah dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 25 September 2012 dan boleh juga dibaca terus di laman http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120925/wu_01/Pupuk-minat-sains-teknologi

KANGAR 24 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengelompokan pelajar atau pool of students di dalam jurusan sains dan teknologi di semua sekolah di seluruh negara wajar diperbesarkan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertanyakan sesuatu kepada 'doktor muda' sambil diperhatikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah ketika melawat pameran sempena Sambutan 100 Tahun SK Utan Aji di Kangar, semalam.

Titah baginda, adalah lebih baik jika ia dilaksanakan pada usia seawal peringkat sekolah rendah lagi.

"Ini kerana dengan pergerakan dan peredaran sistem teknologi yang semakin pantas maka ia perlu disegerakan bagi mempertingkatkan bilangan semasa pakar dalam bidang sains dan teknologi," titah baginda ketika merasmikan majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji di Utan Aji di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Guru Besar SK Utan Aji, Noraini Othman.

Dalam perkembangan sama, baginda berharap, kerajaan dapat memperkasakan kurikulum bersepadu di peringkat sekolah rendah khususnya dalam subjek sains.

Sehubungan itu, titah baginda, pertandingan mereka cipta dalam kalangan pelajar di seluruh pelosok negara perlu dipergiatkan.

"Para pelajar juga mestilah memupuk minat dan keserasian dalam kedua-dua bidang ini serta mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa," titah baginda.

Untuk mencapai matlamat tersebut titah baginda, para pelajar perlu diberi pendedahan awal tentang pengetahuan berkaitan sains dan teknologi.

"Ini akan memudahkan mereka untuk menterjemah pengetahuan sedia ada apabila berada di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

"Jika nisbah pelajar dalam bidang sains dan teknologi meningkat ke tahap maksimum maka negara ini nanti akan memiliki ramai tenaga pakar dan berkemahiran tinggi," titah baginda.

Dengan penumpuan tersebut titah baginda, inovasi sains dan teknologi negara akan berkembang dengan pesat.

BERNAMA: Dengki Dan Benci Halang Pembentukan Mentaliti Kelas Pertama - Raja Muda Perlis

Berita ini dipetik dari akhbar Bernama keluaran 12 September 2012 atau boleh juga terus lawati pautan http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?cat=ut&id=694114

KANGAR, 12 Ogos (Bernama) -- Sikap dengki dan benci di kalangan masyarakat boleh menghalang proses pembentukan mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Rabu.

Sehubungan itu, baginda berharap sikap buruk itu yang menjadi barah dalam masyarakat perlu disingkirkan kerana ia boleh menyumbang kepada masalah yang lebih besar.

Bertitah merasmikan program motivasi Titian Kasih Mega Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Jabatan pelajaran Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau hari ini, baginda berharap masyarakat berusaha membudayakan amalan murni termasuk hormat-menghormati.

Program motivasi bertemakan "Rakyat Perlis ke arah Mentaliti Kelas Pertama" itu diperkenalkan oleh YTSP yang dipengerusikan Raja Muda Perlis sejak empat tahun lalu.

Ia antara lain bertujuan membentuk masyarakat yang berjiwa murni dan berupaya menjaya pembangunan negara melalui pemikiran dan mentaliti kelas pertama.

Pada program itu, baginda turut merasmikan Bilik Program Rintis Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan program Pendidikan Khas SMK Arau.

-- BERNAMA

24 September 2012

UTUSAN: Cabar kemampuan maksimum dalam diri

KANGAR 22 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat di negara ini perlu berusaha mencabar tahap kemampuan maksimum dalam diri masing-masing.

Baginda bertitah, perkara itu akan memperlihatkan masyarakat yang memiliki jiwa berani, menginjak kemampuan dari kebiasaan kepada sesuatu yang luar biasa dan dapat mencipta kejayaan.

"Sentiasalah melibatkan diri dalam kegiatan berpersatuan yang boleh meningkatkan kualiti diri, kemahiran dan pengetahuan dari semasa ke semasa dan menjadikan kejayaan orang lain sebagai pembakar semangat kepada kita untuk lebih berjaya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Larian Utara 2012 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Larian sejauh 10 kilometer itu turut mendapat kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAP) dan bermula dari Kampus UniMAP Kubang Gajah, Arau sehingga ke Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.

Turut berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UniMAP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Baginda bertitah, usaha mencabar diri pada tahap maksimum itu akan membezakan antara masyarakat biasa dengan luar biasa yang mana masyarakat luar biasa akan sentiasa mencari dan mengenal pasti platform memajukan diri.

Gambar hiasan
"Beta percaya program sebegini merupakan langkah sihat dalam memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara penuntut dan masyarakat," titah baginda.

Baginda bertitah, apa yang penting adalah menanam sikap sukakan aktiviti kecergasan kerana ia akan menghasilkan fikiran dan minda sihat.

Baginda turut menarik perhatian acara Larian Utara 2012 itu yang mana baginda menyifatkan para peserta terlibat mempunyai semangat kesukanan tinggi.

"Ini kerana apabila melibatkan jarak jauh, ia lebih mencabar fizikal dan mental dan jika seseorang itu memiliki jiwa yang berani, maka ia merupakan kekuatan baginya," titah baginda.


SOAL JAWAB UTUSAN: Melanggar pantang ihram

SALAM Ustaz,
Saya telah mengerjakan umrah pada 2002. Saya telah berniat ihram di miqat qarnul manazil secara tidak sengaja saya melanggar pantang larang dalam ihram iaitu mengerat kuku. Dalam masalah saya apakah jenis dam yang perlu saya bayar? Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berpuasa selama tiga hari sebagai membayar dam atas kesalahan saya. Adakah sah puasa saya?

- Mak Su,
Ipoh, Perak.


Islam adalah agama yang menepati naluri dan fitrah manusia. Pensyariatan dalam Islam bersifat mudah dan tidak membebankan. Allah Ta'ala telah menyatakan dalam Surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud"Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam agama.";


Al-Imam Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, telah berkata, "Allah tidak mempertanggungjawabkan kamu dengan sesuatu yang kamu tidak mampu. Jika perkara yang diwajibkan ke atasmu itu membebankan kamu, maka pasti Dia akan memberi kemudahan. Sebagai contoh, solat yang merupakan amalan terhebat selepas dua kalimah syahadah diwajibkan empat rakaat semasa bermastautin, namun semasa mengembara dipendekkan kepada dua rakaat."

Seterusnya, di antara kemudahan yang Allah Taala berikan kepada umat Islam ialah segala tuntutan terhadap pelanggaran amalan dalam Islam dikecualikan dalam tiga situasi. Situasi pertama, tersilap atau tidak sengaja. Situasi kedua, terlupa manakala situasi ketiga, terpaksa. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini dalam sabdanya yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah memaafkan untuk umatku kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa dan terpaksa"
(Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majah, No. 1675. Disahihkan oleh al-Albani).

Allah Taala juga telah menjelaskan bahawa kesalahan yang boleh dihukum ialah yang dilakukan secara sengaja, manakala perbuatan yang dilakukan secara tersilap adalah dimaafkan. Allah Taala telah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 5 yang bermaksud, "Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Berdasarkan kepada kaedah ini, dapatlah saya menjawab soalan Mak Su bahawa melanggar pantang larang dalam ihram seperti mengerat kuku secara tidak sengaja adalah dimaafkan dan Mak Su tidak perlu membayar sebarang dam. Adapun puasa tiga hari yang Mak Su lakukan itu, semoga Allah menerimanya sebagai amalan puasa sunat daripada Mak Su.

Sebagai maklumat tambahan, sukacita saya membawakan satu hadis yang menunjukkan bahawa kafarah atau dam bagi orang berihram yang melanggar pantang larang ihram seperti mencukur rambut, mengerat kuku, menutup kepala, memakai baju, memakai tutup muka atau sarung tangan untuk perempuan dan seumpamanya; ialah menyembelih binatang ternakan atau berpuasa tiga hari atau memberi makan kepada enam orang miskin; setiap seorang diberikan setengah gantang makanan. Perkara ini terdapat dalam hadis berikut, "Ka'b bin 'Ujrah berkata, "Saya telah dibawa berjumpa Rasulullah SAW dalam keadaan kutu terjatuh-jatuh atas muka saya. Lalu Rasulullah berkata, 'Aku tidak sangka sakitmu sampai ke tahap yang aku nampak ini. Adakah engkau mampu sembelih kambing?' Lalu aku menjawab, 'Tidak.' Rasulullah bersabda, 'Maka puasalah tiga hari atau beri makan kepada enam orang miskin, setiap seorang itu diberikan setengah gantang makanan.' "
(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 1816; 4517, dan juga al-Imam Muslim, No. 1201).

Semoga Allah Taala memudahkan untuk kita mempelajari hukum-hakam amalan ibadah yang akan kita laksanakan dan menerima amalan kebaikan yang telah kita lakukan serta mengampuni segala kelemahan dan kesilapan.

- DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan di alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

SINAR: Rakyat perlu 'melabur' untuk kesihatan demi pembangunan negara

23 September 2012
KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat 'melabur' untuk kesihatan kerana ia bukan sekadar menjamin kehidupan yang sempurna tetapi demi kepentingan masa depan negara.

Baginda bertitah banyak yang beranggapan penjagaan kesihatan untuk kepentingan diri sendiri tetapi hakikatnya negara yang ingin membangun juga memerlukan rakyat yang sihat.

Sesebuah negara akan runtuh jika majoriti rakyatnya gagal mencapai tahap kesihatan yang baik, titah baginda ketika merasmikan karnival Jelajah Sihat bersama Komuniti dan pelancaran Program Siswa Sihat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis 2012 di Arau hari ini.

Baginda bertitah jika rakyat tidak sihat, ekonomi negara akan terjejas kerana banyak perbelanjaan perlu disalur untuk program kesihatan dan rawatan yang kosnya sentiasa meningkat.

Antara pelaburan yang perlu dilakukan setiap rakyat bagi menjamin kesihatan yang baik ialah berjalan 10,000 langkah sehari dan melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya 30 minit lima hari seminggu di samping mengelak daripada merokok, titah baginda.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengarah Kesihatan Perlis Datuk Dr Ghazali Othman dan Rektor UiTM Perlis Prof Dr Khudzir Ismail. - Bernama

17 September 2012

SHEIKH WALEED: HADITH AKHIR ZAMAN, ARAB SPRING DAN MENDAKWA IMAM MAHDI (...



Mari dengar penjelasan tentang bagaimana Barat, Yahudi dan pengaruh Syiah menjatuhkan negara Islam.

Sheikh Waleed bin An-Nasr telah dijemput dari Madinah al-Munawwarah untuk menyampaikan daurah kepada siswa-siswi di USM Pulau Pinang.

Syeikh al-Walid Bin Muhammad Nabih Bin Sayf al-Nasr adalah pengarang Syarh Usul al-Sunnah. Kitab asalnya ditulis oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal. Edisi Bahasa Indonesia Syarh Usul al-Sunnah oleh Syeikh al-Walid dimurajaah oleh Ustaz Abdul Hakim Abdat, serta diterbitkan oleh Penerbit Darus Sunnah di Jakarta Timur

14 September 2012

SINAR: Jamil Khir: Rakyat Malaysia diingat tidak hina agama lain

Berita ini dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 13 September 2012, pautan berikut boleh juga dirujuk http://www.sinarharian.com.my/nasional/jamil-khir-rakyat-malaysia-diingat-tidak-hina-agama-lain-1.84780

YAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan rakyat negara ini agar tidak menghina agama kaum-kaum lain.

Jamil Khir berkata penghinaan terhadap sesuatu agama yang diterbitkan dalam bentuk tulisan, lukisan atau filem boleh mencetuskan keganasan dan pembunuhan seperti yang berlaku di Benghazi, Libya semalam.
Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom

Beliau berkata ini kerana soal agama yang dianuti oleh setiap individu amat sensitif dan jika berlaku satu pencerobohan terhadap agama, ia boleh mengheret kepada hal yang lebih besar.

"Saya menyeru kepada semua pihak agar pegangan agama dan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW tidak wajar dipermainkan sehingga boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai penerbitan sebuah filem 'Innocence of Islam', yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Katanya isu tersebut boleh menimbulkan ketegangan masyarakat dunia sehingga boleh menyebabkan kematian seperti pembunuhan Duta Amerika Syarikat ke Libya yang ditembak mati.

Semalam Kedutaan Amerika di Benghazi diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan dipercayai kerana membantah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW sehingga menyebabkan Duta Amerika Christopher Stevens dan tiga lagi terbunuh.

Filem tersebut arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman Youtube dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti-Islam, Terry Jones yang pernah mencetuskan kontroversi cuba membakar al-Quran untuk kempen membenci Islam di Amerika sehingga mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.

Terdahulu Jamil Khir menyerahkan kunci rumah baharu kepada Choo Sin Kooi, 58, kerana rumahnya terlalu daif dan hampir roboh dengan kos RM30,000 di Kampung Padang Makau dekat sini hari ini.- Bernama

11 September 2012

UTUSAN: PM terima kunjungan hormat dua tokoh agama

Berita ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 12 September 2012, pautan http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120912/dn_03/PM-terima-kunjungan-hormat-dua-tokoh-agama juga boleh dirujuk

PUTRAJAYA 11 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat tokoh ulama Salafi, Sheikh Abdullah Al-Jalaly dan mufti Masjidil Haram, Sheikh Suleiman As-Salumi, di pejabatnya.
NAJIB Tun Razak bergambar bersama Sheikh Abdullah Al-Jalaly dan Sheikh Suleiman As-Salumi (kanan) ketika menerima kunjungan ziarah balas kedua tokoh agama itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama, Jamil Khir Baharom (kiri). - BERNAMA

Kunjungan itu merupakan lawatan balas kedua-dua tokoh agama terhadap Najib semasa beliau menghadiri sesi keempat Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, Arab Saudi, pada 14 dan 15 Ogos lalu.

Najib menemui kedua-dua tokoh agama itu pada persidangan tersebut.

Hadir sama di pertemuan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. - BERNAMA

09 September 2012

SOAL JAWAB UTUSAN: Hukum tidak berkahwin

Assalamualaikum ustaz, Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya bagi orang Islam yang tidak berkahwin? Adakah kalau kita tidak berkahwin Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya? Tetapi berdasarkan pengetahuan saya, ulama terkenal Ibn Jarir al-Tabari dan Jalal al-Din al-Suyuti tidak berkahwin sepanjang hayat mereka. Tolonglah jawab soalan saya ini.

Hamba Allah yang bujang,
Sungai Petani, Kedah.

Jawapan

Untuk menjawab soalan berkenaan dengan hukum orang Islam lelaki yang tidak berkahwin, hendaklah kita melihat kepada keadaannya. Para ulama telah menjelaskan bahawa hukum berkahwin itu terbahagi kepada tiga keadaan.

Keadaan pertama, dia tidak mempunyai syahwat terhadap wanita, maka hukumnya mubah iaitu dibenarkan.

Keadaan kedua, dia mempunyai syahwat terhadap wanita tetapi masih dapat mengawal dirinya daripada berzina jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah sunat.

Keadaan ketiga, dia mempunyai syahwat terhadap wanita dan sukar mengawalnya, bahkan boleh menyebabkan dia berzina atau beronani jika tidak berkahwin, maka hukum berkahwin baginya adalah wajib.

Begitulah ringkasan huraian para ulama seperti al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf, berkenaan hukum berkahwin.

Seterusnya, bagi keadaan kedua dan ketiga, sekiranya dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut harta, maka hendaklah dia berpuasa untuk menahan gelojak nafsunya.

Rasulullah SAW telah pun bersabda, “Wahai sekelian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya" 

(Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5065 dan Muslim no. 1400).

Adapun kalau kita tidak berkahwin, Nabi Muhammad SAW tidak akan mengaku kita umatnya, setakat pembacaan saya, hadis-hadis yang membawa maksud ini adalah daif dan tidak sahih.

Perkara ini telah pun dinyatakan oleh al-Imam al-Sakhawi dalam kitabnya. al-Maqasid al-Hasanah.

Berkenaan dengan para ulama yang tidak berkahwin, memang benar terdapat sejumlah para ulama yang tidak berkahwin.

Akan tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk umat Islam dewasa ini menjauhi amalan mulia ini, iaitu perkahwinan.

Keadaan-keadaan

Para ulama yang tidak berkahwin itu, mereka mempunyai keadaan-keadaan tertentu yang menyebabkan mereka tidak berkahwin seperti kesungguhan dalam berdakwah dan mengajar, peperangan dan sebagainya.

Justeru hendaklah kita mendahulukan hadis Nabi SAW yang menggalakkan perkahwinan dan janganlah kita jadikan perbuatan sebahagian para ulama itu sebagai alasan untuk meninggalkan sunah Rasulullah SAW yang mulia ini.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah hukum orang yang tidak berkahwin kerana dia ingin fokus melakukan ibadah. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar.

Perbuatan ini telah ditegur oleh Rasulullah SAW. “Di zaman Nabi SAW, apabila datangnya tiga orang lelaki bertanyakan tentang amalan Nabi SAW, setelah diberitahu oleh isteri-isteri Baginda, mereka merasakan amalan Rasulullah SAW seperti sedikit. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, “Saya akan solat malam selamanya." Seorang lagi berkata, “Saya akan puasa sepanjang tahun." Dan seorang lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin buat selamanya." Setelah Rasulullah SAW pulang dan diberitahu tentang perkara ini, Baginda telah bersabda, “Anda semua berkata begini dan begitu. Sesungguhnya akulah yang paling takutkan Allah dan bertaqwa terhadap-Nya. Akan tetapi aku puasa dan berbuka, solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Maka siapa yang benci sunahku, dia bukan golonganku" 

(Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari no. 5063 dan Muslim no. 1401).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjauhi amalan perkahwinan dengan alasan memberi fokus kepada amalan ibadah adalah suatu perbuatan yang menyalahi sunah Rasulullah SAW.

08 September 2012

UTUSAN: Kerajaan Perlis perlu tarik pelabur

Laporan ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 6 September 2012,ianya juga boleh dirujuk di http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120906/wu_05/Kerajaan-Perlis-perlu-tarik-pelabur

KANGAR 5 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu anggota pentadbiran negeri bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan akauntabiliti, tetapi juga berusaha memikat pelabur untuk negeri ini.

Baginda bertitah, setiap pelaburan di Perlis secara tidak langsung akan turut membantu memangkin pembangunan negeri ini. 
 

"Wakil rakyat yang bertanggungjawab sebagai anggota pentadbiran negeri juga perlu sentiasa mengadakan jaringan dengan pelabur asing dan agensi-agensi kerajaan persekutuan," titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan kelima, Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.

Raja Perlis turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi pelbagai bantuan untuk pembangunan negeri ini.

"Tanpa insentif itu, sememangnya sukar untuk Perlis mencapai kemajuan yang diharapkan," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu amalan perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta diperkukuh sebagai mekanisme penggerak ekonomi.

"Melalui perkongsian awam dan swasta, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan awam, mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan proses pelaburan," titah baginda.

Baginda juga mahu anggota pentadbiran negeri dan penjawat awam mempunyai gandingan yang hebat selain bijak menguruskan masa dan membuat keputusan mengikut keutamaan.

Sebelum itu, baginda yang diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid memeriksa kawalan kehormatan terdiri 102 anggota dan tiga pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketua oleh Deputi Supritendan Alexandra Dawam di dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dewan akan bersidang selama dua hari sehingga esok. - BERNAMA

UTUSAN: Pelihara perpaduan kaum

Laporan ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 6 September 2012,ianya juga boleh dirujuk di http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120906/w_02/Pelihara-perpaduan-kaum

KANGAR 5 Sept. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya menghindari apa sahaja perkara yang dianggap sensitif terhadap kaum demi memastikan perpaduan dan pembangunan terus dipupuk di negara ini.

Titah baginda, ini kerana perpaduan secara berhemah mampu membendung perpecahan dan kehancuran masyarakat.


"Sejarah telah membuktikan perpaduan adalah benteng utama bagi kestabilan sesebuah negara," titah baginda ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Perlis di sini hari ini.

Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Tuanku Syed Sirajuddin turut meminta rakyat memberi perhatian terhadap anak-anak yang merupakan harta dan warisan paling berharga.

Baginda bertitah, pelaburan terhadap anak-anak adalah untuk masa depan negara dengan pendidikan awal kanak-kanak perlu dijadikan agenda penting di peringkat negeri.

Mengenai pendidikan, titah baginda, di negara ini pendidikan teknikal dan vokasional dilihat sebagai pilihan terakhir pelajar kerana tanggapan prospek kerjaya dalam bidang tersebut begitu terhad.

"Andaian negatif seperti ini perlu disangkal, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional perlu ditingkatkan.

"Begitu juga dengan institut pengajian tinggi (IPT) yang memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan," titah baginda.

Menurut baginda, ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran menjadi tunjang kepada penemuan baru perkembangan ilmu dan penciptaan inovasi terkini.

"Bagi menggalakkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), universiti di peringkat negeri yang mempunyai prestasi cemerlang perlu diiktiraf sebagai universiti penyelidikan," titah baginda.

03 September 2012

Soal Jawab Utusan: Hukum menyokong ‘syaitan merah

Soalan 1 
 ASSALAMUALAIKUM. Adakah kita wajib membayar zakat pendapatan? Bolehkah ustaz menghuraikan perkara ini.

Ahmad Syukri Naim bin Mohd Tahir
Kampar, Perak.


Jawapan

Ya, zakat pendapatan wajib dibayar. Huraiannya ialah jika simpanan daripada pendapatan bulanan itu mencapai dua syarat asasi kewajipan zakat iaitu, pertama mencapai had atau bulugh al-nisab iaitu bersamaan dengan 85 gram emas, iaitu bersamaan dengan RM13,670.22 menurut harga emas semasa pada 18 Ogos 2012.

Syarat kedua ialah jumlah itu mestilah melepasi setahun dalam simpanan atau apa yang disebutkan oleh para ulama sebagai murur al-haul. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan pula ialah sebanyak 2.5% sahaja.

Sebagai contoh jika pada 18 Ogos 2012, wang yang disimpan ialah RM20,000.00 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18,000.00 untuk 85 gram emas.

Maka jumlah yang perlu dizakatkan ialah RM500.00 bersamaan 2.5% daripada RM20,000.00.

Akan tetapi jika pada 18 Ogos, 2012 jumlah yang disimpan ialah RM13,670.22 dan jumlah ini berkekalan sehingga 18 Ogos 2013, di mana harga emas pada hari itu ialah sekitar RM18.000.00 untuk 85 gram emas; maka tidak perlu dikeluarkan zakat kerana tidak mencapai had atau nisab.

Harga emas bolehlah dirujuk di Bank Negara atau bank-bank lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan emas.

 
Soalan 2

Saya merupakan penyokong setia kelab bola sepak Manchester United. Masalahnya sekarang ialah pada lambang kelab itu terdapat seakan-akan gambar syaitan. Gelaran bagi pasukan mereka juga ialah The Red Devil yang bermaksud syaitan merah. Apa hukumnya di dalam Islam tentang perkara ini. Adakah saya boleh terus menyokong Manchester United atau tidak?

Danny Ryan,
Gurun, Kedah


Jawapan 2

Saudara, soalan ini menggambarkan keprihatinan saudara. Semoga Allah meneguhkan lagi jati diri Islamik saudara dan seluruh umat Islam.

Apa yang saya faham khusus berkenaan hukum-hakam yang berkaitan dengan kelab bolasepak Manchester United ialah seperti berikut:

Pertama, tidak boleh bagi penyokong muslim kelab ini memakai atau memiliki apa sahaja produk yang memperagakan syaitan merah yang memegang tombak dan memakai mahkota itu.

Kedua, apabila pergi untuk menyokong, pastikan solat tidak ditinggalkan.

Ketiga, apabila memberi sokongan, pastikan tiada lafaz kufur mahupun maksiat yang diungkap.

Keempat, pastikan keghairahan menyokong tidak menjadikan kita bercampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam agar membuat pilihan yang sewajarnya dalam setiap detik kehidupan kita.

Memang tidak mengapa memberi sokongan, akan tetapi perlulah sentiasa menepati etika Islam. Satu perkara lagi, hendaklah kehidupan kita sebagai umat Islam disinari dengan perseimbangan atau wasatiyyah.

Seimbangkanlah antara ketekunan dalam melakukan ibadah dengan masa yang diberikan untuk urusan manusiawi seperti riadah, sukan dan sebagainya.

Janganlah terlalu terikut-ikut dengan budaya kufur Barat atau Timur yang seringkali menekankan kebebasan daripada segala unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan.