26 September 2012

UTUSAN: Pupuk minat sains, teknologi

Laporan ini telah dipetik dari akhbar Utusan Malaysia keluaran 25 September 2012 dan boleh juga dibaca terus di laman http://utusan.com.my/utusan/Utara/20120925/wu_01/Pupuk-minat-sains-teknologi

KANGAR 24 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengelompokan pelajar atau pool of students di dalam jurusan sains dan teknologi di semua sekolah di seluruh negara wajar diperbesarkan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertanyakan sesuatu kepada 'doktor muda' sambil diperhatikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah ketika melawat pameran sempena Sambutan 100 Tahun SK Utan Aji di Kangar, semalam.

Titah baginda, adalah lebih baik jika ia dilaksanakan pada usia seawal peringkat sekolah rendah lagi.

"Ini kerana dengan pergerakan dan peredaran sistem teknologi yang semakin pantas maka ia perlu disegerakan bagi mempertingkatkan bilangan semasa pakar dalam bidang sains dan teknologi," titah baginda ketika merasmikan majlis Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji di Utan Aji di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Guru Besar SK Utan Aji, Noraini Othman.

Dalam perkembangan sama, baginda berharap, kerajaan dapat memperkasakan kurikulum bersepadu di peringkat sekolah rendah khususnya dalam subjek sains.

Sehubungan itu, titah baginda, pertandingan mereka cipta dalam kalangan pelajar di seluruh pelosok negara perlu dipergiatkan.

"Para pelajar juga mestilah memupuk minat dan keserasian dalam kedua-dua bidang ini serta mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dari semasa ke semasa," titah baginda.

Untuk mencapai matlamat tersebut titah baginda, para pelajar perlu diberi pendedahan awal tentang pengetahuan berkaitan sains dan teknologi.

"Ini akan memudahkan mereka untuk menterjemah pengetahuan sedia ada apabila berada di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

"Jika nisbah pelajar dalam bidang sains dan teknologi meningkat ke tahap maksimum maka negara ini nanti akan memiliki ramai tenaga pakar dan berkemahiran tinggi," titah baginda.

Dengan penumpuan tersebut titah baginda, inovasi sains dan teknologi negara akan berkembang dengan pesat.

No comments: