31 August 2012

BERNAMA: Raja Muda Perlis: Rakyat perlu berjihad hijrah minda

Laporan ini dipetik dari akhbar Bernama keluaran 30 Ogos 2012, ianya boleh juga dibaca di pautan http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=691054

KANGAR- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat berjihad melakukan hijrah minda selain bijak menghadapi cabaran hidup.

Baginda bertitah tiada jalan pintas untuk merintis kejayaan sekali gus memerlukan pengorbanan dan inisiatif bagi merebut peluang yang ada.

"Setiap individu juga perlu mencipta sendiri peluang untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik melalui jalan-jalan yang halal," titah baginda ketika melancarkan program Titian Kasih Khas Merdeka Raya Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) sempena sambutan Kemerdekaan ke-55, di Rumah Kanak-kanak Arau di sini hari ini.

Pelbagai acara temasuk ceramah motivasi dan sambutan hari raya anjuran syarikat pembekal pakaian, OZ Homme Sdn Bhd turut diadakan sempena program bermula sejak pagi.

Sumbangan duit raya turut diberikan kepada 178 penghuni rumah perlindungan itu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP bertitah, setiap anggota masyarakat perlu membabitkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan bijak membentuk prinsip kepimpinan untuk berjaya dalam hidup.

Turut hadir ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azizan Hamid dan Pengurus OZ Homme Ng Teck Gen. -Bernama

No comments: