13 May 2012

UTUSAN: Utama Maslahat Umum

Dipetik dari pautan asli http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm
MUKADIMAH
KEPUTUSAN Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang menfatwakan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara telah menimbulkan polemik pelbagai. Bagi pihak pembangkang keputusan ini dilihat agak lambat dan berat sebelah. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia SHOLINA OSMAN telah mewawancara Mufti Perlis, DR. JUANDA JAYA baru-baru ini. Ujar beliau, pengaruh fatwa masih amat menebal dalam masyarakat Islam Malaysia. Namun katanya, “Saya lihat, di pihak kerajaan, keterbukaan sudah berlaku, tetapi pihak penentang tetap berkeras dengan segala dakwaan mereka seolah-olah mereka maksum daripada kesilapan. Ini tidak wajar. Saya fikir rakyat kita semakin cerdik menilai, maka pada saya, bertindaklah secara waras dan terbuka, ia akan bawa kebaikan kepada negara kita,".


MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang menfatwakan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara? 


 JUANDA JAYA: Terlebih dahulu saya ingin fahamkan masyarakat bahawa kenyataan Pengerusi Fatwa Kebangsaan baru-baru ini menurut kefahaman dan maklumat yang ada pada saya adalah suatu bentuk nasihat keagamaan daripada para Mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Ia bukanlah suatu fatwa khusus sebagaimana yang dilaporkan oleh sesetengah pihak. Ia lebih kepada bentuk nasihat dan kerunsingan Fatwa Kebangsaan terhadap isu yang sedang melanda umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada hakikatnya tidak hanya memfokuskan Bersih sahaja, ia melibatkan semua perhimpunan yang membawa kepada kerosakan. Agak jarang Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan sebegini. Bagi saya ia sesuai untuk diluahkan walaupun bagi sesetengah pihak ia agak lambat, berat sebelah, senget, sebelah mata dan pelbagai anggapan negatif ahli masyarakat kita. Saya yakin banyak pihak tertunggu-tunggu perkara ini. 

 Suka saya nyatakan juga bahawa keputusan ini dibincangkan oleh 13 Mufti yang hadir (kecuali Wilayah Persekutuan) dan ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dilantik. Ertinya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati sama ada pihak BN atau PR, berjumpalah mufti negeri anda kalau anda tidak berpuas hati. Saya sudah menjangka respons negatif, tetapi bagi menjaga kepentingan seluruh umat Islam, para mufti bertanggungjawab untuk memberi nasihat. Bagi yang enggan menerima, itu hak mereka. Kita faham sebab ia tidak memenuhi kehendak nafsu mereka. Kalau nak pertikai sekalipun, jagalah adab dan akhlak sebagai seorang Muslim. Tak perlu tuduh melulu, itu bukan akhlak seorang Muslim, apatah lagi kalau dikategorikan sebagai ulama. 


 Jika demikian apakah jalan paling baik dalam Islam bagi mencari penyelesaian yang tidak melibatkan perhimpunan yang akhirnya menjurus kepada kekacauan? 

 JUANDA JAYA: Pandangan saya agak berbeza dengan apa yang dianjurkan oleh pihak Utusan. Biar saya jelaskan. Bagi saya tiada nas yang mengharamkan perhimpunan untuk protes secara mutlak. Ia mungkin haram kerana hal yang lain. Memprotes dan berhimpun adalah hak yang diakui oleh agama. Bahkan Islam dalam banyak hal anjurkan ibadat secara jamaie (berhimpun) sebagai tanda kekuatan dan protes kepada kekufuran dan jahiliah. Tetapi ia mesti dilaksanakan secara beradab. Zaman Khalifah Uthman ra, para penentangnya demonstrasi di hadapan rumahnya, Uthman tidak larang, bahkan para sahabat yang mahu menyuraikan mereka, Uthman melarang dan menyuruh membiarkan mereka selagi mereka tidak melanggar batasan. Tetapi akhirnya akibat hasutan jahat sesama mereka, maka mereka menyerang rumah Uthman dan membunuh syahid khalifah yang ketika itu seorang diri dengan isterinya tanpa senjata dan dibunuh sewaktu sedang membaca al-Quran. Lipatan sejarah ini wajar diambil iktibar kerana ia membuka lembaran sejarah besar umat setelah itu dan kesannya kita rasai hingga ke hari ini. 

 Ya, perlu diterapkan kaedah sad al-zarai’e (menutup pintu kerosakan) di sini, tetapi ia mesti berhemah, kerana kalau ia ditutup secara tidak berhemah, ia akan membuka kerosakan (fath al-zarai’e) lain yang juga boleh membawa kepada kerosakan. Jadi pihak pemerintah mesti berlaku adil dan dilihat adil dalam menguruskan hal seperti ini. Ertinya kalau pihak kerajaan boleh berhimpun dengan aman, maka berilah ruang untuk pembangkang berhimpun secara aman juga. Pihak pembangkang yang berhimpun secara aman dengan dikawal oleh pihak keselamatan pula hendaklah bertanggungjawab menjaga tingkahlaku ahlinya daripada melakukan provokasi. Kita tahu semuanya panas, maka janganlah dipanaskan lagi dengan akal yang tidak waras. Politik hari ini menyaksikan mereka yang dulu memerintah juga boleh menjadi pembangkang pada hari ini dan begitulah sebaliknya. Jadi wajar difikirkan, kalau ada pihak demonstrasi di Kuala Lumpur, akan wujud pihak lain akan membalasnya di Shah Alam, Alor Setar ataupun Kota Bharu. Pihak keselamatan dalam hal ini hendaklah berlaku adil dan takutkan Allah dalam menjaga keamanan rakyat. 

 Setakat yang saya perhatikan, setelah Bersih 2.0, Parlimen sudah mewujudkan Jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang untuk berbincang, dan telah ada keputusan. Tetapi kenapa tidak selesai, saya tidak pasti. Apa yang jelas pihak Bersih amat tidak berpuas hati. Tetapi agak hairan juga, apabila pihak SPR mengajak Bersih untuk berbincang, mereka enggan duduk semeja. Debat di antara Ambiga dan Khairy Jamaludin juga sudah berlaku, tetapi ia juga tidak membawa penyelesaian kepada satu pihak lagi. Saya lihat, di pihak kerajaan, keterbukaan sudah berlaku, tetapi pihak penentang tetap berkeras dengan segala dakwaan mereka seolah-olah mereka maksum daripada kesilapan. Ini tidak wajar. Saya fikir rakyat kita semakin cerdik menilai, maka pada saya, bertindaklah secara waras dan terbuka, ia akan bawa kebaikan kepada negara kita. Duduklah berbincang bersama dan dedahkan segala bukti dakwaan, tetapi sehingga kini, kita hanya didedahkan dengan angka dan fakta glamor sahaja dalam blog dan akhbar, fakta yang khabarnya ribuan itu, tak pernah pula kelihatan di alam nyata. Saya yakin rakyat memahami permainan ahli politik kedua pihak dalam hal ini. Maka tolonglah jangan pertaruhkan nasib rakyat dengan permainan yang boleh bawa bencana kepada semua pihak ini. 

 Malangnya terdapat pihak yang seolah-olah memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ini. Apa pandangan Dr.? 


 JUANDA JAYA: Saya secara peribadi menilai dari dekat gelagat dan respons masyarakat terhadap keputusan ini. Terutama pihak yang mempertikaikan dan terlalu cepat melatah dengan hanya bergantung kepada ulasan penulis berita, tanpa berusaha membaca teks asal keputusan itu. Saya rumuskan beberapa sikap masyarakat Islam kita akhir-akhir ini terhadap keputusan fatwa; 
 i. menerima tetapi berdiam diri kerana mungkin akur; 
 ii. melatah dan menuduh dengan pelbagai label kerana tidak bersetuju fatwa yang tidak memenuhi kehendak nafsu mereka, golongan ini mungkin gagal memahami teks asal, jadi menuduh dengan semberono. 


 Kalau benarlah begitu, mereka ini kita maafkan sebab kegelojohan mereka. Sebab Nabi Muhammad SAW pernah ingatkan; Orang yang paling berani memberikan fatwa (secara membuta tuli) adalah orang yang paling berani terjun ke dalam neraka. Golongan sebegini biasanya juga sering gelojoh dalam memberikan fatwa peribadi mereka sendiri. Bila ada pihak yang bertentangan dengan hawa mereka, mereka akan serang habis-habisan dengan pelbagai gelaran dan label yang dilarang oleh syarak. Agak tidak logik, mereka ajak kepada agama, tetapi akhlak dan perkataan tidak menggambarkan agama yang mereka perjuangkan. 


 iii. oportunis yang akan menolak apa sahaja yang datang daripada pemerintah hatta pemerintah di negeri yang parti mereka sokong memerintah. Kalau tak setuju dengan pandangan mufti negeri yang anda perintah, mintalah Menteri Besar negeri anda pecat mufti berkenaan. Ada berani? 


 Ada pemimpin pembangkang menyatakan bahawa, "jawatankuasa tersebut (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan) perlu memahami terlebih dahulu tujuan sebenar perhimpunan Bersih yang diadakan baru-baru ini". Apakah tujuan perhimpunan itu dianjurkan selaras dengan kehendak Islam serta benar-benar berjuang menegakkan kebenaran? 


 JUANDA JAYA: Nak tuduh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tak faham, pada saya agak keterlaluan. Kalau begitu saya juga boleh kata, mereka juga tidak memahami keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini. Kalau begitulah sikap kita semua, maka tidak ada penghujung dan penyelesaiannya. Kenapa tidak mahu bertindak sebagai orang yang matang, waras dan dewasa? Saya yakin dengan propaganda luar biasa tentang Bersih secara percuma oleh TV kerajaan, semua orang tahu tujuan perhimpunan ini. Juga pada masa yang sama, semua orang tahu akan kesan perhimpunan ini. Juga semua orang akan tahu bahawa, tanpa provokasi, kekecohan tidak akan berlaku. Menyiarkan dakwaan dan tuduhan bagi memenangkan pihak masing-masing adalah suatu hal yang lumrah, tetapi ia juga amat jelek dan menjengkelkan. Maka saya menyeru jawatankuasa tentang penilaian Bersih yang diketuai oleh Tun Haniff Omar agar berlaku adil dan takutkan kemurkaan Allah dalam penilaian mereka. Utamakan yang hak dan jangan bias dalam penilaian demi kebaikan negara kita. Saya yakin jawatankuasa itu ada kredibiliti dan kita patut bagi mereka peluang. 


 Cuma janganlah ditangguh-tangguh siasatan. Pihak polis pula, kalau nak bicarakan mereka yang terlibat, segerakan ia, agar suasana tegang sedia ada dapat segera dikendurkan. 


 Kita tahu sesetengah pihak membandingkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan ulama luar negara seperti al-‘Allamah al-Qaradawi, ulama paling ulung dunia pada masa ini yang mewajarkan demonstrasi. Pada saya ia pandangan beliau berdasarkan maklumat yang beliau ketahui dan dibisikkan kepada beliau serta keadaan sekeliling beliau. Hal sebegini pasti mempengaruhi fatwa yang dikeluarkan. Ini diakui oleh para ulama dan al-Qaradawi sendiri. Saya amat mengagumi beliau sejak usia baligh. Saya baru bertemu beliau di Doha pada minggu sudah, 1 Mei 2012. Pihak yang berkenaan juga wajar bertanyakan al-Qaradawi, apakah di Qatar dibolehkan demonstrasi bagi menentang kewujudan markas tentera Amerika di al-‘Udayy, Qatar. Sudah tentu ia akan merumitkan keadaan beliau untuk berkata-kata. Kami rombongan mufti-mufti Malaysia yang melawat Arab Saudi pada 27 April 2011 atas undangan Kerajaan Arab Saudi turut bertanyakan soalan tentang fatwa demonstrasi kepada al-‘Allamah al-Shaikh Abdul-Azeez ibn Abdullaah Aal ash-Shaikh, Mufti Besar Arab Saudi tentang pandangan al-Qaradawi mengenai demonstrasi, Aal ash-Shaikh menyatakan penghormatannya terhadap kealiman al-Qaradawi, tetapi dalam hal demonstrasi yang membawa kerosakan, Aal ash-Shaikh berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan al-Qaradawi kerana ia membawa kerosakan. Jelasnya, para ulama setempat lebih memahami keadaan mereka, maka kalau berbeza pandangan, ia suatu yang wajar berlaku. 


 Maka agak kurang tepat kalau kita ambil sikap pukul rata dalam memahami teks dan konteks. Kita kenalah saling menghormati pandangan setiap pihak. Itu sikap yang sepatutnya. 


 Kenapa mereka bertindak seolah-olah mereka sahaja yang betul dan bertindak seolah-olah memandang rendah jawatankuasa ini? 


 JUANDA JAYA: Saya rasa masyarakat kita belum cukup matang untuk berbeza pandangan. Sepatutnya khilaf itu rahmatun (rahmat), bukan khilaf itu harbun (membawa perang), kata seorang sahabat. Kita semua perlu usahakan ke arah mematangkan cara fikir masyarakat kita terutama mereka yang belajar agama, barulah lengkap sifat umat yang maju. Sebab itu saya secara peribadi tidak setuju dengan usaha sesetengah pihak mahu menjadikan fatwa itu tidak boleh dicabar kerana ia bertentangan dengan semangat asas Islam yang memberikan ruang untuk berbeza pandangan. Kalau berbeza, jagalah adab, janganlah mudah sangat untuk melabel dan mencaci. Islam tidak ajar begitu terutama bagi mereka yang dilabel sebagai ulama. Tak molek langsung! Mereka yang suka mencaci dalam Facebook dan Twitter, nasihat saya, hati-hati dengan perkataan anda, itu semua akan dihisab kemudian hari nanti. Berhemahlah dalam buat ulasan terutama hukum hakam. Sebab itu bila kita kata, keputusan ini adalah nasihat, bagi yang tak mahu terima, itu hak anda, sebagaimana orang lain enggan bersetuju dengan pihak yang mewajibkan perkara ini. Para ulama sepanjang sejarah Islam sudah terbiasa dengan khilaf, lainlah kalau yang berkenaan berasa diri mereka sudah maksum dan tidak boleh disentuh. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak pernah kata keputusan mereka adalah maksum. Saya adalah di antara orang yang kadang-kadang tidak sehaluan dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, tetapi kita bawa dengan hujah dan beradab, ia pahit, tetapi ia perlu untuk mematangkan umat ini. 


 Pada pandangan Dr. sejauh mana umat Islam di negara ini memandang tinggi serta patuh kepada keputusan Majlis Fatwa. Kita boleh lihat bukan sekadar isu perhimpunan malah dalam isu rokok? 


 JUANDA JAYA: Saya nyatakan tadi, saya memerhati reaksi terhadap isu ini dari dekat. Kesimpulan awal saya ialah pengaruh fatwa masih amat menebal dalam masyarakat Islam Malaysia. Alhamdulillah. Golongan bukan Islam juga menghormatinya dan masih tidak berani melangkah garis merah untuk mempertikaikan hal ini. Kenapa saya katakan masih tebal pengaruhnya? Kerana pihak yang tidak bersetuju dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, secara gerombolan besar-besaran menyerang keputusan ini dengan pelbagai kata dan nista yang wujud dalam kamus sindiran dan celaan mereka. Ertinya mereka amat bimbang masyarakat tidak menyebelahi mereka dan masyarakat mempertikaikan kredibiliti mereka. Apabila mereka menyatakan bahawa pandangan mereka wajib diikuti, maka maksudnya sesiapa yang tidak ikut adalah berdosa! Ini perkataan yang amat berat dalam agama. Sebab itu dalam keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dinyatakan bahawa demonstrasi yang membawa kepada kerosakan adalah haram. Saya yakin semua pihak boleh terima kecuali mereka yang sukakan kerosakan negara ini. Ia haram kerana sebab yang mendatang (haram li ghayrihi) bukan haram secara mutlak (haram li zatihi). Kalau tak puas hati nak demonstrasi, demolah, tetapi jangan ganggu orang lain yang tak berkenaan. Jangan ganggu para penjaja. Kawal ahli. Jangan adu domba. Jaga maslahat umum orang lain. Hal ini kita nyatakan kepada semua pihak. Saya masih ingat akibat Bersih 2.0, saya gagal hadir majlis walimah anak kepada sahabat karib saya, Syed Anwar di Kuala Lumpur. Saya amat terkilan kerana saya sudah berjanji daripada awal untuk hadir. Akibat nasihat polis dan saya bimbangkan keselamatan diri, saya terpaksa mungkir janji kepada sahabat saya itu. Juga akibat demonstrasi balas pihak lawan di Pulau Pinang, mereka berdemonstrasi di atas Jambatan Pulau Pinang hingga mengakibatkan kesesakan luar biasa di atas jambatan yang menyusahkan orang ramai. Jadi, saya berpandangan, ya kalau tak puas hati, luahkan perasaan, tapi jangan sampai hak orang lain dipijak dan dihalang. Sebagaimana kita tidak mahu penjual burger parking berniaga sesuka hati di hadapan pagar rumah kita, maka begitu jugalah pihak yang berasa terganggu oleh perhimpunan yang menjejaskan kemaslahatan diri mereka. 


 Saya juga hairan, tawaran kerajaan kepada Bersih 3.0 untuk menggunakan Stadium Merdeka ditolak atas alasan masa tak cukup. Mereka kata, tujuan mereka hanya untuk duduk memprotes, maka kenapa Stadium Merdeka tidak boleh diterima? Payah sangatkah nak duduk? Ini menunjukkan sikap berdegil dan enggan memberikan kerjasama serta ada niat lain yang hanya Allah yang tahu. Begitu juga segala tuntutan pihak Bersih yang cuba diselesaikan melalui Jawatankuasa yang dibentuk oleh Parlimen, kita diberitahu bahawa wakil pembangkang yang diberikan hak duduk dalam Jawatankuasa, tetapi ada yang selalu ponteng. Kenapa? Belum memerintah dah ponteng kerja? Lepas itu komplen. Ini tidak adil dan misleading kepada rakyat. Kita perlu bersikap adil dan gunakan saluran yang wajar. Ini tidak, keras kepala yang dijadikan sebagai modal untuk menegakkan tuntutan. Ini kanun rimba yang ingin ditebarkan di tengah masyarakat. Sikap ini berbahaya.

No comments: