03 May 2012

(SINAR) Umat Islam perlu sederhana untuk bangun imej Islam

26 April 2012 
LONDON - Umat Islam perlu bersederhana dalam setiap tindakan dan pengurusan politik kerana sikap melampau mereka akan mencerminkan imej Islam serta negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. 


 Baginda bertitah perbezaan pendapat rakyat Malaysia yang beragama Islam terutama yang berada di luar negara perlu ditangani dengan bijak dan sederhana demi menjaga nama baik negara. 


 "Sikap sederhana dan tidak bertindak melampaui batas ketika menyokong ataupun menentang sesuatu pendapat adalah sejajar dengan kerangka Islam yang sederhana sama ada dalam amalan atau mengeluarkan pendapat," titah baginda. 


 Baginda bertitah demikian pada majlis perjumpaan dengan kakitangan kerajaan Malaysia yang berkhidmat di London di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini hari ini. 


 Tuanku Syed Faizuddin bertitah imej Islam di dunia kini telah dicemari dengan unsur melampau sehingga menyusahkan pihak lain. 


 "Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua tindakan termasuk dalam penampilan diri. 


Islam melarang berpakaian selekeh yang menimbulkan salah faham orang lain, demikian juga berlebihan yang menimbulkan syak wasangka," titah baginda. 


 Baginda yang mengetuai delegasi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke London, bertitah sikap sederhana akan membawa perasaan hormat banyak pihak kepada negara Islam. 


"Jika kita memberikan imej yang selekeh kepada negara, itu tidak sederhana. Begitu juga jika kita memberikan imej yang melebihi realiti sehingga pihak lain tersalah sangka, itu juga tidak sederhana," titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam danAdat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). 


 Baginda berada di London sejak 24 April bagi mengetuai delegasi itu yang antara lain turut mengadakan pertemuan dengan imam dan pelajar Malaysia di beberapa institusi pengajian tinggi di sini. 


 Sementara itu satu forum bertajuk "Wasatiyah Dalam Islam" diadakan sempena majlis perjumpaan itu. Forum itu dijayakan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis Dr Abdullah Yasin. 


 Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London Datuk Seri Zakaria Sulung.- Bernama

No comments: