28 May 2012

SINAR HARIAN: Surat mufti ‘tak laku’


Surat mufti ‘tak laku’KANGAR - Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya terkejut apabila mendapati surat sokongan beliau dalam kes permohonan menasabkan anak oleh seorang bapa, Mohd Noor Akhmal Mat Isa, 27, dianggap ‘tidak laku’ oleh Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Perlis.

Dr Juanda berkata, jabatan kerajaan itu sepatutnya menerima surat sokongan daripada jabatan kerajaan lain terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sama ada untuk menerima atau menolak permohonan yang disertai surat sokongan itu.

Menurutnya, Perlis memperakui anak yang lahir kurang enam bulan daripada perkahwinan yang boleh dinasabkan oleh bapanya berdasarkan fatwa negeri Perlis yang dikeluarkan pada tahun 2008.

“Sekiranya anak itu tidak dinafikan nasab oleh bapanya kita terima pengakuan tersebut iaitu anak berkenaan boleh dibinkan kepada bapanya.

“Sebelum ini, saya mengeluarkan banyak surat sokongan seperti itu kepada ramai pemohon di seluruh negara sebelum ini yang mana diterima untuk diproses di JPN lain kecuali di Perlis,” katanya sewaktu ditemui media di pejabatnya di sini lewat petang kelmarin. 


Justeru, Dr Juanda memohon JPN Perlis mempertimbangkan kembali kes permohonan menasabkan anak yang dikemukakan Mohd Noor Akhmal bagi mengelakkan masa depan kanak-kanak itu terjejas.

Sementara itu, Pengarah JPN Perlis, Bakhtiar Effendy Khalid ketika ditemui media enggan mengulas lanjut mengenai kes itu dan meminta Mohd Noor Akhmar berhubung dengan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya untuk penjelasan lanjut

No comments: