03 May 2012

(UTUSAN) ‘Umat Islam mesti segera bersatu’

Bazli Abd. Rahman 

 TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) menyampaikan
 cenderamata kepada Prof. Dr. Sheikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi
di kediaman tokoh ilmuan Islam itu di Doha, Qatar, malam semalam.
Turut hadir Dr. Juanda Jaya (kanan) dan Ahmad Jazri Mohd. Johar. 


DOHA 3 Mei - Tokoh cendekiawan Islam, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi mahu umat Islam berkongsi idea dan kemahiran dalam usaha mengembalikan semula ketamadunan Islam. Kata beliau, keagungan Islam tidak akan dapat dicapai selagi tiada persefahaman sesama umat Islam seluruh dunia yang antara lain berpunca daripada perbezaan pandangan. 


 Bercakap kepada delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis di kediamannya di sini malam tadi, tokoh berusia 86 tahun itu turut menasihatkan umat Islam supaya tidak taksub dengan mazhab masing-masing. “Bagi yang tidak bermazhab pula, mereka mesti menghormati golongan bermazhab dan tidak memusuhi mereka," katanya melalui seorang penterjemah daripada Jawatankuasa Fatwa Perlis. 


 Delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis itu yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berada selama dua hari di Doha bagi lawatan kerja ke Qatar. Pertemuan dengan Qaradawi itu adalah antara beberapa program sepanjang delegasi tersebut berada di Doha termasuk melawat Mahkamah Syariah di ibu negara Qatar itu.


 Qaradawi yang pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah Malaysia pada 2009, turut memuji pembangunan Islam di Malaysia termasuk kecemerlangan urusan haji yang dilaksanakan oleh Tabung Haji. Sementara itu, Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, pertemuan dengan ulama itu bertujuan bertukar tukar fikiran mengenai Islam. 


 Baginda berharap Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu terus berjuang dalam usaha beliau menggerakkan dakwah moderat dan tajdid dakwah untuk kepentingan umat Islam sejagat. Tuanku Syed Faizuddin turut berharap ulama terkenal itu mewujudkan kerjasama dengan para ulama Perlis terutama dalam majlis perkongsian ilmu dan kegiatan dakwah.


 Turut hadir pada pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd. Johar dan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. - UTUSAN

No comments: