09 May 2012

Perlis kongsi sistem perundangan Syariah Qatar

Berikut dikongsikan laporan berita berkaitan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Doha. Teruskan membaca seperti di bawah atau terus ke pautan http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0507&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm 

Daripada BAZLI ABD. RAHMAN DOHA 
(Qatar) 6 Mei - Kemahiran Qatar menguruskan sistem perundangan Syariah di negaranya wajar dikongsi oleh Perlis untuk manfaat Islam secara berterusan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. 


 Titah baginda, antara aspek yang boleh diberi perhatian sewajarnya ialah berkaitan kuasa mahkamah, keberkesanan dan pelaksanaan hukum Syariah itu sendiri secara lebih berkesan. 


 Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pertemuan baginda dengan Pengerusi Majlis Kehakiman Tertinggi Doha, Masaoud Mohamed Al Amri di sini baru-baru ini turut membincangkan kerjasama berkaitan. Antara perbincangan itu, titah baginda, termasuklah latihan bersama bagi para pegawai Syarak dan hakim-hakim mahkamah Syariah di samping perkongsian buku-buku rujukan mahkamah.


 Pertemuan tersebut diadakan ketika baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetuai lawatan perkongsian maklumat oleh Jawatankuasa Fatwa Perlis ke ibu pejabat Majlis Kehakiman Tertinggi di ibu negara Qatar itu. Baginda dan delegasi turut melawat mahkamah-mahkamah Syariah sambil mendengar taklimat yang disampaikan oleh Masaoud.


 Titah baginda lagi, Perlis akan membuat susulan mengenai cadangan perkongsian pengalaman itu melalui pejabat Duta Besar Malaysia di Qatar.


 Tuanku Syed Faizuddin juga menambah, bahawa Perlis akan turut menimbang bagi mewartakan undang-undang berkaitan kes kekeluargaan seperti penceraian, tuntutan fasakh, tuntutan hadhanah, harta sepencarian dan seumpamanya yang terlalu bersifat peribadi supaya tidak boleh disiarkan oleh pihak media massa.


 Titah baginda, langkah itu bertujuan memberikan ruang peribadi dan menjaga maruah serta keutuhan institusi kekeluargaan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.


 Ia juga selaras dengan tuntutan Islam yang melarang sebarang bentuk liputan yang boleh mengaibkan dan meretakkan lagi hubungan persaudaraan sesama Islam.


 Difahamkan, praktik perbicaraan tertutup dalam isu kekeluargaan Islam di Mahkamah Syariah Qatar sudah lama dilakukan dan ia didapati amat berjaya bagi mengelakkan penularan perceraian dan ia lebih memelihara maruah umat Islam.

No comments: