27 May 2012

UTUSAN - Kaji semula fatwa nasab - Mufti Perlis

KANGAR 26 Mei - Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji semula fatwa yang melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan dinasab (dibin) kepada bapanya.

Beliau berkata, fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan itu yang menjadi sandaran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam pengeluaran sijil lahir telah menimbulkan pelbagai masalah.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas menerima kunjungan seorang agen hartanah yang mendakwa JPN enggan menasab anak sulungnya kepadanya dengan alasan kelahiran itu kurang enam bulan daripada tarikh perkahwinan, berkata, kes seumpama itu sering ditemuinya.

"Ini merugikan masa depan anak-anak itu sendiri dan mereka akan menghadapi tekanan apabila dewasa kelak," katanya.

Juanda berkata, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa pada 2009 bahawa anak lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan boleh dinasab kepada bapanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Perlis, Bakhtiar Effendy Khalid berkata, pihaknya hanya mematuhi peraturan yang digunapakai di seluruh negara berasaskan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. - BERNAMA

No comments: