19 May 2012

Rakyat perlu membudayakan transformasi sikap

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

ARAU 17 Mei - Rakyat perlu membudayakan 'transformasi sikap' iaitu berubah daripada malas menjadi rajin dan pengotor kepada pembersih jika mahu memastikan negeri ini selesa didiami.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, transformasi tersebut juga harus dilakukan kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan dalam industri pelancongan.

''Kebersihan dan keceriaan sesebuah negeri merupakan imej terpenting yang perlu dijaga dan dipertahankan.

''Amalan kitar semula perlu dididik dan digalakkan dalam kalangan rakyat Perlis bagi mengurangkan penjanaan sampah terutamanya bahan-bahan yang tidak mudah reput,'' titah baginda pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 di Istana Arau di sini hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu.

Titah baginda, keindahan semula jadi Perlis perlu dipelihara kerana kerosakan alam sekitar akan mendedahkan rakyat kepada pelbagai bencana alam seperti banjir, pemanasan global selain penyakit seperti malaria, taun dan denggi.

Dalam titahnya, baginda juga melahirkan rasa bangga kerana Perlis kini muncul sebagai negeri tunggal dalam pengeluaran mempelam Harumanis.

''Beta difahamkan bahawa mempelam Harumanis telah berjaya dieksport ke pasaran Jepun dan akan menembusi pasaran Singapura nanti," titah baginda.

Baginda bertitah, melalui pewartaan Mempelam Harumanis sebagai harta intelek negeri Perlis seperti diluluskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia baru-baru ini, membolehkan ia menjadi ikon utama kepada negeri tersebut.

''Beta yakin dengan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sedang dijalankan oleh Universiti Malaysia Perlis akan menjadi platform untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti Harumanis bagi memenuhi permintaan tempatan dan eksport yang semakin meningkat," titah baginda lagi.

No comments: