ARAU 27 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat berganding bahu meruntuhkan tembok perkauman demi menjadi bangsa Malaysia bersatu padu.
Baginda bertitah, ini kerana ada segelintir golongan yang cuba memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian negara.
“Golongan ini sanggup menyebarkan hasutan bagi sesetengah kes-kes kecil dengan harapan masyarakat kita akan bergaduh dan berbalah sesama sendiri," titah baginda merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis Bersempena Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-69 di Dewan 1Malaysia, Simpang Empat, di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Selain itu titah baginda, ibu bapa juga berperanan mendidik anak masing-masing mengenai pentingnya perpaduan dengan mengajar anak-anak cara menghormati kepercayaan bangsa lain serta belajar menerima kepelbagaian kaum di Malaysia.
“Janganlah kita menanam rasa perkauman, diskriminasi apatah lagi hasutan berunsur kesumat dalam jiwa mereka kerana merekalah yang akan mewarisi kemakmuran dan mempertahankan keamanan negara ini suatu hari nanti," titah baginda.
Titah Raja Perlis, perpaduan juga merupakan tunjang utama dalam setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial atau politik.
Baginda bertitah, tanpa perpaduan negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan yang boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlakunya huru-hara, rusuhan dan pergaduhan kaum.
“Malah, sejarah telah membuktikan perpaduan adalah benteng utama bagi kestabilan sesebuah negara.
“Tragedi berdarah 13 Mei 1969 banyak meninggalkan pesanan buat rakyat betapa perpaduan itu adalah nadi kepada kemakmuran sesebuah negara," titah baginda.
No comments:
Post a Comment