18 June 2011

PENGENALAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP)

A. LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA- JAWATANKUASA PENYELARASAN

Selanjutnya dibentangkan pula laporan jawatankuasa-jawatankuasa penyelarasan dimulakan dengan pengenalannya terlebih dahulu

B.1 PENGENALAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP)

Biro-biro dalam Persatuan Al-Islah Perlis kini dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelarasan (JP) dan setiap seorang (1) ahli jawatankuasa Persatuan diamanahkan sebagai Pengerusi sesebuah Jawatankuasa Penyelarasan (JP) dengan portfolio tersendiri. Setiap JP dicadangkan kewujudannya berdasarkan keperluan dakwah Persatuan Al-Islah Perlis, dan minat, kebolehan serta potensi Pengerusi JP tersebut.

Jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Penyelarasan oleh kerana Persatuan Al-Islah Perlis menginsafi bahawa Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah di Perlis tidak hanya dijalankan oleh Persatuan ini sahaja. Bahkan dilihat secara menyeluruh, dakwah yang penuh keberkatan ini turut dilaksana oleh pihak-pihak lain khususnya:

i. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

ii. Jabatan Mufti Perlis

iii. Kerajaan Negeri Perlis dan agensi-agensinya

iv. Masjid-masjid menerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Kariah masing-masing

v. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Ahlis Sunnah seperti Usrah Masjid Kawasan Kayang, Usrah Masjid Kawasan Utan Aji, Persatuan Al-Mizan, Pertubuhan Kebajikan Al-Qalam Negeri Perlis dan lain-lain

vi. Orang-orang perseorangan

Dengan itu, Persatuan Al-Islah Perlis perlu berfikiran matang, berpandangan jauh dan bertindak bijak dalam merencana serta melaksanakan kerja-kerjanya. Maka aktiviti-aktiviti Persatuan Al-Islah Perlis perlu diselaraskan dengan mengambil kira kewujudan dan kehadiran pihak-pihak lain yang turut berdakwah kepada Al-Sunnah seperti yang dinyatakan di atas. Oleh yang demikian, diharapkan tindakan berjiwa besar Persatuan Al-Islah Perlis ini dapat meminimumkan konflik kepentingan (conflict of interest), pertindanan yang sia-sia serta pembaziran yang tidak menguntungkan.

Dengan mengamalkan pendekatan desentralisasi serta penuh beryakinan kepada kebolehan dan keikhlasan Pengerusi setiap JP khususnya, Jawatankuasa Induk Persatuan Al-Islah Perlis hanya bertindak sebagai penyelia dan pemantau am bagi kegiatan JP. Oleh itu setiap JP diberikan galakan untuk bertindak dan mencari dana secara autonomi menggunakan kreativiti, kelapangan, kelajuan dan keselesaan masing-masing. Syarat-syaratnya adalah:

i. JP melaksanakan keputusan-keputusan Persatuan Al-Islah Perlis

ii. JP menjaga integriti dan nama baik Persatuan Al-Islah Perlis

iii. JP membina anggota-anggotanya sebagai ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis yang iltizam

iv. JP membina hubungan dan kerjasama yang akrab dengan Persatuan Al-Islah Perlis, Jawatankuasa Induk, JP-JP lain dan ahli-ahli serta penyokong Persatuan Al-Islah Perlis

v. JP melaporkan aktiviti dan programnya secara tetap dan berkala kepada Jawatankuasa Induk

vi. JP menyalurkan anggota-anggotanya ke dalam kegiatan Persatuan Al-Islah Perlis selaras dengan bakat, minat dan kemampuan masing-masing

Oleh yang demikian, setiap JP diberikan hak-hak oleh Jawatankuasa Induk Persatuan Al-Islah Perlis untuk:

i. Mengelola sendiri segala aktiviti dan programnya

ii. Berhubung dan berurusan dengan badan lain di luar Persatuan Al-Islah Perlis

iii. Mencari dana dan mentadbir urusan kewangan sendiri

iv. Memberikan saranan kepada Persatuan Al-Islah Perlis baik apabila diminta mahupun di atas inisiatif sendiri

Ini bermakna perjalanan JP lebih cekap dan berkesan apabila tidak banyak diperlahankan oleh karenah birokrasi yang perlu menunggu kelulusan Jawatankuasa Induk secara terperinci. Dengan cara ini juga proses penyertaan lebih ramai ahli-ahli Persatuan dalam proses-proses pembuatan dasar dan keputusan akan dapat ditingkatkan. Jawatankuasa Induk berkeyakinan bahawa selain daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan manhaj Salaf al-Salih sebagai pegangan utama, maka tidaklah perlu proses pembuatan dasar dan keputusan diikat kepada citarasa peribadi 1 atau 2 individu sahaja, sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini.

Laporan-laporan Jawatankuasa-Jawatankuasa Penyelarasan (JP) yang dimaksudkan adalah seperti yang tertera di atas:

No comments: