18 June 2011

LAPORAN (JP) PENDIDIKAN DAN DAKWAH

B.2 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) PENDIDIKAN DAN DAKWAH

JP Pendidikan dan Dakwah diberikan amanah yang besar dalam menghapuskan gelapnya kejahilan lalu menggantikannya dengan cahaya Tauhid dan Sunnah. Untuk itu JP Pendidikan dan Dakwah melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut:

1. Kuliah Mingguan

Kuliah mingguan adalah majlis ilmu mingguan yang diadakan pada setiap hari jumaat dan ahad saban minggu. Dengan berbagai-bagai tajuk berkaitan Aqidah, Ibadah, Tafsir, Hadith, Akhlak dan umum diajarkan, kuliah-kuliah ini dipimpin secara berganti-ganti oleh:

i. Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Jusoh – Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis merangkap Rektor Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs)

ii. Ustaz Muhammad Ihsan Idris – Ketua Jabatan Usuluddin, Al-Qur’an dan Al-Hadith IPTIPs

iii. Ustaz Abdul Kadir Sahak – Pegawai Jabatan Mufti Perlis

iv. Ustaz Hashim Omar – Penolong Nazir Masjid-masjid Kawasan Simpang Empat merangkap Imam Masjid Bahrul Ulum Simpang Empat

v. Ustaz Syed Abdullah Syed Salim Aidid – Pegawai Jabatan Mufti Perlis merangkap Imam Masjid al-A’la Behor Temak

vi. Ustaz Mohd Rizal Azizan al-Malaya – Pendakwah Bebas

vii. Ustaz Syeikh Daud Ibrahim – Pendakwah Bebas dari Satun, Thailand

viii. Ustaz Zuraimi Ali – Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab

ix. Saudara Muhammad Nasiruddin Aziz – Aktivis dan Penuntut Ilmu Syarie

2. Kuliah Khas

Kuliah khas pula adalah majlis ilmu khas yang dipimpin oleh pendakwah Ahlis Sunnah dari luar Perlis yang berkunjung ke Negeri Perlis secara sekali-sekala. Pada sesi 2010/2011, JP Dakwah dan Pendidikan telah mengadakan 4 siri kuliah khas iaitu oleh:

i. Dr. Fadlan Mohd Othman (UKM)

Beliau yang juga pensyarah Tafsir di Jabatan Al-Qur’an & Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi telah menyampaikan kuliah bertajuk ‘Al-Sunnah Dalam Mengamalkan Al-Sunnah’ pada 10 Oktober 2010

ii. Dr. Abu Marwan Muhammad Sa’id Abu al-Rub (Jordan)

Dr. Abu Marwan adalah ulama’ muda yang banyak menuntut ilmu dalam halaqah para ulama’ Salafi di Arab Saudi dan Jordan seperti Syeikh Al-Albani, Syeikh Bin Baz, Syeikh Al-Uthaymin, Syeikh Abdul Aziz Aal-Syeikh dan sebagainya. Fasih dalam bahasa Inggeris, beliau memberikan kuliah ‘How To Achieve A Good Life?’

iii. Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman (UM)

Tidak asing lagi kepada Persatuan ini, beliau adalah ahli Panel Kajian Hadith Jabatan Mufti Perlis. Pada 13 Mei lalu, Dr. Fauzi Deraman menyampaikan kuliah khas ‘Bahaya Hadith Lemah dan Palsu Serta Kesannya Kepada Orang Melayu’

iv. Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya (Jabatan Mufti Perlis)

Pada 29 Mei, diadakan kuliah selepas isya’ di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis buat pertama kalinya dengan dimulakan solat isya’ berjamaah. Bertajuk ‘Seruan Ke Arah Perpaduan’, kuliah ini memuatkan penjelasan Mufti Kerajaan Perlis berhubung dengan isu yang timbul daripada kenyataan akhbar beliau dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Mei 2011.

3. Kelas Pengajian I’rab al-Qur’an

Bagi mengimarahkan Pusat Pengajian Al-Islah pada waktu malam, kelas khas I’rab al- Qur’an diadakan selepas solat isya’ setiap khamis malam jumaat. Kelas ini dikendalikan oleh Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Yusuf Amin.

4. Kelas Harfiyyah

Kelas Terjemahan Al-Qur’an dengan Kaedah Harfiyyah pernah wujud di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis. Selepas terhenti sekian lama, pada tahun 2011 inisiatif telah diambil untuk menyambungnya di bawah bimbingan Ustaz Syed Abdullah Syed Salim Aidid. Kini Kelas Harfiyyah tersebut diteruskan dengan tunjuk-ajar saudara Muhammad Nasiruddin Aziz pula.

5. Kelas IQRA’ dan Tajwid untuk kanak-kanak

Sebagai khidmat sosial kepada masyarakat yang berjiran dengan Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis, kelas bacaan al-Qur’an dengan Kaedah IQRA’ dan kelas Tajwid untuk kanak-kanak telah dimulakan. Sejak awal 2011, antara 5 hingga ke 10 orang kanak-kanak yang berasal dari Oran, Mata Ayer dan sekitarnya telah mengikuti kelas ini yang diadakan hampir setiap malam. Bersama anak-anak Teratak Rahmat, anak-anak ini dihantar oleh ibu-bapa/penjaga sebelum solat maghrib dan dijemput semula selepas solat isya’. Selain itu, kelas Fardu Ain mengikut Sunnah Rasulullah juga diajarkan kepada anak-anak ini.

No comments: