B.3 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) KEBAJIKAN DAN TERATAK RAHMAT
Dalam usaha untuk meluaskan Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah melampaui ibadah-ibadah khusus semata-mata, sektor kebajikan sememangnya terbentang luas untuk diceburi. Oleh itu, JP Kebajikan dan Teratak Rahmat diwujudkan sebagai sayap khidmat sosial dan kebajikan dalam upaya Persatuan Al-Islah Perlis melaksanakan Da’wah Bil Hal. Langkah ini adalah bertepatan dengan wawasan Rahmatan lil ‘Alamin (Rahmat Kepada Seluruh Alam) yang dirintis oleh Rasulullah s.a.w.
Pada sesi 2010/2011, JP Kebajikan dan Teratak Rahmat bersyukur kepada Allah kerana dapat melaksanakan program-program berikut:
1. Menziarahi ahli-ahli yang kurang sihat
Sebagai tanda keprihatinan, JP Kebajikan dan Teratak Rahmat telah menziarahi beberapa ahli yang dilaporkan terlantar di rumah atau di hospital. Misalnya pada 5 Oktober 2010, Al-Fadhil Ustaz Abdul Razak Abdul Rahman, mantan Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis yang ketika itu dirawat di KMC Alor Setar telah diziarahi. Ziarah yang serupa turut dilakukan pada 29 April 2011 di Kuala Perlis.
2. Iftar/ Majlis Berbuka Puasa Ramadhan
Sempena mengimarahkan bulan Ramadan, suatu majlis berbuka puasa atau iftar telah diadakan pada 29 Ogos 2010 yang lalu. Majlis ini juga diadakan bertepatan dengan kehadiran Jawatankuasa Kecil Unit Kebajikan Persatuan Al-Nidaa’ Malaysia dari Kuala Lumpur. Untuk itu, suatu sesi dialog telah diadakan antara ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Al-Islah Perlis yang hadir dengan wakil-wakil Al-Nidaa’. Selepas iftar, Al-Nidaa’ juga telah sudi menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Teratak Rahmat dalam rangka program Infaq Ramadhan mereka.
3. Iftar/Majlis Berbuka Puasa Asyura
Bagi menyemarakkan sunnah Rasulullah s.a.w iaitu berpuasa pada 10 Muharram yakni Hari Asyura, serta bukannya sibuk mengacau bubur, majlis berbuka puasa Asyura telah dilangsungkan. Sebelum berbuka puasa, tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Ustaz Mohd. Rizal Azizan al-Malaya
4. Kuliah Subuh dan Sarapan Pagi
Untuk merapatkan silaturrahim serta menghidupkan bangunan Pusat Pengajian Persatuan di KM 1.2 Jalan Mata Ayer, dua siri kuliah subuh yang diikuti dengan sarapan pagi telah dianjurkan oleh JP ini. Dengan penganjur menyediakan juadah sarapan pagi yang asas, hidangan-hidangan lain sebagai pelengkap telah dibawa oleh ahli-ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis yang hadir memeriahkan program. Kedua-dua siri kuliah subuh yang dibimbing oleh Ustaz Mohd Rizal Azizan al-Malaya ini telah berlangsung seperti berikut:
i. 3 Februari 2011 – dengan tajuk ‘Bab Ikhlas Daripada Kitab Riyadhus Salihin’
ii. 17 Mei 2011 – dengan tajuk ‘Keajaiban Sedekah: Penghapus Dosa, Penyembuh Penyakit’
5. Lawatan Ukhuwwah Ke Kanchanaburi
Satu lagi projek besar JP Kebajikan adalah lawatan ukhuwwah ke Kanchanaburi. Bermula dari 25 November sehingga 30 November 2010, perjalanan pergi balik sejauh 3000 km telah ditempuhi. Sejumlah 30 orang menyertai lawatan ini untuk meninjau perkembangan Islam umumnya dan dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah di sepanjang perjalanan. Ahli rombongan telah menyaksikan kegigihan minoriti Ahlis Sunnah hidup di tengah-tengah masyarakat Bukan Islam, serta tabah pula membela Al-Sunnah apabila diserang oleh golongan Syi’ah. Lebih menakjubkan ada muallaf di Kanchanaburi yang berjaya mengujudkan anjung persinggahan musafir, ma’had tahfiz dan pusat kebajikan percuma kepada mereka yang memerlukan.
6. Sumbangan Van Daripada Syarikat First Solar
Syarikat First Solar telah bermurah hati menyumbangkan sebuah van Nissan Urvan dengan muatan 14 tempat duduk kepada Teratak Rahmat. Van yang berharga hampir RM100,000 ini walau bagaimanapun didaftarkan di atas nama Persatuan Al-Islah Perlis. Sebuah majlis penyerahan van ini bersama-sama sumbangan lain dari syarikat First Solar telah dilangsungkan secara ringkas pada 16 Mac 2011 yang lalu.
7. Pengoperasian Teratak Rahmat
Dengan mengucapkan syukur kepada Allah, Persatuan Al-Islah Perlis menerusi JP ini terus mengoperasikan Teratak Rahmat sebagai asrama anak-anak yatim/miskinnya dalam tahun yang ketiga. Teratak Rahmat kini membela dan mendidik 36 orang anak-anak yatim/miskin yang asalnya datang daripada keluarga yang tidak beramal dengan Al-Sunnah tetapi kini tekun mempelajari Sunnah Rasulullah s.a.w.
Beberapa aktiviti utama Teratak Rahmat di sepanjang sesi 2010/2011 ini adalah:
i. 9 Ogos 2010 - Program ramah mesra anjuran Kelab Sukan Dan Kebajikan, Jabatan Belia Dan Sukan Perlis bersama Kelab Rakan Muda Arau.
ii. 28 Ogos 2010 – Gotong-royong, iftar dan solat Qiyam Ramadan berjamaah bersama siswa dan siswi UiTM Arau.
iii. 1 September 2010 - Iftar dan solat berjamaah bersama Mufti Kerajaan Perlis, Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya .
iv. 16 Oktober 2010 - Program khidmat masyarakat dengan guru-guru pelatih Maktab Perguruan Perlis.
v. 9 November 2010 - Solat Qiyam Ramadan berjamaah pada lewat malam, tadarrus al-Qur’an dan tazkirah bersama warden-warden Teratak Rahmat dimulakan.
vi. 17 Disember 2010 - Perkhemahan Teratak Rahmat bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tuanku Budriah di Lata Kasih, Kaki Bukit, Perlis.
vii. Januari 2011 – Tuisyen subjek Sains dan Bahasa Inggeris Sekolah Menengah dimulakan oleh sukarelawan Cikgu Imran Mat Isa
viii. 13 Febuari 2011 - Pertandingan Kuiz Matematik Anak Rahmat
ix. 10 Mac 2011 - Menyertai Forum Ihya Masjid di Masjid Tuanku Syed Putra bertajuk ‘Rasulullah s.a.w Uswatun Hasanah’. Ahli-ahli panelnya adalah Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya dan Dr Abdullah Yassin.
x. 3 April 2011 - Demonstrasi Silat Teratak Rahmat di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).
xi. April 2011 – Tuisyen subjek Matematik Sekolah Menengah dimulakan oleh sukarelawan Cikgu Anuar Ahmad
xii. 14 April 2011 – Gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Jalan Dato’ Ali, Kayang, Perlis.
xiii. 16 Mei 2011 – Menyertai kuliah ‘Tanggungjawab Anak dan Ibu Bapa’ oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris di Masjid Jejawi Sungai Adam
xiv. Dan sebagainya.
Ikuti juga kisah lanjut suka duka keluarga besar Teratak Rahmat di laman blog yang dapat dicapai di http://teratakrahmat.blogspot.com . Oleh yang demikian, JP Kebajikan tekad terus berusaha di mana dana operasi yang mencukupi perlu dikumpulkan serta aspek tarbiyyah anak-anak diberikan perhatian. Fungsi Teratak Rahmat mesti dipertahankan, kalaupun tidak dipertingkatkan
No comments:
Post a Comment