18 June 2011

LAPORAN (JP) ICT, R&D DAN HUBUNGAN LUAR (IDRak)

B.6 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) ICT, R&D DAN HUBUNGAN LUAR (IDRak)

Suatu lapangan baru yang cuba diteroka oleh JP ini dapat dicerminkan menerusi namanya. Disingkatkan sebagai idrak yang bererti kajian dalam bahasa Arab, JP IDRak diberikan tugas menggiatkan aspek-aspek teknologi maklumat & komunikasi (ICT), penyelidikan & pembangunan (R&D) serta hubungan luar.

Untuk sesi 2010/2011, sebahagian aktiviti IDRak adalah:

1. Penyertaan Program

IDRak telah menghantar wakil-wakil untuk menghadiri program-program anjuran badan-badan di luar Persatuan Al-Islah Perlis, sebagaimana berikut:

i. 21 Ogos 2010 – majlis perasmian bangunan Dewan Baru Institut Al-Qayyim di Mengkuang, Bukit Mertajam

ii. 4-5 Disember 2010- Konvensyen Pemikir Islam Sejagat anjuran Yayasan Pok & Kassim (YPK) di Dewan Warisan, Kangar

iii. 22 Disember 2010 – Wacana ‘Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah: Analisis Peranan Gerakan “Wahhabiyyah” di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur

iv. 25-26 April 2011 – Seminar ‘Berpegang Kepada Al-Qur’an Dan Al-Sunnah’ anjuran bersama Kerajaan Negeri Perlis dan Kedutaan Arab Saudi Kuala Lumpur, di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur

v. 16 Jun 2011 – Seminar ‘Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri: Isu Pendermaan Organ’ anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis, di Dewan Warisan, Kangar

2. Ziarah Ahlis Sunnah Di Luar Perlis

Bagi mengeratkan silaturrahim antara Persatuan Al-Islah Perlis dengan Ahlis Sunnah di luar Perlis, IDRak telah menziarahi keluarga Ittiba’us Sunnah di Kuala Pilah pada 18 Mac 2011. Ittiba’us Sunnah Kuala Pilah dipilih untuk diziarahi memandangkan mereka telah melalui saat getir apabila dihalang untuk mengerjakan solat jumaat menurut Sunnah Rasulullah di bangunan ma’had mereka. Walhal amalan tersebut sudah dijalankan semenjak tahun 1954 lagi iaitu lama sebelum wujudnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Untuk itu, IDRak telah memberikan sokongan moral dan menyampaikan bantuan untuk meringankan sedikit sebanyak beban, sekadar yang termampu.

3. Latihan Kemahiran Kewartawanan Video

Demi meningkatkan kemahiran kewartawanan video, IDRak telah menghantar dua orang ahlinya untuk menjalani latihan intensif dalam program Citizen Journalism yang diadakan di Sungai Petani, Kedah. Selama 2 hari iaitu dari 3 hingga 5 Disember 2010, banyak ilmu ditimba dan pelbagai aspek telah didedahkan dalam program anjuran Centre For Independent Journalism (CIJ) Malaysia. Sebagai praktisnya, IDRak kini membuat penggambaran video di hampir setiap program Persatuan Al-Islah Perlis. Di luar Persatuan, IDRak telah berusaha memvideokan kuliah-kuliah Mufti Kerajaan Perlis dan program-program forum yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Perlis

4. Penggambaran Filem Pendek

Dengan kerjasama saudara Iskandar Syah Ismail dan rakan-rakan lain dalam Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah Kuala Lumpur, IDRak telah mengadakan penggambaran filem pendek ‘Projek Perpustakaan Teratak Rahmat’. Pembikinan filem pendek bermutu tinggi ini dilaksanakan dalam usaha mengujudkan perpustakaan kanak-kanak dan remaja di bangunan Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis. Program ini selamat dilaksanakan penggambarannya pada 16 dan 17 April 2011 yang lalu, manakala hasilnya telah dimuatkan ke laman Youtube

5. Penyelenggaraan saluran Islahperlis di laman Youtube

IDRak turut berusaha memvideokan kuliah-kuliah yang diadakan di dalam dan luar Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis, serta memuatkannya ke saluran Islahperlis di laman Youtube. Dengan pendekatan ini, sesiapa sahaja di merata dunia boleh mengikuti kuliah-kuliah Al-Sunnah pada masa dan tempat yang bersesuaian dengan kelapangan masing-masing. Video-video yang telah dimuat naik meliputi kuliah-kuliah:

i. Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Yusuf Amin, Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis dengan video-video seperti ‘Ahlis Sunnah Wal Jama’ah’, ‘Peranan Qalb Dalam Kehidupan Insan’ dan ‘Menjawab Kontroversi Akad-Nikah Di Masjid’

ii. Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, Mufti Kerajaan Perlis

iii. Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

iv. Dato’ Dr. Johari Mat

v. Dr. Abdullah Yassin

vi. Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman

vii. Dr. Abu Marwan Muhammad Sa’id Abu Al-Rub

viii. Tuan Mukhriz Mat Rus

ix. Ustaz Muhammad Ihsan Idris

x. Ustaz Syed Abdullah Syed Salim Aidid

xi. Ustaz Mohd Rizal Azizan al-Malaya

xii. Ustaz Syeikh Daud Ibrahim

xiii. Ustaz Daliluddin (Kuliah Bahasa Arab)

xiv. Ustazah Ahshanti Ahmad

Sehingga kini, lebih 100 video telah dimuatkan dengan 32,175 penonton telah mengikutinya di seluruh dunia, tanpa terhad kepada Perlis atau Malaysia sahaja.

Saluran Islahperlis ini boleh dicapai pada alamat http://www.youtube.com/user/islahperlis . Untuk menyebar luaskan kewujudan saluran Persatuan Al-Islah Perlis di internet ini, suatu majlis pelancaran telah selamat disempurnakan oleh Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Yusuf Amin pada 29 Januari 2011 yang lalu.

6. Penyelenggaraan laman blog Persatuan Al-Islah Perlis

Maklumat-maklumat semasa perihal kegiatan dan pendirian Persatuan Al-Islah Perlis terus dikemas kini dalam laman blog Persatuan Al-Islah Perlis. Laman blog ini dapat dicapai pada http://islahperlis.blogspot.com

7. Kajian Masalah Sosial di Perlis

Bermula bulan Jun 2011, dengan kerjasama JP Pemuda, IDRak mula mengadakan kajian masalah sosial di sekitar Perlis. Buat peringkat awal, kajian dijalankan dengan tinjauan terhadap pusat-pusat hiburan berbentuk karaoke yang nampaknya semakin bercambah di segenap pekan dan kampung dalam Negeri Perlis. Masih berjalan, dapatan kajian Insya-Allah akan diangkat kepada perhatian pihak-pihak yang berwajib.

No comments: