26 June 2011

KENYATAAN UMUM BERKAITAN MADRASAH ITTIBA US SUNNAH

KENYATAAN UMUM
BERHUBUNG DENGAN SIARAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA HARI INI (20-6-2011)
BERKAITAN MADRASAH ITTIBA US SUNNAH


BISMILLAHHIR RAHMANIR RAHIM


Hari ini dalam Akhbar UTUSAN MALAYSIA bertarikh 20-6-2011 dihalaman depan memuatkan berita “HASUT PELAJAR BERJIHAD - AKTIF PENGARUHI REMAJA TINGKATAN 4 DAN 5 TENTANG KERAJAAN” dengan paparan bangunan MIS, gambar Abu Bakar Bashir dan kediaman beliau sewaktu di Kuala Pilah, yang mengaitkan Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) sebagai:

1. Ada kaitan dengan ideologi Jemaah Islamiah (JI) merekrut pelajar tingkatan empat dan lima sekolah agama,

2. Gerakan itu menerapkan unsur-unsur dan ideologi secara halus untuk membenci dan menumbangkan kerajaan dengan alasan jihad.

3. Kaedah digunakan melalui ayat-ayat al-Qur’an serta hadits untuk mempengaruhi fikiran selain membuat persiapan menyertai perhimpunan haram.

4. Seorang yang dikatakan Pelajar oleh pihak Utusan bernama Ahmad berumur, 18 tahun, yang mengambarkan kenyataan tersebut ditujukan kepada Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) menyatakan bahawa antara modul yang diajar gerakan haram yang dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun dahulu adalah kaedah dan persiapan untuk menyertai perhimpunan haram. Katanya lagi, lebih membimbangkan pelajar-pelajar cemerlang turut terpengaruhdengan ideologi gerakan haram itu. Pelajar pelajar yang direkrut dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina. . Beliau menyatakan lagi terpengaruh oleh rakannya untuk menyertai kumpulan itu semenjak tahun 2009

Petikan diatas adalah kenyataan yang dikeluarkan didalam akhbar Utusan hari ini, dan dengan itu kami MENAFIKAN kenyataan-kenyataan tersebut. dan ia adalah DUSTA lagi PALSU mengenai Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS), dan tidak bersumber dari keterangan yang benar lagi betul. Maka itu kami memanggil Pihak Keselamatan dan Akhbar untuk kami nyatakan KEPALSUAN berita tersebut yang mungkin dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang iri hati dengan Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) yang tidak henti-hentinya menyerang Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) dari pelbagai sudut dan menjadikan AKHBAR UTUSAN MALAYSIA sebagai alat mereka.

Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) semenjak perkembangannya tahun 1957 tidak pernah tersembunyi kegiatannya dari pihak berkuasa. Malah pada tahun 1983, pihak pihak berkuasa Agama Kebangsaan, pernah menghantar wakilnya untuk mengikuti Modul Pelajaran di Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS), dan mereka mengakui bahawa tiada apa-apa pengajaran yang diragui kebenarannya.

Tindakan menyiarkan berita-berita mengenai Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) didada-dada akhbar terutamanya UTUSAN MALAYSIA semenjak mulanya, tidak lain hanya untuk menghina dan merendahkan Jamaah yang berpegang kepada sumber Islam sebenar iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Rasul (Hadits Nabi). Tetapi tindakan kali ini, amatlah keterlaluan dan diluar batas prinsip kewartawanan, kerana ia bukan bersifat memcari kebenaran, tetapi untuk membenam dan mematikan Pergerakan Kembali Kepada Al-Qur’an dan As Sunnah Rasul SAW. Maka itu, kami kali ini tidaklah boleh lagi mendiamkan diri dari dihina dan diperlakukan sebegini rupa. Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah jam 11.10 pagi tadi melalui report No: Melang/000967/11 bertarikh 20-6-2011.

Juga ingin saya maklumkan kepada semua yang hadir, kami akan mengambil tindakan untuk menyaman Akhbar UTUSAN MALAYSIA atas berita palsu yang amat mengaibkan kami ini dalam masa yang terdekat ini.

Kami juga telah memaklumkan kepada Pihak Keselamatan Daerah dan Negeri, mengenai Press Statement ini, tanpa ada apa-apa perselindungan supaya pihak akhbar sendiri mendapat maklumat yang sahih lagi benar mengenai Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) supaya tidak lagi menjadi bahan mainan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sekelompok puak dengan memperalat pihak AKHBAR sebagai medan permainan mereka.

Saya masih lagi mempersilakan kepada semua pihak agar menyiasat Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) baik dari segi pentadbiran, kerana kegiatan kami tidak bersembunyi dan berselindung, malah dalam pengetahuan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan juga kerana sejarah pertumbuhan Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS) sudah diserahkan kepada baginda melalui dua Memorandum kami. Pihak Keselamatan Daerah Kuala Pilah juga tidak tersembunyi hal berkaitan MIS ini, dan jika ada kegiatan SUVERSIF di MIS ini, tentu ia dalam makluman dan tindakan Pihak Keselamatan.

Sekian, untuk kenyataan akhbar hari ini bertarikh 20-6-2011 di Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS).



Dikeluarkan oleh:-


Hazman Hashim
Setiausaha
Madrasah/Maahad Ittiba Us Sunnah (MIS)
Kuala Pilah
Negeri Sembilan

KePada : 20hb. Jun 2011



PELAJARAN MENTERJEMAH AL-QUR'AN SEMAKIN PENTING. SILA LAYARI:-
http://terjemahanal-quran.blogspot.com/

1 comment:

atexin said...

Allah. sedihnya dengan fitnah yang dilontarkan