18 June 2011

LAPORAN (JP) PEMUDA

B.7 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) PEMUDA

Para pemuda adalah teras masa hadapan sesuatu umat. Oleh yang demikian, dalam perjuangan, yang hilang perlu berganti serta yang usang perlu diremaja. Maka sejajar dengan pertambahan penduduk Negeri Perlis, Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah pasti memerlukan lebih ramai tenaga pendakwah dan pegawai-pegawai masjid yang bermanhaj Al-Sunnah, berilmu dan bertindak secara efektif. Pada lapisan kedua pula, Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah berhajat kepada peningkatan individu yang tidak menentangnya. Dalam hal ini, peningkatan kualiti bagi sedikitnya kuantiti yang dipunyai, amatlah mustahak. Dalam suasana ini, JP Pemuda menggalas amanah yang berat dalam melahirkan pelapis perjuangan dakwah ini menerusi gerak kerja Persatuan Al-Islah Perlis.

Dalam sesi 2010/2011, JP Pemuda mengorak langkah dengan aktiviti-aktiviti seperti di bawah:

1. Dialog Bersama Mahasiswa Perlis

Mahasiwa dan graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah merupakan komponen yang kian penting dalam menggerakkan Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah di Malaysia. Sempena kepulangan untuk menyambut Aidil Fitri di kampung halaman, JP Pemuda telah mengadakan suatu majlis ramah mesra dan dialog dengan mereka pada 8 September 2010. Dalam program ini, mereka telah diberikan penerangan sejelas-jelasnya mengenai kepentingan dakwah ini dan peranan Persatuan Al-Islah Perlis dalam menjayakannya

2. Dialog Dengan Mufti Kerajaan Perlis

Sepulangnya beliau dari cuti penyelidikan di Universiti Oxford, suatu majlis jamuan kesyukuran dan dialog telah diadakan oleh JP Pemuda untuk menyambut Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya. Dalam majlis yang dianjurkan pada 4 Oktober 2010 lalu, Sahibus Samahah telah menasihatkan JP Pemuda untuk bergerak aktif, strategik dan lantang dalam menghadapi cabaran-cabaran dari luar dan dalam arena perjuangan.

3. Kunjungan Hormat

Bagi mengeratkan ukhuwwah, JP Pemuda telah melakukan kunjungan hormat menziarahi Fadhilatusy Syeikh Dr. Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya, Rektor Universiti Islam Yala. JP Pemuda telah berkesempatan juga untuk memaklumkan beberapa perkembangan terkini di Perlis dan Malaysia kepada beliau. Selain itu, rombongan JP Pemuda turut meluangkan masa melawat Universiti Islam Yala sebagai universiti Pengajian Islam terunggul di Negara Thai.

4. Latihan Silat

Walaupun seni silat adalah warisan pertahanan diri bangsa Melayu sejak turun-temurun, tidak dapat dinafikan bahawa silat telah menjadi wadah bersarangnya Syirik, Bid’ah dan Khurafat. Dengan itu sejak sekian lama, JP Pemuda telah mengambil inisiatif untuk mengembalikan seni silat Melayu kepada landasan petunjuk Al-Qur’an dan Al-Sunnah. Maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa, di seluruh Malaysia, hanya di Persatuan Al-Islah Perlis sahaja wujud pengajaran seni silat Melayu yang bermanhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah.

Kini membimbing lebih daripada 150 orang remaja, latihan silat berasaskan tauhid ini sedang dijalankan di gelanggang-gelanggang berikut:

i. Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis KM 1.2 yang turut diiktiraf sebagai Pusat Latihan Negeri (PLN) untuk sukan Silat Olahraga oleh Majlis Sukan Negeri Perlis serta Majlis Sukan Negara

ii. Sekolah Menengah Abi

iii. Sekolah Menengah Padang Besar

iv. Sekolah Menengah Tuanku Budriah, Pauh

v. Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri

vi. Kampung Paya Kelubi

vii. Pusat Kegiatan KEMAS Padang Malau

viii. Pusat Kegiatan KEMAS Alor Tampang

Insya-Allah beberapa gelanggang baru akan dibuka dalam sesi 2011/2012 yang akan datang.

5. Bicara Muslih Muda (BIMM)

Program Bicara Muslih Muda (BIMM) adalah program yang bertujuan mengasah bakat saf pemuda-pemudi Persatuan Al-Islah Perlis untuk menyediakan pembentangan, berhujah, berfikir kritis dan tidak kekok tampil di khalayak ramai. Dalam sesi 2010/2011 ini, 6 siri BIMM telah berjaya dianjurkan dengan butir-butir seperti berikut:

i. Siri 1 - 3 Oktober 2010 – ‘Ancaman Media Terhadap Remaja Islam’ dibentangkan oleh saudara Adam Tengku Badrillah

ii. Siri 2 - 7 November 2010 – ‘Peranan Beliawanis Sunnah’ dibentangkan oleh saudari Zuraida Zubir

iii. Siri 3 - 1 Februari 2011 – ‘Taqwa Dalam Kehidupan Muslim’ dibentangkan oleh saudara Zulkifli Ahmad

iv. Siri 4 - 30 Mac 2011 – ‘Usul Al-Tsalatsah Dalam Hidup Remaja’ dibentangkan oleh saudara Bunyamin Abbas

v. Siri 5 - 30 April 2011 – ‘Sepuluh Prinsip Menuntut Ilmu’ dibentangkan oleh saudara Muhamad Nasiruddin Aziz

vi. Siri 6 - 28 Mei 2011– ‘Pesilat Muda: Antara Tauhid, Syirik Dan Populariti’ dibentangkan oleh saudara Zahiri Zubir

6. Perkhemahan Tauhid, Iman Dan Ibadah (KITAB)

Untuk memberikan pendedahan kepada pengamalan ibadah bersuci dan solat dalam suasana serba kekurangan di hutan, Perkhemahan Tauhid, Iman dan Ibadah (KITAB) telah dianjurkan oleh JP Pemuda pada 7 hingga 9 Jun 2011. Perkhemahan ini diadakan di tapak perkhemahan Lata Kasih, Kaki Bukit dengan disertai lebih 40 orang peserta. KITAB turut berkongsi ilmu asas ikhtiar hidup dalam hutan serta diserikan lagi dengan aktiviti-aktiviti seperti solat berjama’ah, tazkirah, mencari harta karun, sukaneka dan sesi ‘burung hantu’.

No comments: