B.8 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) WANITA DAN I-KIDS
Ahli hikmah Arab pernah bermadah ‘Ibunda Adalah Madrasah Pertama’, maka kaum wanita sesungguhnya adalah komponen yang tidak sekali-kali dapat diabaikan dalam Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah. Justeru itu, JP Wanita dan I-KIDs ditubuhkan untuk menyemarakkan dakwah yang penuh keberkatan ini dalam kalangan kaum wanita dan ibu ke arah melahirkan muslimah yang diredhai Allah.
Beberapa kegiatan JP Wanita dan I-KIDs adalah seperti berikut:
1. Kuliah Mingguan Wanita
JP Wanita mengadakan kuliah mingguan khusus untuk wanita saban minggu iaitu pada pagi hari sabtu. Kuliah ini dikendalikan oleh Ustazah Zamzila Ishak dengan membawakan pengisian berhubung dengan Aqidah, Fiqh, Tafsir, Hadith, Akhlak dan sebagainya.
2. Kelas Kecergasan Wanita
Seterusnya JP Wanita menganjurkan kelas kecergasan khusus untuk wanita. Kelas ini dijalankan setiap hari selasa malam rabu, serta dikendalikan oleh Puan Husna Hassan. Diharapkan dengan adanya aktiviti ini, minda akan bertambah cerdas di samping jasad yang cergas.
3. Kuliah Khas Wanita
Sebagai kemuncak program dalam sesi 2010/2011, Kuliah Khas Wanita disusuli dengan majlis ramah-mesra, solat asar berjamaah dan jamuan teh telah diadakan. Majlis ilmu yang dihadiri hampir 100 orang peserta ini membawakan topik ‘Wasiat Rasulullah Kepada Wanita’. Pembimbingnya adalah Ustazah Ahshanti Ahmad, seorang pendakwah yang berkelulusan Ma’ahad Al-Hikmah, Jakarta, Indonesia. Ustazah Ahshanti juga merupakan isteri kepada Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis. Perancangan juga sedang dibuat untuk membuka kuliah Ustazah Ahshanti secara berkala di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis.
4. Kelas Percubaan I-KIDs
I-KIDs adalah singkatan kepada Tadika Persatuan Al-Islah Perlis. Dalam usaha menimba pengalaman dan memantapkan kemahiran untuk membuka tadika sebenar yang berprestasi, suatu kelas percubaan I-KIDs telah dibuka semenjak 10 Januari 2011 sehingga kini. Kelas percubaan ini bersifat Educational Playgroup yang beroperasi setiap hari isnin hingga khamis, jam 9.00 hingga 11.00 pagi.
Mendidik 10 orang anak-anak, kelas percubaan I-KIDs ini diselia oleh Puan Nurul Huda Idris. Beliau berkelulusan Sijil Pusat Jagaan Kanak-kanak yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibantu oleh tiga orang tenaga pengajar.
Bimbingan yang diberikan adalah berpandu kepada Manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah tetapi dalam kerangka kurikulum Prasekolah Kebangsaan Kementerian Pendidikan. Antara subjek yang diajarkan adalah komponen Bahasa dan Komunikasi yang mendidik Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab; komponen Pendidikan Kerohanian dan Moral yang mengajarkan Pendidikan Islam, komponen Perkembangan Sosioemosi, komponen Perkembangan Fizikal dan komponen Kreativiti dan Estetika.
No comments:
Post a Comment