B.10 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) HAL EHWAL QARYAH
JP Hal Ehwal Qaryah ditubuhkan selaku jambatan antara Persatuan Al-Islah Perlis dengan masjid-masjid di sekitar Perlis khususnya Jawatankuasa-jawatankuasa Qaryahnya, serta Usrah Masjid-masjid. Hal ini dilakukan oleh kerana Persatuan sememangnya mengiktiraf dan memberikan penghargaan yang tinggi kepada masjid-masjid yang telah berjasa menyebar dan memupuk penghayatan Al-Sunnah dalam kalangan rakyat Negeri Perlis, sejak sekian lama.
Untuk sesi 2010/2011, JP Hal Ehwal Qaryah telah melaksanakan program-program berikut:
1. Ceramah Pendakwah Luar Perlis
Dengan mengambil faedah dan manfaat para pendakwah Al-Sunnah dari Luar Perlis, Persatuan Al-Islah Perlis telah menghadirkan beberapa pendakwah ke beberapa masjid sekitar Perlis. Masjid-masjid yang dimaksudkan adalah:
i. Masjid Alwi, Kangar – dibawakan Dr. Fadlan Mohd. Othman (UKM) menyampaikan kuliah maghrib pada 10 Oktober 2010
ii. Masjid Alwi, Kangar – dibawakan Dr. Abu Marwan Muhammad Sa’id Abu al-Rub (Ulama Jordan) menyampaikan kuliah maghrib pada 14 November 2010
iii. Masjid Al-A’la Behor Temak – dibawakan Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman (UM) menyampaikan kuliah subuh pada 13 Mei 2011
2. Ceramah Khas
Suatu ceramah khas berjudul ‘Rakyat Bersatu Tambah Muafakat, Negeri Makmur Dilimpahi Rahmat, Di Bawah Naungan Raja Berdaulat’ telah diadakan dengan kerjasama Masjid Putra Simpang Empat. Ceramah ini diadakan pada 22 Mei 2011 bersempena dengan Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke-68. Mewakili Persatuan Al-Islah Perlis, Ustaz Muhammad Ihsan Idris telah menghuraikan hubungan rakyat dan pemerintah mengikut Manhaj Al-Sunnah
3. Kursus Pengurusan Jenazah
Bagi melahirkan tenaga pelapis yang berilmu dan berkemampuan menguruskan jenazah menurut Manhaj Al-Sunnah, suatu Kursus Pengurusan Jenazah Siri Pertama telah diadakan dengan kerjasama penuh Jawatankuasa Qaryah Masjid Al-Hakim, Padang Malau, Beseri. Kursus yang disertai lebih 50 orang peserta lelaki dan perempuan ini telah dianjurkan pada hari sabtu, 22 Mei 2011. Aspek teori telah dikupas oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris. Pelajaran amali pula meliputi mandi jenazah, kafan dan solat jenazah dengan manusia sebenar menjadi model telah dibimbing secara berasingan antara lelaki dengan wanita. Bagi amali bahagian lelaki, peserta diberikan tunjuk-ajar oleh Tuan Rashid Abdul dan Ustaz Yusuf Abdul Hamid. Untuk amali bahagian wanita, panduan praktis diajarkan oleh Puan Hasanah Hanafiah dan sahabat-sahabat sepengajian beliau. Semoga siri-siri seterusnya akan dapat terus dianjurkan berdasarkan keperluan semasa yang wujud.
No comments:
Post a Comment