18 June 2011

LAPORAN (JP) ANJUNG MAKLUMAT ISLAH (AMI) DAN HAL EHWAL VETERAN

B.9 LAPORAN KEMAJUAN JAWATANKUASA PENYELARASAN (JP) ANJUNG MAKLUMAT ISLAH (AMI) DAN HAL EHWAL VETERAN

Kejahilan diubati dengan ilmu sedangkan satu pendekatan ilmu diperluas adalah dengan menyebarkan bahan-bahan ilmiah. Maka sudah sewajarnya bahan ilmiah dimanfaatkan peranannya sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan kebudayaan berasaskan al-Qur’an dan al-Sunnah. Kepustakaan bahan-bahan ilmiah berkaitan perspektif Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah tentang pelbagai isu perlu dipertingkat dengan menambahkan bahan-bahan yang berkualiti tetapi dengan kos yang berpatutan dan penyebaran yang merata. Untuk itu perpustakaan yang dinamakan Anjung Maklumat Islah (AMI) ditubuhkan.

Beberapa kegiatan JP ini dalam sesi 2010/2011 yang lalu adalah:

1. Menyelenggara Anjung Maklumat Islah (AMI)

Sebagai perpustakaan yang memiliki hampir 2000 judul buku-buku agama dan umum, AMI telah diselenggarakan. Selain buku, AMI juga memiliki koleksi majalah dan bahan-bahan multimedia. AMI juga menerima sumbangan bahan-bahan bersifat warisan sejarah Dakwah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Al-Salafiyyah di Perlis khususnya dan di Malaysia umumnya

2. Memperkenalkan sudut sejarah

AMI telah mengambil suatu ruangan di dalam Bilik Mesyuarat untuk dijadikan sudut sejarah. Pada sudut ini, beberapa artifak yang bersejarah kepada Persatuan Al-Islah Perlis telah dipamerkan. Antara bahan-bahan yang dipamerkan adalah mesin cetak lama, mesin taip lama, radio lama dan komputer lama yang pernah digunakan dalam menerbitkan bahan-bahan dakwah dalam Persatuan ini.

3. Diskusi Anjung Maklumat Islah (AMI)

Diskusi atau sesi dialog turut diadakan untuk menyemai semangat ingin tahu dan cintakan ilmu, khususnya dalam kalangan generasi muda. Untuk sesi ini, sebanyak dua siri Diskusi AMI telah diadakan iaitu:

i. Siri Pertama - 6 November 2010 dengan tajuk ‘Perkembangan Dakwah Sunnah Mutaakhir Di Bumi Mesir’ oleh Ustaz Mohd Firdaus Mohd Fuzi. Beliau adalah mahasiswa Universiti Al-Azhar Mesir yang bermanhaj Ahlis Sunnah

ii. Siri Kedua – 31 Mac 2011 dengan tajuk ‘Revolusi 25 Januari Di Mesir: Pengalaman Mahasiswa Ahlis Sunnah Wal Jama’ah’ oleh Ustaz Mohd Firdaus Mohd Fuzi

Untuk portfolio Hal Ehwal Veteran pula, perlu diakui bahawa tidak banyak yang dapat dibuat dalam sesi 2010/2011 ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t membantu untuk mengimarahkan portfolio ini dalam masa terdekat

No comments: