Najib Tun Razak (kanan) bersalaman dengan Ketua Mahkamah Syariah Makkah, Sheikh Saleh Ad-Duwaish (tengah) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Keempat, di Mekah baru-baru ini. - BERNAMA |
Hanya dengan perpaduan dapat memelihara dan menjana kekuatan umat. Teras Manhaj (skima) kekuatan umat akan tercapai apabila umat menghayati Firman yang Maha Pencipta (Surah Ali Imran, ayat 103) yang bermaksud: "Berpegang teguhlah dengan tali agama Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah".
Juga sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): "Sesungguhnya Allah tidaklah menghimpun umat Muhammad di atas kesesatan. Dan Tangan Allah bersama jemaah. Dan sesiapa yang menyimpang maka penyimpangannya adalah ke dalam neraka" (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Tirmizi).
Peranan ketua-ketua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada mesyuarat luar biasa atas inisiatif Raja Abdullah Arab Saudi untuk julung kali bermesyuarat bersebelahan Masjid Al-Haram di ibu kota Tanah Suci Mekah dan di penghujung bulan suci Ramadan iaitu pada kemuncak 27 Ramadan amat signifikan kepada perpaduan umat. Kita doakan agar ketua negara-negara Islam akan lebih berani serta proaktif dalam menangani urusan umat.
Harus juga diberi kepujian kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup mengharungi lautan ribuan umat Islam sejurus selepas solat tarawih untuk berjalan kaki (dengan mengambil risiko keamanan) dari Istana Tetamu ke lokasi lain bersebelahan Masjid Al-Haram bertemu dengan para ulama Mekah, Qaseem dan Riyadh.
Sifat tawaduk Perdana Menteri amat dipuji oleh para ulama yang hadir atas kesanggupan seorang ketua negara mendengar dan meneliti pandangan para ulama. Ini adalah satu acara yang jarang terjadi dan ia harus dijadikan satu contoh terbaik atau precedent kepada umat.
Selepas perjumpaan dengan para ulama yang diketuai oleh Sheikh Dr. Hamad Al-Jalali, seorang ulama veteran yang terkemuka di Arab Saudi, bersama Sheikh Dr. Sulaiman Al-Salumi, seorang Mufti di Masjid Al-Haram dan Pengerusi Badan Dakwah dan Bimbingan di Mekah; Sheikh Saleh Ad-Duwaish, Ketua Mahkamah Syariah Makkah; Sheikh Dr. Hamad Al-Ghammas, Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Madj TV (13 saluran) yang popular di Asia Barat dan Al-Huda TV (saluran bahasa Inggeris) yang popular di benua Amerika dan Eropah; serta beberapa ulama yang lain, maka tersebar pujian di kalangan para ulama Asia Barat serta keinginan mereka untuk turut sama hadir pada majlis yang terpuji ini.
Masing-masing mengimbas perintah Allah (Surah AnNisa' ayat 59) yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada ArRasul dan Ulil-Amri dari kamu".
Imam An-Nawawi di dalam Syarahnya Sahih Muslim menerangkan : "Berkata ulama: …ucapan ini adalah daripada jumhur para Salaf dan Khalaf, daripada para mufassirin dan fuqahaa dan selain mereka, dan mereka berkata, mereka (Ulil-Amri) itu adalah Ulama dan Umara'." Ketaatan kepada kedua-dua ini pastilah dalam perkara yang makruf.
Tiada syak lagi kepentingan peranan dan tanggungjawab kedua-dua golongan ini. Maka kedua-duanya wajib berganding tangan menangani urusan umat. Kedua-duanya wajib dengan penuh rasional mengikhlaskan niat dan mengakomodasikan kelemahan yang sedia ada pada sifat basyar atau kemanusiaan demi memelihara keutuhan dan maruah agama, bangsa dan negara.
Benarlah Firman Allah di atas yang memerintah umatnya berpegang teguh kepada tali agama Allah dan tidak berpecah-belah. Firman-Nya juga (yang bermaksud) : "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara; maka perdamaikanlah kedua saudara kamu (yang berselisihan)". (Surah Al-Hujurat ayat 10).
Perpaduan dan kerjasama para ulama dan umara' adalah formula Islamik yang menjamin kesejahteraan umat. Apabila kedua-dua golongan berpadu maka hak asasi memelihara akidah Muslim melalui konsep al-Wala' dan al-Bara' akan terlaksana.
Al-Wala' ialah kesetiaan kepada segala yang memelihara kemaslahatan baik untuk Islam dan muslim. Al-Bara' adalah menolak atau menyucikan diri daripada segala yang berunsur kufur atau kafir. Maka wajib memberi keutamaan kepada Islam dan Muslim berbanding ke atas kufur dan kafir. Wajib mendahului kesefahaman antara saudara Muslim berbanding ke atas mereka yang tidak mengucap dua kalimah syahadah.
Ini jauh berbeza dengan amalan demokrasi ala Barat yang sering melagakan antara pemerintah dan rakyat. Sistem pemerintahan demokrasi ala Barat yang bertujuan untuk mendirikan negara republik/sosialis sering melagakan antara pemerintah dan rakyat/pekerja (i.e. anti-establishment).
Apabila perbezaan memuncak maka diadakan demonstrasi jalanan untuk menyalakan api fitnah kemarahan, melahirkan simpati dan seterusnya mengaut undi rakyat. Maka terjadilah pertelingkahan bertujuan menggulingkan kerajaan sedia ada atas dasar kononnya "hak asasi manusia" tanpa mengira dasar al-Wala' dan al-Bara' dalam Islam.
Islam menganjurkan kesefahaman, perbincangan dan kerjasama antara umatnya. Pertelingkahan yang melampau lebih membawa kepada keburukan kepada kedua-dua pihak yang bermusuh; pada hal kedua-dua pihak mengucap dua kalimah syahadah.
Semoga Allah mengembalikan umat Islam kepada budaya dan peradaban al-Quran dan As-Sunnah dengan memelihara perpaduan umat demi menangkis fitnah luaran Islam yang berusaha memecah-belah umat serta menggadai hak akidah, agama, bangsa, negara dan maqasid/maksud syarak.
No comments:
Post a Comment