29 August 2012

SINAR: Raja Muda Perlis mahu kemurnian adab Melayu diperkasa

Dipetik dari akhbar Sinar Harian keluaran 19 Ogos 2012, pautan http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/raja-muda-perlis-mahu-kemurnian-adab-melayu-diperkasa-1.77709 juga boleh dirujuk.

KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu adab Melayu yang murni terus diperkasakan kerana terdapat tanda ia mulai terhakis.

Baginda bertitah, golongan muda dilihat kurang menghormati orang lebih dewasa dan penggunaan bahasa kasar mula berleluasa sama ada secara lisan, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta laman sesawang.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh Perlis selepas berangkat ke majlis Rukyah Hilal Awal Syawal di Kuala Sungai Baru dekat sini malam tadi, baginda bertitah tingkah laku mengaibkan seperti tatacara berpakaian, berpeleseran dan pelbagai lagi gejala moral juga menjejas adab Melayu.

Baginda berharap ibu bapa sentiasa meluangkan lebih banyak masa bersama anak mereka dan menjadikan Syawal sebagai bulan untuk merapatkan kemesraan keluarga dan sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi.

"Jadikan Aidilfitri sebagai pembuka lebaran ke arah kehidupan harmoni," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, bertitah amalan kunjung mengunjung pada Aidilfitri juga kelihatan semakin berkurangan pada masa ini sedangkan ia adalah amalan yang begitu murni bagi mengeratkan silatulrahim.

Turut hadir pada majlis anjuran Jabatan Mufti dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perlis itu ialah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya serta para peserta program Antara Budaya Malaysia (ABM) dari Jerman, Itali dan China.

Para peserta ABM itu teruja dengan keindahan waktu senja di Perlis dan berpeluang melihat dengan lebih dekat cara penentuan 1 Syawal dilakukan melalui rukyah. - Bernama

No comments: