KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya berkata, umat Islam di Malaysia haruslah menolong mangsa gempa bumi di Iran, namun perlu menjaga akidah supaya pihak ekstremis Syiah tidak boleh memperdayakan mereka.
Pengerusi jawatankuasa kerja ulama muda Umno itu berkata, dari segi kemanusiaan, Allah telah berfirman bahawa umat Islam haruslah membantu orang lain tanpa mengira agama atau fahaman.
Namun, katanya, golongan yang memerangi Islam seperti kafir harbi yang sentiasa mahu Islam kacau bilau tidak perlu dibantu.
“Terdapat empat kategori dalam golongan kafir, begitu juga dengan Syiah, dan kita tahu bukan semua orang-orang Iran adalah golongan ekstremis seperti Syiah rafidhah, dan golongan itu memang kita tidak harus tolong.
“Mereka sentiasa mahu menipu daya, mahu memerangi ahli Sunnah (Ahlil Sunnah wal Jamaah), kita harus tentang,” katanya lagi.
Katanya, puak Syiah sekarang adalah penggerak untuk menjatuhkan kerajaan Sunnah di Timur Tengah dan tidak mustahil pengaruhnya akan sampai ke Malaysia.
“Sebagai buktinya, mereka dapat dikesan di Kelantan dan jabatan agama Islam negeri berjaya mengesan aktiviti mereka,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, jika puak Sunnah membantu mereka dengan harapan golongan Syiah rafidhah ini dapat terbuka hatinya untuk berdamai, itu tidak menjadi masalah.
“Kita harus ingat bahawa agama Islam adalah agama keamanan, maka jika kita ada peluang untuk berdamai, itu diterima.”
Fathul juga berkata, jika pimpinan Umno membuat keputusan untuk membantu mangsa gempa bumi di Iran, pihak ulama di Umno tidak menghalang asalkan tidak diganggu akidahnya.
Gempa bumi di Iran berlaku pada 11 Ogos yang lalu, di barat daya negara tersebut, 60 kilometer dari Tabriz, meragut 300 nyawa setakat ini.
No comments:
Post a Comment