03 September 2011

PERSATUAN AL-ISLAH KINI MEMILIKI PENASIHAT


Paparan skrin artikel dari majalah Milenia Muslim
PERSATUAN AL-ISLAH KINI MEMILIKI PENASIHAT
  
 

25 JULAI 2011: Sepanjang 46 tahun semenjak Persatuan Al-Islah Perlis didaftarkan pada tahun 1965, Persatuan kini melakar sejarahnya yang tersendiri. Perkembangan bersejarah yang dimaksudkan adalah buat kali pertama seorang Mufti Kerajaan Perlis sudi menjadi penasihatnya. Untuk itu, barisan ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis bersyukur kepada Allah, bahawa dalam kesibukan beliau sebagai Mufti Negeri yang bertanggungjawab bukan sahaja di Negeri Perlis bahkan pandangan beliau diminta dalam program-program bersifat nasional dan antarabangsa, Sahibus Samahah Mufti Dr. Juanda Jaya bersedia menjadi Penasihat yang aktif kepada Persatuan ini baik dalam urusan keagamaan, pentadbiran mahupun kemasyarakatan.
 
 
Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya bersama-sama Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr. Abdul Rahman al-Sudais ketika lawatannya ke Malaysia
   
Selepas maklum balas positif diberikan oleh beliau semasamerisikdilakukan, hari isnin 25 Julai 2011 merakamkan berlangsungnya kunjungan hormat ahli jawatankuasa Persatuan Al-Islah Perlis ke pejabat beliau di Jabatan Mufti Perlis, Bangunan Dato’ Mahmud Mat, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Dalam pertemuan pada petang hari tersebut, di samping beramah mesra dan mengenali dengan lebih mendalam fungsi unit-unit Jabatan Mufti, Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, Cikgu Othman Husin telah menyampaikan surat rasmi perlantikan Penasihat kepada mufti kerajaan negeri di Malaysia termuda tetapi juga satu-satunya mufti yang memiliki ijazah Doktor Falsafah.
 
  Sebagai tanda penerimaan beliau terhadap perlantikan tersebut, Sahibus Samahah Dr. Juanda sudi untuk memberikanamanat sulungkepada ahli-ahli jawatankuasa yang memikul amanah untuk menyemarakkan usaha-usaha dakwah, pendidikan dan kebajikan Persatuan Al-Islah Perlis. Antara lain, beliau berpesan kepada AJK Persatuan Al-Islah Perlis supaya:
  1. Menghalusi cadangan supaya Persatuan Al-Islah Perlis membuka cawangan-cawangan di dalam dan di luar Negeri Perlis
  2. Mengadakan sesi permukiman (retreat) antara beliau dengan AJK untuk percambahan fikiran dalam menentukan hala tuju, keutamaan dan perancangan strategik Persatuan Al-Islah Perlis
  3. Banyak mempelajari secara kritis buku-buku tentang kejayaan dan kegagalan dakwah Islam di seluruh dunia
 
Bagi pihak Yang Dipertua, Ahli Jawatankuasa, ahli-ahli dan penyokong Persatuan Al-Islah Perlis, laman blog Persatuan mengucapkan jutaan Terima Kasih dan Jazakallahu Khayran Kathira kepada Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya atas kesudian menerima perlantikan sebagai Penasihat. Do’a kami semua supaya Persatuan Al-Islah Perlis khususnya dan Dakwah Islamiah umumnya di Negeri Perlis akan bertambah maju dengan bimbingan dan tunjuk-ajar beliau.
 
Untuk mengikuti wawancara Dr. Juanda Jaya dengan portal Malaysiakini.Com, saksikan paparan video di bawah:
 
(VIDEO INTERVIU DR JUANDA DI MALAYSIAKINI)

1 comment:

Suahati said...

Adalah diharapkan pehak jawatankuasa al-Islah blh anjurkan ceramah perdana khas dr Tua Mufti pada setiap bulan di Pusat pengajian Al-Islah.