15 September 2011

PERDU TEBU DI DARUS SUNNAH (BAH. 1)



Telah disiarkan di 'MAJALAH I' keluaran April 2007
http://rizqimukhriz.blogspot.com 


 Doa diaminkan, seorang demi seorang beransur pulang. Tinggalah aku terpacak di sisi kubur Tokwan yang masih berongga tanahnya. Tiada talkin untuknya, kerana itu adalah permintaannya sejak dulu lagi. Bahkan seandainya tiada wasiat sebegitu pun, pasti semua ahli waris setuju untuk tidak talkinkan jenazahnya. Bukan kerana buruk tingkah lakunya, tapi kerna ketika hayatnya Tokwan cukup lantang menolak amalan talkin di kuburan. Seingat aku juga tiada talkin untuk arwah Tok Midah, nenekku dan Long Leman, anak sulung mereka berdua yang pergi lebih dahulu. 


 Bagi orang lain, talkin adalah sesuatu yang baik dan mampu memberi penganjaran kepada yang hadir di majlis pengkebumian. Namun tidak bagi Tokwan, talkin padanya bukan sekadar dinilai dari akal manusia tapi neracanya adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Ilmu aku cukup dangkal untuk membantah hujahnya. Hitung usiaku pula jauh berbeza, apatah lagi pengalaman yang dilaluinya. 


 Rupanya bukan aku yang terakhir yang masih setia di situ, Pak Chin, tok mudin masih sedang asyik melayan perasaan. Pandangan sugul dilemparkan ke arah aku dan mula bersuara, “Sekeras-kerasnya dia, dia tak pernah kafirkan sesiapa”. Aku sekadar tunduk dan mohon izin untuk berlalu. 


 Pernah aku dengar dulu dalam kuliah di masjid, Tokwan ada menghuraikan sesuatu dari Kitab Aqidah Wasitiyyah dengan susunan bahasanya sendiri. 


 “Kita ni orang Sunnah tak mengkafirkan ahli Qiblah, yakni orang yang mengucap, hanya kerana depa buat maksiat dosa besar. Kalau kita kafirkan juga, samalah kita dengan golongan Khawarij”. 


 Bertemu dengan Pak Chin, mengingatkan kembali akan peristiwa sehari sebelum majlis berkhatan aku. Dari bawah rumah, aku mencuri dengar Tokwan bertegang leher dengan Abah. Tokwan tak suka kenduri masuk jawi. Bid’ah katanya, namun Abah sebagai menantu hanya berdiam. Bila Tokwan turun dari rumah, dia menyapa aku, “ Kesian kat hang esok tengah hang sakit bersunat. Depa sedap-sedap makan ayam depan cik. Hang dah lah kena pantang”. 


 Kata-kata Tokwan tak lansung menyenangkan hatiku atau memadam perasaan marah aku padanya. Aku berhasrat untuk membeli sebuah basikal Le Run, sebuah basikal ber'gear' dari wang yang diperolehi pada majlis itu nanti. Bagaimana nak dapatkan duit yang banyak kalau kenduri tak diadakan. Pasti tak ramai yang datang. Aku mengeluh sendirian. 


 Namun, pada hari kenduri marahku tawar bila arwah Tok Midah mampir kepadaku dan berbisik, “Tokwan cik sakit perut tak boleh mai. Dia kirim ni kat cik”. Tok Midah menghulurkan sekeping duit lima puluh ringgit. Terbeliak aku melihatnya kerana sepanjang hari kenduri, tiada siapa yang menghadiahkan aku duit sebanyak itu. Dengan serta merta Tokwan menduduki tangga teratas carta hati aku. Sayang juga dia pada aku. Itulah apa yang aku fikir ketika itu, wang ringgit bisa menjadi lambang kasih sayang. 


 Semakin jauh aku dari kubur Tokwan, mengingatkan aku akan kata-kata sesudah pengebumian Tok Midah. Menurutnya, seandainya aku dengar soal jawab dalam kubur sedang aku masih hidup, pasti aku akan pengsan. Tokwan suruh aku rujuk Kitab Aqidah Wasitiyyah. Aku kira segala isi kandungan kitab itu telah mengalir dalam batang tubuhnya dan dihayati hari-hari. 


 Aku melewati kubur arwah Long Leman, anak sulung Tokwan. Batu nisan mar- mar masih putih kerana baru hampir dua tahun tegak berdiri di situ. Salam kuucapkan buatnya.Tokwan telah menyusul mengikutimu. Bahagialah kamu berdua di taman dari taman-taman syurga hendaknya dalam menanti hari kebangkitan agung. 


 Long Leman, anak yang paling Tokwan sayang dan menjadi kebanggaanya . Dia dihantar untuk belajar di sebuah sekolah agama di Arau, Sekolah Alawiyah yang tersohor di negeri ini. Kemudian dia melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang Syariah. Namun bagaikan musim menuai di ladang tebu yang datang setiap penghujung tahun, seluruh ladang yang menghijau akan dibakar. Keindahan ladang yang terhampar bertukar hitam dan selubungi asap jerami yang dibenci seluruh penduduk negeri. Itulah ibaratnya hubungan Tokwan dan Long Leman yang mula retak tatkala tamat pengajiannya di Mesir. Wataknya yang 'hemoi' menjadikan Long Leman orang yang mudah didekati dan terkenal. Selain nama baik, Long Leman juga mewarisi semangat berdakwah yang sebati dalam jiwa Tokwan. Namun, Long Leman memilih jalan yang sedikit berbeza. 


 Di pentas politik, Long leman melaungkan agar orang Islam meninggalkan perdebatan perkara furu’(cabang) dan khilafiah kerana merugikan umat Islam sendiri. Dia menyeru agar umat Islam kembali bersatu dan mengikut mazhab Syafie, mazhab majoriti umat Islam di negara ini namun bukan di negeri ini. Pada pendiriannya, tidak semua bidaah itu menyesatkan. 


 Tokwan terasa dirinya ditempelak dan ditikam dari belakang. Dia juga malu berhadapan dengan orang ramai. Hadis Nabi SAW, “Setiap bidaah itu sesat” yang senantiasa meniti dibibirnya kini ditakwil berbeza oleh anaknya sendiri. 


 “Buat apa kita nak ikut depa orang Kuala Lumpur. Kita ada undang-undang sendiri. Kami dulu sinsing lengan, kayuh geret ke hulu ke hilir nak bina semua ni. Hang rujuk balik dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, tang mana dia sebut mazhab Syafie?, afdhal ke mazhab itu berbanding yang lain?” Tokwan mengungkit sejarah dulu. Dia adalah antara orang-orang yang terlibat dengan Majlis Agama ketika itu dalam mendrafkan undang-undang agama Islam negeri. Long Leman mendiamkan diri dan hanya memasang telinga. 


 Ujian yang pertama dari anaknya, Tokwan masih mampu teguh berdiri. Namun pukulan ombak kedua, hampir menyentap nafas dan degupan jantung. Long Leman menemui ajal di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Penangan yang menjadi anak damak di hati Tokwan, meninggalkan luka yang melarat. Tokwan selepas peristiwa itu banyak menghabiskan masa sendirian dan tatkala itulah aku mula rapat dengan insan tabah ini. 


 Glosari 

  1.  Tokwan : Datuk 
  2.  Depa : Mereka 
  3.  Hemoi : Ramah 
  4.  Geret : Basikal

No comments: