08 September 2011

Lapor Polis Atau Tidak : Di Sebalik Tabir Majlis Berbuka Puasa Dan Makan Malam Muhibbah



LAPOR POLIS ATAU TIDAK ?: 


Hampir dua minggu berlalunya Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Muhibbah mengundang wakil-wakil komuniti agama Bukan Islam di Perlis, anjuran Persatuan Al-Islah Perlis. Seperti lumrahnya ada yang mengeji dan ada pula yang memuji. Namun begitu, perlu dikongsikan juga beberapa perkembangan yang dilakukan di sebalik tabir sebagai rentetan terlaksananya program ini. 


ANJURAN LAPORAN POLIS & DEMONSTRASI 


2 Ogos 2011, awal bulan Ramadan al-Mubarak, negara digegarkan apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Damansara Utama Methodist Centre (DUMC) Seramai 12 orang Islam dilaporkan sedang ‘menjalani proses pengkristianan’ dengan ‘perangkap’ bantuan kebajikan.. Maka sebahagian ahli-ahli Persatuan Al-Islah Perlis menerima sms daripada sebuah NGO menganjurkan berhimpun beramai-ramai pada 11 Ogos 2011 untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kangar atas insiden yang dimaksudkan. 
(GAMBAR SMS DI HANFON)

(GAMBAR SMS DI HANFON)




Tidak cukup dengan itu, sebuah demonstrasi aman dilancarkan sejurus selepas solat jumaat pada 12 Ogos 2011 di Masjid Alwi, Kangar. Masih terngiang-ngiang di telinga apabila jemaah yang baru keluar dari Masjid Alwi diseru “MAI!”, “MAI!” untuk berkumpul sebelum ucapan yang berapi-api disampaikan sebagai protes… Maka ada ahli Persatuan Al-Islah yang bertanya “Islah tak mau buat laporan polis ka pasai ni?” 


Kalaulah laporan polis dan demonstrasi dipilih sebagai tanda prihatin kepada isu Kristianisasi dalam kalangan orang Melayu-Islam di Selangor khususnya, Persatuan Al-Islah Perlis menghormati “ijtihad” sahabat-sahabat yang tersebut. Doa kami: semoga Allah merahmati hamba-hamba yang berjuang di jalan-Nya… 


‘BERFIKIR DI LUAR KOTAK’ 


Dalam situasi panas ini, AJK Persatuan Al-Islah Perlis memikirkan apa lagi tindakan yang lain daripada laporan polis yang apabila dibuat tidak sedikit yang cuma didiamkan di dalam fail?. 


Dipertimbangkan juga apakah langkah untuk menyeimbangkan paparan tentang umat Melayu-Islam di media arus perdana dan alternatif, yang kebanyakannya menggambarkan para penunjuk perasaan berwajah bengis yang bertakbir sambil mengepal penumbuk berdemonstrasi? 


Direnung pula apa yang sudah dibuat untuk menjelaskan Islam kepada mereka yang belum menerima cahaya agama Allah? 


Dipandang pula apa yang lebih afdal, bila mana situasi di Negeri Perlis berbeza pula serba-serbinya dengan tempat lain yang dijadikan asas laporan polis dibuat? 


Maka selepas ditinjau amalan Rasulullah berinteraksi dengan orang Bukan Islam dalam sirah baginda, khususnya menerusi kitab Zad al-Ma’ad fi Hadyu Khayri ‘Ibad susunan al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah, dirumuskan majlis sederhana ini sebagai platform tajribahnya. 


Seterusnya restu, fatwa dan irsyad dari Sahibus Samahah Mufti sebagai Penasihat Persatuan Al-Islah Perlis terus diminta. Lalu beliau memberikan respons positif yang segera meskipun berada dalam ‘kecamuk’ Operasi Pasir mengiringi DYTM Tuanku Raja Muda Perlis melawat para perajurit negara yang berkawal di pulau-pulau terpencil bersempadankan Filipina dan Indonesia. 




Beliau turut prihatin dengan memberikan pelbagai nasihat dan pedoman syarie supaya matlamat yang dikehendaki tercapai, serta majlis terhindar dari bertukar menjadi wadah pluralisme yang percaya semua agama itu sama di sisi Tuhan. Selepas itu, Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya tidak pernah berhenti-henti memantau perjalanan majlis ini sehingga ke akhirnya….

1 comment:

Abu Umair said...

Diharap Persatuan al Islah Perlis turut dapat membantu golongan yang memerlukan terutama orang Islam dan mudahan ALLAH memberi kekuatan kpd kita semua agar istiqhamah dlm kerja dakwah/kebajikan selari dgn al Quran dan Sunnah.