20 September 2011

MEKANISME PPMM: SATU CUBAAN MASUK PINTU BELAKANG DALAM PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG.



(Ulasan kepada Pandangan PPMM - Wawacara transformasi gubalan Undang Undang Islam - Utusan Malaysia 12 Mei 2011) 


 Pertamanya, ingin penulis tekankan bahawa ulasan ini dibuat berdasarkan pemahaman penulis terhadap wawancara yang disiarkan dalam Utusan Akhbar bersama Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) , Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pada 12 Mei 2011. Penulis percaya buah fikiran yang dilontarkan adalah untuk kebaikan bersama dan didasari dengan ilmu dan pengalaman luas beliau. 
Terdapat beberapa idea-idea segar dan wajar dipertimbangkan telah diketengahkan oleh peguam berpengalaman tersebut Bahagian yang menarik perhatian penulis adalah cadangan mekanisme baru dalam penggubalan undang-undang yang berkaitan Islam. 




 1) Bertentangan dengan Perkara 66(1) Perlembagaan Persekutuan. 


 Perkara 66 ini jelas memperuntukkan bahawa semua undang-undang digubal samada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berdasarkan bidang kuasa masing-masing. Cadangan PPMM ada seolah satu cubaan masuk pintu belakang apabila mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong terlebih dahulu. Langkah ini menidakkan fungsi badan legilslatif sebagai penggubal undang-undang yang dipilih oleh rakyat. Bahkan fungsi jemaah kabinet juga dinafikan untuk menggubal usul undang-undang sepertimana proses lazim pembentangan undang-undang di dewan. Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal berkata :


 “Seterusnya ia akan hanya dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk disahkan tanpa perlu dibahaskan kerana ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua tidak perlu juga dibahaskan kerana ia telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.” 


 Perkara ini ternyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan sekiranya ingin dilaksanakan perlu kepada pindaan yang menuntut kepada persetujuan 2/3 ahli Parlimen. Bukankah itu agak idealistik kerana sanggupkah ahli Parlimen sanggup bersetuju untuk menurunkan kuasa yang ada pada mereka yang diperolehi dari rakyat melalui sistem demokrasi. Tetapi secara kontradiknya pula Presiden PPMM menegaskan mekanisme ini diubah tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan. 




 2) Bertentangan dengan semangat Federalism yang menjadi dasar Penubuhan Malaysia, Perkara 74 dibaca bersama Jadual 9. 


 Selain menafikan kuasa Parlimen, penulis berpandangan makanisme tersebut menidakkan bidangkuasa negeri dan mencabul kuasa raja negeri yang merupakan ketua agama. Setiap negeri berhak menggubal undang-undang berkaitan agama di negeri masing-masing bersandarkan Jadual ke-9 Perlembagaan. Peranan besar yang dicadangkan diletakkan ke atas JAKIM yang merupakan sebuah jentera persekutuan dan penggubalan di peringkat pusat adalah tidak bertepatan semangat federalism Malaysia. JAKIM boleh memainkan peranan sebagai penyelaras antara negeri-negeri, tapi pusat tidak boleh putuskan dan kemudian kuatkuasakan undang-undang tersebut begitu sahaja. Jika kita lihat kepada undang-undang bertulis negeri-negeri berhubung dengan agama Islam, kita dapat lihat bagaimana terdapat perbezaan seperti dalam sumber rujukan fatwa dan kaedah pengambilan pandangan mazhab tertentu, maka adalah tidak adil pihak kerajaan persekutuan menyeragamkan secara authoritarian dan paksaan.



 3) Skop Undang-Undang berkaitan Islam terlalu luas. 


 Presiden PPMM juga tidak menyatakan dengan jelas skop Undang-Undang berkaitan Islam yang dimaksudkan. Penulis berpandangan ianya terlalu umum dan luas. Pada hemat penulis, undang-undang berkaitan Islam boleh dirumuskan kepada 3 jenis. 




  • Undang-Undang yang berkaitan Islam melibatkan hanya umat Islam secara total dan ekskusif seperti zakat,nikah kahwin dan perceraian (kecuali pasangan berlainan agama), jenayah syariah dan lain-lain 
  • Undang-Undang yang berkaitan Islam melibatkan umat Islam dan bukan Islam secara khusus, misalnya hak jagaan anak selepas perceraian antara Muslim dan Bukan Muslim, masalah seputar mu’alaf dan murtad. 
  • Undang- Undang yang berkaitan Islam sebagai Agama Persekutuan yang mana kesemua awam samada Muslim atau Non Muslim akan terkesan seperti undang-undang penyebaran agama lain selain dari Islam. 



 Sekiranya undang-undang yang dimaksudkan adalah kesemua di atas, maka adalah tidak selamat untuk hanya satu badan kerajaan yang mengkaji dan menggubal , tanpa perbahasan secara telus di Parlimen. 




 4) Penggubalan Undang-Undang Mesti Dibuat Secara Telus dan Terbuka. 


 Seperti yang penulis nyatakan pada awal tadi, mekanisme yang dicadangkan seolah satu cubaan menwujudkan undang-undang melalui jalan belakang . Penulis percaya perlu proses penggubalan undang-undang berlaku secara telus dan terbuka bagi sebuah Negara demokrasi. Rakyat atau wakilnya perlu tahu dan terlibat berhubung dengan penggubalan apa-apa undang-undang, yang kelak akan dikuatkuasakan ke atas rakyat. 


 Intiha’nya, penulis bagaimana pun percaya pandangan PPMM itu dibuat atas semangat cintakan Islam dan Perlembagaan Persekutuan, serta bagi mengelak masalah yang berlarutan berhubung dengan undang-undang berkaitan Islam yang senantiasa menjadi titik-titik sensitif di negara ini. Juga rasional yang terzahir dari pandangan PPMM, adalah agar Undang-Undang berkaitan Islam tidak dipolitikkan secara gampang oleh mana-mana pihak dalam meraih sokongan pengundi. Benar, undang-undang berkaitan Islam perlu di putuskan oleh orang yang layak dan ahli. Maka dalam menggubalkan undang-undang sedemikian adalah berada di atas pundak ilmuan dan cendekiawan Islam untuk menasihat dan menyakinkan para legislatif di Parlimen. Para cendekiawan Islam bukan saja perlu berilmu tapi juga perlu menjadi kuasa pendesak moral dengan tugas utamanya adalah pencerahan dan pembebasan dari kejahilan (bahkan kadang kala tidak perlu mempunyai kuasa politik). Oleh demikian, penulis sarankan agar cendekiawan Islam dan juga pakar-pakar bidang lain wajar diperbanyakkan di Dewan Negara, agar pihak legislatif bukan hanya didominasi oleh politikus-politikus sahaja, tetapi turut terpandu oleh kebijaksanaan dan kepakaran. 


 Rizqi Mukhriz 14 Mei 2011 - Kangar, Perlis

No comments: