01 September 2011

Press Kit Iftar Dan Makan Malam Muhibbah




MAJLIS BERBUKA PUASA DAN MAKAN MALAM MUHIBBAH

 Dihoskan Bersama Persatuan Al-Islah Perlis Dan Mufti Kerajaan Perlis 

Khamis, 25 Ogos 2011, jam 6.15 petang 

Di Pusat Pengajian Persatuan Al-Islah Perlis, 
 KM 1.2 Jalan Mata Ayer, 02500 Mata Ayer, Perlis 


LATAR BELAKANG PERSATUAN AL-ISLAH PERLIS 

Persatuan Al-Islah Perlis adalah antara badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan dan kebajikan Islam yang tertua dan masih aktif bergiat di Negeri Perlis. Persatuan ini ditubuhkan sejak tahun 1965 lagi oleh murid-murid kepada seorang ulama tempatan, Allahyarham Tuan Guru Haji Ismail Mahmud atau mahsyur digelar Syeikh Noor al-Surur. Berpusat di Mata Ayer Perlis, Persatuan telah berjaya mendirikan Pusat Pengajiannya di KM 1.2 Jalan Mata Ayer dengan kos hampir setengah juta ringgit pada tahun 1990.

     Sebahagian aktiviti Persatuan Al-Islah Perlis adalah: 
  • a. Mengoperasikan asrama anak-anak yatim/miskin Teratak Rahmat 
  • b. Mengelolakan kuliah-kuliah mingguan pada hari jumaat dan ahad, kuliah-kuliah khas para pendakwah dari luar Perlis, serta kuliah khas wanita 
  • c. Menganjurkan diskusi, kelas-kelas khas dan kursus seperti Bahasa Arab, Tajwid, Kursus Pengurusan Jenazah dan sebagainya 
  • d. Mengadakan khemah ibadah dan perkhemahan ikhtiar hidup, serta mengajarkan seni silat Melayu yang bersih daripada takhyul dan mistik kepada pemuda-pemudi 
  • e. Mengendalikan laman blog di http://islahperlis.blogspot.com dan saluran Youtube islah perlis di http://www.youtube.com/user/islahperlis 
  • f. Dan lain-lain 


Bermula Julai 2011, Persatuan kini dipimpin oleh Haji Othman Husin sebagai Yang Dipertua yang dibantu oleh 10 ahli-ahli jawatankuasa yang lain dan hampir 200 orang ahli-ahli yang aktif. Persatuan Al-Islah Perlis turut bersyukur ke hadrat Allah apabila Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya, Mufti Kerajaan Perlis sudi menjadi Penasihatnya dalam segenap hal keagamaan, pentadbiran dan kemasyarakatan. 

 MAJLIS BERBUKA PUASA DAN MAKAN MALAM MUHIBBAH 

         Program ini diadakan buat pertama kalinya oleh Persatuan Al-Islah Perlis dengan menjemput ahli jawatankuasa masjid-masjid serta wakil-wakil komuniti Kristian, Buddhisme Siam, Buddhisme Cina, Hinduisme, Sikhisme dan Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Yang Khor Perlis. Sebagai umat Islam yang berpegang kepada manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perlis, Persatuan Al-Islah Perlis terpanggil untuk menganjurkan majlis ini dalam usaha mempromosikan dialog antara pelbagai agama dan budaya. Mengambil semangat bulan Ramadan, matlamat majlis ini adalah pengukuhan mengukuhkan kedamaian dan keharmonian di Negeri Perlis. Persatuan Al-Islah Perlis juga menawarkan Pusat Pengajian Persatuan di KM 1.2 ini sebagai pusat meningkatkan kefahaman umat Islam khususnya, serta penganut-penganut agama lain umumnya, terhadap peri pentingnya insiatif dialog antara pelbagai agama dan budaya di Negeri Perlis. 

      Dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an dan terjemahan, ucapan wakil-wakil pelbagai agama di Negeri Perlis dirumuskan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Perlis yang juga Penasihat Persatuan Al-Islah Perlis. Serentak dengan peserta Islam berbuka puasa, hadirin dalam kalangan Non-Muslim diraikan dengan hidangan makan malam yang meliputi 15 jenis makanan dan minuman yang sesuai dinikmati baik oleh mereka yang vegetarian ataupun pemakan daging. Para hadirin yang berjumlah lebih 100 orang turut dihadiahkan cenderamata kenang-kenangan daripada Persatuan Al-Islah Perlis. 

 Wakil-wakil komuniti Non-Muslim yang dijangka hadir adalah: 
  • a. Kristian: Gereja Kayangan Praise Centre Kaki Bukit, Gereja Baptist Perlis, Gereja Tamil Baptist Perlis, Gereja Our Lady Of Fatima, Kangar, dan Kangar Chinese Methodist Chapel 
  • b. Buddhisme Siam: Wat Macchimaprasit, Jejawi; Wat Suwankhiri, Guar Musang Chuping dan Wat Kubang Tiga, Chuping 
  • c. Buddhisme Cina: Pertubuhan Buddhist Perlis, Kangar 
  • d. Hinduisme: Kuil Arulmigu Arumugaswamy Devasthanam, Kangar 
  • e. Sikhisme: Gurdwara Sahib, Kangar 
  • f. Persatuan Pendidikan Akhlak Chee Yang Khor, Kangar 


Persatuan Al-Islah Perlis berharap untuk menganjurkan lebih banyak lagi program yang memupuk keharmonian antara penganut-penganut pelbagai agama di Negeri Perlis, dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis. Hal ini diharap dapat mengeratkan persahabatan, memupuk paradigm positif untuk hidup bersama, meminimumkan konflik serta mendekatkan jurang prasangka antara Umat Islam dengan penganut pelbagai agama di negeri ini. 

Disediakan Oleh: Hamidon Abdullah 
Penyelaras Media Persatuan Al-Islah Perlis 
Merangkap Ahli Jawatankuasa Persatuan Al-Islah Perlis 
Telefon : 012-5866166 
Email    : hamidunabdullah@gmail.com

No comments: