04 September 2011

PANDANGAN KHALIS, BUAT AL-ISLAH PERLIS



OLEH : RIZQI MUKHRIZ 


Barangkali, tatkala membaca laporan sebuah media elektronik berhubung satu majlis iftar bersama pemimpin agama lain dianjurkan oleh Persatuan Al-Islah Perlis, ada yang tersalah identiti pertubuhan itu dengan satu gerakan islam yang lain. Kemungkinan juga, persatuan itu adalah sepihan dari Jemaah Islah Malaysia (JIM) itu. Ternyata anggapan itu jauh dari kebenaran. Persatuan Al-Islah Perlis yang selepas ini penulis rujuk sebagai Al-Islah adalah antara persatuan islam yang tertua di Malaysia, yang lahir pada tahun 1965 kesinambungan dari kebangkitan gerakan pembaharuan Islam atau Islah Islam. 


AL-ISLAH DAN GENERASI MUDA 
      Menghitung usia hampir separuh abad, Al-Islah telah melakar sejarahnya yang tersendiri. Namun bagi generasi muda di negeri Perlis, Al-Islah dilihat hampir tenggelam bersama seruannya. Ketumbukan yang dahulunya sinonim dengan kaum muda secara tersurat dan tersirat, kini lebih ketara ironinya. Generasi sebaya penulis di Perlis barangkali hanya tahu akan kewujudan Al-Islah, namun tidak tahu akan apa fungsi dan gerak kerjanya. Berdasarkan respon yang penulis perolehi, Al-Islah hanya dilihat tidak ubah seperti perkumpulan datuk-datuk dan pakcik-pakcik yang berhimpun untuk belajar agama. Satu impressi yang sukar memikat untuk pemuda-pemudi untuk mampir dan sertai. 


 Membaca visi dan perlembagaan, ternyata semangat para pendiri Al-Islah hampir sama dengan Persarekatan Muhammadiyah di Indonesia, seruan dakwah dan kebajikan Al-Islah itu merentasi retorika ibadah dan juga mengatasi garis politik berpuak, termasuklah sebagai penggerak dan pendesak sosial yang seimbang di kalangan anggota masyarakat. Namun berbanding Muhammadiyah, pretasi dan kemajuan al-Islah Perlis secara dilalah yang mampu dina’kul oleh pancaindera adalah masih terlalu jauh. Barangkali tidak adil untuk penulis membezakan antara Muhammadiyah yang ditubuhkan 1912, maka ayuh kita lihat rekod Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan setahun selepas Al-Islah ditubuhkan. Di lapangan pendidikan, lihat saja berapa banyak sekolah yang telah ditubuhkan. 


        Medan pendidikan amat penting kerna di situlah akan lahirnya generasi yang dapat menghargai dan memahami perjuangan dan aspirasi Al-Islah. Jika tidak, Al-Islah akan menjadi sebuah gerakan yang mandul dan tidak produktif dan percayalah hanya akan disejarahkan dalam masa terdekat. Kejayaan penubuhan Teratak Rahmat diharapkan menjadi perintis jalan untuk penubuhan sekolah dan seterusnya kolej di bawah pentadbiran Al-Islah. 


MENGEPALAI PEJUANGAN SUNNAH 
        Pada khatir penulis, Al-Islah perlu melihat dalam dua dimensi serentak kemunculan beberapa pertubuhan baru yang melaungkan seruan yang hampir sama dengannya. Pertama, Al-Islah perlu bermuhasabah akan sebab kewujudan pertubuhan-pertubuhan ini. Amat menyedihkan jika pertubuhan-pertubuhan ini ditubuhkan setelah melihat Al-Islah gagal memainkan fungsi dan peranannya. Kedua, pada masa yang samanya Al-Islah perlu memandang situasi ini sebagai kepelbagaian yang membawa rahmat. Namun sebagai pertubuhan yang lebih dahulu bertapak, Al-Islah wajar mengepalai atau bertindak sebagai pertubuhan induk atau penyelaras. Kegagalan menyelaras dan mendiri pemuafakatan dikuatiri akan membawa impak negatif terhadap gerakan As-Sunnah di Perlis ini. Penulis percaya, tidak ada yang paling menyedihkan apabila masa dihabiskan semata-mata untuk bertikam lidah sesama sendiri. 





Pentingnya kehadiran muda-mudi 
MEMPELBAGAI USAHA DAKWAHNYA 


       Penulis mula mengenali Al-Islah ketika zaman kanak-kanak tatkala membaca risalah dan makalah terbitan yang diedarkan di masjid-masjid. Kebanyakannya adalah tulisan Yang Berbahagia Dato' Alim Setia Ahmad bin Jusoh , mantan Yang Di Pertua yang cukup sinonim dengan Al-Islah. Penulis percaya bahawa jawatan kuasa pimpinan Al-Islah senantiasa berusaha untuk meneruskan mata rantai seruan dakwah dan kebajikan. Namun dalam pengamatan penulis, terdapat satu tempoh masa di mana metode dan uslub dakwah Al-Islah kelihatan statik dan jumud. Pengajaran dan dakwah hanya disampaikan melalui kuliah-kuliah. Ternyata kaedah sedemikian tidak berjaya menarik minat muda-mudi. Andai kita kembali menelusuri sejarah perintis gerakan tajdid agama rantau ini, kita dapat melihat tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh al-Hadi, Buya Hamka dan Kiyai Ahmad Dahlan amat kreatif dalam mempelbagaikan uslub dakwah suci ini. Bagaimana pun, mutakhir ini, langkah proaktif telah diambil oleh pimpinan Al-Islah melalui media-media yang ada termasuk media elektronik. Penwujudan akaun Facebook dan laman blog juga dilihat amat kena pada waktunya. 


Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya
Medium ini dapat mengumpulkan bakal ahli dan penyokong Al-Islah. Pada masa yang sama dapat menjadi wadah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Dan yang paling utama, wahana ini cukup dekat dengan generasi muda. Sekurang-kurangnya, mereka dapat mengenali Al-Islah secara langsung bukan melalui pengkhabaran yang tidak berwibawa. Perlantikan Yang berbahagia Sahibul Samahah Mufti Negeri Perlis sebagai penasihat juga pada hemat penulis satu langkah yang bijaksana. 


AL-ISLAH PERINGKAT NASIONAL 
      Sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan bukan kerajaan, Al-Islah sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya perlu mengekalkan sifat non-partisannya. Seruan tajdid oleh Al-Islah sewajarnya melampaui batasan status masyarakat dan politik kepartian agarnya maqasidnya mencapah kepada umat seluruhnya. Majlis Iftar Bersama Pemimpin Agama Lain dan Pemberian Bantuan Kepada Saudara Baru tempoh hari juga menunjukkan usaha dakwah dan kebajikan Al-Islah yang lebih tuntas dan menyeluruh. 

Keperluan hubungan luar yang progresif
Dari jauh, penulis berpandangan bahawa Al-Islah mampu untuk bangun sehingga peringkat nasional dan antarabangsa. Status sebuah pertubuhan kenegerian bukanlah penghalang untuk melebarkan sayap ke peringkat kebangsaan. Lihatlah bagaimana Persyarikatan Muhammadiyah, yang bermula di kota Jogjakarta. Bahkan di Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang giat menjalankan aktiviti dan menyampaikan mesej mereka ke seluruh Malaysia. Bagi yang masih mengaitkan Al-Islah dengan apa-apa gerakan yang subversif atau dengan nama untuk memburukkan Al-Islah, moga kalam hikmah Buya Hamka dalam Teguran Suci Kepada Mufti Johor berikut bisa mengilhami kita : “Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dalam tulisannya terhadap Mufti Johor as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad pada tahun 1958). Sekadar pandangan dari jauh tapi dekat di hati, moga Al-Islah terus berbakti, dan tuhan memberkati. 


Utan Aji, Perlis – 4 Syawal 1432 / 3 September 2011 


NOTA PENTADBIR LAMAN BLOG AL-ISLAH PERLIS: 
Tuan Rizqi Mukhriz adalah anak Perlis bertugas sebagai pengamal undang-undang, namun amat berbakat dalam penulisan kreatif. Pegangan beliau kepada aqidah dan manhaj Nabawiyyah kukuh dalam prinsip, namun berhikmah dan lunak dalam penyampaian. Laman blog mengalu-alukan penulisan kritis seumpama ini daripada semua pihak. Bak kata pepatah ‘gading mana yang tidak retak’, puji-pujian tidaklah berguna melainkan disertai teguran-teguran membina kepada Persatuan Al-Islah Perlis yang kita sama-sama cinta ini.

No comments: