LAPORAN AKTIVITI JAWATANKUASA INDUK
- Memo ust Asri Sobri
Ust. Asri Sobri telah dituduh menghina Islam melalui ceramahnya di Masjid Alwi pada 17 Ogos 2009. Isu yang dibangkitkan adalah seperti penyataan solat hajat perdana adalah bid’ah seumpama pesta dangdut di kelab malam. Pihak persatuan telah mengambil langkah bagi memperbaiki kekeruhan keadaan dengan menghantar Memorandum 11 Perkara Persatuan Al-Islah Perlis kepada DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan berharap supaya keharmonian amalan sunnah dapat terus dipertahankan di negeri ini.
- Sidang akhbar ust Wahab bin Abdullah
Satu sidang akhbar telah diadakan di Pusat Pengajian Al-Islah pada 9 Julai 2010 bagi membuat pembetulan kepada penyataan sebuah artikel yang bertajuk “Abdul Wahab Nafi Sertai Umno” di Akhbar Sinar pada 29 Jun 2010. Pihak persatuan menafikan keterlibatan secara langsung mahupun tidak dengan kenyataan tidak berasas Ust. Abdul Wahab bahawa beliau mewakili persatuan untuk membersihkan nama persatuan yang kononnya terlibat dengan wahabi dan keganasan. Antara pemberita yang hadir adalah wakil Bernama dan Akhbar Sinar.
- FASS 2010
Forum Ahlis Sunnah Wal Jamaah al-Salafiyyah Negeri Senusantara (FASS 2010) telah dijalankan di Masjid Tuanku Syed Putra pada 12 Jun 2010 bertemakan tajuk “Menyemarakkan Dakwah Mengeratkan Ukkwah”. Forum peringkat nusantara tersebut adalah yang pertama dijalankan oleh Persatuan Al-Islah Perlis yang mana melibatkan penceramah daripada pelbagai negara antaranya Prof Madya Dr Muhammad Akyar Adnan dari Indonesia, Ustaz Rasul Dahri dari Singapura, Dr Ismail Lutfi Abdul Rahman dari Thailand, Ustaz Sofwan Ahmad Badrie dari Malaysia dan Dato Alim Setia Ahmad bin Jusoh mewakili Persatuan Al-Islah Perlis. Forum tersebut di pengerusikan oleh Ustaz Muhammad Ihsan Idris iaitu daripada Persatuan Al-Islah Perlis. Lebih membanggakan, FASS 2010 telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajudin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Objektif sebenar FASS 2010 dijalankan ada bertujuan menyegarkan dan memperteguh kefahaman tentang pentingnya dakwah ke jalan Allah terus diperhebatkan secara kritis dan kreatif dalam paradigma jama’ah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu, memperkuatkan ukhuwwah dan sinergi dakwah berasaskan al-Tauhid dan al-Sunnah di kalangan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah Negeri Perlis dengan rakan- rakan semanhaj dari seluruh Malaysia dan senusantara adalah kepentingan utama. Bersesuaian dengan ulangtahun ke-10 pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis, menzahirkan penghargaan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah seluruh Perlis, seMalaysia dan senusantara kepada baginda selaras dengan tema sambutan ulangtahun ke-10 ’Sedekad Bertakhta Raja Berdaulat, Rakyat Sejahtera Negeri Berkat’ serta ulangtahun ke-67 keputeraan baginda.
FASS 2010 bermula selepas solat subuh dimana program pemuda Persatuan Al-Islah Perlis berlangung. Ceramah pemuda disampaikan oleh pegawai jabatan mufti Perlis iaitu Ustaz Sirajjuddin. Pada jam 8.00-9.00 pagi pula adalah ketibaan jemputan-jemputan dari dalam dan luar Perlis. Jemputan di luar Perlis adalah dari Kuala Lumpur, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Singapura, Thailand, Indonesia dan Arab Saudi. Selepas semua jemputan hadir, Tuanku Raja Perlis pula hadir sebagai tetamu VVIP pada jam 9.15 pagi. Pemuda Persatuan Al-Islah Perlis menyambut kedatangan Tuanku Raja Perlis dengan persembahan silat. Forum kemudiannya dimulakan pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada 12 tengahari. Majlis penutup forum diserikan dengan penyampaian hadiah jemputan khas FASS 2010 kepada DYMM Tuanku Raja Perlis. Kemudiannya Deklarasi FASS 2010 dibacakan kepada hadirin yang hadir untuk lebih memahami tujuan sebenar FASS 2010 dijalankan. FASS 2010 berakhir dengan jamuan makan tengahari pada jam 1.00 petang.
- Seminar Isu Pernikahan Kanak-kanak (5 Mei 2010)
Seminar “Isu pernikahan kanak-kanak” yang bertajuk Permasalahan Dan Penyelesaiannya Menurut Al-Qur’an dan Al-Sunnah” dijalankan pada 5 mei 2010 di Perpustakaan Awam Negeri Kangar, Perlis. Seminar tersebut adalah hasil usaha dan kerjasama Persatuan Al-Islah Perlis dengan Jabatan Mufti Negeri Perlis. Seminar tersebut dirasmikan oleh Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadari dan Pembangunan As-Sunnah Perlis iaitu Y.B Japeri Othman.
Tiga orang pembentang utama telah membentang hujah berkenaan seminar pernikahan kanak-kanak. Antara pembentang utama dalam seminar ini adalah Dato’ Alim Setia Ahmad Jusuf Amin yang membentang tajuk “Pernikahan Kanak-kanak Dan Hubungannya Dengan Hikmah Pensyariatan Pernikahan”. Pembentang kedua seminar pernikahan kanak-kanak adalah Prof. Madya Dr. Fauzi Deraman yang memberi hujah berdasarkan analisis beberapa hadis yang terpilih bersesuaian dengan seminar pernikahan kanak-kanak. Pembentang ketiga dan terakhir dalam seminar pernikahan kanak-kanak ini ialah Puan Kamar Ainiah Kamaruzaman yang membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk ”Pernikahan Kanak-kanak: Antara Teori Dan Amalan Dalam Undang-undang Di Malaysia”.
Seminar Pernikahan Kanak-kanak ini adalah bertujuan memberi kefahaman kepada peserta seminar tentang pernikahan kanak-kanak dari pandangan perundang islah, Al-Quran dan As-Sunnah. Selain itu, seminar ini juga diharapkan dapat memberi wadah dan input awal dalam menggerakkan usaha mengkaji semula tafsiran dan perlaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia amnya dan di Perlis khususnya supaya lebih dekat dengan hakikat dan hasrat manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah al-Salafiyyah. Peserta seminar adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri Perlis, Usrah Masjid-masjid Kawasan Kayang dan Kawasan Utan Aji.
- Majlis tertutup bersama 3 ulama’ majlis Fatwa perlis (25 April 2010)
Bersempena mesyuarat Majlis Fatwa di Perlis yang melibatkan kehadiran 3 ulama’ iaitu Dr. Johari Mad, Dr. Radzi dan Dr. Azwira; pihak persatuan ingin meraikan kehadiran mereka di Perlis dengan mengadakan sebuah majlis makan malam kecilan bersama anak-anak Teratak Rahmat. Ketiga-tiga ulama mengambil sedikit masa menceritakan pengalaman dalam menegakkan dakwah ahli sunnah wal jamaah. Selain itu satu perjumpaan tertutup juga telah diadakan bersama beberapa AJK persatuan.
No comments:
Post a Comment