25 April 2013


Umat Islam mesti bersatu, ketepi perbezaan kecil

Imam Masjid Al-Nabawi di Madinah, Al-Syeikh Salah Muhammad Al-Budair menggesa umat Islam bersatu padu kerana kehancuran dihadapi beberapa negara Islam yang sedang bergolak ketika ini adalah disebabkan oleh perpecahan.

Beliau yang menyampaikan ceramah umum bertajuk Menghidupkan Semula Semangat Islam dan Masa Depan Ketamadunan Islam di Abad ke-21 berkata, Islam dulu kuat tetapi kini berdepan saat sukar kerana umat Islam terlalu memberi perhatian kepada perbezaan yang kecil.
Katanya, terlalu banyak memberi tumpuan kepada perbezaan yang kecil boleh menjurus kepada perkara lebih buruk. Berbeza pandangan boleh tetapi adalah lebih baik berbangga dengan persamaan dimiliki kerana ia membantu kita melihat kepentingan lebih besar iaitu kembali kepada ajaran agama.


Kita tidak boleh menafikan wujudnya perkara yang menimbulkan perbezaan tetapi elemen asas yang mengikat kita semua adalah lebih hebat. Jika kita berpegang kepada asas ajaran agama, kita boleh meneruskan kehidupan dalam suasana yang sihat.

Ikut garis panduan yang ditetapkan ajaran agama dan amalkan nilai baik dipertanggungjawabkan terhadap setiap Muslim iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran (amar makruf nahi mungkar).

Amalkan nilai baik

Sebab umat Islam terbahagi kerana terlalu memberi perhatian kepada perbezaan yang sedikit, sedangkan hubungan boleh jadi baik jika kita melihat nilai baik yang lebih banyak yang menyatukan seluruh umat Islam. Keadaan ini juga berlaku disebabkan kita jauh daripada Allah, katanya.
Pada majlis anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) itu, beliau turut menekankan hakikat yang perlu diterima serta dihayati umat Islam bahawa Allah satu, Nabi Muhammad Rasulullah satu, Islam satu dan sepatutnya umat Islam bersatu.

Al-Syeikh Salah berkata, ketidakadilan juga menjadi punca kepada konflik yang dilihat berlaku termasuk di beberapa negara Islam, oleh itu, pemimpin, perlu adil dalam usaha mengelak konflik.

Katanya, apabila keangkuhan berada dalam masyarakat, kebencian menghapuskan kasih sayang sehingga menjurus kepada perpecahan.

Beliau berkata, perubahan hendaklah dilakukan dengan rasa tanggungjawab termasuk oleh pemimpin dan mengikut ajaran Islam kerana perubahan tidak terhad pada satu-satu masa atau perubahan luaran, sebaliknya bersifat menyeluruh.

Katanya, setiap perubahan dilakukan hanya akan memberi kesan baik apabila umat Islam kembali kepada mesej Islam berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Ilmu dan teknologi memainkan peranan penting seperti diserlahkan dalam ketamadunan Islam yang gemilang dulu.

Melihat kedudukan Al-Syeikh Salah sebagai Imam Masjid Al-Nabawi dan Hakim Mahkamah Agung Madinah, ternyata terserlah hikmah keilmuwan beliau yang mahukan umat Islam supaya lebih cenderung melihat kepada kebaikan dan berkongsi perkara yang boleh menyatukan mereka.

Pelihara perpaduan

Walau apapun matlamat yang ditetapkan, yang penting umat Islam perlu memelihara perpaduan.

Sewajarnya nasihat Al-Syeikh Salah diberi perhatian umat Islam di negara ini supaya menghayati semangat kasih sayang dan bersatu padu yang ditekankan agama bagi mengelak kesan buruk iaitu perpecahan yang menjurus kepada permusuhan.

Islam sendiri tidak menghalang perbezaan pandangan kerana ia tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, perbezaan daya pemikiran akan menjadi rahmat yang memberi kebaikan jika semua pihak memahami adab untuk menghormati perbezaan itu.

Sebaliknya, jika masing-masing tetap mahu menegakkan pandangan tanpa memberi hak kepada orang lain memiliki pendirian hasil penilaian intelektual mereka sendiri, itu yang akan menyebabkan pertelingkahan.

Apatah lagi apabila Al-Syeikh Salah memuji serta mengiktiraf kemajuan dicapai Malaysia dan alangkah ruginya jika keharmonian serta semangat perpaduan dinikmati selama ini hancur disebabkan perbezaan pandangan terhadap perkara kecil.

Alhamdulillah, Malaysia adalah negara Islam dan mencapai kecemerlangan yang baik. Rakyat Malaysia adalah lambang masyarakat ideal yang saling memahami dalam masyarakat berbilang bangsa, katanya.

SUMBER : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UmatIslammestibersatu_ketepiperbezaankecil/pilihanraya/PRU13/Article/index_html

No comments: