08 April 2013


Raja Muda Mahu Wataniah Semai Semangat Nasionalisme Dan Kenegaraan.


KANGAR, 7 April (bernama) – Raja Muda Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail mahu askar Wataniah menjadi agensi utama dalam menyemai semangat nasionalisme dan kenegaraan kepada masyarakat selain menjadi benteng pertahanan nombor dua negara.

Menurut baginda, rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme dan kenegaraan pasti akan sentiasa berperanan membantu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

Merasmikan pelancaran Latihan Askar Wataniah 2013 di perkarangan Stadium Utama Kangar di Kangar, Ahad, baginda bertitah pasukan keselamatan tidak boleh melaksanakan kesemua tugas mempertahankan negara dengan sempurna tanpa kerjasama masyarakat.

“Sejarah membuktikan bahawa kekuatan rakyat adalah factor utama yang akan menjamin kesejahteraan berterusan sesebuah negara,”titah baginda yang juga Komander Ragimen 504 Askar Wataniah.

Tuanku Syed Faizuddin mahu seluruh warga askar Wataniah di segenap pelusuk negara bersiap siaga menjadi sebagai ‘1st wave respondent’ (responden gelombang pertama) dalam apa jua keadaan sekiranya berlaku sebarang konflik atau pencerobohan di kawasan masing-masing.

“Antara yang boleh dilakukan ialah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat ataupun perisikan tentang ancaman pihak musuh termasuk kekuatan, persenjataan, kedudukan, pengenalan atau identity, motif dan hasrat mereka, atur gerak dan sebagainya,”titah baginda.

 Menurut baginda, sebarang maklumat perlu disalurkan kepada pihak berwajib terutama unit tentera tetap yang paling berhampiran.

Baginda berharap setiap angota askar Wataniah sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga sepanjang masa dalam usaha memburu maklumat mengenai ancaman tertentu.

Sebelum itu ketibaan baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Datuk Mohd Ramli Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt Kol Zulfakar Abdul Wahid.

--BERNAMA

No comments: