16 April 2013


Negara perlu institusi pendidikan menyeluruh - Tuanku Faizuddin

KUALA LUMPUR 15 April - Negara memerlukan institusi pendidikan yang mampu membina generasi berpengetahuan menyeluruh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu hanya dapat dicapai menerusi pendidikan daripada seawal usia kanak-kanak dan berterusan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Hal ini titah baginda, berdasarkan pendapat bahawa pendidikan awal dan prasekolah memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah serta peribadi kanak-kanak.
"Ini boleh dilaksanakan menerusi pendekatan mengikut keperluan semasa dengan mendedahkan pelajar dan tenaga pengajar untuk menerapkan penggunaan kaedah yang kreatif dan inovatif.

"Pada masa sama, penyatuan pelbagai latarbelakang masyarakat tidak mengira bangsa dan agama menjadi suatu komuniti harmoni dan pembangunan sukatan pelajaran yang memenuhi piawaian antarabangsa haruslah diimplementasikan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Wisma Smart Reader I dan II di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Dr. Richard Ong.

Smart Reader merupakan institusi pendidikan prasekolah swasta yang sehingga kini mempunyai sebanyak 300 cawangan di Malaysia selain turut mengembangkan operasinya di seluruh dunia.

Dalam pada itu, baginda bertitah, kewujudan Smart Reader mampu membangunkan generasi yang berdaya saing dalam usaha menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan tinggi.

Seramai 100 kanak-kanak kurang berkemampuan dari Yayasan Tuanku Syed Putra telah ditaja oleh Smart Reader untuk menerima pendidikan prasekolah percuma di institusi tersebut melalui program Seorang Anak Sebesar Harapan.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130416/dn_06/Negara-perlu-institusi-pendidikan-menyeluruh---Tuanku-Faizuddin#ixzz2QbvzHcgD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: